MASALAH PENGLIHATAN KANAK-KANAK
Salamunkhaulanmirrobbirrohim
Tuhan apakah kau tahu?
Hidupku sangat sempurna
dalam kesempurnaanku aku selalu berfikir tajam
dan ingin membahagiakan orang yang tak sempurna...
Tuhan...
aku ingin buta dan tak bisa melihat
aku ingin tuli dan tak bisa mendengar
aku ingin bisu dan tak bisa berbicara
aku ingin tidak mempunyai kaki dan tangan
untuk berjalan dan bekerja...
kerana aku ingin seperti mereka yang tak sempurna itu..
Hidupku sangat sempurna
dalam kesempurnaanku aku selalu berfikir tajam
dan ingin membahagiakan orang yang tak sempurna...
Tuhan...
aku ingin buta dan tak bisa melihat
aku ingin tuli dan tak bisa mendengar
aku ingin bisu dan tak bisa berbicara
aku ingin tidak mempunyai kaki dan tangan
untuk berjalan dan bekerja...
kerana aku ingin seperti mereka yang tak sempurna itu..
Kerana aku tahu aku mampu membantu mereka
Salam bahagia semua. Hari yang indah,
minggu yang dilalui amat ceria meski pun begitu banyak tugasan. Maafkan saya
kerana tidak bersama anda untuk beberapa hari berlalu. Kesibukan dengan tugasan
dan persediaan beberapa acara mengusik ruang santai untuk bersama anda. Namun
saya bersyukur kerana minggu ini berlalu dengan membawa seribu kenangan dan
amat membahagiakan diri saya keluarga serta sahabat-sahabat saya.
Tarikh 11 Februari 2013 merupakan tarikh
kerana yang tak akan dapat saya lupakan dalam lipatan sejarah saya. Tarikh itu
seperti memberikan saya satu nafas baru untuk saya terus berjalan dan meneroka
kehidupan yang mencabar. Satu turning point dalam mencapai kepuasan hidup ini.
Buku saya yang pertama berjodol “MASALAH PENGLIHATAN MATA KANAK KANAK” terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka dilancarkan dengan rasminya. Paling menarik buku
tersebut dilancarkan oleh insan yang menjadi idola saya yang juga pernah
menjadi wanita pertama Malaysia iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah
Mohd Ali. Majlis perasmian dan pelancaran dibuat di Hotel Palace of The Golden
Horses dan dihadiri oleh keluarga,sahabat, facebookers, penerbit buku dan juga
media masa tempatan termasuklah RTM dan TV9. Majlis yang berlangsung selama 4
jam ini ditaja oleh D’stream Global Network Sdn Bhd. Selain dari kehadiran
jemputan utama, majlis juga diserikan dengan persembahan artis yang diketuai
oleh Siso Kopratasa, Man Wicitra, Kussut and the grup.
Persiapan telah bermula sejak 8 Januari
dengan beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan hotel dan artis serta
pengurusan majlis yang di ketuai oleh Cikgu Ahmad Din selaku Pengarah Urusan
D’stream Global Network Sdn Bhd. Satu raptai ringkas telah berjalan pada 10
Januari diikuti dengan persiapan tempat bermula detik 12 malam pada hari yang
sama. Pada 11 Januari kesibukan persediaan dan raptai bermula sejak jam 10
pagi.
Paling menarik dan amat menyentuh hati saya
dan keluarga saya adalah persediaan D’stream Global Network Sdn Bhd untuk
memberikan kejutan harijadi kepada bonda saya Puan Hajah Norlia Muhammad yang
genap usianya 73 tahun serentak dengan perasmian buku saya dan bersama wanita
yang cukup kami sekeluarga pandang tinggi iaitu Tun Dr Siti Hasmah di samping
mempastikan anak-anak saya mengambil bahagian sebagai penghargaan kepada saya.
Amat menyentuh hati saya.
Saat mendebarkan setelah semua pihak yang
membantu dan menyokong saya bersiap siaga. Dapat saya lihat anak-anak saya Amir
Hamzah, Iman Harris dan Mia Hannah segak dan bergaya dengan pakaian
masing-masing. Tak lupa juga melihat kecantikan bonda saya dengan berpakaian
hitam sedondon. Menarik lagi bila kakak-kakak dan abang ipar saya, Kak Julia
Abdul Mutalib (yang saya panggil Kak Yang) dan suaminya Abang Sohaili dengan
berpakaian merah dan suit hitam, Kak Nor Aida Abdul Mutalib (lebih senang saya
panggil Dada) dan suami Abang Zakaria serta semua anak-anak mereka. Jauh dalam
kesibukan persediaan saya melihat Cikgu Ahmad dengan segak, hebat dan bergaya
berpakaian cheongsam bertatah naga di hadapan dan belakang meski pun beliau
masih lagi bertongkat akibat dari kecederaan patah peha namun penuh semangat
meninjau persiapan.
Tepat jam 2.30 petang, Yang Amat Berbahagia
Tun Dr Siti Hasmah sampai di perkarangan lobi hotel. Selepas bersalaman dengan
saya dan Cikgu Ahmad, YABhg Tun terus mengenggam tangan saya seerat mungkin dan
berjalan perlahan diiringi Cikgu Ahmad dan keluarga saya di belakang. Pada masa
ini saya sedari Tun Siti Hasmah tidak lagi kuat pada zahirnya namun saya kagum
bila dia dengan tenang penuh matlamat menapak satu persatu untuk bersama
melancarkan buku saya. Sebak dan terharu melihat wanita berusia 87 tahun itu
masih gagah pada semangat untuk melihat anak bangsanya maju dan Berjaya.
Sepanjang langkah ke dewan perasmian YABhg Tun tak sunyi dari bercakap dengan
saya dan Cikgu Ahmad. Pelbagai soalan dan hal yang diutarakan apatah lagi
beliau memang mengenali Cikgu secara peribadi. Perbualan sepanjang menapak itu
akhirnya berhenti di ambang dewan dan anak perempuan saya Mia Hannah
menyampaikan jambangan bunga buat tetamu istimewa kami. Sesuatu yang amat menarik
bila mana anak saya sendiri melakukannya.
Memasuki dewan dengan diiringi muzik latar
Rebab Minang membuatkan saya terpesona. Selangkah demi selangkah dan kedengaran
bait-bait sajak saya dipuisikan oleh Siso dari kumpulan Kopratasa. Sajak
bertajuk “ Mata Itu dan Bintang Kejora” adalah hasil tulisan saya yang pertama
bila berjinak-jinak dengan penulisan puisi dan cerpen yang disarankan oleh
Cikgu Ahmad. Antara bait-bait yang juga dilagukan oleh Siso secara sepontan
adalah:
Mata itu..
penuh anggun sinar kejora
namun merapuh lesu tiada
daya
meredup dan mulai tak
berbekas
lantas hilang tak bertepi
dalam renungku
Saat ini dia ingin
kembali
melakarkan cerah malam
itu
bersama sisa-sisa
lestarinya
walau telah lama berlalu
meski tak secerah dahulu
ku tahu dia mampu
kembalikan
anggunnya malam yang
berbintang
Terharu dan amat menyentuh hati. Apabila
selesai Siso dengan puisi itu disambut pulak oleh pengacara majlis Man Krabat
Wicitra dengan lagu ‘Bukan Kerana Nama’ dengan iringan gitar dan gemersik suaranya
mencuri kebingitan dewan. YABhg Tun amat ceria dan sibuk bertanya itu dan ini
pada saya dan Cikgu Ahmad yang duduk bersebelahan di kiri dan kanan beliau.
Kejutan terus berlaku bila pengacara menjemput anakanda saya Amir Hamzah untuk
membacakan doa selamat. Jauh di dasar hati ada airmata yang menitis atas
sambutan yang diberikan. Saya sempat melihat anakanda saya memandang saya tepat
sebelum berdoa. Terima kasih Tuhan atas anugerah ini.
Bila mana ucapan alu-aluan Cikgu Ahmad Din
selaku Pengarah Urusan D’stream Global Network, beliau telah menyentuh berbagai
aspek tentang buku dan diri saya. Saya difahamkan bahawa Cikgu Ahmad akan
membacakan sajak saya berjodol Terima Kasih Tuhan dan menayangkan video saya
tapi agak kecewa kerana sistem multi media gagal berfungsi secara tiba-tiba
namun saya sekali lagi terkejut bila Cikgu menjemput anakanda saya Iman Harris
menyampaikan jambangan bunga pada saya sebagai penghormatan dari keluarga saya.
Tak ada perkataan yang dapat saya gambarkan pada perjalanan majlis yang diuruskan
oleh Cikgu Ahmad. Terkesima pada setiap gerak acara. Menyuntik harapan dan
iltizam pada perjalanan masa depan saya.
YABhg Tun Dr Siti Hasmah dijemput untuk
memberikan kata ucap dan seterusnya melancarkan buku saya. Sekali lagi saya
kagum melihat Tun. Meski pun teks yang disediakan dalam font yang besar (kerana
mata Tun dah kurang jelas) namun beliau tidak sedikit pun menggunakan teks
tersebut. Kagum kerana apa yang ditulis sama seperti apa yang diucapkan. Bagi
saya daya ingatan beliau sangat kuat dan hebat. Dalam ucapan beliau yang
dirakamkan oleh RTM dan TV9, beliau menyentuh tentang kewajipan ibu bapa dan
guru dalam member perhatian pada kesihatan mata kanak-kanak. Dan buku yang saya
tulis akan memberi input yang amat bermakna bagi institusi kekeluargaan dan
persekolahan. Beliau juga menyeru lebih banyak syarikat-syarikat memberikan
sokongan kepada penulis-penulis ilmiah dengan membiayai majlis pelancaran
seperti yang dilakukan oleh D’stream Global Network Sdn Bhd.
Masa pelancaran tiba. saya dan Cikgu Ahmad
mengiringi Tun untuk memecahkan simbol pelancaran buku saya yang di letakkan
didalam ukiran ais berbentuk mata. Sangat menarik dan Tun cukup berhati-hati
dalam gerakan memecahkan air batu. Seterusnya dilangsungkankan dengan
pemotongan kek pelancaran buku. Kami amat terhibur denga gelagat Tun dan
tingkah katanya yang sentiasa ceria dan mencuit rasa.
Selesai pelancaran. Majlis berhenti rehat
untuk menjamah juadah yang disediakan. Dalam kesibukan menghadapi juadah, Tun
mula didatangi oleh hadirin yang ingin meminta tanda tangan pada buku saya.
Saya memerhati gelagat Tun yang dengan tenang melayan peminat-peminatnya.
Begitu juga saya turut menanda tangani buku-buku yang mereka beli. Amat senang
sekali melihat Tun melayan tetamu yang hadir dengan kata dan jenaka yang cukup
mencuit hati. Kita jadi lupa pada usianya yang sudah mencecah 87 tahun itu.
Di tengah kemeriahan, majlis disenyapkan
dengan pengumuman dari Cikgu Ahmad supaya tetamu menumpukan perhatian ke layar
putih yang disediakan di hadapan. Perlahan dan semakin kuat irama lagu Kasihnya
Ibu dendangan Jamal Abdillah berkumandang dengan diiringi tayangan filem yang
dihasilkan oleh Cikgu Ahmad sendiri serta pengucapan selamat hari lahir buat
bonda saya Hajah Norlia Muhammad. Serentak dengan tayangan, majlis menjadi sepi
seketika. Terdengar esakan di sana sini dan yang paling ketara adalah di
sebelah saya iaitu Kak Yang yang tak henti-henti mengesat air mata melihat
video berkenaan dengan lagu yang seperti memukau tetamu yang hadir. Perlahan saya
menahan sebak di dada. Terharu, terkesima dan tersentuh dengan persembahan yang
dicipta oleh Cikgu Ahmad. Cukup syahdu. Saya sempat memandang bonda yang
sepanjang masa bersinar matanya dan Cikgu Ahmad berdiri hormat disebelahnya.
Ceria dan bangga terpancar di wajah bonda meski pun di dalam hati saya tau ada
air mata yang mengalir. Begitu juga dengan Tun yang terdiam seketika dan
mengesatkan mata sambil memandang bonda saya.
Upacara memotong kek hari jadi bonda saya.
Dia amat terkejut namun sempat bersama Tun bangun dan melaksanakan potongan kek
yang dihadiahkan oleh anak cucu kepada ibu saya. Masih terdengar ucapan hari
jadi Tun kepada ibu saya dan sembang bual yang berterusan diiringi dengan
nyanyian lagu hari jadi secara beramai-ramai oleh anak cucu. Meriah dan amat
menarik dalam sudut hati dan pandangan saya. Kagum kerana peristiwa itu
hadirnya pemimpin besar negara. Serentak dengan itu beberapa puisi dan lagu terus
berkumandang sebagai santapan telinga tetamu yang meneruskan juadah. Siso , Man
Wichitra dan Kussut and the grup tidak menghampakan saya dan Cikgu Ahmad.
Sehingga Siso dipanggil oleh Tun untuk menyanyikan lagu Warisan yang pernah
didendangkan oleh Sudirman Hj Arshad di samping lagu-lagu dari album Kopratasa
yang masih lagi dikenang seperti Permata Buat Isteri, Masihkah Kau Ingat dan
beberapa lagi yang diteruskan oleh penyanyi lain. Hebat gandingan
penyanyi-penyanyi ini.
YABhg Tun Dr Siti Hasmah masih tetap duduk
di kerusinya. Tidak sedikit pun menampakkan isyarat untuk pulang sedang jam sudah
menunjukkan pukul 5.45 petang. Timbul rasa hairan di hati dan sempat saya
berbisik kepada Cikgu Ahmad tentang hal ini. Jawapan Cikgu mudah, Bonda Tun
akan menunggu sampai habis dalam sesuatu majlis seandainya majlis itu menarik
minat dan menceriakan beliau. Saya melihat Tun terus melayan tetamu yang masih
lagi meminta tanda tangan beliau. Seperti awalnya, Tun dengan tenang dan ceria
melayan seperti seorang artis melayan peminat. Tak ketinggalan juga saya yang
terpaksa melayan permintaan untuk tanda tangan dari pembeli-pembeli buku. Dalam
kesibukan itu sempat juga saya memenuhi permintaan RTM bagi menemubual saya
untuk disiarkan dalam Berita jam 8 malam. Hampir jam 6 petang Tun berbisik
sesuatu pada Cikgu Ahmad. Isyarat Cikgu kepada saya menunjukkan Tun akan
berangkat pulang. Pengacara mengumumkan dan Tun bangun dengan terus mencapai
dan menggenggam tangan saya. Kemas dan erat. Meletakkan beban berjalan pada
saya. Saya menyambut dengan penuh kasih dan tanggung jawab sebagai anak,
sebagai peminat dan sebagai rakyat yang kasihkan pemimpin.
Ucapan salam dan selamat jalan bersahutan
petang itu. YABhg berlalu dengan senyuman dan kegirangan seperti tiada langsung
rasa keletihan pada usianya yang kian lewat. Sungutan dalam senyuman tentang
jambangan bunga di dalam kenderaan yang naiki meleraikan senyum dan tawa di
kalangan yang menghantar. Jauh di sudut hatiku betapa saya berbangga dan
terpesona pada sekujur tubuh yang dimamah usia namun masih mampu bergerak
cergas dalam apa jua majlis dan aktiviti yang dianjurkan. Lalu terpanggil untuk
saya terus berkarya tentang “mata dan wanita” seperti yang pernah saya impikan.
Lambaian tangan Tun kian tenggelam dan hilang dalam neon-neon yang semakin
bercahaya sekitar Hotel Palace of The Golden Horses. Warna dari sinar cahayanya
seperti mencerahkan hati dan perasaan saya. Dalam keletihan saya sempat menoleh
ke arah Cikgu Ahmad. Wajahnya ceria dan dari senyumannya menampakkan satu
bentuk kepuasan yang tak dapat digambarkan. Saya dan rombongan kembali ke dewan
untuk melihat sisa-sisa majlis yang masih tertinggal.
Dalam kesempatan yang ada, saya ingin
merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga buat:
1. YABhg Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali serta kakitangan Yayasan Perdana
2. D’stream Global
Network Sdn Bhd serta kakitangan
3. Palace of the
Golden Horses khusus untuk Naimah dan Farid
4. Keluarga: Kak Yang,
Abang Sohaili, Dada dan Abang Zek sekeluarga. Saudara mara jauh dan dekat.
Anak-anak: Amir Hamzah. Iman Harris, Mia Hannah
5. Dr Bashirah ,
Shekah, Gee Sulaiman, Khairul Asyhar Idris, Munira BenYahya, Jay Ahiri, Nor
Saadah Rohani, Siti Darinawati Mohd Dom Arang, Dr Mohamad Rafie, Puan Bainun
dan suami.
6. Siso Kopratasa, Man
Krabat Wichitra, Kussut dengan Kulat and the grup
7. RTM, TV9, Utusan
Malaysia, Berita Harian dan Metro.
8. Semua yang hadir
sebagai tetamu saya yang saya anggap anda adalah yang istimewa.
KHUSUSNYA, Guru
saya, Perunding Peribadi saya Cikgu Ahmad Din yang tak pernah kenal jemu
menangani setiap permasalahan pada setiap event yang saya jalankan. Terima
kasih semuanya yang membuatkan impian saya menjadi kenyataan.
Salam bahagia,
salam hormat dari:
Haliza Abdul
Mutalib