Pages

Sunday, December 17, 2017

KES MATA MALAS: BERJUANGLAH MELAKUKAN TERAPI PENGLIHATAN ANAK ANDA

                                       

KES MATA MALAS: BERJUANGLAH MELAKUKAN TERAPI PENGLIHATAN ANAK ANDA


Seringkali saya ditanya..apakah yang menentukan sukses satu terapi penglihatan. Adakalanya terapi itu berjaya, adakala berjaya separuh jalan dan tidak kurang juga yang gagal.

Selain daripada pengesanan tiada masalah patologi pada mata yang malas dan setelah diberikan kuasa refraksi yang optimum dengan kanta berkualiti maka faktor kejayaan kini terletak kepada terapi penglihatan semata mata.

Adakah sukar untuk melakukan Terapi Penglihatan?  ..bergantung. pada keadaan. Paling penting motivasi ibubapa dan juga kepatuhan anak mereka terhadap terapi ini. Anak-anak kecil mungkin tidak faham kenapa terapi ini perlu dilakukan dan mereka tidak pedulipun tentang keperluan mempunyai mata yang terang. Manakala ibubapa amat faham kepentingan ini tetapi masalah disiplin dikalangan anak anak dan ketidakpatuhan pada arahan menyusahkan proses pemulihan ini.

Ada ibubapa yang gagal memujuk anak mereka untuk melakukan terapi mudah ini dirumah lantas membayar pakar penglihatan untuk membantu 'melatih' anak-anak dengan terapi ini meskipun kadar bayarannya sangat tinggi.

Cara paling mudah untuk melakukan Terapi Penglihatan adalah dengan menggunakan sekeping scarf hitam yang dilipat lipat agar tebal (cahanya tak tembus) untuk ditutup pada mata yang baik dan mengikatnya dibelakang kepala. Ini akan menekup mata sikecil dengan kemas dan tidak menyebabkan alergi sepertimana jika kita menggunakan penampal berpelekat. Kemudian pakaikan cermin mata ataupun kanta lekap pada mata yang lemah. Sekiranya anak anak sudah belajar disekolah..terapi ini boleh dijalankan pada waktu malam ketika anak anak sedang membuat kerja rumah ataupun mengulangkaji pelajaran. bagi anak anak di peringkat tadika boleh dipujuk dengan gajet elektronik di mana jika mereka ingin bermain dengan gajet, mata harus ditutup. Terapi penglihatan bagi bayi dan anak anak kecil adalah dengan bermain main dengan mereka dengan alat permainan yang kecil dan menarik.

Banyak aktiviti yang boleh dijalankan untuk melansungkan terapi penglihatan ini dengan jayanya antaranya melukis, menyalin, teka silangkata, 'jig-saw-puzzle', permainan lego, menyambung titik titik dan juga memasukkan manik dalam benang. Ini semua boleh dilakukan dalam keselesaan berada di rumah dan secara santai.

Tempoh efektf melalukan tetapi penglihatan ini adalah semaksima 4 jam untuk sebelah mata (sila rujuk pakar penglihatan/optometris). Pada permulaannya tempoh ini dikurangkan pada satu atau dua jam sahaja  dan kemudiannya di tambah secara perlahan lahan. Terapi ini perlu dibuat setiap hari untuk mendapat kesan yang memberangsangkan.

Adakalanya saya lebih suka menggunakan kanta sentuh sepanjang tempoh terapi ini kerana dengan kanta sentuh, akuiti penglihatan lebih baik sebaris dari penglihatan menggunakan cermin mata. Distori kanta juga kurang berbanding dengan cermin mata jika kuasa kanta adalah tinggi.

Adalah penting sebagai pemantau terapi ini untuk memastikan anak tidak mengendap dan tiada cahaya memasuki mata disebalik kain yang menutup mata. Pastikan pencahayaan adalah baik dan anak tekun melakukan kerja dekat, Sekiranya mereka bosan dan ingin melakukan aktiviti lasak lain, sila tanggalkan penutup mata. Sekiranya anak anad melihat sangat dekat pada buku, biarkan sahaja. Jangan jauhkan dia pada jarak yang normal kerana mereka tidak nampak pada jarak normal. Tidak mengapa sekiranya mereka mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja rumah kerana ini bersifat sementara sahaja, lama kelamaan tempoh akan berkurangan apabila penglihatan menjadi semakin baik. Terapi penglihatan juga boleh dibuat sekejap sekejap tetapi kesannya tidak berapa efektif.

Lakukan peemriksaan susulan anak-anak dlm tempoh 1 hingga 3 bulan untuk mengetahui tahap pemulihannya. Jika terdapat perubahan yang positif berilah ganjaran dan pujian pada anak di atas kesungguhan dan pencapaiannya. Bersungguh-sungguh membantu anak anda dikala dia melakukan terapi penglhatan. Adalah lebih baik sekiranya ibubapa ada disebelah anak untuk menyemak aktiviti yang dilakukannya.

Kebiasaanya terapi penglihatan ini boleh mengambil masa beberapa bulan sehingga beberapa tahun bergantung pada tahap keterukkan mata. Faktor umur kanak-kanak juga penting kerana terapi ini amat berkesan apabila dilakukan sebelum berumur 12 tahun.

Berjuanglah tanpa rasa letih dan kecewa kerana anda sudahpun menghampiri kejayaan. Penglihatan anak anda boleh pulih tetapi adakalanya memerlukan masa. Sekiranya anda telah mengikuti semua langkah langkah ini maka berlapang dadalah kerana anda telah melakukan yang terbaik untuk penglihatan anak anda.

Salam hormat dari saya.

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia