RABUN WARNA
Rabun warna atau colour
blindness sering disalahertikan. Ramai yang menganggap orang yang mempunyai
rabun warna mempunyai penglihatan bagaikan televisyen hitam putih. Sebenarnya
orang yang rabun warna itu tidak sebenarnya buta warna, cuma persepsi warnanya
sahaja yang berbeza dengan orang yang berpenglihatan normal. Seperti
contoh sekiranya kita melihat warna merah menyala, seseorang yang mempunyai
defek warna merah akan melihat warna tersebut seperti warna merah gelap.
Keterukan rabun warna adalah pelbagai. Ianya bergantung pada jenis rabun warna
itu sendiri. Walaubagaimanapun ada segelintir orang yang mempunyai defek warna
yang sangat teruk di mana mereka boleh “buta” terhadap semua warna. Paling biasa
rabun warna terjadi pada warna hijau–kuning atau oren-merah.
Mungkin
ramai yang tidak mengetahui bahawa rabun warna biasanya bersifat kongenital. Ini
bermakna masalah ini telah ada pada kanak-kanak itu sejak lahir lagi disebabkan
faktor genetik. Adakalanya ianya berlaku pada orang dewasa. Kebanyakkan kes
sebegini biasanya disebabkan penyakit mata yang aktif, kesan dari penyakit
sistemik yang dihadapi ataupun kesan sampingan dari pengambilan ubat-ubatan .
Ramai ibubapa tidak dapat mengecam masalah ini
pada anak-anak sewaktu mereka masih kecil. Oleh kerana kanak-kanak yang
terlalu muda tidak begitu mengenali warna-warna, agak sukar bagi ibubapa
ataupun guru untuk mengesan sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai masalah
rabun warna. Kanak-kanak rabun warna juga biasanya mempamerkan tahap
penglihatan yang baik. Disebabkan itu, ibubapa tidak mengambil perhatian
sewajarnya memandangkan tiada masalah timbul di usia sedemikian ketika itu.
Adalah
penting untuk mengetahui sama ada anak anda mempunyai masalah rabun warna
ataupun tidak. Kanak-kanak yang mempunyai masalah rabun warna biasanya mempunyai
masalah pembelajaran di sekolah
terutamanya di awal persekolahan di mana banyak aktiviti menggunakan
warna seperti melukis dan mewarna dilakukan. Penggunaan komputer juga boleh
terjejas bagi pengguna yang rabun warna.
Warna
mula dikenali serta dilihat sejak dari bayi lagi. Pada mulanya warna sukar
untuk dibezakan oleh bayi, tetapi selepas berberapa bulan bayi mula tertarik
pada warna-warna terang seperti kuning dan merah. Bagi kanak-kanak berumur
kurang dari 4 tahun, mereka agak sukar membezakan tona warna yang sama seperti
hijau pucuk pisang dan hijau rumput. Kanak-kanak perlu mempelajari dan memahami
bukan hanya warna tetapi juga bentuk dan saiz objek. Mereka perlu diberitahu
bahawa banyak objek mempunyai warna yang sama. Kebanyakkan kanak-kanak selepas
berumur 5 tahun mula dapat mengecam dan
menamakan warna dengan betul.
Apa itu rabun warna?
Di belakang
mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina. Di lapisan
retina terdapat 2 jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini
mempunyai respon berbeza terhadap cahaya. Sel-sel rod sangat sensitif pada
cahaya dan sel-sel ini mampu respon pada cahaya walaupun keadaan berkabus
ataupun dalam cahaya malap. Walaubagaimanapun sel ini tidak dapat membezakan
warna. Oleh itu di malam hari kita masih dapat melihat cahaya malap tetapi dalam
bentuk bayangan hitam, kelabu dan putih. Sel-sel kon pula memberi respon pada
cahaya yang lebih terang dan yang berwarna. Terdapat 3 jenis sel kon iaitu satu
yang repond pada warna, merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan
mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon.
Fakta genetik mengenai rabun warna
Rabun
merah-hijau biasanya berpunca dari genetik ataupun keturunan. Ianya lebih kerap
terjadi pada lelaki berbanding perempuan. Ini diesebabkan oleh susunatur
kromosom. Gene yang menyebabkan rabun merah-hijau terdapat pada kromosom X
(Lelaki memiliki satu kromosom X manakala perempuan memiliki 2 kromosom X)
Sekiranya
ibu adalah pembawa gene rabun merah-hijau (Satu X normal dan satu X terubah) ,
anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak
lelaki akan mendapat rabun warna tersebut.
Anak
perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal
kecuali sekiranya ibunya adalah pembawa dan ayahnya pula adalah rabun warna
Hanya
5% populasi yang mempunyai defek rabun warna biru. Ratio antara perempuan dan
lelaki adalah sama kerana ianya terletak pada kromosom berlainan.
Masalah yang boleh timbul
Kebanyakkan
aktiviti seharian banyak bergantung pada penggunaan warna seperti pemilihan
pakaian yang sepadan atau penggunaan pen yang berlainan warna. Sekiranya mereka tidak dapat memilih warna tersebut dengan tepat, mereka
terpaksa bergantung pada perbezaan pada objek itu untuk menolong mereka memilih
seperti baju berkolar warna merah dan seluar berpoket warna hitam.
Kanak-kanak
dalam kelas tadika sering didedahkan dengan alat-alat pembelajaran seperti
kiub, pensil warna dan mainan. Adalah digalakkan barang-barang mainan ini perlu
dilabelkan dengan nama warna ataupun terdapat dalam saiz berlainan yang mana
kanak-kanak dapat mengamati perbezaannya dengan melihat pada saiz objek.
Pada
skrin komputer pula kebiasaannya perkataan atau simbol yang penting akan
dihitamkan atau warna lain digunakan. Kanak-kanak tidak akan menghadapi masalah
membezakan ayat sebab kecerahan komputer menolong membezakan warna mengikut
tonna gelap dan cerah.
Seseorang
yang rabun warna mungkin tidak mempunyai masalah mengamati lampu isyarat ini
adalah kerana susunan warna lampu isyarat adalah sama dimana-mana iaitu warna
merah berada di kedudukan atas sekali. Walaubagaimanapun ianya mungkin sukar
dilihat pada waktu malam atau sewaktu hujan lebat. Hal yang sama juga boleh terjadi
pada lampu brek kereta.
Walaubagaimanapun
ada sesetengah pekerjaan yang sememangnya tidak dapat dilakukan oleh mereka
yang mempunyai rabun warna seperti pendawaian, makmal kimia dan kerja-kerja
pengendalian kenderaan komersial dan tugas ketenteraan.
Apa yang dapat dilakukan
Semua
kanak-kanak lelaki patut menjalani ujian penglihatan warna terutamanya bagi
mereka yang mempunyai saudara atau keluarga yang di ketahui mempunyai masalah
rabun warna. Ujian ini boleh dilakukan pada umur 5 tahun dan ke atas
terutamanya jika kanak kanak sudah mula faham arahan yang diberi dan boleh mengenal nombor. Sekiranya
kedua-dua belah keluarga ayah dan ibu diketahui ada mempunyai masalah rabun
warna, maka kanak-kanak perempuan juga perlu melakukan ujian penglihatan.
Kebanyakkaan
ujian penglihatan yang dijalankan disekolah hanya tertumpu pada akuiti
penglihatan dan jarang disaring masalah rabun warna.
Ujian
Penglihatan Warna kebiasaanya dilakukan oleh Optometris dengan menggunakan
carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna (Ishihara colour plates) dan
juga alat-alatan lain seperti D-15 dan 100 Hue.
Apabila
rabun warna pada kanak-kanak di kesan, ujian selanjutnya dijalankan untuk
mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami.
Setelah diagnosis didapati, konsultansi berkenaan keadaan penglihatan warna
kanak-kanak tersebut akan diberi dan satu surat khas akan dikeluarkan untuk
menyatakan status penglihatan warna kanak-kanak tersebut.
Bagaimana kanak-kanak rabun warna dapat dibantu
Pengesanan
awal dapat membantu kanak-kanak ini menyedari kelemahannya membezakan warna dan
tidak melihatnya sebagai satu kecacatan. Kanak-kanak yang rabun warna dapat
melihat warna kecuali persepsi warna itu sendiri dilihat berlainan dari yang
normal seperti warna merah cerah dilihat sebagai merah gelap atau hitam
sementara warna hijau dilihat sebagai kuning coklat (bergantung pada keterukan
rabun warna).
Sekiranya
guru mengetahui bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah rabun warna, mereka dapat
membantu atau mengajar kanak-kanak ini
dengan cara berlainan dan lebih efektif.
Anda
boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensil warnanya supaya dia dapat memilih warna yang
sepatutnya apabila mewarna. Ini dapat mengelak dirinya dari diejek oleh
rakan-rakan.
Kanak-kanak
juga perlu dibantu untuk mengenal warna sebenar meskipun persepsi warna yang
dilihat adalah berlainan seperti contoh rumput bewarna hijau gelap dan bukannya
hijau muda.
Rabun
Warna tidak mempunyai sebarang rawatan khusus. Terdapat alat optikal seperti
kanta sentuh khas dan cernin mata warna khas yang dapat membantu kanak-kanak
untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal namun kejayaan alat-alat ini
amat bergantung pada individu itu sendiri.
Berapa jeniskah buah-buahan yang dapat anda lihat?
Kanak-kanak yang berpenglihatan normal (trikromat) akan dapat melihat 5 timbunan buah-buahan yang berlainan jenis. Dari belakang kelihatan timbunan buah-buahan berwarna merah, hijau, merah, kuning dan oren.
Kanak-kanak yang berpenglihatan normal (trikromat) akan dapat melihat 5 timbunan buah-buahan yang berlainan jenis. Dari belakang kelihatan timbunan buah-buahan berwarna merah, hijau, merah, kuning dan oren.
(Dipetik dari www.vischeck.com)
Orang yang mempunyai rabun warna merah-hijau sukar melihat semua
timbunan buah-buahan dengan jelas. Kemungkinan hanya tiga atau empat jenis
buah-buah yang kelihatan.
Alat yang digunakan
untuk mengesan rabun warna. Warna-warna perlu dipadankan mengikut susunan tona. Ujian Farnsworth-Munsell Dichotomous
D-15 .
Ujian Farnsworth-Munsell
dapat mengesan keterukan dan jenis rabun warna.
Kanak-kanak sedang menjalani
ujian Farnsworth-Munsell Dichotomous D-15
Rabun warna kongenital boleh dikesan melalui
Ujian Plat Ishihara.
ARTIKEL YANG DISIARKAN DI SINI ADALAH PETIKAN DARI SALAH
SATU TAJUK DARI BUKU SAYA: ”MASALAH PENGLIHATAN KANAK KANAK” YANG KINI SUDAH BERADA DI PASARAN KELUARAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA..
NANTIKAN TOPIK SETERUSNYA BERKENAAN RAWATAN ATAU TERAPI
PENGLIHATAN UNTUK RABUN WARNA...
Kanta lekap rabun warna iKEJORA juga boleh didapati di D'Optometrist Visioncare Centre, Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. TEL+60391744024.
Email : dstreamvision@gmail.com
Dan juga boleh didapati di premis optikal PERFECT VISION BRUNEI
Sila hubungi alamat L1/10 Ground Floor, Seri Q-Lap Mall, Kg Kiulap Commercial Area. BE 1518 Brunei Darussalam TEL +673-2342772
SALAM HORMAT
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia