KES: PEMBEDAHAN YANG TIDAK DIPERLUKAN
Saudara-saudari
Dalam kegusaran
kehidupan tatkala kita melewati kegawatan ekonomi yang semakin terasa, akan
wujud pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas satu musibah
yang sedang kita alami. Saya berhadapan dengan kes sebegini.
Pesakit ini hampir-hampir
melakukan pembedahan matanya gara-gara nasihat dari pusat pakar mata yang
pengendalinya bukan seorang pakar mata. Antara
alasan terhadap nasihat dan cadangan pembedahan adalah mahu membantu pesakit
membuat tuntutan insuran. Sekaligus kes ini mengingatkan kita supaya lebih
berhati-hati memilih tempat pemeriksaan terhadap mata kita.
Encik E merupakan salah seorang mangsa dari senario yang hampir
menyebabkan mata beliau dibedah tanpa ada keperluan yang sewajarnya.
Alkisah
Kes ini
bermula apabila beliau telah menghadirkan diri di satu pusat pakar mata untuk
mendapatkan konsultansi dan pemeriksaan tentang penglihatan beliau yang mulai
terasa tidak selesa dan ternampak dua imej.
Pemeriksaan
yang telah dilakukan oleh pakar mata tersebut telah mengenalpasti diagnosis
bahawa kononnya mata kanan beliau telah mengalami satu keadaan juling yang
dipanggil eksotropia (juling
keluar).
Meskipun kejadian mata
juling ini hanya dirasai 5-6 bulan yang lalu, pakar mata itu telah memberi
cadangan supaya mata beliau dibedah
segera untuk membetulkan kedudukan kedua-dua belah mata agar selari. Tiada
pilihan lain yang diberi. Encik E
tidak merasa selesa dengan cadangan yang diberi lalu beliau meminta diberikan
sedikit masa untuk berbincang dengan keluarganya dan sekaligus membuat
keputusan apatah lagi bila melibatkan kos pembiayaan yang tinggi.
Selang
beberapa hari, beliau telah dihubungi oleh seorang wakil insuran (beliau
merupakan pemegang insuran dari syarikat tersebut). Wakil insuran itu telah
dihubungi oleh pusat pakar mata tersebut dan telah mengesahkan bahawa Encik E perlu menjalani pembedahan
untuk membetulkan julingnya dengan kadar segera.
Beliau bertambah
terkejut apabila wakil insuran tersebut menyatakan bahawa pihak pusat pakar mata juga
telah mencadangkan satu lagi pembedahan mata untuk mengeluarkan katarak (selaput mata) dari mata Encik E dan ianya akan memerlukan
penggantian dengan kanta IOL palsu
yang mahal. Ini bermakna Encik E
bakal menjalani 2 pembedahan mata sekaligus yang mana pembedahan ini akan
dibiayai oleh syarikat insurannya. Beliau yang agak terkejut dengan penjelasan
dan tindakan pusat pakar mata dan wakil insurannya lantas segera mendapatkan
pandangan dari pakar Ortoptik dan
Optometris.
Setelah
pemeriksaan komprehensif dijalankan, pakar ortoptik dan optometris telah
bersependapat menyatakan bahawa keadaan juling yang dialami adalah jenis acquired exotropia. Juling yang dialami adalah bukan jenis
kongenital (dari lahir) tetapi telah berlaku secara tiba-tiba dan tanpa punca
yang jelas. Darjah kejulingan yang diukur adalah 18 prisma (jauh) dan 1o prisma
dekat. Pakar Ortoptik telah mencadangkan beberapa latihan mata sebagai terapi
untuk melatih mata agar selari dan akan berjumpa semula dengan Encik E dalam tempoh sebulan bagi melihat
kesesuaiannya untuk memakai Fresnel
Prism (prism berpelekat) untuk membantu matanya agar dapat terus
selari.
Beliau juga
telah didapati mempunyai akuiti penglihatan yang baik iaitu 6/6 bagi setiap
mata dan tiada pengesanan selaput/katarak pada kedua-dua mata beliau. Beliau
tidak perlu pada pembedahan mata yang kedua seperti yang disebutkan sebelum
ini.
Encik E rasa amat lega setelah mengetahui status sebenar matanya dan
paling penting beliau rasa 'terselamat'
dari perlu melakukan pembedahan yang tidak wajar. Meskipun telah diberitahu
oleh pakar ortoptik bahawa sekiranya kejulingan tersebut tidak pulih dan terus
stabil nilai prismanya, beliau mungkin terpaksa melakukan pembedahan pada otot
matanya, tetapi ini hanya akan berlaku setelah pemantauan dijalankan dalam
tempoh 3 bulan. Tindakan untuk melakukan pembedahan sesegera mungkin akan
membawa kepada risiko yang lebih besar.
Walaubagaimanapun
beliau bersyukur kerana masih sempat mendapatkan nasihat kali kedua. Namun sekiranya
beliau mengambil keputusan terburu-buru kerana panik dengan keadaan matanya,
beliau mungkin telah dibedah tanpa keperluan dan hilang pelindungan insuran
kemudian hari.
Moralnya
Kisah ini adalah untuk
kita mengambil iktibar agar kita tidak panik dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan
dan pilihan. Bak kata pepatah, mengatasi
ilmu itu adalah akalnya sendiri.
Rentetannya
Lakukanlah
pemeriksaan mata dan dapatkan pandangan jujur dari pakar dan ahli Optometris di
D'Optometrist di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Salam Hormat dari saya;
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment