Serupa dengan mata sebenar
DENGAN penuh teliti, helaian benang halus berwarna merah dilekatkan di kedua-dua belah sisi bahagian putih yang kosong. Jari-jemari seorang wanita yang memegang sebatang berus kemudian mengolesnya dengan lembut dan berhati-hati.
Tujuannya untuk memastikan urat-urat benang itu melekat sempurna di atas sebiji mata palsu yang telah disiapkan. Hasilnya, sebiji mata palsu yang kelihatan asli berjaya disiapkan.
Ia lengkap dengan kornea, anak mata, iris, sklera hingga urat-urat darah halus seperti yang terdapat dalam mata sebenar manusia.
Usai melakukan proses tersebut, wanita itu meletakkan mata palsu hasil kerja tangannya di atas sebuah meja. Di sana sudah tersedia beberapa biji lagi mata palsu yang telah disiapkan oleh beberapa peserta lain.
Kemudian, seorang lelaki berjambang tebal dan berkopiah putih membelek dan melihat himpunan mata palsu yang ada di atas meja tersebut. Adakalanya dia tersenyum sambil menggelengkan kepala.
Tetapi, apabila melihat sebiji mata palsu yang lain dia mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dan berpuas hati dengan hasil kerja peserta yang mengikuti bengkel membuat mata palsu tersebut.
"Mata palsu sintetik buatan tangan ini lebih baik berbanding mata palsu stok yang dihasilkan oleh sektor perkilangan pada skala besar.
"Hasilnya juga amat berbeza kerana mata palsu sintetik lebih berat dan tidak berlubang di bahagian belakangnya. Berbeza dengan mata palsu stok yang lompong di tengah sekali gus menyebabkan pesakit tidak selesa ketika memakainya," ujar okularis bertauliah dari Afrika Selatan, Nazeem Aghmed Desai yang mengendalikan bengkel mata palsu anjuran Jabatan Optometri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Nazeem, mata palsu atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai prosthetic ocular adalah alternatif untuk pesakit yang kehilangan mata disebabkan kemalangan atau dia dilahirkan tanpa bebola mata.
"Walaupun pesakit yang memakai mata palsu tidak boleh melihat menggunakan mata tersebut, tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh kelihatan normal seperti manusia lain," luah Nazeem yang mula berkhidmat di UKM sebagai pakar okularis sejak enam bulan lalu.
Industri mata palsu
Kehadiran Nazeem ke Malaysia merupakan atas jemputan pihak UKM yang berminat untuk mendalami teknologi pembuatan mata palsu yang kurang dipraktikkan di Malaysia.
Kebanyakan pembuat mata palsu di Malaysia hanya mendapat pendidikan secara informal. Ramai dii kalangan mereka adalah juruteknik prostetik atau pergigian.
"Mereka kemudian telah dilatih untuk membuat mata palsu. Jadi setakat ini Malaysia masih belum ada okularis bertauliah. Sebab itulah UKM telah mempelawa Nazeem untuk berkongsi ilmu dalam memindahkan teknologi pembuatan mata palsu ini," jelas Ketua Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), UKM, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, industri pembuatan mata palsu memang telah lama wujud di negara ini, namun pembuatannya agak terhad kepada mata palsu yang diimport dari India dan kemudiannya diubah suai mengikut saiz mata pesakit.
"Bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat perkembangan baru. Mata palsu telah dibuat atau dihasilkan secara tempahan mengikut ukuran soket mata pesakit sendiri.
"Secara tidak langsung, teknik ini kelihatan lebih normal dan paling penting memberi keselesaan kepada pesakit," terang Haliza.
Dalam pada itu, Haliza menambah tidak ramai pesakit yang datang untuk membuat mata palsu kerana merasakan sudah selesa dengan keadaan mereka sedangkan hakikatnya ia boleh diperbetulkan.
Mewarna iris
Sementara itu, Pegawai Optometri, Jabatan Optometri UKM, Mohd. Norhafizun Mohd. Saman berkata, secara umum terdapat beberapa proses tertentu dilakukan dalam menghasilkan mata palsu sintetik.
Biasanya proses yang dilakukan dibuat di dalam makmal khas yang dilengkapi peralatan yang diperlukan okularis bagi tujuan tersebut.
"Antara langkahnya ialah memasukkan impression material iaitu sejenis cecair ke dalam soket mata pesakit. Ia akan mengeras dan mengikut bentuk dalaman soket mata. Dari situ, bentuk acuan akan diambil.
"Ini diikuti dengan pembentukan clear model (model sebenar) daripada impression yang diperoleh dan kemudian mewarnakan iris pada butang iris, mewarnakan sklera (mata putih) dan salur darah serta akhir sekali mencantumkan bahagian iris dan sklera," jelas Norhafizun sambil menunjukkan beberapa proses pembuatan mata palsu di makmal berkenaan.
Apakah proses yang paling mencabar dalam penghasilan mata palsu? Pegawai optometri berusia 27 tahun itu mengakui proses mewarnakan iris agak merumitkan berbanding yang lain.
Okularis perlu menghasilkan warna mata yang serupa dengan mata asal seseorang pesakit supaya ia tidak kelihatan berbeza di antara mata asli dan mata palsu.
"Di dalam bengkel ini juga, kebanyakan peserta memberitahu bahawa langkah untuk mewarnakan iris agak sukar. Kalau mata putih memang tiada masalah, tetapi apabila melibatkan bahagian iris semuanya begitu berhati-hati," kata Norhafizun yang telah dilatih UKM untuk menerajui makmal pembuatan mata palsu menggunakan teknik khas bermula sejak awal tahun lalu.
Apa yang pasti, pemakaian mata palsu tidak renyah sekiranya pembuatan mata palsu tersebut berkualiti tinggi dan pemakai menjaganya dengan baik.
Tidak timbul masalah infeksi ataupun discaj dan mata juga akan berasa lebih selesa. Kebiasaannya, pesakit yang tidak mempunyai masalah tidak perlu mengulangi rawatan.
Namun, jika seseorang pesakit rasa tidak selesa, besar kemungkinan terdapat bahagian mata palsu yang tidak rata atau sedikit tajam. Justeru, pesakit perlu datang kembali untuk digilap semula mata palsu tersebut agar permukaan menjadi licin dan selesa.
Bagi mereka yang kehilangan bebola mata sama ada sejak lahir mahupun disebabkan kemalangan, Klinik Optometri UKM mengalu-alukan pesakit yang ingin mencuba mata palsu buatan pakar mereka.
Sebarang temujanji boleh dibuat melalui talian 03-9929 7499.
Hakcipta terpelihara
https://www.youtube.com/watch?v=q4vzEABlHMo
ReplyDeleteTerima Kasih. Semoga dapat dimanafaatkan oleh semua.
ReplyDeletenak tahu alamt kt mna yer.bole bagi penuh ?
ReplyDeleteKlinik Optometri
DeleteFakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 KL
Tel: 03-92897499