TINGKAT KESEDARAN PENJAGAAN MATA
SAUDARA
YANG DIKASIHI,
Sesungguhnya segala bentuk kesenangan atau nikmat
hidup di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja. Sama ada nikmat itu berupa kekayaan
harta-benda, kebijaksanaan, kesihatan tubuh badan, keluarga bahagia dan
lain-lain lagi, semuanya akan hilang dari sisi kita apabila Allah
menghendakinya. Yang kekal bersama kita hanyalah pahala amal-amal soleh yang
dikerjakan dengan penuh keimanan dan keihkhlasan mengharapkan reda Allah
semata-mata. Inilah inti pati
daripada perigatan Allah SWT menerusi
firman-Nya:-
Yang bermaksud: “Oleh
itu, apa jua yang diberikan kepada kamu maka ia hanyalah nikmat kesenangan
hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari
pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang yang beriman
dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.” (S. As-Syuraa: 36).
Sehubungan dengan pengertian firman Allah tersebut,
marilah kita sama-sama hargai dan syukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah
kepada kita dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya, mudah-mudahan kita akan terus beroleh keberkatan, rahmat, taufiq
serta maghfirah dari Allah SWT sekali gus berhasil mencapai darjat takwa.
Sesungguhnya kenikmatan hidup di akhirat kelak adalah lebih kekal dan bermakna
khusus bagi hamba Allah yang beriman, beramal soleh dan bertakwa.
SAUDARA,
Antara sekian banyak nikmat yang sangat berharga
dikurniakan Allah kepada manusia ialah mata. Mata merupakan salah satu organ
manusia yang membolehkan kita melihat. Ini bererti mata memainkan peranan
penting dalam kehidupan manusia. Jika organ ini terjejas, maka pelbagai jenis
urusan atau pekerjaan turut terjejas hatta keindahan dunia pun tidak akan dapat
dinikmati sepenuhnya.
Berdasarkan kepada fakta dan kenyataan tersebut,
mata hendaklah dijaga dengan baik setiap masa kerana kornea mata amat sensitif
sifatnya. Tambahan pula sistem penglihatan yang sempurna akan berkurang sedikit
demi sedikit apabila meningkatnya usia.
Dan, masih ramai di kalangan masyarakat hari ini yang kurang prihatin
terhadap fenomena ini, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
Menyedari akan keprihatinan masyarakat yang masih
rendah terhadap kepentingan mata dan gejala gangguan penglihatan, maka hari
KHAMIS kedua bulan Oktober setiap tahun diisytiharkan sebagai tarikh sambutan
Hari Penglihatan Sedunia.
Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman
dan perhatian kepada isu sejagat berkaitan masalah penglihatan dan kebutaan
yang boleh dielakkan. Sambutan Hari Penglihatan Sedunia ini juga secara
langsung membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan
penjagaan mata.
DAN LAGI…
Kita semua perlu menitikberatkan soal penjagaan
mata bagi mempastikan keselesaan hidup untuk melihat keadaan sekeliling,
membaca, menonton, bergerak dan
sebagainya tidak terjejas. Ibu, bapa
mahupun penjaga kepada anak-anak harus memahami keperluan menjaga organ itu dengan
memberi tumpuan khusus kepada penjagaan mata kanak-kanak sejak awal. Ini berikutan dengan kebanyakan kanak-kanak
kini terdedah kepada permainan komputer dan alat elektronik yang memberi kesan
kurang baik kepada penglihatan mereka.
Justeru, apabila mereka mengadu penglihatan kabur,
bawalah mereka untuk pemeriksaan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih
serius. Ini kerana jumlah kanak-kanak
yang mengalami kekurangan penglihatan seawal tahun pertama persekolahan
dikatakan semakin meningkat. Di sinilah pentingnya ibu, bapa, penjaga dan masyarakat
seluruhnya mempelajari teknik penjagaan kesihatan mata dengan mendapatkan
tunjuk ajar serta maklumat daripada pegawai-pegawai perubatan di klinik-klinik
kesihatan serta hospital yang terdekat.
SEBAGAI
MAKLUMAN kita bersama, katarak,
glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik
adalah antara masalah mata yang paling banyak dikesan dan biasa berlaku kini.
Ada yang boleh dipulihkan semula walaupun selepas mencapai tahap hilang
penglihatan sepenuhnya. Bagaimanapun, banyak juga yang tidak dapat dipulihkan
lagi jika sudah menjadi buta. Keadaan ini memberi isyarat yang jelas bahawa
betapa pentingnya langkah pencegahan dan pengesanan awal dilakukan.
Menurut pakar mata, faktor genetik dan faktor alam
sekitar di samping tabiat pemakanan mempengaruhi kesihatan mata seseorang.
Faktor genetik misalnya menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun,
katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain. Manakala tabiat mengambil kadar gula yang
tinggi boleh menyebabkan kencing manis sekali gus mempengaruhi kesihatan mata.
Oleh hal yang demikian, selain melakukan
pemeriksaan mata secara berkala dengan pakar mata di klinik dan hospital, kita
juga hendaklah menjaga makan minum. Kurangkan gula dalam makanan dan minuman,
tetapi banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan di samping
menjauhi rokok sejak usia muda.
Golongan yang sihat tubuh badan dan berumur kurang
daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun,
manakala orang yang berumur 40 tahun ke
atas, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun. Manakala mereka yang mengidap
kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun
walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.
Ini kerana apabila
berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat.
Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma,
degenerasi makula dan katarak. Penyakit-penyakit ini tidak mempunyai gejala
pada peringkat awal. Ia hanya dapat
dikesan oleh pakar mata.
SAUDARA,
Dari sudut pandangan Islam, penjagaan mata bukan
sekadar melakukan pemeriksaan dan mencegah kehilangan deria penglihatan
semata-mata. Islam menyaran umatnya
supaya menjaga mata daripada melihat benda yang haram dilihat seperti aurat
lelaki atau wanita yang wajib ditutup. Kita juga dilarang membaca bahan yang
lucah dan merosakkan di samping larangan menonton video atau filem yang boleh
merosakkan minda, akhlak, akidah dan sebagainya.
Dalam erti kata yang lain, penjagaan mata dari
perspektif Islam turut membawa maksud memanfaatkan deria penglihatan yang
dikurniakan Allah pada perkara atau tempat yang wajar dan diredai Allah. Ini
termasuklah membaca al-Quran, hadis, kitab-kitab ilmu di samping melihat serta menghayati tanda-tanda
kebesaran dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.
Marilah kita sedari dan insafi bersama bahawa
kegagalan memanfaatkan mata pada fungsinya yang sepatutnya boleh menjerumuskan
seseorang itu ke dalam neraka Jahanam. Peringatan
serta balasan yang maha dasyat ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-
Yang bermaksud: “Dan
sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin
dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami
(ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya
untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga
(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu
sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang
yang lalai.” (S. Al-A’raaf: 179).
Sehubungan
dengan peringatan serta ancaman Allah tersebut, hargai dan syukurilah nikmat
mata dengan cara memeliharanya dari aspek kesihatan dan pandangan. Lakukan pemeriksaan mata secara berkala demi
mengelak berlakunya sebarang masalah penglihatan. Manakala dari segi memelihara pandangan mata,
jangan melihat sesuatu yang diharamkan oleh syarak.
Pada
masa sama, jangan sekali-kali alpa dan lalai daripada memanfaatkan mata untuk
melihat dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada alam ciptaan Allah
ini. Segala jenis makhluk sama ada di
bumi mahupun di langit mengandung hikmah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah
yang seharusnya menyedarkan kita terhadap kekerdilan diri kita berbanding Allah
yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini.
Kesedaran serta keinsafan yang lahir daripada penghayatan terhadap
kebesaran dan kekuasaan Allah SWT itu pula diharap dapat mentarbiah kita
menjadi insan Muslim yang beriman dan beramal soleh ke arah memperolehi balasan
syurga yang telah dijanjikan, sebagaimana firman Allah:-
Yang
bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh
dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk
syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurang balasannya) sedikitpun.”
(S. An-Nisaa’: 124).
MUDAH-MUDAHAN AKAN MEMBERIKAN PERTUNJUK DAN HIDAYAH BUAT ANDA SEMUA DI LUAR SANA. BERSAMALAH KITA SAMPAI DAN MENYAMPAIKAN SESAMA KITA. SEDIKIT DARI KITA BARANGKALI AKAN DAPAT MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN.
KURANGKAN GULA DALAM MAKANAN
LEBIHKAN MANIS DALAM SENYUMAN
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment