Pages

Tuesday, January 28, 2014


CERMIN MATA GELAP SESUAI UNTUK KANAK-KANAK?
Suatu masa dahulu, cermin mata gelap ataupun sunglasses dipakai sebagai satu asessori penggayaan fesyen. Ramai ketika itu memakai hanya untuk kelihatan lebih bergaya seperti mana yang selalu dipraktikkan oleh artis-artis dipentas untuk tujuan bersantai. 

Mungkin ramai yang tak mengetahui cermin mata gelap sebenarnya satu alat pelindung dari cahaya UVA dan UVB yang boleh memudaratkan lapisan retina mata sekiranya belaku pendedahan yang melampau. Pendedahan kepada pancaran suria secara tidak langsung bukan hanya berlaku pada golongan dewasa sahaja malah kanak-kanak juga terdedah ketika bermain di luar rumah.

Radiasi ultraviolet atau UV dari sinaran matahari boleh dikaitkan dengan banyak masalah mata seperti katarak (selaput mata), pterigium (selapisan tisu yang memasuki mata hitam) dan juga degenerasi makula. Kebanyakkan penyakit ini berlaku ketika usia mulai lanjut kerana ini disebabkan pendedahan berterusan bagi tempoh yang lama. Ini boleh direncat sekiranya perlindungan mata mula dipraktis ketika masih kanak-kanak lagi.
 
Satu kajian ada menyebut jumlah pendedahan sepanjang hayat pada radiasi UV boleh mencapai jumlah 25 peratus ketika berumur 18 tahun. Ini bermakna sekirannya langkah-langkah pencegahan dilakukan sejak dari usia 5 tahun kadar peratusan ini boleh dikurangkan secara signifikan. Seperti contoh sekiranya seorang itu pada umumnya akan mendapat penyakit katarak pada umur 55 tahun, ianya dapat dihindari sehinggalah usia mencapai 70 tahun. 

Kanak-kanak aktif akan meluangkan banyak masa melakukan aktiviti di luar rumah dan sekiranya persekitaran mereka adalah ditepi laut atau di tanah tinggi, pendedahan pada UV adalah lebih ketara. Tambahan pula kanta kristalin kanak kanak adalah lebih jernih dan tidak mampu menapis radiasi uv dari terus memasuki bahagian dalam mata. Anak mata kanak-kanak pula sangat aktif melakukan pergerakkan konstriksi dan dilatasi yang mana mampu membuka ruang lebih besar untuk membenarkan sinaran matahari termasuk radiasi UV memasuki mata. Adalah penting mata kanak-kanak dan juga bayi diberi alat pelindung dari matahari seperti pemakaian cermin mata gelap bila berada di luar rumah . Radiasi UV adalah paling kuat antara jam 10 pagi dan 2 petang.
Dua organ badan yang sensitif pada radiasi UV adalah mata dan kulit, Radiasi UVA boleh menyerap dalam kulit dan menyebabkan ianya berubah warna. Kedutan dan kesan kesan penuaan. Radiasi UVA juga yang bertanggungjawab menyebabkan katarak dan degenerasi makula.
UVB pula adalah radiasi UV yang bertenaga tinggi yang boleh menyebabkan kulit terbakar. Kornea boleh menghalang UVB dari memasuki terus kedalam mata tetapi dengan pendedahan yang melampau ianya boleh menyebabkan lapisan kornea terbakar. Ini dinamakan fotokeratitis dan keadaan ini sangat sakit dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan untuk sementara waktu. Kadang kala ianya juga dikenali sebagai “snow blindness”.
Radiasi UVA dan UVB juga telah didapati boleh menyebabkan pingeculae dan pterigium (lihat gambar).
                                Pterigium                   Pingeculae

Jangan berikan anak anda cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah di pasar malam.
Cermin mata gelap yang dilapisi dengan bahan pelindung UV kebiasaanya dijual dikedai optik. Anda perlu bertanyakan pada penjual untuk tahu sekiranya kanta tersebut ada mengandungi lapisan pelindung UV ataupun tidak. Sesetengah bahan yang digunakan dalam pembikinan cermin seperti polikarbonat juga mampu menahan 100 peratus radiasi UV. Bahan sebegini bagus untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana mampu memberi perlindungan yang sempurna pada kanak-kanak.
Walaubagaimanapun perlu awas dengan cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah kerana kebiasaannya ianya tidak mempunyai pelindung UV dan tidak diperbuat dari bahan berkualiti. Adakalanya bingkai cermin mata yang tidak berkualiti boleh membawa kecederaan pada bahagian muka dan buatannya pula tidak tahan lama. Anak mata disebalik cermin gelap akan membuka lebih dari 6mm diameter, sekiranya cermin tidak memiliki lapisan pelindung UV, radiasi UV akan terus memasuki mata dan sampai ke retina melalui anak mata yang membesar. Ini akan menambahkan kemudaratan pada mata dengan serius. Oleh itu jangan benarkan anak-anak bermain main dengan cermin mata gelap mainan di bawah terik matahari.
Untuk keselamatan anak-anak, pilihlah cermin mata gelap yang berkualiti dan yang mempunyai lapisan UV yang sempurna dan sekaligus boleh mendapatkan pemeriksaan penglihatan dari Optometris anda. Penting untuk memastikan pembelian anda adalah asli dan tidak memudaratkan mata anak anda.
Adalah bernas untuk ibubapa mencarumkan sejumlah wang bagi mendapatkan cermin mata gelap yang berkualiti bagi bayi dan kanak kanak bagi memastikan mereka masih dapat beraktiviti di luar rumah dengan ceria disamping merendahkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit mata akibat dedahan radiasi UV di usia lanjut nanti. Pencegahan awal ini membantu anak anda menikmati penglihatan yang baik dan juga mata yang sihat terus menerus sehinggalah mereka mencecah usia emas nanti.
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 9, 2014

Salam bahagia,
Selamat bertemu kembali dalam ruangan saya dan anda. Sudah agak lama saya tidak menulis. Maafkan saya. namun saya punya alasan untuk berhenti seketika disebabkan tugas dan tanggung jawab harian yang semakin mencabar. Namun itu semua bukanlah penyebab untuk saya berhenti terus dari bertemu anda.

Dalam ruangan kali ini saya akan memperkatakan tentang sesuatu yang jarang berlaku di kalangan dewasa dan kanak-kanak tetapi mudah dapat dikesan sekiranya anda mengambil masa untuk memerhatikan pupil atau anak mata anda ataupun anak anak dengan menggunakan lampu suluh. Anak-anak mungkin tidak merungut tentang kerabunan yang dialami tetapi akan mula mengecilkan mata ataupun menggosok mata ketika menonton TV atau di bawah cahaya matahari yang menyilau atau menusuk mata. Ini merupakan tanda utama kerabunan mata yang perlu dirawat segera dan diambil perhatian serius oleh ibubapa. Masalah ini mungkin berpunca dari bentuk anak mata yang tidak sempurna dan ada kalanya ianya sukar dipastikan kerana ramai antara masyarakat kita punyai iris berwarna gelap. Gambar di bawah menunjukkan anak mata yang kelihatan seperti "lubang kunci". Cahaya yang memasuki anak mata akan menjadi tidak tertumpu dengan baik dan penglihatan menjadi kabur secara tidak langsung. Kerabunan tidak disebabkan kelonjongan paksi aksial (garis penglihatan) mata seperti lumrahnya tetapi berpunca dari anak mata yang tidak sempurna.

KOLOBOMA IRIS
Kolobama Iris berlaku secara congenital di mana terdapat defek pada bahagian iris mata. Pupil atau anak mata yang kebiasaannya berupa bulat dan sama saiz boleh terjadi dalam pelbagai bentuk yang tak sempurna.

Awas! RABUN pada kanak-kanak tidak semestinya dirawat dengan memakai cermin mata. RABUN juga bukan kerana terdapat ralat refraksi pada kanak-kanak. Adakalanya rabun tidak dapat dibaiki dengan sempurnanya hanya dengan bercermin mata. Ini adalah kerana terdapat gangguan pada salah satu media antara bahagian hadapan kornea hingga ke bahagian belakang mata iaitu di retina. Antara gangguan yang boleh berlaku adalah pembentukkan iris yang tidak sempurna ketika lahir. Keadaan ini dikenali sebagai Koloboma Iris.

Koloboma iris akan mendatangkan ketidakselesaan pada penglihatan kanak-kanak. Sejak dari bayi lagi pesakit akan mengalami silau yang teruk dan akan cuba menutup mata dengan selimut atau bantalnya ataupun membenamkan muka dalam dakapan ibunya kerana enggan melihat dalam cahaya terang. Pesakit juga akan mengecilkan mata hingga hampir tertutup untuk menetapkan fokus pada satu objek. Sekiranya masalah ini dibiarkan berlanjutan, kejulingan akan berlaku setelah mata mengalami ambliopia teruk (mata malas) yang tidak dibaiki untuk tempoh yang lama.

Koloboma Iris Kongenital adalah defek semasa tumbesaran di tahap embrionik. Iris sepatutnya membentuk pupil yang bulat dan boleh dikembangkan dan dikuncupkan saiznya. Sekiranya perkembangan iris menjadi kurang sempurna, pupil boleh terbentuk seperti lubang kunci, lonjong  ataupun tiada iris sama sekali. Ianya boleh berlaku pada satu atau kedua dua belah mata selepas bayi dilahirkan.

Kesannya terhadap penglihatan adalah bergantung pada darjah keterukkan koloboma atau saiz defek pada iris. Ianya boleh menjadi penyebab bagi penglihatan terhad dan kebutaan.

Koloboma  secara amnya merupakan penyebab kepada kebutaan dan dianggarkan dalam 3-11%  kanak-kanak di seluruh dunia. Insidennya adalah 1 kepada 10,000 kelahiran.

Kejadian koloboma mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan/atau faktor persekitaran. Selalunya ianya berpunca dari mutasi gen yang terlibat dalam pembentukkan koloboma, mikroftalmia dan juga anophthalmia.

Penyebab dari faktor persekitaran adalah termasuk ketagihan alkohol teruk sewaktu mengandung, kekurangan Vitamin A, berlaku infeksi taxoplasmosis dan penyalahgunaan dadah teratogenik.

Prognosis penglihatan bergantung pada tahap keterukkan koloboma dan kesan langsungnya pada bahagian lain mata yang penting seperti saraf optik , makula dan retina. Adakalanya  tahap penglihatan adalah dari ambliopia ringan hinggalah hanya ke tahap melihat persepi cahaya.

Cara rawatan adalah unik dan tidak begitu kompleks. Pesakit yang mempunyai masalah ini boleh cuba menggunakan kanta sentuh prostetik iris yang mana ianya akan membetulkan bahagian iris yang tidak sempurna dan membentuk satu bukaan pupil yang baru. Kanta sentuh ini boleh di dapati dengan kuasa refraktif  ataupun tiada kuasa. Warna iris juga boleh dipadankan agar ianya seiras dengan warna asal iris. Bukaan bahagian tengah pupil pada kanta sentuh juga boleh di tetapkan diameter pada saiz 3-8mm.

Pemakaian kanta sentuh prostetik iris ini akan membantu melenyapkan hampir keseluruhan silau teruk yang dialami oleh pesakit. Besar kemungkinan kuasa refraksi sebelum pemakaian kanta sentuh dan selepas pemakaian kanta adalah jauh lebih rendah. Akuiti penglihatan juga bertambah baik secara signifikan. Akan menjadi satu keperluan pesakit sebegini untuk terus memakai kanta sentuh prostetik iris hingga ke hari tuanya. Oleh itu pegawai optometris perlu berhati hati semasa pemasangan dan juga selalu memberi peringatan pada pesakit atau ibubapanya agar mengikut panduan pemakaian yang betul supaya tidak berlaku komplikasi okular akibat pemakaian kanta sentuh.. Pemakaian kanta sentuh khas ini juga boleh membantu melindungi kanta kristalin dan bahagian retina yang terdedah dari pancaran uv yang tidak terkawal oleh saiz pupil yang tidak sempurna.

Pesakit koloboma iris akan mengalami ambliopia teruk sekiranya masalah ini tidak dapat dikesan dari awal. Ralat refraksi dari silau yang melampau akan menurunkan akuiti penglihatan dan seterusnya menjejaskan penglihatan pesakit. Sekiranya rawatan ini diberi ketika pesakit sudah mencecah usia lebih 9 tahun kemungkinan besar ambliopia yang dihadapi sukar dirawat.

Rawatan dengan menggunakan cermin mata bertinta warna untuk meredupkan silau tidak akan berfungsi sebaik kanta sentuh prostetik iris. Walaubagaimanapun, keadaan pupil dan koloboma yang dialami harus diperiksa terlebih dahulu sebelum rawatan yang sesuai boleh dicadangkan.

Sekiranya pesakit didapati mempunyai ambliopia selepas rawatan kanta sentuh khas dan masih berumur dibawah 12 tahun, terapi ambliopia boleh dicadangkan dan diperkenalkan. Dengan latihan ambliopia, akuiti penglihatan boleh dipertingkatkan.

Ayuh..segeralah periksa mata anak anda. Gunakan lampu kecil dan halakan pada bahagian kornea mata. Cuba lihat iris sama ada ianya memberikan pupil yang bulat dan sempurna ataupun iris itu ada mengalami koloboma. Bertindak segera sekiranya anak mata atau pupil anak anda kelihatan tidak sempurna, Dia mungkin mengalami koloboma iris dan amat memerlukan rawatan efektif dengan segera.
Pelbagai jenis; Kanta Sentuh Prostetik Iris

Salam hormat dari saya

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia