CERMIN
MATA GELAP SESUAI UNTUK KANAK-KANAK?
Suatu masa dahulu, cermin
mata gelap ataupun sunglasses dipakai sebagai satu asessori penggayaan fesyen.
Ramai ketika itu memakai hanya untuk kelihatan lebih bergaya seperti mana yang selalu
dipraktikkan oleh artis-artis dipentas untuk tujuan bersantai.
Mungkin ramai yang tak
mengetahui cermin mata gelap sebenarnya satu alat pelindung dari cahaya UVA dan
UVB yang boleh memudaratkan lapisan retina mata sekiranya belaku pendedahan
yang melampau. Pendedahan kepada pancaran suria secara tidak langsung bukan
hanya berlaku pada golongan dewasa sahaja malah kanak-kanak juga terdedah
ketika bermain di luar rumah.
Radiasi ultraviolet atau UV
dari sinaran matahari boleh dikaitkan dengan banyak masalah mata seperti katarak
(selaput mata), pterigium (selapisan tisu yang memasuki mata hitam) dan juga
degenerasi makula. Kebanyakkan penyakit ini berlaku ketika usia mulai lanjut
kerana ini disebabkan pendedahan berterusan bagi tempoh yang lama. Ini boleh
direncat sekiranya perlindungan mata mula dipraktis ketika masih kanak-kanak
lagi.
Satu kajian ada menyebut
jumlah pendedahan sepanjang hayat pada radiasi UV boleh mencapai jumlah 25
peratus ketika berumur 18 tahun. Ini bermakna sekirannya langkah-langkah
pencegahan dilakukan sejak dari usia 5 tahun kadar peratusan ini boleh
dikurangkan secara signifikan. Seperti contoh sekiranya seorang itu pada
umumnya akan mendapat penyakit katarak pada umur 55 tahun, ianya dapat
dihindari sehinggalah usia mencapai 70 tahun.
Kanak-kanak aktif akan meluangkan banyak masa
melakukan aktiviti di luar rumah dan sekiranya persekitaran mereka adalah
ditepi laut atau di tanah tinggi, pendedahan pada UV adalah lebih ketara.
Tambahan pula kanta kristalin kanak kanak adalah lebih jernih dan tidak mampu
menapis radiasi uv dari terus memasuki bahagian dalam mata. Anak mata kanak-kanak
pula sangat aktif melakukan pergerakkan konstriksi dan dilatasi yang mana mampu
membuka ruang lebih besar untuk membenarkan sinaran matahari termasuk radiasi UV
memasuki mata. Adalah penting mata kanak-kanak dan juga bayi diberi alat
pelindung dari matahari seperti pemakaian cermin mata gelap bila berada di luar
rumah . Radiasi UV adalah paling kuat antara jam 10 pagi dan 2 petang.
Dua organ badan yang sensitif pada radiasi UV adalah
mata dan kulit, Radiasi UVA boleh menyerap dalam kulit dan menyebabkan ianya
berubah warna. Kedutan dan kesan kesan penuaan. Radiasi UVA juga yang
bertanggungjawab menyebabkan katarak dan degenerasi makula.
UVB pula adalah radiasi UV yang
bertenaga tinggi yang boleh menyebabkan kulit terbakar. Kornea boleh menghalang
UVB dari memasuki terus kedalam mata tetapi dengan pendedahan yang melampau
ianya boleh menyebabkan lapisan kornea terbakar. Ini dinamakan fotokeratitis
dan keadaan ini sangat sakit dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan
untuk sementara waktu. Kadang kala ianya juga dikenali sebagai “snow
blindness”.
Radiasi UVA dan UVB juga
telah didapati boleh menyebabkan pingeculae dan pterigium (lihat gambar).
Pterigium Pingeculae
Jangan berikan anak anda cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah
di pasar malam.
Cermin mata gelap yang dilapisi dengan bahan
pelindung UV kebiasaanya dijual dikedai optik. Anda perlu bertanyakan pada
penjual untuk tahu sekiranya kanta tersebut ada mengandungi lapisan pelindung UV
ataupun tidak. Sesetengah bahan yang digunakan dalam pembikinan cermin seperti
polikarbonat juga mampu menahan 100 peratus radiasi UV. Bahan sebegini bagus
untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana mampu memberi perlindungan yang
sempurna pada kanak-kanak.
Walaubagaimanapun perlu awas dengan cermin mata
gelap mainan atau yang dijual murah kerana kebiasaannya ianya tidak mempunyai
pelindung UV dan tidak diperbuat dari bahan berkualiti. Adakalanya bingkai cermin
mata yang tidak berkualiti boleh membawa kecederaan pada bahagian muka dan
buatannya pula tidak tahan lama. Anak mata disebalik cermin gelap akan membuka
lebih dari 6mm diameter, sekiranya cermin tidak memiliki lapisan pelindung UV,
radiasi UV akan terus memasuki mata dan sampai ke retina melalui anak mata yang
membesar. Ini akan menambahkan kemudaratan pada mata dengan serius. Oleh itu
jangan benarkan anak-anak bermain main dengan cermin mata gelap mainan di bawah
terik matahari.
Untuk keselamatan anak-anak, pilihlah cermin mata
gelap yang berkualiti dan yang mempunyai lapisan UV yang sempurna dan sekaligus
boleh mendapatkan pemeriksaan penglihatan dari Optometris anda. Penting untuk
memastikan pembelian anda adalah asli dan tidak memudaratkan mata anak anda.
Adalah bernas untuk ibubapa mencarumkan sejumlah
wang bagi mendapatkan cermin mata gelap yang berkualiti bagi bayi dan kanak
kanak bagi memastikan mereka masih dapat beraktiviti di luar rumah dengan ceria
disamping merendahkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit mata akibat
dedahan radiasi UV di usia lanjut nanti. Pencegahan awal ini membantu anak anda
menikmati penglihatan yang baik dan juga mata yang sihat terus menerus
sehinggalah mereka mencecah usia emas nanti.
Prof
Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar
Optometris
Program
Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti
Sains Kesihatan
Universiti
Kebangsaan Malaysia
Assalamualaikum.. doktor anak saya ada masalah rabun silau mata kanan 150, mata kiri 175, sana rabun sebelah kanan 200, kiri 300 sebelum ini anak saya telah menjalani rawatan dengan pakar di k.kinabalu rawatan patching 2jam sehari selama 3-4 bulan tetapi apabila kami telah ditukarkan dia kedah dan membuat rawatan susulan di hospt kerajaan doktor beritahu tidak perlu buat apa - apa dlm masa 2 bln lg sehigga rawatan seterusnya 5.5.14 ,apa pendapat dan pandangan doktor....
ReplyDeleteSALAMULLAH
ReplyDeletePerlu tahu umur anak. Kiranya berumur kurang 12 tahun dan ada masalah mata malas perlu terapi pengatupan seperti yang puan lakukan sehinggalah VA atau tahap akuiti mencapai 6/6. Sekiranya telah mencapai tahap tersebut patching boleh dihentikan. Sekiranya tidak pasti boleh teruskan hingga tarikh rawatan lanjut.
Assalamualaikum Dr Haliza
ReplyDeleteMemandangkan dr menekankan penggunaan cermin mata gelap untuk kanak-kanak, saya ingin tahu jika @Transitions Photochromic lenses dapat memberikan perlindungan yang sama dengan cermin mata gelap. Saya rasa ini lebih mudah kerana anak-anak saya memang dari asal memerlukan cermin mata jarak jauh. Apa pendapat doktor?
SALAMULLAH
DeleteYa, cermin mata transition mempunyai fungsi yang sama seperti cermin mata gelap. Sekiranya tiada masalah pemakaian disekolah, sememangnya saya amat syorkan pemakaian kanta transition.