Pages

Tuesday, January 28, 2014


CERMIN MATA GELAP SESUAI UNTUK KANAK-KANAK?
Suatu masa dahulu, cermin mata gelap ataupun sunglasses dipakai sebagai satu asessori penggayaan fesyen. Ramai ketika itu memakai hanya untuk kelihatan lebih bergaya seperti mana yang selalu dipraktikkan oleh artis-artis dipentas untuk tujuan bersantai. 

Mungkin ramai yang tak mengetahui cermin mata gelap sebenarnya satu alat pelindung dari cahaya UVA dan UVB yang boleh memudaratkan lapisan retina mata sekiranya belaku pendedahan yang melampau. Pendedahan kepada pancaran suria secara tidak langsung bukan hanya berlaku pada golongan dewasa sahaja malah kanak-kanak juga terdedah ketika bermain di luar rumah.

Radiasi ultraviolet atau UV dari sinaran matahari boleh dikaitkan dengan banyak masalah mata seperti katarak (selaput mata), pterigium (selapisan tisu yang memasuki mata hitam) dan juga degenerasi makula. Kebanyakkan penyakit ini berlaku ketika usia mulai lanjut kerana ini disebabkan pendedahan berterusan bagi tempoh yang lama. Ini boleh direncat sekiranya perlindungan mata mula dipraktis ketika masih kanak-kanak lagi.
 
Satu kajian ada menyebut jumlah pendedahan sepanjang hayat pada radiasi UV boleh mencapai jumlah 25 peratus ketika berumur 18 tahun. Ini bermakna sekirannya langkah-langkah pencegahan dilakukan sejak dari usia 5 tahun kadar peratusan ini boleh dikurangkan secara signifikan. Seperti contoh sekiranya seorang itu pada umumnya akan mendapat penyakit katarak pada umur 55 tahun, ianya dapat dihindari sehinggalah usia mencapai 70 tahun. 

Kanak-kanak aktif akan meluangkan banyak masa melakukan aktiviti di luar rumah dan sekiranya persekitaran mereka adalah ditepi laut atau di tanah tinggi, pendedahan pada UV adalah lebih ketara. Tambahan pula kanta kristalin kanak kanak adalah lebih jernih dan tidak mampu menapis radiasi uv dari terus memasuki bahagian dalam mata. Anak mata kanak-kanak pula sangat aktif melakukan pergerakkan konstriksi dan dilatasi yang mana mampu membuka ruang lebih besar untuk membenarkan sinaran matahari termasuk radiasi UV memasuki mata. Adalah penting mata kanak-kanak dan juga bayi diberi alat pelindung dari matahari seperti pemakaian cermin mata gelap bila berada di luar rumah . Radiasi UV adalah paling kuat antara jam 10 pagi dan 2 petang.
Dua organ badan yang sensitif pada radiasi UV adalah mata dan kulit, Radiasi UVA boleh menyerap dalam kulit dan menyebabkan ianya berubah warna. Kedutan dan kesan kesan penuaan. Radiasi UVA juga yang bertanggungjawab menyebabkan katarak dan degenerasi makula.
UVB pula adalah radiasi UV yang bertenaga tinggi yang boleh menyebabkan kulit terbakar. Kornea boleh menghalang UVB dari memasuki terus kedalam mata tetapi dengan pendedahan yang melampau ianya boleh menyebabkan lapisan kornea terbakar. Ini dinamakan fotokeratitis dan keadaan ini sangat sakit dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan untuk sementara waktu. Kadang kala ianya juga dikenali sebagai “snow blindness”.
Radiasi UVA dan UVB juga telah didapati boleh menyebabkan pingeculae dan pterigium (lihat gambar).
                                Pterigium                   Pingeculae

Jangan berikan anak anda cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah di pasar malam.
Cermin mata gelap yang dilapisi dengan bahan pelindung UV kebiasaanya dijual dikedai optik. Anda perlu bertanyakan pada penjual untuk tahu sekiranya kanta tersebut ada mengandungi lapisan pelindung UV ataupun tidak. Sesetengah bahan yang digunakan dalam pembikinan cermin seperti polikarbonat juga mampu menahan 100 peratus radiasi UV. Bahan sebegini bagus untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana mampu memberi perlindungan yang sempurna pada kanak-kanak.
Walaubagaimanapun perlu awas dengan cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah kerana kebiasaannya ianya tidak mempunyai pelindung UV dan tidak diperbuat dari bahan berkualiti. Adakalanya bingkai cermin mata yang tidak berkualiti boleh membawa kecederaan pada bahagian muka dan buatannya pula tidak tahan lama. Anak mata disebalik cermin gelap akan membuka lebih dari 6mm diameter, sekiranya cermin tidak memiliki lapisan pelindung UV, radiasi UV akan terus memasuki mata dan sampai ke retina melalui anak mata yang membesar. Ini akan menambahkan kemudaratan pada mata dengan serius. Oleh itu jangan benarkan anak-anak bermain main dengan cermin mata gelap mainan di bawah terik matahari.
Untuk keselamatan anak-anak, pilihlah cermin mata gelap yang berkualiti dan yang mempunyai lapisan UV yang sempurna dan sekaligus boleh mendapatkan pemeriksaan penglihatan dari Optometris anda. Penting untuk memastikan pembelian anda adalah asli dan tidak memudaratkan mata anak anda.
Adalah bernas untuk ibubapa mencarumkan sejumlah wang bagi mendapatkan cermin mata gelap yang berkualiti bagi bayi dan kanak kanak bagi memastikan mereka masih dapat beraktiviti di luar rumah dengan ceria disamping merendahkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit mata akibat dedahan radiasi UV di usia lanjut nanti. Pencegahan awal ini membantu anak anda menikmati penglihatan yang baik dan juga mata yang sihat terus menerus sehinggalah mereka mencecah usia emas nanti.
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 9, 2014

Salam bahagia,
Selamat bertemu kembali dalam ruangan saya dan anda. Sudah agak lama saya tidak menulis. Maafkan saya. namun saya punya alasan untuk berhenti seketika disebabkan tugas dan tanggung jawab harian yang semakin mencabar. Namun itu semua bukanlah penyebab untuk saya berhenti terus dari bertemu anda.

Dalam ruangan kali ini saya akan memperkatakan tentang sesuatu yang jarang berlaku di kalangan dewasa dan kanak-kanak tetapi mudah dapat dikesan sekiranya anda mengambil masa untuk memerhatikan pupil atau anak mata anda ataupun anak anak dengan menggunakan lampu suluh. Anak-anak mungkin tidak merungut tentang kerabunan yang dialami tetapi akan mula mengecilkan mata ataupun menggosok mata ketika menonton TV atau di bawah cahaya matahari yang menyilau atau menusuk mata. Ini merupakan tanda utama kerabunan mata yang perlu dirawat segera dan diambil perhatian serius oleh ibubapa. Masalah ini mungkin berpunca dari bentuk anak mata yang tidak sempurna dan ada kalanya ianya sukar dipastikan kerana ramai antara masyarakat kita punyai iris berwarna gelap. Gambar di bawah menunjukkan anak mata yang kelihatan seperti "lubang kunci". Cahaya yang memasuki anak mata akan menjadi tidak tertumpu dengan baik dan penglihatan menjadi kabur secara tidak langsung. Kerabunan tidak disebabkan kelonjongan paksi aksial (garis penglihatan) mata seperti lumrahnya tetapi berpunca dari anak mata yang tidak sempurna.

KOLOBOMA IRIS
Kolobama Iris berlaku secara congenital di mana terdapat defek pada bahagian iris mata. Pupil atau anak mata yang kebiasaannya berupa bulat dan sama saiz boleh terjadi dalam pelbagai bentuk yang tak sempurna.

Awas! RABUN pada kanak-kanak tidak semestinya dirawat dengan memakai cermin mata. RABUN juga bukan kerana terdapat ralat refraksi pada kanak-kanak. Adakalanya rabun tidak dapat dibaiki dengan sempurnanya hanya dengan bercermin mata. Ini adalah kerana terdapat gangguan pada salah satu media antara bahagian hadapan kornea hingga ke bahagian belakang mata iaitu di retina. Antara gangguan yang boleh berlaku adalah pembentukkan iris yang tidak sempurna ketika lahir. Keadaan ini dikenali sebagai Koloboma Iris.

Koloboma iris akan mendatangkan ketidakselesaan pada penglihatan kanak-kanak. Sejak dari bayi lagi pesakit akan mengalami silau yang teruk dan akan cuba menutup mata dengan selimut atau bantalnya ataupun membenamkan muka dalam dakapan ibunya kerana enggan melihat dalam cahaya terang. Pesakit juga akan mengecilkan mata hingga hampir tertutup untuk menetapkan fokus pada satu objek. Sekiranya masalah ini dibiarkan berlanjutan, kejulingan akan berlaku setelah mata mengalami ambliopia teruk (mata malas) yang tidak dibaiki untuk tempoh yang lama.

Koloboma Iris Kongenital adalah defek semasa tumbesaran di tahap embrionik. Iris sepatutnya membentuk pupil yang bulat dan boleh dikembangkan dan dikuncupkan saiznya. Sekiranya perkembangan iris menjadi kurang sempurna, pupil boleh terbentuk seperti lubang kunci, lonjong  ataupun tiada iris sama sekali. Ianya boleh berlaku pada satu atau kedua dua belah mata selepas bayi dilahirkan.

Kesannya terhadap penglihatan adalah bergantung pada darjah keterukkan koloboma atau saiz defek pada iris. Ianya boleh menjadi penyebab bagi penglihatan terhad dan kebutaan.

Koloboma  secara amnya merupakan penyebab kepada kebutaan dan dianggarkan dalam 3-11%  kanak-kanak di seluruh dunia. Insidennya adalah 1 kepada 10,000 kelahiran.

Kejadian koloboma mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan/atau faktor persekitaran. Selalunya ianya berpunca dari mutasi gen yang terlibat dalam pembentukkan koloboma, mikroftalmia dan juga anophthalmia.

Penyebab dari faktor persekitaran adalah termasuk ketagihan alkohol teruk sewaktu mengandung, kekurangan Vitamin A, berlaku infeksi taxoplasmosis dan penyalahgunaan dadah teratogenik.

Prognosis penglihatan bergantung pada tahap keterukkan koloboma dan kesan langsungnya pada bahagian lain mata yang penting seperti saraf optik , makula dan retina. Adakalanya  tahap penglihatan adalah dari ambliopia ringan hinggalah hanya ke tahap melihat persepi cahaya.

Cara rawatan adalah unik dan tidak begitu kompleks. Pesakit yang mempunyai masalah ini boleh cuba menggunakan kanta sentuh prostetik iris yang mana ianya akan membetulkan bahagian iris yang tidak sempurna dan membentuk satu bukaan pupil yang baru. Kanta sentuh ini boleh di dapati dengan kuasa refraktif  ataupun tiada kuasa. Warna iris juga boleh dipadankan agar ianya seiras dengan warna asal iris. Bukaan bahagian tengah pupil pada kanta sentuh juga boleh di tetapkan diameter pada saiz 3-8mm.

Pemakaian kanta sentuh prostetik iris ini akan membantu melenyapkan hampir keseluruhan silau teruk yang dialami oleh pesakit. Besar kemungkinan kuasa refraksi sebelum pemakaian kanta sentuh dan selepas pemakaian kanta adalah jauh lebih rendah. Akuiti penglihatan juga bertambah baik secara signifikan. Akan menjadi satu keperluan pesakit sebegini untuk terus memakai kanta sentuh prostetik iris hingga ke hari tuanya. Oleh itu pegawai optometris perlu berhati hati semasa pemasangan dan juga selalu memberi peringatan pada pesakit atau ibubapanya agar mengikut panduan pemakaian yang betul supaya tidak berlaku komplikasi okular akibat pemakaian kanta sentuh.. Pemakaian kanta sentuh khas ini juga boleh membantu melindungi kanta kristalin dan bahagian retina yang terdedah dari pancaran uv yang tidak terkawal oleh saiz pupil yang tidak sempurna.

Pesakit koloboma iris akan mengalami ambliopia teruk sekiranya masalah ini tidak dapat dikesan dari awal. Ralat refraksi dari silau yang melampau akan menurunkan akuiti penglihatan dan seterusnya menjejaskan penglihatan pesakit. Sekiranya rawatan ini diberi ketika pesakit sudah mencecah usia lebih 9 tahun kemungkinan besar ambliopia yang dihadapi sukar dirawat.

Rawatan dengan menggunakan cermin mata bertinta warna untuk meredupkan silau tidak akan berfungsi sebaik kanta sentuh prostetik iris. Walaubagaimanapun, keadaan pupil dan koloboma yang dialami harus diperiksa terlebih dahulu sebelum rawatan yang sesuai boleh dicadangkan.

Sekiranya pesakit didapati mempunyai ambliopia selepas rawatan kanta sentuh khas dan masih berumur dibawah 12 tahun, terapi ambliopia boleh dicadangkan dan diperkenalkan. Dengan latihan ambliopia, akuiti penglihatan boleh dipertingkatkan.

Ayuh..segeralah periksa mata anak anda. Gunakan lampu kecil dan halakan pada bahagian kornea mata. Cuba lihat iris sama ada ianya memberikan pupil yang bulat dan sempurna ataupun iris itu ada mengalami koloboma. Bertindak segera sekiranya anak mata atau pupil anak anda kelihatan tidak sempurna, Dia mungkin mengalami koloboma iris dan amat memerlukan rawatan efektif dengan segera.
Pelbagai jenis; Kanta Sentuh Prostetik Iris

Salam hormat dari saya

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, November 5, 2013

SALAM MAAL HIJRAH
Resolusi Tahun Baru untuk Mata yang Lebih Sihat

Salam Maal Hijrah. Salam yang bakal membawa perubahan dalam struktur kehidupan kita.

Awal tahun adalah saat yang paling tepat untuk kita kembali merenung dan menggubal segala proses kehidupan. Mungkin terhadap apa yang telah kita lakukan, sedang laksanakan atau bakal dilakukan nanti. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk memberikan secebis perkataan untuk anda selitkan dalam renungan anda untuk disenaraikan sebagai salah satu keutamaan dalam senarai keperluan yang bakal anda laksanakan di hari tahun baru Maal Hijrah ini.

Ayuh, berilah keutamaan untuk dikembali kesihatan mata dan penglihatan anda.

Berikut adalah checklist untuk mencapai mata serta penglihatan yang sihat dan lebih cerah dan jernih di masa depan.  

Tingkatkan Kesihatan Mata:
- Ambil  pemakanan yang bernutrisi

- Aktiviti olahraga yang teratur

- Berhenti merokok

- Lindungi mata dari pancaran matahari 

- Ikuti panduan pemakaian dan perawatan contact lense yang betul

- Jadualkan pemeriksaan mata anda dan seluruh anggota keluarga

- Istirahatkan mata ketika menggunakan komputer 

- Konsultasikan gejala mata jika ada dengan bertemu pakar 

- Tingkatkan kualiti penglihatan anda dengan mendapatkan konsultasi
  dari pakar mata. Mata anda, mungkin memerlukan pemeriksaan
  mutakhir dan perlu menggantikan cermin mata

- Upgrade contact lense anda. Contact lense dewasa ini tersedia dalam
  pilihan yang luas, dari bahan, jadual pemakaian, penggantian, design
  dan juga warna.


- Cuba coating baru untuk lensa cermin mata anda. Coating lensa
  tertentu yang memiliki keunggulan-keunggulan tersendiri, dapat
  menjaga lensa dari goresan, pantulan cahaya, wap, atau pun tetesan
  air.

- Pertimbangkan cermin mata khusus untuk olahraga. Bagi atlet dan pencinta  olahraga, telah tersedia frame dan sunglasses yang dirancang untuk     olahraga yang spesifik mau pun outdoor.  

- Refresh dengan cermin mata baru. Tingkatkan penampilan. Manfaatkan     teknologi dan design baru pada lensa, frame dan sunglasses.


- Untuk ukuran minus yang tinggi, cuba lensa high index untuk
  memberikan tampilan lensa yang lebih nipis.

- Jaga kemudaan kulit dan raut-raut sekitar mata anda dengan perawatan kulit    yang teratur.  

Manfaatkan jaringan luas dan perkhidmatan kedai optikal untuk konsultasi mata dan cermin mata anda termasuk produk-produk terbaru.

Berikanlah keutamaan dan perhatian anda kepada anak-anak anda, kerana merekalah yang bakal menerajui kehidupan masa depan agama, bangsa dan tanah air kita. Ubah sikap anda terhadap kepentingan penjagaan mata kanak-kanak. Bawalah mereka menjalani pemeriksaan mata. Kehidupan dan masa depan mereka terletak di tangan kita sebagai ibu bapa atau guru-guru.

Salam hormat dari saya

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, July 18, 2013

RABUN WARNA

Rabun warna atau colour blindness sering disalahertikan. Ramai yang menganggap orang yang mempunyai rabun warna mempunyai penglihatan bagaikan televisyen hitam putih. Sebenarnya orang yang rabun warna itu tidak sebenarnya buta warna, cuma persepsi warnanya sahaja yang berbeza dengan orang yang berpenglihatan normal. Seperti contoh sekiranya kita melihat warna merah menyala, seseorang yang mempunyai defek warna merah akan melihat warna tersebut seperti warna merah gelap. Keterukan rabun warna adalah pelbagai. Ianya bergantung pada jenis rabun warna itu sendiri. Walaubagaimanapun ada segelintir orang yang mempunyai defek warna yang sangat teruk di mana mereka boleh “buta” terhadap semua warna. Paling biasa rabun warna terjadi pada warna hijau–kuning atau oren-merah.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa rabun warna biasanya bersifat kongenital. Ini bermakna masalah ini telah ada pada kanak-kanak itu sejak lahir lagi disebabkan faktor genetik. Adakalanya ianya berlaku pada orang dewasa. Kebanyakkan kes sebegini biasanya disebabkan penyakit mata yang aktif, kesan dari penyakit sistemik yang dihadapi ataupun kesan sampingan dari pengambilan ubat-ubatan . Ramai ibubapa tidak dapat mengecam masalah ini  pada anak-anak sewaktu mereka masih kecil. Oleh kerana kanak-kanak yang terlalu muda tidak begitu mengenali warna-warna, agak sukar bagi ibubapa ataupun guru untuk mengesan sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai masalah rabun warna. Kanak-kanak rabun warna juga biasanya mempamerkan tahap penglihatan yang baik. Disebabkan itu, ibubapa tidak mengambil perhatian sewajarnya memandangkan tiada masalah timbul di usia sedemikian ketika itu.

Adalah penting untuk mengetahui sama ada anak anda mempunyai masalah rabun warna ataupun tidak. Kanak-kanak yang mempunyai masalah rabun warna biasanya mempunyai masalah pembelajaran di sekolah  terutamanya di awal persekolahan di mana banyak aktiviti menggunakan warna seperti melukis dan mewarna dilakukan. Penggunaan komputer juga boleh terjejas bagi pengguna yang rabun warna.

Warna mula dikenali serta dilihat sejak dari bayi lagi. Pada mulanya warna sukar untuk dibezakan oleh bayi, tetapi selepas berberapa bulan bayi mula tertarik pada warna-warna terang seperti kuning dan merah. Bagi kanak-kanak berumur kurang dari 4 tahun, mereka agak sukar membezakan tona warna yang sama seperti hijau pucuk pisang dan hijau rumput. Kanak-kanak perlu mempelajari dan memahami bukan hanya warna tetapi juga bentuk dan saiz objek. Mereka perlu diberitahu bahawa banyak objek mempunyai warna yang sama. Kebanyakkan kanak-kanak selepas berumur 5 tahun mula dapat mengecam dan  menamakan warna dengan betul.

Apa itu rabun warna?

Di belakang mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina. Di lapisan retina terdapat 2 jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai respon berbeza terhadap cahaya. Sel-sel rod sangat sensitif pada cahaya dan sel-sel ini mampu respon pada cahaya walaupun keadaan berkabus ataupun dalam cahaya malap. Walaubagaimanapun sel ini tidak dapat membezakan warna. Oleh itu di malam hari kita masih dapat melihat cahaya malap tetapi dalam bentuk bayangan hitam, kelabu dan putih. Sel-sel kon pula memberi respon pada cahaya yang lebih terang dan yang berwarna. Terdapat 3 jenis sel kon iaitu satu yang repond pada warna, merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon.

Fakta genetik mengenai rabun warna

Rabun merah-hijau biasanya berpunca dari genetik ataupun keturunan. Ianya lebih kerap terjadi pada lelaki berbanding perempuan. Ini diesebabkan oleh susunatur kromosom. Gene yang menyebabkan rabun merah-hijau terdapat pada kromosom X (Lelaki memiliki satu kromosom X manakala perempuan memiliki 2 kromosom X)

Sekiranya ibu adalah pembawa gene rabun merah-hijau (Satu X normal dan satu X terubah) , anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak lelaki akan mendapat rabun warna tersebut.

Anak perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal kecuali sekiranya ibunya adalah pembawa dan ayahnya pula adalah rabun warna

Hanya 5% populasi yang mempunyai defek rabun warna biru. Ratio antara perempuan dan lelaki adalah sama kerana ianya terletak pada kromosom berlainan.

Masalah yang boleh timbul

Kebanyakkan aktiviti seharian banyak bergantung pada penggunaan warna seperti pemilihan pakaian yang sepadan atau penggunaan pen yang berlainan warna. Sekiranya  mereka tidak dapat  memilih warna tersebut dengan tepat, mereka terpaksa bergantung pada perbezaan pada objek itu untuk menolong mereka memilih seperti baju berkolar warna merah dan seluar berpoket warna hitam.

Kanak-kanak dalam kelas tadika sering didedahkan dengan alat-alat pembelajaran seperti kiub, pensil warna dan mainan. Adalah digalakkan barang-barang mainan ini perlu dilabelkan dengan nama warna ataupun terdapat dalam saiz berlainan yang mana kanak-kanak dapat mengamati perbezaannya dengan melihat pada saiz objek.

Pada skrin komputer pula kebiasaannya perkataan atau simbol yang penting akan dihitamkan atau warna lain digunakan. Kanak-kanak tidak akan menghadapi masalah membezakan ayat sebab kecerahan komputer menolong membezakan warna mengikut tonna gelap dan cerah.

Seseorang yang rabun warna mungkin tidak mempunyai masalah mengamati lampu isyarat ini adalah kerana susunan warna lampu isyarat adalah sama dimana-mana iaitu warna merah berada di kedudukan atas sekali. Walaubagaimanapun ianya mungkin sukar dilihat pada waktu malam atau sewaktu hujan lebat. Hal yang sama juga boleh terjadi pada lampu brek kereta.

Walaubagaimanapun ada sesetengah pekerjaan yang sememangnya tidak dapat dilakukan oleh mereka yang mempunyai rabun warna seperti pendawaian, makmal kimia dan kerja-kerja pengendalian kenderaan komersial dan tugas ketenteraan.

Apa yang dapat dilakukan

Semua kanak-kanak lelaki patut menjalani ujian penglihatan warna terutamanya bagi mereka yang mempunyai saudara atau keluarga yang di ketahui mempunyai masalah rabun warna. Ujian ini boleh dilakukan pada umur 5 tahun dan ke atas terutamanya jika kanak kanak sudah mula faham arahan yang diberi  dan boleh mengenal nombor. Sekiranya kedua-dua belah keluarga ayah dan ibu diketahui ada mempunyai masalah rabun warna, maka kanak-kanak perempuan juga perlu melakukan ujian penglihatan.

Kebanyakkaan ujian penglihatan yang dijalankan disekolah hanya tertumpu pada akuiti penglihatan dan jarang disaring masalah rabun warna.

Ujian Penglihatan Warna kebiasaanya dilakukan oleh Optometris dengan menggunakan carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna (Ishihara colour plates) dan juga alat-alatan lain seperti D-15 dan 100 Hue.

Apabila rabun warna pada kanak-kanak di kesan, ujian selanjutnya dijalankan untuk mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami. Setelah diagnosis didapati, konsultansi berkenaan keadaan penglihatan warna kanak-kanak tersebut akan diberi dan satu surat khas akan dikeluarkan untuk menyatakan status penglihatan warna kanak-kanak tersebut.


Bagaimana kanak-kanak rabun warna dapat dibantu

Pengesanan awal dapat membantu kanak-kanak ini menyedari kelemahannya membezakan warna dan tidak melihatnya sebagai satu kecacatan. Kanak-kanak yang rabun warna dapat melihat warna kecuali persepsi warna itu sendiri dilihat berlainan dari yang normal seperti warna merah cerah dilihat sebagai merah gelap atau hitam sementara warna hijau dilihat sebagai kuning coklat (bergantung pada keterukan rabun warna).

Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah rabun warna, mereka dapat membantu  atau mengajar kanak-kanak ini dengan cara berlainan dan lebih efektif.

Anda boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensil  warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila mewarna. Ini dapat mengelak dirinya dari diejek oleh rakan-rakan.

Kanak-kanak juga perlu dibantu untuk mengenal warna sebenar meskipun persepsi warna yang dilihat adalah berlainan seperti contoh rumput bewarna hijau gelap dan bukannya hijau muda.

Rabun Warna tidak mempunyai sebarang rawatan khusus. Terdapat alat optikal seperti kanta sentuh khas dan cernin mata warna khas yang dapat membantu kanak-kanak untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal namun kejayaan alat-alat ini amat bergantung pada individu itu sendiri. 


Berapa jeniskah buah-buahan yang dapat anda lihat?
Kanak-kanak yang berpenglihatan normal (trikromat) akan dapat  melihat 5 timbunan buah-buahan yang berlainan jenis. Dari belakang kelihatan timbunan buah-buahan berwarna merah, hijau, merah, kuning dan oren.
(Dipetik dari www.vischeck.com)
Orang yang mempunyai rabun warna merah-hijau sukar melihat semua timbunan buah-buahan dengan jelas. Kemungkinan hanya tiga atau empat jenis buah-buah yang kelihatan.







        Alat yang digunakan untuk mengesan rabun warna. Warna-warna perlu dipadankan mengikut susunan tona. Ujian Farnsworth-Munsell Dichotomous D-15 .




                 Ujian Farnsworth-Munsell 













dapat mengesan keterukan dan jenis rabun warna.







Kanak-kanak sedang menjalani
ujian Farnsworth-Munsell Dichotomous D-15








Rabun warna kongenital boleh dikesan melalui
Ujian Plat Ishihara.
  











ARTIKEL YANG DISIARKAN DI SINI ADALAH PETIKAN DARI SALAH SATU TAJUK DARI BUKU SAYA: ”MASALAH PENGLIHATAN KANAK KANAK” YANG KINI SUDAH BERADA DI PASARAN KELUARAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA..

NANTIKAN TOPIK SETERUSNYA BERKENAAN RAWATAN ATAU TERAPI PENGLIHATAN UNTUK RABUN WARNA...

Kanta lekap rabun warna iKEJORA juga boleh didapati di D'Optometrist Visioncare Centre, Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. TEL+60391744024.
Email : dstreamvision@gmail.com

Dan juga boleh didapati di premis optikal PERFECT VISION BRUNEI
Sila hubungi alamat L1/10 Ground Floor, Seri Q-Lap Mall, Kg Kiulap Commercial Area. BE 1518 Brunei Darussalam TEL +673-2342772 

Email : info@perfectvisionbrunei.com

SALAM HORMAT

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia