07/10/2007
UJI PENGLIHATAN SEBELUM MEMANDU BALIK KAMPUNG
Oleh:
PROF. MADYA DR. HALIZA ABDUL MUTALIB (Pakar Optometris dan Ketua Jabatan Optometri,
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia)
MUSIM perayaan menjelang lagi, masyarakat berbilang bangsa akan mulai bercuti panjang minggu hadapan untuk pulang merayakan lebaran di kampung halaman. Dalam tempoh ini jugalah kita akan mula mendengar dari televisyen, radio ataupun surat khabar tentang kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh pelosok negara.
Beribu-ribu kemalangan kecil, kemalangan maut akan sentiasa menjadi paparan hangat di media massa. Kemalangan berlaku di mana-mana sahaja, jalan kampung, lebuh raya, membabitkan kenderaan kecil dan besar, tidak pernah surut statistiknya.
Mungkin ramai pihak yang akan mengeluarkan fakta-fakta mengapa kemalangan banyak berlaku di jalan raya-jalan raya di Malaysia. Malah semua orang sudah tahu faktor-faktor penyebab kemalangan. Antaranya adalah faktor manusia itu sendiri seperti letih, mengantuk, lalai, memandu di luar had kelajuan, tidak sempat membrek dan macam-macam lagi.
Ada juga yang menuding jari pada faktor lain seperti jalan licin, gelap, bengkang-bengkok dan segalanya yang logik di fikirannya. Meskipun kerajaan sendiri telah berhabis-habisan mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk mempertingkatkan mutu jalan raya, memasang tiang lampu di jalan yang gelap, iklan-iklan untuk membangkitkan kesedaran pengguna-pengguna jalan raya, namun statistik tetap tidak berubah.
Ramai yang tidak sedar, selain dari faktor kemanusiaan dan infrastruktur yang diperkatakan itu ada satu lagi faktor yang tidak pernah disedari atau masih dipandang remeh iaitu penglihatan yang baik. Salah satu syarat pemegang lesen memandu adalah memiliki tahap penglihatan sekurang-kurangnya 6/10 pada Carta Snellen.
Kajian menguji tahap penglihatan pemandu di seluruh Malaysia mendapati lebih 8.37 peratus (statistik 2006) pemandu di Malaysia tidak memiliki tahap penglihatan sedemikian. Ini bermakna bagi setiap 100 kereta yang anda berhadapan ketika di jalan raya, terdapat lapan pemandu yang tidak lulus syarat minimum tahap penglihatan untuk pemanduan.
Mereka yang tidak layak berada di jalan raya sudah semestinya tidak memiliki penglihatan yang baik, ini dapat dibuktikan secara langsung di mana ramai pemandu yang memberhentikan kereta mereka di tepi lebuh raya ketika hujan terlampau lebat. Mereka berhenti memandu seketika bukan kerana viper tidak berfungsi tetapi disebabkan oleh penglihatan mereka sendiri yang tidak baik.
Tip-tip pemanduan
1. Pastikan anda telah menjalani pemeriksaan mata komprehensif kurang dari setahun oleh optometris bertauliah.
2. Mempunyai tahap penglihatan sekurang-kurangnya 6/10 bagi setiap mata ataupun 6/9 satu mata (jika buta atau penglihatan terhad pada sebelah mata lagi). Anda boleh mengetahui tahap penglihatan anda di mana-mana praktis optometri.
3. Lulus Ujian Rabun Warna. Sekiranya gagal pastikan tahap kompetensi memandu dinilai semula.
4. Mempunyai medan penglihatan sekurang-kurangnya 120 darjah bagi penglihatan binokular. Sekiranya anda mempunyai penyakit seperti glaukoma atau patologi okular lain, sila jalani Ujian Medan Penglihatan di klinik optometri.
5. Bagi pemakai kanta sentuh pastikan anda membawa sepasang cermin mata untuk kecemasan.
6. Jangan halakan penghawa dingin kereta terus ke muka kerana ini akan mengakibatkan kekeringan mata yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kekaburan.
7. Sekiranya anda seorang pemakai kanta sentuh, sila bawa bersama titis pelembap kanta dan gunakannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
8. Sekiranya anda bukan pemakai kanta sentuh, gunakan titis pengganti air mata untuk menyegarkan mata yang letih dan kering.
9. Elakkan dari memakai kanta sentuh berwarna sewaktu memandu kerana kajian telah menunjukkan ia boleh menyebabkan penurunan kontras dan mengehadkan medan penglihatan. Ada kalanya penglihatan akan kelihatan seperti berjerebu dengan pemakaian kanta sentuh berwarna.
10. Gunakan cermin mata gelap yang mempunyai lapisan penapis UV untuk menapis silau. Ini dapat merehatkan mata ketika panas terik. Pemakaian cermin mata gelap tanpa lapisan pelindung UV boleh merosakkan retina (bahagian dalam mata) dan menyebabkan kesan aberasi atau silau yang teruk. Sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk.
11. Gunakan cermin mata berwarna amber (kekuningan) untuk meningkatkan kontras ketika hari mula gelap, hujan atau berjerebu. Kontras penglihatan boleh menjadi bertambah baik dengan warna amber.
12. Pastikan cermin mata dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Penting untuk dipastikan bingkai cermin tidak terlalu uzur dan kanta diketatkan dengan baik pada bingkai pemegang. Kanta juga sepatutnya diganti jika terlalu bercalar ataupun telah kabur.
- Jom periksa mata sebelum balik kampung! Satu penyelidikan yang dijalankan di Jabatan Optometri, UKM telah mendapati kira-kira lapan peratus daripada pemandu berlesen di Malaysia mempunyai tahap penglihatan di bawah had normal yang dibenarkan dalam pemanduan di jalan raya.
Oleh itu, sempena musim perayaan ini, Klinik Optometri UKM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 Kuala Lumpur akan mengadakan pemeriksaan mata komprehensif yang merangkumi Ujian Tahap Penglihatan, Ujian Rabun Warna dan Ujian Medan Penglihatan secara percuma.
Semua pemegang lesen memandu Malaysia dijemput. Pemandu kenderaan komersial diberikan keutamaan. Tempoh pemeriksaan adalah sehingga 10 Oktober 2007. Bantuan cermin mata akan diberikan pada yang layak.
Hubungi 03-40405499 untuk temu janji dan sila sebut JOM PERIKSA MATA sebagai rujukan.
Sekiranya kenderaan-kenderaan lain dapat meneruskan perjalanan tanpa masalah ketika hujan lebat, perlu direnungkan sendiri mengapa mereka tidak mampu. Kemalangan masih berlaku di lebuh raya yang lurus pada waktu siang walhal tidak ada faktor yang sepatutnya boleh mengganggu penglihatan ketika itu.
Ini adalah kerana penglihatan yang baik boleh mempengaruhi corak pemanduan seseorang. Contohnya, kebolehan melihat kereta rosak atau kemalangan pada jarak lebih 100 meter akan membolehkan pemandu membuat keputusan untuk memperlahankan kenderaannya dan bertukar lorong memandu.
Sebaliknya, jika penglihatan adalah kabur pada jarak tersebut, pemandu akan terus memandu pada kelajuan sama. Keadaan boleh menjadi semakin buruk sekiranya berlaku kemalangan atau lori rosak di tengah lebuh raya dan pemandu masih memandu kenderaan pada had laju 110km/ jam.
Keadaan ini masih belum mengambil kira keadaan cuaca. Pemandu akan mengalami masalah yang lebih teruk sekiranya memandu dalam hujan lebat, jerebu dan berkabus.
Anda mungkin yakin yang penglihatan anda sudah cukup baik. Tetapi cukup baik itu hanyalah untuk melihat kereta di hadapan pada jarak yang dekat. Penglihatan yang baik untuk pemanduan perlulah diukur dengan Carta Snellen.
Anda sendiri mungkin tahu bahawa anda tidak mempunyai masalah bila memandu waktu siang tetapi hanya bermasalah bila memandu waktu malam. Jika anda mengalami simptom ini maka jelaslah anda mungkin mempunyai kuasa refraksi yang belum dibetulkan.
Kebolehan melihat pada waktu siang dibantu sepenuhnya oleh cahaya yang terang dan ini tidak bermakna tahap penglihatan anda adalah normal pada waktu siang. Ujian ini terlalu senang untuk dilakukan. Anda boleh ke kedai optikal atau praktis optometri atau mana-mana klinik swasta atau klinik kerajaan untuk mengukur tahap penglihatan anda.
Ujian ini tidak akan mengambil lebih dari lima minit. Hanya dengan meluangkan masa lima minit anda akan dapat memandu dengan tenang, dengan mengetahui tahap penglihatan anda berada pada tahap yang baik. Tetapi sekiranya mata anda mengalami masalah penglihatan yang berupa ralat refraksi, anda perlu bertanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini untuk keselamatan orang ramai.
Sekiranya anda perlu memakai cermin mata untuk mendapatkan penglihatan yang baik anda perlu serasikan diri dengan pemakaian cermin mata sebelum dibolehkan memandu di jalan raya. Sekiranya anda masih kekok dengan pemakaian cermin mata, anda boleh membahayakan diri sendiri semasa memandu.
Bagi mereka yang mempunyai penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi, anda perlu lebih berhati-hati kerana diet yang bertukar semasa bulan Ramadan mungkin juga membawa perubahan pada ralat refraksi. Anda mungkin tidak sedar bahawa cermin mata yang anda pakai sudah tidak begitu jelas.
Salah satu tip untuk mengelakkan kekejangan mata atau akomodasi semasa pemanduan untuk tempoh yang lama ialah anda harus menukar-nukar jarak penglihatan. Bermakna mengalih fokus ke arah objek lain pada jarak berlainan boleh membantu mata kembali relaks dan tidak tegang.
Di samping itu, bekalkan diri anda dengan ubat titis pengganti air mata (eye drops) untuk melembapkan mata yang kering disebabkan oleh penghawa dingin dalam kereta. Ia juga mampu melegakan mata yang penat. Elak dari memakai kanta sentuh berwarna sekiranya anda ingin memandu jarak jauh. Terdapat kajian yang telah dapat membuktikan ia boleh menganggu kontras penglihatan dan juga mengganggu medan penglihatan.