Pages

Wednesday, May 23, 2012


BERITA E-KOMUNITI

Kanta sentuh warna penyebab kebutaan 



Prof Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib, Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) berpendapat sejak akhir-akhir ini telah wujud satu kekeliruan masyarakat tentang penggunaan kanta sentuh warna. Populariti kanta sentuh warna yang hangat diperkatakan kini telah menjadi satu ikon fesyen khasnya di kalangan celebrity, kaum wanita dan remaja. Ahli profesional dalam bidang penjagaan mata sudah lama menyatakan kebimbangan mereka terhadap percambahan bilangan pembeli kanta sentuh warna. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mendapat sebarang pemeriksaan mata daripada ahli optometris terlebih dahulu. 

Mereka membeli kanta sentuh warna daripada jurujual atau optisyen berdasarkan `jualan atau sale' yang menawarkan harga yang rendah, tanpa mengambil kira kesesuaian dan keselesaan kanta tersebut pada mata mereka. 

Persoalan yang akan dilontarkan oleh pengguna ialah, ``Kenapa saya perlu periksa mata? Mata saya tidak perlu sebarang kuasa kanta.'' Ini adalah antara soalan yang kerap dikemukakan oleh pembeli kanta sentuh warna tanpa mengetahui bahaya yang menunggu. 

Pemeriksaan mata perlu dilakukan ke atas semua pemakai kanta sentuh. Tidak kira sama ada kanta yang dipakai itu jenis berwarna ataupun tidak. Atau, mempunyai kuasa atau tidak. Pentingnya pemeriksaan mata adalah untuk menentukan kesesuaian kanta sentuh tersebut dengan mata si pemakai. Terdapat sebilangan orang yang tidak boleh memakai kanta sentuh disebabkan mata yang terlalu kering, alahan teruk pada kelopak mata atau ada penyakit mata yang lain. Jadi, penting untuk mengetahui sama ada anda sememangnya layak ataupun tidak untuk memakai kanta sentuh sebelum membelinya. 

Kanta sentuh warna terdapat dalam pelbagai jenama, saiz, corak dan warna. Setiap jenama mempunyai saiz yang berbeza dari segi kelengkungan dasarnya mahupun diameter kanta. Oleh itu, pemasangan kanta ke atas mata pemakai akan menunjukkan prestasi yang berbeza bagi setiap jenama yang lain. Anda mungkin pernah mencuba kanta sentuh warna yang mempunyai jenama yang berbeza dan anda akan rasa kelainan setiap satunya. Keselesaan semasa memakai kanta sentuh warna tidak menggambarkan kesesuaian sebenar kanta tersebut pada mata anda. Anda mungkin berasa sangat selesa dengan kanta sentuh, tetapi pemasangan kanta tersebut mungkin sangat ketat. Keadaan ini boleh menghalang oksigen dan air mata daripada memasuki kawasan kornea. Selepas beberapa jam barulah anda dapat perhatikan mata menjadi merah dan mula berasa tidak selesa. Cuba bayangkan sekiranya anda mempunyai sepasang mata yang kurang sensitif, biasanya terjadi pada pemakai kanta sentuh yang sudah lama, anda mungkin tidak dapat merasai perubahan yang berlaku. Maka, kanta akan terus dipakai tanpa menyedari proses pembengkakan kornea (edema) menjadi semakin teruk. Kesannya, anda mudah mendapat jangkitan. 

Sekiranya fenomena ini kerap berlaku anda mungkin terdedah pada bahaya kebutaan. Terdapat terlalu banyak laporan dari hospital-hospital kerajaan dan klinik-klinik mata tentang penyalahgunaan kanta sentuh. Paling membimbangkan, keadaan ini hampir atau telah menyebabkan kebutaan pada pemakainya. 

Terdapat dua faktor yang menyumbang pada permasalahan ini. Pertama: Ia adalah disebabkan premis optikal yang tidak mempunyai kelayakan. Mereka gagal menjalankan pemeriksaan ke atas pemakai kanta sentuh baru serta tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar pemakaian dan tahap kebersihan yang diperlukan. Kedua: Pemakai kanta sentuh itu sendiri yang tidak akur dengan nasihat dan penjagaan kanta sentuh yang telah disyorkan oleh optometris dan tidak menghadiri sesi ulangan pemeriksaan (aftercare) yang telah diatur. Antara penyebab yang paling ketara berlakunya komplikasi pemakai kanta sentuh warna adalah disebabkan sikap yang suka berkongsi kanta sentuh dengan rakan-rakan. Ini kerap kali berlaku pada pemakai kanta sentuh `occasional' yang tidak mempunyai sebarang kuasa refraksi. 

Oleh itu mereka bebas berkongsi kanta sentuh warna. Ramai yang tidak tahu, bahawa penyakit serius boleh berjangkit melalui pemakaian kanta sentuh. Antaranya penyakit hepatitis B dan AIDS. Pengguna perlu disedarkan tentang risiko kornea ulser yang berkait dengan pemakaian kanta sentuh warna melebihi had yang telah disyorkan. Terdapat banyak kanta sentuh warna jenis pakai buang satu bulan di pasaran. Sekiranya pemakai terus menggunakan kanta tersebut melebihi daripada tempoh hayatnya, banyak kemungkinan boleh berlaku seperti: - Jangkitan dalam mata - Kornea berparut - Lain-lain masalah yang boleh menjejaskan penglihatan dan - Bagi kes yang serius ia boleh menyebabkan kebutaan dan kehilangan biji mata. 

Dalam banyak kajian klinikal yang dijalankan di Jabatan Optometri, FSKB, UKM telah melaporkan bahawa pemakaian kanta sentuh warna ini boleh menyebabkan penurunan akuiti penglihatan dan sensitiviti kontras dengan ketara. Begitu juga dengan medan penglihatan seseorang itu. Keadaan ini bertambah buruk dalam keadaan gelap. Penggunaan kanta sentuh warna ini boleh mengganggu penglihatan semasa memandu. Ia juga tidak sesuai dipakai apabila melakukan kerja-kerja yang memerlukan penelitian yang menggunakan komputer. Juga, kerja-kerja pemasangan komponen-komponen kecil di kilang-kilang. Perlu diingatkan, kanta sentuh warna hanya boleh dipasang dan dibeli daripada optometris bertauliah. Hanya pakar optometris yang berpengalaman saja, boleh mengesan risiko-risiko awal pada mata pemakai kanta sentuh warna. Juga, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menasihati dan memantau pengguna bermasalah serta memberi pandangan sebelum keadaan menjadi lebih teruk. 

Pemakai kanta sentuh warna juga perlu diingatkan bahawa kanta mereka perlu dinyahkumankan secara sempurna setiap hari. Ramai yang mengambil jalan mudah dan murah dengan hanya merendam kanta dalam larutan saline sahaja. Pemakaian kanta sentuh warna perlu dipandang serius sama seperti kanta sentuh yang lain kerana kesan sampingan dan komplikasi adalah sama. Ini semua mempunyai hubung kait dengan kesan meletakkan benda asing di dalam mata. Ketahuilah, bahawa kanta sentuh warna boleh menyebabkan risiko seperti kebutaan dan lain-lain kecederaan pada mata sekiranya diperoleh daripada ahli optometris yang tidak bertauliah.


Tags: 
http://www.ictjkr.gov.my/komuniti/default.php?module=berita&id=93

No comments:

Post a Comment