UTUSAN MALAYSIA 17-10-2006
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
800,000 pemandu rabun di jalan raya kita
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kira-kira lapan peratus daripada lebih 10 juta pemandu berdaftar di negara ini dikenal pasti tidak mempunyai tahap penglihatan yang baik.
Keadaan ini dipercayai menjadi antara penyumbang meningkatnya kadar kemalangan jalan raya terutama menjelang musim perayaan. Ketua Optometris Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Haliza Abdul Mutalib berkata, tahap penglihatan walaupun sama pentingnya dengan sikap manusia dan infrastruktur dalam menentukan keselamatan pemanduan sering dipandang remeh.
“Salah satu syarat pemegang lesen memandu adalah memiliki tahap penglihatan sekurang-kurangnya 6/10 pada Carta Snellen.
“Kajian menguji tahap penglihatan pemandu di seluruh Semenanjung mendapati lebih 8.37 peratus pemandu tidak memiliki tahap penglihatan yang memuaskan berdasarkan Carta Snellen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kajian yang julung kali diadakan itu adalah hasil kerjasama UKM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Persatuan Pakar Optik Malaysia yang membabitkan 4,000 responden. Kajian itu mengambil masa selama tiga bulan dan baru sahaja selesai.
Menurut Haliza, ini bermakna bagi setiap 100 kenderaan yang berada di jalan raya, negara berhadapan dengan lapan pemandu tidak lulus syarat minimum tahap penglihatan untuk pemanduan.
Mengikut portal rasmi JPJ, jumlah pemandu pengangkutan darat termasuk motosikal, kereta, pengangkutan awam dan perdagangan mencecah bilangan 10 juta orang.
Jika angka itu diambil kira, dianggarkan kira-kira 800,000 pemandu dijangka mempunyai masalah penglihatan.
Kata Haliza: “Ramai pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan mereka di tepi lebuh raya ketika hujan lebat dan bukannya disebabkan masalah pengelap cermin kereta tidak berfungsi.
“Sedangkan pada masa yang sama kenderaan-kenderaan lain dapat meneruskan perjalanan seperti biasa.”
Pakar mata itu menegaskan, penglihatan yang baik boleh mempengaruhi corak pemanduan seseorang dan perlu diberi perhatian serius seperti mana kajian yang mengaitkan kemalangan jalan raya dengan had laju dan sikap pemandu.
“Sebagai contoh, kebolehan melihat kereta rosak atau kemalangan pada jarak lebih 100 meter membolehkan pemandu membuat keputusan pantas untuk memperlahankan kenderaan dan menukar lorong memandu.
“Sebaliknya, jika penglihatannya kabur pada jarak tersebut, pemandu akan terus memandu pada kelajuan yang sama,” ujar beliau.
Menurut Haliza, keadaan akan lebih buruk sekiranya berlaku kemalangan atau lori rosak di tengah-tengah lebuh raya dan pemandu masih memandu kenderaan pada had laju 110 kilometer sejam.
“Itu masih belum mengambil kira cuaca seperti hujan lebat, berjerebu atau berkabus.
“Penglihatan yang baik untuk pemanduan perlu diukur dengan Carta Snellen,” jelasnya.
Beliau turut mendakwa, sistem pengkomputeran bagi menguji tahap penglihatan yang diguna pakai JPJ sekarang membolehkan individu yang hampir buta lulus ujian lesen memandu.
“Jika seseorang tidak mempunyai masalah apabila memandu pada waktu siang tetapi menghadapi kesukaran bila memandu pada waktu malam, mereka mungkin mempunyai kuasa refraksi yang belum diperbetulkan.
“Kebolehan melihat pada siang hari dibantu sepenuhnya oleh cahaya terang dan ini tidak bermakna tahap penglihatan anda adalah normal pada waktu siang,” katanya.
Menurutnya, ujian penglihatan itu amat mudah dilakukan dan seseorang cuma perlu ke kedai-kedai optikal atau mana-mana klinik kerajaan mahupun swasta. Ujian itu mengambil masa tidak sampai lima minit.
“Sekiranya semua pemandu jalan raya di Malaysia dapat mengamalkan ujian tahap penglihatan dari semasa ke semasa terutama sebelum melakukan pemanduan jarak jauh, statistik kemalangan mungkin dapat dikurangkan,” katanya.
Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi, Haliza menasihatkan mereka agar lebih berhati-hati kerana diet yang bertukar sepanjang bulan Ramadan mungkin membawa perubahan pada ralat refraksi.
“Anda mungkin tidak sedar bahawa cermin mata yang anda pakai sudah tidak begitu jelas,” katanya.
No comments:
Post a Comment