Pages

Wednesday, January 23, 2013


Setanggi harapan
Menitip haruman aroma di jiwa
Moga ada insan yang menyusun rasa
Menjadi arca
Nyata
Salamullah dan salam hormat dari saya,
24hb Januari 2013: Tarikh ini merupakan hari bersejarah bagi mahasiswa saya dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan Optometri dan  juga rakyat Kuala Kedah kerana kami akan bersama mereka selama 4 hari 3 malam, berkampung di Kota Kuala Kedah bagi menjayakan PROGRAM CITRA SISWA, Khidmat Bakti Masyarakat di sana bermula 24hb hingga 27hb Januari 2013. Saya akan membawa bersama asset yang telah dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada UKM iaitu KLINIK OPTOMETRI BERGERAK (KOB) yang dilengkapi segala peralatan canggih dan terkini bernilai 2.1 juta bertujuan memberi perkhidmatan penyaringan dan pemeriksaan mata percuma di samping pemberian cermin mata secara percuma mengikut kelayakkan dan keperluan yang terdapat melalui perkhidmatan KOB kami.
Di samping itu, bagi tujuan mendedahkan mahasiswa kami kepada masyarakat, satu Program Anak Angkat juga akan dijayakan serentak di mana semua mahasiswa yang terlibat akan diserahkan untuk tinggal dengan keluarga angkat yang telah pun dipilih. Adalah menjadi matlamat kami melalui program sebegini, mahasiswa akan belajar dan mendekati budaya setempat yang sekaligus bakal digunakan oleh mereka apabila berakhir pengajian mereka nanti dan bergelar graduan UKM.




Sebagaimana selalu, program optometri dan KOB, UKM akan didokong bersama Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia. Kelab FSP telah menjadi tunjang kepada kerjasama sepasukan dengan KOB, UKM sejak dari tahun lepas menjayakan aktiviti dan program yang telah pun berlangsung dan disusun bersama sepanjang 2012. Tidak ketinggalan juga Program Citra Siswa OPKOM21 di Kuala Kedah ini, Kelab falsafah Sebagai Pedoman Malaysia telah mendapat kerjasama secara langsung dengan satu lagi pertubuhan iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah yang mana bertindak sebagai penganjur kerjasama setempat. Kerjasama dua kelab dan gabungan ini amat bererti pada kami di Fakulti Sains Kesihatan dalam merealisasikan program cadangan mahasiswa kami.   Turut tidak dilupakan adalah sokongan satu lagi kelab iaitu Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia yang telah memberikan sokongan moral sebagai pemangkin kerjasama dalam menjadikan program ini berjaya. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada ketiga-tiga kelab gabungan ini khususnya peneraju utama iaitu Cikgu Ahmad Din dari Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia, Dr Zaki Zamani dari GPMS Kuala Kedah dan Sdra Sherhan Nizam Abdul Aziz dari Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia. Terima kasih, tahniah dan syabas.
Dalam menentukan perancangan program ini berjalan dengan tersusun dan lancar, saya telah dua kali berada di kawasan utara khususnya Kuala Kedah dan sempat berjumpa secara peribadi dengan Yang Berhormat Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir, ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjemput dan mempersilakan beliau bagi merasmikan Program Citra Siswa di Kuala Kedah nanti. Di samping itu, saya dan rombongan juga telah diberi kesempatan untuk di wawancara selama setengah jam secara langsung "on air" di radio RTM Kedahfm pada 21hb Januari 2013 bersama Dr Zaki Zamani, Pengerusi GPMS Kuala Kedah.








Secara umum, saya ingin melakarkan bahawa Program Citra Siswa ini akan berlangsung dengan dua matlamat khas. Pertama untuk memberikan khidmat bakti secara percuma kepada masyarakat dan rakyat setempat dan keduanya adalah membentuk satu keyakinan diri kepada mahasiswa kami agar sentiasa bersedia untuk berada di kalangan masyarakat bila mereka telah menamatkan pengajian. Oleh itu, saya dan Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia dengan kerjasama GPMS dan PBPMM telah menyediakan aktiviti sampingan kepada mahasiswa kami khusus untuk menbentuk pemikiran, penampilan dan keyakinan serta jati diri yang tinggi di kalangan mahasiswa. Saya amat berharap, ruangan yang kami sediakan untuk masyarakat dan mahasiswa secara sekaligus ini, akan menghasilkan sesuatu yang positif kepada semua pihak.






Kehadiran Yang Berhormat Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir untuk merasmikan majlis pembukaan pada jam 5 petang 24hb Januari nanti adalah satu pencetus dan iltizam kepada mahasiswa kami. Tidak lupa juga dengan kehadiran beberapa penceramah jemputan yang sudi memberikan kerjasama dan khidmat bakti secara percuma demi rakyat bagi memenuhi slot ilmu dan pengetahuan kepada rakyat setempat. Meraka yang terdiri dari berbagai golongan seperti Prof Madya Dr Lim Swee Tin seorang penyair dan sasterawan, Kamal Affandy hashim, seorang penganalisis jenayah, Norzaini Mohamad @ Awang BPR, seorang penyanyi, dan penceramah dari AADK Kedah. Kehadiran mereka mencerminkan kesungguhan mereka untuk turut sama menabur bakti kepada masyarakat mengikut cara dan gaya mereka sendiri. Terima kasih terlebih dahulu saya ungkapkan buat mereka yang sudi bersama kami.
Prof Madya Dr Lim Swee Tin
                              Sdra Kamal Affandy Hashim            Awang BPR
Sesungguhnya, tiada kata yang dapat melahirkan perasaan saya dan mahasiswa saya kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Program Citra Siswa ini, hanyalah seukir bahasa,

Eratnya tali mengikat persaudaraan ini
seperti jalinan warna pada indahnya pelangi
dan bunga-bunga turut bermelodi
menyemarak kasih, mendamai suasana

Canda tawa mengiringi hilai kerja kita
badai taufan diterjah bersama
hati disatukan berirama 
dalam eratnya gandingan tangan
melangkah dengan satu visi

Ayuh sahabat
ayuh melangkahlah sederap
menggapai misi bersama
membangunkan dunia baru
penuh cinta melimpah kasih
agar semakin banyak jiwa
menikmati anugerah kasihNya
mengukir ketenangan baharui iltizam

Pancangkan lilin-lilin kecilmu
nyalakan terangnya dunia ini
biar kerdil pancaranmu
kerana hadirmu bersalut erti
bagi mereka yang tenggelam 
dalam gelapnya arus zaman

Teruslah nyalaanmu
hangatkan dunia kita bersama
agar anak-anak kita nanti
mampu untuk berayun buai
di atas ladang mereka sendiri

ayuh sahabat
ayuh bangkitlah bersama...

haliza mutalib
23/01/13
suatu senja di batas kota

Akhirulkalam, ayuh rakyat Kuala Kedah, ayuh sahabat maya , ayuh bersama merealisasikan program Citra Siswa ini. saya akan bersama anda selama 4 hari 3 malam di sana.

Salam bahagia dan salam hormat dari saya..

Haliza Abdul Mutalib

4 comments:

  1. Assalamualaikum, I would like to ask a question. After getting a degree in optometry, can I further my studies to be an ophthalmologist? =)

    ReplyDelete
  2. SALAMULLAH

    Unfortunately NO. It's two different pathway altogether. You may further your studies to Masters and PhD level in Optometry. To be an ophthalmologist, you need to be a medical doctor first before specializing in Ophthalmology. Other professions which is rather related or affiliated with optometry are opticianry, orthopthics and ocularist

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.. anak saya disahkan rabun seusia 4 bulan oleh doktor pakar di hospital kerajaan. doktor juga ade mengatakan kemungkinan nystagmus pada mata anak. saya nak tanya kos kanta untuk bayi bagi merawat rabun-nystagmus dan adakah cara lain seperti pembedahan untuk merawat masalah mata ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Perlu dipantau keterukkan rabunnya jika usia adalah semuda itu, Sekiranya sahih bayi ada masalah nystagmus, intervensi perlu berlaku segera mungkin. Selepas pemeriksaan boleh di tentukan kaedah raatan terbaik. Sekiranya perlu kanta lekap untuk kanak kanak boleh membantu. Kos kanta berghantung pada jenis yang akan disyorkan. Untuk nystagmus tiada pembedahan yang boleh dilakukan. Perlu pemeriksaan segera, jangan berlengah kerana penglihatan boleh jadi lebih teruk.

      Delete