MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Friday, February 15, 2013


MASALAH PENGLIHATAN KANAK-KANAK


Salamunkhaulanmirrobbirrohim

Tuhan apakah kau tahu?
Hidupku sangat sempurna
dalam kesempurnaanku aku selalu berfikir tajam
dan ingin membahagiakan orang yang tak sempurna...

Tuhan...
aku ingin buta dan tak bisa melihat
aku ingin tuli dan tak bisa mendengar
aku ingin bisu dan tak bisa berbicara
aku ingin tidak mempunyai kaki dan tangan
untuk berjalan dan bekerja...
kerana aku ingin seperti mereka yang tak sempurna itu..
Kerana aku tahu aku mampu membantu mereka

Salam bahagia semua. Hari yang indah, minggu yang dilalui amat ceria meski pun begitu banyak tugasan. Maafkan saya kerana tidak bersama anda untuk beberapa hari berlalu. Kesibukan dengan tugasan dan persediaan beberapa acara mengusik ruang santai untuk bersama anda. Namun saya bersyukur kerana minggu ini berlalu dengan membawa seribu kenangan dan amat membahagiakan diri saya keluarga serta sahabat-sahabat saya.
Tarikh 11 Februari 2013 merupakan tarikh kerana yang tak akan dapat saya lupakan dalam lipatan sejarah saya. Tarikh itu seperti memberikan saya satu nafas baru untuk saya terus berjalan dan meneroka kehidupan yang mencabar. Satu turning point dalam mencapai kepuasan hidup ini. Buku saya yang pertama berjodol “MASALAH PENGLIHATAN MATA KANAK KANAK” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dilancarkan dengan rasminya. Paling menarik buku tersebut dilancarkan oleh insan yang menjadi idola saya yang juga pernah menjadi wanita pertama Malaysia iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Majlis perasmian dan pelancaran dibuat di Hotel Palace of The Golden Horses dan dihadiri oleh keluarga,sahabat, facebookers, penerbit buku dan juga media masa tempatan termasuklah RTM dan TV9. Majlis yang berlangsung selama 4 jam ini ditaja oleh D’stream Global Network Sdn Bhd. Selain dari kehadiran jemputan utama, majlis juga diserikan dengan persembahan artis yang diketuai oleh Siso Kopratasa, Man Wicitra, Kussut and the grup.
 

 
  
Persiapan telah bermula sejak 8 Januari dengan beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan hotel dan artis serta pengurusan majlis yang di ketuai oleh Cikgu Ahmad Din selaku Pengarah Urusan D’stream Global Network Sdn Bhd. Satu raptai ringkas telah berjalan pada 10 Januari diikuti dengan persiapan tempat bermula detik 12 malam pada hari yang sama. Pada 11 Januari kesibukan persediaan dan raptai bermula sejak jam 10 pagi.

Paling menarik dan amat menyentuh hati saya dan keluarga saya adalah persediaan D’stream Global Network Sdn Bhd untuk memberikan kejutan harijadi kepada bonda saya Puan Hajah Norlia Muhammad yang genap usianya 73 tahun serentak dengan perasmian buku saya dan bersama wanita yang cukup kami sekeluarga pandang tinggi iaitu Tun Dr Siti Hasmah di samping mempastikan anak-anak saya mengambil bahagian sebagai penghargaan kepada saya. Amat menyentuh hati saya.
  
Saat mendebarkan setelah semua pihak yang membantu dan menyokong saya bersiap siaga. Dapat saya lihat anak-anak saya Amir Hamzah, Iman Harris dan Mia Hannah segak dan bergaya dengan pakaian masing-masing. Tak lupa juga melihat kecantikan bonda saya dengan berpakaian hitam sedondon. Menarik lagi bila kakak-kakak dan abang ipar saya, Kak Julia Abdul Mutalib (yang saya panggil Kak Yang) dan suaminya Abang Sohaili dengan berpakaian merah dan suit hitam, Kak Nor Aida Abdul Mutalib (lebih senang saya panggil Dada) dan suami Abang Zakaria serta semua anak-anak mereka. Jauh dalam kesibukan persediaan saya melihat Cikgu Ahmad dengan segak, hebat dan bergaya berpakaian cheongsam bertatah naga di hadapan dan belakang meski pun beliau masih lagi bertongkat akibat dari kecederaan patah peha namun penuh semangat meninjau persiapan.
  
 
Tepat jam 2.30 petang, Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah sampai di perkarangan lobi hotel. Selepas bersalaman dengan saya dan Cikgu Ahmad, YABhg Tun terus mengenggam tangan saya seerat mungkin dan berjalan perlahan diiringi Cikgu Ahmad dan keluarga saya di belakang. Pada masa ini saya sedari Tun Siti Hasmah tidak lagi kuat pada zahirnya namun saya kagum bila dia dengan tenang penuh matlamat menapak satu persatu untuk bersama melancarkan buku saya. Sebak dan terharu melihat wanita berusia 87 tahun itu masih gagah pada semangat untuk melihat anak bangsanya maju dan Berjaya. Sepanjang langkah ke dewan perasmian YABhg Tun tak sunyi dari bercakap dengan saya dan Cikgu Ahmad. Pelbagai soalan dan hal yang diutarakan apatah lagi beliau memang mengenali Cikgu secara peribadi. Perbualan sepanjang menapak itu akhirnya berhenti di ambang dewan dan anak perempuan saya Mia Hannah menyampaikan jambangan bunga buat tetamu istimewa kami. Sesuatu yang amat menarik bila mana anak saya sendiri melakukannya.
 
Memasuki dewan dengan diiringi muzik latar Rebab Minang membuatkan saya terpesona. Selangkah demi selangkah dan kedengaran bait-bait sajak saya dipuisikan oleh Siso dari kumpulan Kopratasa. Sajak bertajuk “ Mata Itu dan Bintang Kejora” adalah hasil tulisan saya yang pertama bila berjinak-jinak dengan penulisan puisi dan cerpen yang disarankan oleh Cikgu Ahmad. Antara bait-bait yang juga dilagukan oleh Siso secara sepontan adalah:
     
Mata itu..
penuh anggun sinar kejora
namun merapuh lesu tiada daya
meredup dan mulai tak berbekas
lantas hilang tak bertepi dalam renungku

Saat ini dia ingin kembali
melakarkan cerah malam itu
bersama sisa-sisa lestarinya
walau telah lama berlalu
meski tak secerah dahulu
ku tahu dia mampu kembalikan
anggunnya malam yang berbintang
  
Terharu dan amat menyentuh hati. Apabila selesai Siso dengan puisi itu disambut pulak oleh pengacara majlis Man Krabat Wicitra dengan lagu ‘Bukan Kerana Nama’ dengan iringan gitar dan gemersik suaranya mencuri kebingitan dewan. YABhg Tun amat ceria dan sibuk bertanya itu dan ini pada saya dan Cikgu Ahmad yang duduk bersebelahan di kiri dan kanan beliau. Kejutan terus berlaku bila pengacara menjemput anakanda saya Amir Hamzah untuk membacakan doa selamat. Jauh di dasar hati ada airmata yang menitis atas sambutan yang diberikan. Saya sempat melihat anakanda saya memandang saya tepat sebelum berdoa. Terima kasih Tuhan atas anugerah ini.
Bila mana ucapan alu-aluan Cikgu Ahmad Din selaku Pengarah Urusan D’stream Global Network, beliau telah menyentuh berbagai aspek tentang buku dan diri saya. Saya difahamkan bahawa Cikgu Ahmad akan membacakan sajak saya berjodol Terima Kasih Tuhan dan menayangkan video saya tapi agak kecewa kerana sistem multi media gagal berfungsi secara tiba-tiba namun saya sekali lagi terkejut bila Cikgu menjemput anakanda saya Iman Harris menyampaikan jambangan bunga pada saya sebagai penghormatan dari keluarga saya. Tak ada perkataan yang dapat saya gambarkan pada perjalanan majlis yang diuruskan oleh Cikgu Ahmad. Terkesima pada setiap gerak acara. Menyuntik harapan dan iltizam pada perjalanan masa depan saya.
  
YABhg Tun Dr Siti Hasmah dijemput untuk memberikan kata ucap dan seterusnya melancarkan buku saya. Sekali lagi saya kagum melihat Tun. Meski pun teks yang disediakan dalam font yang besar (kerana mata Tun dah kurang jelas) namun beliau tidak sedikit pun menggunakan teks tersebut. Kagum kerana apa yang ditulis sama seperti apa yang diucapkan. Bagi saya daya ingatan beliau sangat kuat dan hebat. Dalam ucapan beliau yang dirakamkan oleh RTM dan TV9, beliau menyentuh tentang kewajipan ibu bapa dan guru dalam member perhatian pada kesihatan mata kanak-kanak. Dan buku yang saya tulis akan memberi input yang amat bermakna bagi institusi kekeluargaan dan persekolahan. Beliau juga menyeru lebih banyak syarikat-syarikat memberikan sokongan kepada penulis-penulis ilmiah dengan membiayai majlis pelancaran seperti yang dilakukan oleh D’stream Global Network Sdn Bhd.
 
  
  
Masa pelancaran tiba. saya dan Cikgu Ahmad mengiringi Tun untuk memecahkan simbol pelancaran buku saya yang di letakkan didalam ukiran ais berbentuk mata. Sangat menarik dan Tun cukup berhati-hati dalam gerakan memecahkan air batu. Seterusnya dilangsungkankan dengan pemotongan kek pelancaran buku. Kami amat terhibur denga gelagat Tun dan tingkah katanya yang sentiasa ceria dan mencuit rasa.
  
Selesai pelancaran. Majlis berhenti rehat untuk menjamah juadah yang disediakan. Dalam kesibukan menghadapi juadah, Tun mula didatangi oleh hadirin yang ingin meminta tanda tangan pada buku saya. Saya memerhati gelagat Tun yang dengan tenang melayan peminat-peminatnya. Begitu juga saya turut menanda tangani buku-buku yang mereka beli. Amat senang sekali melihat Tun melayan tetamu yang hadir dengan kata dan jenaka yang cukup mencuit hati. Kita jadi lupa pada usianya yang sudah mencecah 87 tahun itu.
Di tengah kemeriahan, majlis disenyapkan dengan pengumuman dari Cikgu Ahmad supaya tetamu menumpukan perhatian ke layar putih yang disediakan di hadapan. Perlahan dan semakin kuat irama lagu Kasihnya Ibu dendangan Jamal Abdillah berkumandang dengan diiringi tayangan filem yang dihasilkan oleh Cikgu Ahmad sendiri serta pengucapan selamat hari lahir buat bonda saya Hajah Norlia Muhammad. Serentak dengan tayangan, majlis menjadi sepi seketika. Terdengar esakan di sana sini dan yang paling ketara adalah di sebelah saya iaitu Kak Yang yang tak henti-henti mengesat air mata melihat video berkenaan dengan lagu yang seperti memukau tetamu yang hadir. Perlahan saya menahan sebak di dada. Terharu, terkesima dan tersentuh dengan persembahan yang dicipta oleh Cikgu Ahmad. Cukup syahdu. Saya sempat memandang bonda yang sepanjang masa bersinar matanya dan Cikgu Ahmad berdiri hormat disebelahnya. Ceria dan bangga terpancar di wajah bonda meski pun di dalam hati saya tau ada air mata yang mengalir. Begitu juga dengan Tun yang terdiam seketika dan mengesatkan mata sambil memandang bonda saya.
Upacara memotong kek hari jadi bonda saya. Dia amat terkejut namun sempat bersama Tun bangun dan melaksanakan potongan kek yang dihadiahkan oleh anak cucu kepada ibu saya. Masih terdengar ucapan hari jadi Tun kepada ibu saya dan sembang bual yang berterusan diiringi dengan nyanyian lagu hari jadi secara beramai-ramai oleh anak cucu. Meriah dan amat menarik dalam sudut hati dan pandangan saya. Kagum kerana peristiwa itu hadirnya pemimpin besar negara. Serentak dengan itu beberapa puisi dan lagu terus berkumandang sebagai santapan telinga tetamu yang meneruskan juadah. Siso , Man Wichitra dan Kussut and the grup tidak menghampakan saya dan Cikgu Ahmad. Sehingga Siso dipanggil oleh Tun untuk menyanyikan lagu Warisan yang pernah didendangkan oleh Sudirman Hj Arshad di samping lagu-lagu dari album Kopratasa yang masih lagi dikenang seperti Permata Buat Isteri, Masihkah Kau Ingat dan beberapa lagi yang diteruskan oleh penyanyi lain. Hebat gandingan penyanyi-penyanyi ini.
 

 

 

 

 

YABhg Tun Dr Siti Hasmah masih tetap duduk di kerusinya. Tidak sedikit pun menampakkan isyarat untuk pulang sedang jam sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Timbul rasa hairan di hati dan sempat saya berbisik kepada Cikgu Ahmad tentang hal ini. Jawapan Cikgu mudah, Bonda Tun akan menunggu sampai habis dalam sesuatu majlis seandainya majlis itu menarik minat dan menceriakan beliau. Saya melihat Tun terus melayan tetamu yang masih lagi meminta tanda tangan beliau. Seperti awalnya, Tun dengan tenang dan ceria melayan seperti seorang artis melayan peminat. Tak ketinggalan juga saya yang terpaksa melayan permintaan untuk tanda tangan dari pembeli-pembeli buku. Dalam kesibukan itu sempat juga saya memenuhi permintaan RTM bagi menemubual saya untuk disiarkan dalam Berita jam 8 malam. Hampir jam 6 petang Tun berbisik sesuatu pada Cikgu Ahmad. Isyarat Cikgu kepada saya menunjukkan Tun akan berangkat pulang. Pengacara mengumumkan dan Tun bangun dengan terus mencapai dan menggenggam tangan saya. Kemas dan erat. Meletakkan beban berjalan pada saya. Saya menyambut dengan penuh kasih dan tanggung jawab sebagai anak, sebagai peminat dan sebagai rakyat yang kasihkan pemimpin.
 

 

 

 
Ucapan salam dan selamat jalan bersahutan petang itu. YABhg berlalu dengan senyuman dan kegirangan seperti tiada langsung rasa keletihan pada usianya yang kian lewat. Sungutan dalam senyuman tentang jambangan bunga di dalam kenderaan yang naiki meleraikan senyum dan tawa di kalangan yang menghantar. Jauh di sudut hatiku betapa saya berbangga dan terpesona pada sekujur tubuh yang dimamah usia namun masih mampu bergerak cergas dalam apa jua majlis dan aktiviti yang dianjurkan. Lalu terpanggil untuk saya terus berkarya tentang “mata dan wanita” seperti yang pernah saya impikan. Lambaian tangan Tun kian tenggelam dan hilang dalam neon-neon yang semakin bercahaya sekitar Hotel Palace of The Golden Horses. Warna dari sinar cahayanya seperti mencerahkan hati dan perasaan saya. Dalam keletihan saya sempat menoleh ke arah Cikgu Ahmad. Wajahnya ceria dan dari senyumannya menampakkan satu bentuk kepuasan yang tak dapat digambarkan. Saya dan rombongan kembali ke dewan untuk melihat sisa-sisa majlis yang masih tertinggal.

Dalam kesempatan yang ada, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga buat:
1.   YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta kakitangan Yayasan Perdana
2.   D’stream Global Network Sdn Bhd serta kakitangan
3.   Palace of the Golden Horses khusus untuk Naimah dan Farid
4. Keluarga: Kak Yang, Abang Sohaili, Dada dan Abang Zek sekeluarga. Saudara mara jauh dan dekat. Anak-anak: Amir Hamzah. Iman Harris, Mia Hannah
5. Dr Bashirah , Shekah, Gee Sulaiman, Khairul Asyhar Idris, Munira BenYahya, Jay Ahiri, Nor Saadah Rohani, Siti Darinawati Mohd Dom Arang, Dr Mohamad Rafie, Puan Bainun dan suami.
6.   Siso Kopratasa, Man Krabat Wichitra, Kussut dengan Kulat and the grup
7.   RTM, TV9, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Metro.
8.  Semua yang hadir sebagai tetamu saya yang saya anggap anda adalah yang istimewa.

KHUSUSNYA, Guru saya, Perunding Peribadi saya Cikgu Ahmad Din yang tak pernah kenal jemu menangani setiap permasalahan pada setiap event yang saya jalankan. Terima kasih semuanya yang membuatkan impian saya menjadi kenyataan.

Salam bahagia, salam hormat dari:

Haliza Abdul Mutalib