MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Wednesday, January 23, 2013


Setanggi harapan
Menitip haruman aroma di jiwa
Moga ada insan yang menyusun rasa
Menjadi arca
Nyata
Salamullah dan salam hormat dari saya,
24hb Januari 2013: Tarikh ini merupakan hari bersejarah bagi mahasiswa saya dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan Optometri dan  juga rakyat Kuala Kedah kerana kami akan bersama mereka selama 4 hari 3 malam, berkampung di Kota Kuala Kedah bagi menjayakan PROGRAM CITRA SISWA, Khidmat Bakti Masyarakat di sana bermula 24hb hingga 27hb Januari 2013. Saya akan membawa bersama asset yang telah dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada UKM iaitu KLINIK OPTOMETRI BERGERAK (KOB) yang dilengkapi segala peralatan canggih dan terkini bernilai 2.1 juta bertujuan memberi perkhidmatan penyaringan dan pemeriksaan mata percuma di samping pemberian cermin mata secara percuma mengikut kelayakkan dan keperluan yang terdapat melalui perkhidmatan KOB kami.
Di samping itu, bagi tujuan mendedahkan mahasiswa kami kepada masyarakat, satu Program Anak Angkat juga akan dijayakan serentak di mana semua mahasiswa yang terlibat akan diserahkan untuk tinggal dengan keluarga angkat yang telah pun dipilih. Adalah menjadi matlamat kami melalui program sebegini, mahasiswa akan belajar dan mendekati budaya setempat yang sekaligus bakal digunakan oleh mereka apabila berakhir pengajian mereka nanti dan bergelar graduan UKM.




Sebagaimana selalu, program optometri dan KOB, UKM akan didokong bersama Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia. Kelab FSP telah menjadi tunjang kepada kerjasama sepasukan dengan KOB, UKM sejak dari tahun lepas menjayakan aktiviti dan program yang telah pun berlangsung dan disusun bersama sepanjang 2012. Tidak ketinggalan juga Program Citra Siswa OPKOM21 di Kuala Kedah ini, Kelab falsafah Sebagai Pedoman Malaysia telah mendapat kerjasama secara langsung dengan satu lagi pertubuhan iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah yang mana bertindak sebagai penganjur kerjasama setempat. Kerjasama dua kelab dan gabungan ini amat bererti pada kami di Fakulti Sains Kesihatan dalam merealisasikan program cadangan mahasiswa kami.   Turut tidak dilupakan adalah sokongan satu lagi kelab iaitu Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia yang telah memberikan sokongan moral sebagai pemangkin kerjasama dalam menjadikan program ini berjaya. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada ketiga-tiga kelab gabungan ini khususnya peneraju utama iaitu Cikgu Ahmad Din dari Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia, Dr Zaki Zamani dari GPMS Kuala Kedah dan Sdra Sherhan Nizam Abdul Aziz dari Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia. Terima kasih, tahniah dan syabas.
Dalam menentukan perancangan program ini berjalan dengan tersusun dan lancar, saya telah dua kali berada di kawasan utara khususnya Kuala Kedah dan sempat berjumpa secara peribadi dengan Yang Berhormat Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir, ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjemput dan mempersilakan beliau bagi merasmikan Program Citra Siswa di Kuala Kedah nanti. Di samping itu, saya dan rombongan juga telah diberi kesempatan untuk di wawancara selama setengah jam secara langsung "on air" di radio RTM Kedahfm pada 21hb Januari 2013 bersama Dr Zaki Zamani, Pengerusi GPMS Kuala Kedah.








Secara umum, saya ingin melakarkan bahawa Program Citra Siswa ini akan berlangsung dengan dua matlamat khas. Pertama untuk memberikan khidmat bakti secara percuma kepada masyarakat dan rakyat setempat dan keduanya adalah membentuk satu keyakinan diri kepada mahasiswa kami agar sentiasa bersedia untuk berada di kalangan masyarakat bila mereka telah menamatkan pengajian. Oleh itu, saya dan Kelab Falsafah Sebagai Pedoman Malaysia dengan kerjasama GPMS dan PBPMM telah menyediakan aktiviti sampingan kepada mahasiswa kami khusus untuk menbentuk pemikiran, penampilan dan keyakinan serta jati diri yang tinggi di kalangan mahasiswa. Saya amat berharap, ruangan yang kami sediakan untuk masyarakat dan mahasiswa secara sekaligus ini, akan menghasilkan sesuatu yang positif kepada semua pihak.






Kehadiran Yang Berhormat Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir untuk merasmikan majlis pembukaan pada jam 5 petang 24hb Januari nanti adalah satu pencetus dan iltizam kepada mahasiswa kami. Tidak lupa juga dengan kehadiran beberapa penceramah jemputan yang sudi memberikan kerjasama dan khidmat bakti secara percuma demi rakyat bagi memenuhi slot ilmu dan pengetahuan kepada rakyat setempat. Meraka yang terdiri dari berbagai golongan seperti Prof Madya Dr Lim Swee Tin seorang penyair dan sasterawan, Kamal Affandy hashim, seorang penganalisis jenayah, Norzaini Mohamad @ Awang BPR, seorang penyanyi, dan penceramah dari AADK Kedah. Kehadiran mereka mencerminkan kesungguhan mereka untuk turut sama menabur bakti kepada masyarakat mengikut cara dan gaya mereka sendiri. Terima kasih terlebih dahulu saya ungkapkan buat mereka yang sudi bersama kami.
Prof Madya Dr Lim Swee Tin
                              Sdra Kamal Affandy Hashim            Awang BPR
Sesungguhnya, tiada kata yang dapat melahirkan perasaan saya dan mahasiswa saya kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Program Citra Siswa ini, hanyalah seukir bahasa,

Eratnya tali mengikat persaudaraan ini
seperti jalinan warna pada indahnya pelangi
dan bunga-bunga turut bermelodi
menyemarak kasih, mendamai suasana

Canda tawa mengiringi hilai kerja kita
badai taufan diterjah bersama
hati disatukan berirama 
dalam eratnya gandingan tangan
melangkah dengan satu visi

Ayuh sahabat
ayuh melangkahlah sederap
menggapai misi bersama
membangunkan dunia baru
penuh cinta melimpah kasih
agar semakin banyak jiwa
menikmati anugerah kasihNya
mengukir ketenangan baharui iltizam

Pancangkan lilin-lilin kecilmu
nyalakan terangnya dunia ini
biar kerdil pancaranmu
kerana hadirmu bersalut erti
bagi mereka yang tenggelam 
dalam gelapnya arus zaman

Teruslah nyalaanmu
hangatkan dunia kita bersama
agar anak-anak kita nanti
mampu untuk berayun buai
di atas ladang mereka sendiri

ayuh sahabat
ayuh bangkitlah bersama...

haliza mutalib
23/01/13
suatu senja di batas kota

Akhirulkalam, ayuh rakyat Kuala Kedah, ayuh sahabat maya , ayuh bersama merealisasikan program Citra Siswa ini. saya akan bersama anda selama 4 hari 3 malam di sana.

Salam bahagia dan salam hormat dari saya..

Haliza Abdul Mutalib

Friday, January 18, 2013


RAWAT RABUN JANGAN LENGAH

Ambliopia

Ramai ibubapa yang khuatir untuk merawat rabun mata anak mereka setelah diberitahu tentang ralat refraksi yang dialami anak mereka. Alasan yang selalu didengar adalah...”biarlah dulu...dia masih kecil”, ”apa pulak pandangan orang kalau budak sekecil ini sudah memakai cermin mata” dan ”mungkin ini akan jadi baik sendiri kiranya di biarkan begitu sahaja”.

Ada juga mitos yang mengatakan sekiranya rawatan rabun diberikan terlalu awal akan menyebabkan kuasa mata tinggi dan mata jadi bertambah rosak.

Ambliopia berasal dari bahasa Greek yang bermaksud ‘dulled vision’. Ambliopia dikenali di kalangan masyarakat sebagai ‘mata malas’ ataupun lazy eyes.   Ianya merupakan suatu keadaan di mana tahap penglihatan adalah kurang dari normal tanpa ada sebarang kerosakan nyata pada mata.  Keadaan ini tidak boleh dibaiki hanya dengan pemakaian cermin mata ataupun kanta sentuh. Ianya memerlukan terapi ortoptik untuk mengembalikan penglihatan ke tahap normal.

Ambliopia adalah satu keadaan mata di mana mata tidak mencapai tahap penglihatan optimum meskipun kuasa refraksi mata telah dibetulkan. Penyebab bagi mata malas  adalah rabun yang tidak dibetulkan untuk satu tempoh hingga menyebabkan mata sudah malas untuk melihat imej dengan tajam. Kejadian seperti kejulingan (strabismus) boleh disebabkan oleh rabun yang tidak dibetulkan sehinggakan mata tersebut terarah pada paksi lain. Bagi kanak-kanak yang berumur kurang dari 3 tahun dan mempunyai kejulingan, ambliopia boleh terjadi dalam masa beberapa minggu sahaja. Sekiranya ianya dibiarkan kanak-kanak ini akan kekal juling dan mata juling akan menjadi malas dan tidak dapat dirawat lagi. Faktor penyebab lain adalah keadaan anisometropia di mana kuasa mata adalah berbeza antara dua mata. Mata yang rabun teruk akan menjadi ambliopik. Ambliopia juga boleh terjadi pada kanak-kanak yang mengalami katarak kongenital atau katarak traumatik dan kebiassannya lebih tinggi risikonya jika berlaku pada satu mata. Ambliopia tidak boleh dibaiki hanya dengan memakai cermin mata atau kanta sentuh sahaja tetapi mereka memerlukan terapi ortoptik intensif. Terapi ortoptik adalah terapi insentif yang membabitkan banyak latihan mata seperti memfokus untuk melihat objek kecik seperti memasukkan benang dalam jarum. Faktor-faktor lain yang boleh menyebab ambliopia adalah seperti mata ptosis (kelopak mata yang layu), berlaku halangan seperti parut dan kelegapan di media mata.

Masalah ambliopia sukar dikesan oleh ibubapa sendiri. Adakalanya kanak-kanak itu sendiri tidak tahu untuk melapor kekaburan kerana mereka sendiri tidak pernah dapat melihat dengan baik sebelum ini untuk membezakan antara terang dan kabur. Sekiranya kanak-kanak itu masih mempunyai satu mata yang baik, kanak-kanak tersebut akan menggunakan mata yang baik untuk melihat dan tidak akan melaporkan kekaburan penglihatan.

Ambliopia boleh berlaku pada satu mata (unilateral) ataupun kedua-dua mata (bilateral). Ambliopia unilateral berlaku apabila salah satu mata mempunyai ralat refraksi yang besar manakala mata yang satu lagi adalah normal ataupun mempunyai ralat refraksi yang kecil. Ini akan menyebabkan mata yang lebih baik (iaitu yang normal atau ralat refraksi yang lebih kecil) befungsi secara aktif manakala mata yang lemah akan malas untuk berfungsi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlanjutan, lama-kelamaan mata yang lemah terus menjadi malas meskipun setelah dibaiki rabunnya dengan cermin mata.
                  
Adakalanya kedua-dua mata (ambliopia bilateral) mempunyai ralat refraksi yang besar dan tidak dibetulkan untuk tempoh yang lama. Akibatnya penglihatan masih rabun meskipun setelah dibetulkan dengan cermin mata.

Masalah ambliopia dapat di kesan hanya melalui pemeriksaan mata oleh Optometris. Setiap kanak-kanak perlu berjumpa Optometris sebelum berumur 7 tahun untuk pemeriksaan penglihatan yang komprehensif. Hanya dengan pemeriksaan mata yang rapi, ambliopia dapat dikesan dan  dirawat segera. Terapi ortoptik yang insentif perlu dijalankan dengan segera untuk merawat keadaan ini. Ambliopia boleh menyebabkan  penurunan tahap penglihatan yang ketara dan boleh menganggu prestasi pelajaran kanak-kanak. Tahap penglihatan yang rendah boleh mengganggu kebolehan kanak-kanak untuk melihat dengan baik huruf tulisan di papan hitam ataupun membaca buku. Sekiranya masalah ini berlanjutan kanak-kanak akan terus hilang minat dan tumpuan terhadap pelajaran. Di sini letaknya kepentingan untuk pemeriksaan mata kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Mata ambliopik ini boleh dirangsang kembali dengan menjalani terapi intensif seperti pengatupan total. Adalah penting kedua-dua mata diperiksa dengan sempurna oleh Optometris bertauliah bagi memperbaiki ralat refraksi pada kedua-dua mata sama ada dengan cermin mata ataupun kanta sentuh. Bagi ambliopik unilateral kebiasaannya mata yang lebih baik akan di tutup dengan pengatup berpelekat, pengatup plastik ataupun kanta sentuh legap. Secara tidak langsung kanak-kanak perlu menggunakan mata yang lemah untuk melihat. Ketika rawatan tersebut dijalankan kanak-kanak biasanya akan di bimbing untuk melakukan kerja dekat seperti mewarnakan objek-objek kecil, menyambung titik-titik (join the dots) dan aktiviti seperti memasukkan benang dalam manik. Kerja-kerja yang dilakukan bergantung pada tahap penglihatan pada mata yang lemah. Kerja-kerja yang lebih rumit akan diberikan setelah kanak-kanak menunjukkan kemajuan. Tempoh mata dikatup bergantung pada darjah keterukan ambliopia dan biasanya adalah bagi tempoh 2 hingga 4 jam sehari setiap hari. Kebiasaannya ketika aktiviti terapi dijalankan, kanak-kanak dinasihatkan berada dibawah pengawasan ibubapa dan berada dalam lingkungan rumah.

Biasanya terapi intensif mempunyai prognosis yang lebih baik sekiranya dijalankan pada kanak-kanak yang berumur kurang dari 7 tahun. Walaubagaimanapun terapi masih boleh dicuba keatas kanak–kanak yang berumur kurang dari 12 tahun. Setelah melepasi tempoh kritikal ini, kebarangkalian untuk mendapatkan penglihatan yang normal adalah tipis. Dalam kes yang melibatkan kejulingan, surgeri untuk meluruskan mata perlu dilakukan dahulu.

Sekiranya terapi ortoptik dijalankan dengan intensif dan teratur, peningkatan tahap penglihatan boleh dilihat dalam tempoh 1 – 2 bulan.. Terapi ortoptik perlu dijalankan setiap hari sengga tahap penglihataan terbaik dicapai. Apabila tahap penglihatan terbaik sudah tercapai, terapi ini dilanjutkan selama beberapa bulan sebelum dihentikan perlahan-perlahan untuk mengelakkan ambliopia kembali terjadi.

Sekiranya masalah ambliopia ini tidak dikesan dan dirawat awal, ianya boleh  mengakibatkan rabun penglihatan yang kekal dan juga boleh mengganggu persepsi kedalaman (stereopsis). Adalah wajar untuk membawa anak-anak anda menjalani pemeriksaan mata sekurang kurangnya setahun sekali. Sekiranya anak anda sudahpun bercermin mata, pemeriksaan penglihatan masih perlu diulangi sebaik-baiknya setiap 6 bulan atau lebih kerap lagi.

Perlu diingatkan pada ibubapa bahawa tahap penglihatan yang baik (sekurang-kurangnya 6/9) diperlukan sebagai syarat untuk mendapatkan lesen memandu apabila meningkat dewasa nanti. Masalah ambliopia yang tidak dirawat sebelum usia 12 tahun akan menyebabkan masalah rabun kekal. Sekiranya ini berlaku pada anak anda, dia mungkin akan menyekat peluangnya untuk memiliki lesen memandu yang sah apabila dewasa kelak.
Kanak-kanak ambliopia sedang menjalani 
latihan ortoptik untuk melatih mata yang lemah. 
Mata yang lebih baik ditutup dengan pengatup 
berpelekat. Ambliopia boleh dirawat dengan 
mengadakan latihan intensif ortoptik sebelum 
kanak-kanak mencecah umur 12 tahun.
Pemeriksaan mata ke atas kanak-kanak perlu 
dilakukan sebelum umur 7 tahun untuk mengesan 
dan membetulkan sebarang kesalahan refraksi jika ada.
Penglihatan bayi boleh  bertambah baik 
dengan pemakaian kanta sentuh. 
Bagi kanak-kanak yang tidak komplian 
terhadap pemakaian cermin mata, kanta sentuh 
adalah alternatif terbaik.

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 17, 2013


RAWATAN PENGLIHATAN DENGAN KANTA SENTUH

Mungkin ramai ibubapa akan bertanyakan bolehkah seorang bayi memakai kanta sentuh. Jawapannya; boleh. Masyarakat masa kini hanya mempersepsikan pemakaian kanta sentuh adalah untuk orang dewasa sahaja dan  tidak pernah terfikir ianya boleh direalisasikan pada kanak-kanak. Perkara yang perlu difahami adalah tujuan sebenar pemakaian kanta sentuh. Kanta sentuh dipakai bukan untuk kelihatan cantik tetapi ada banyak sebab lain bayi atau kanak-kanak perlu dipakaikan dengan kanta sentuh.

Bayi atau kanak-kanak tidak akan lari dari masalah penglihatan dan penyakit mata. Adakalanya bayi yang dilahirkan mempunyai kuasa refraktif yang sangat tinggi yang memerlukannya memakai kanta pembetulan di usia yang muda. Begitu juga adakalanya bayi dilahirkan dengan masalah mata seperti kongenital katarak, glaukoma dan lain-lain yang boleh menyebabkan penglihatan terjejas teruk.

Bayi yang mempunyai penglihatan yang teruk tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ramai ibubapa yang mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja kanak-kanak tersebut tanpa pembetulan yang sepatutnya sehinggalah kanak-kanak tersebut berada di pra persekolahan. Kelewatan ini boleh menjejaskan penglihatan ke tahap teruk yang disebut sebagai ambliopia (mata malas). Ianya sukar dirawat tanpa terapi penglihatan. Ambliopia boleh berlaku sekiranya mata tidak mendapat stimulasi yang cukup untuk berfungsi normal dan juga kuasa refraktif yang tidak dibetulkan menyebabkan penglihatan kabur sentiasa.

Keadaan mata malas kanak-kanak sememangnya boleh berlaku tanpa disedari oleh ibubapa. Ianya bertambah sukar untuk dikenalpasti sekiranya ianya hanya berlaku pada sebelah mata sahaja. Meskipun anda fikirkan penglihatan anak anda telah dibetulkan dengan cermin mata, tidak semestinya ianya telah dapat memberikan penglihatan optimum. Anda perlu bertanya pada pakar Optometris anda tahap penglihatan atau visual acuiti (VA) anak anda.

Tahap penglihatan atau akuiti dikebanyakkan klinik atau di praktis Optometri menggunakan Carta Snellen sebagai Ujian mengukur tahap penglihatan. Anda memerlukan VA terbaik 6/6 untuk membolehkan anda membaca baris terkecil pada jarak 6 meter. Sekiranya anak anda tidak memiliki tahap penglihatan sedemikian ini bermakna penglihatannya adalah dibawah paras normal.

Sememangnya hampir kesemua masalah penglihatan boleh dibaiki dengan cermin mata namun ada sesetengah keadaan yang memerlukan seseorang bayi yang masih kecil untuk memakai kanta sentuh. Pemakaian kanta sentuh dapat membetulkan kuasa refraksi yang dimiliki bayi tanpa memerlukan pemasangan cermin mata dimuka kecil.

Tidak disangkalkan cermin mata dalam membantu memulihkan masalah penglihatan. Lazimnya, ia mungkin sesuai untuk kanak-kanak yang telah bersekolah dan boleh mengendalikan dengan baik. Persoalan yang timbul ialah adakah kaedah konvensional ini boleh diaplikasikan untuk kanak-kanak berusia kurang dari tiga tahun atau seorang bayi yang dikesan menghadapi masalah penglihatan sejak dilahirkan? Tentu tidak. Malah, penggunaan cermin mata pada peringkat ini bukan saja tidak praktikal, malah ia menyebabkan kanak-kanak atau bayi terbabit berasa rimas. Sehubungan itu, bagi menangani masalah ini kanta sentuh khas untuk kanak-kanak adalah jawapannya.

Sama ada untuk teraputik mahupun kosmetik, selama ini ramai beranggapan kanta sentuh hanya sesuai untuk remaja dan orang dewasa. Kanta sentuh adalah alternatif terbaik untuk menangani masalah penglihatan di kalangan bayi dan kanak-kanak. Malah, ia juga diakui selamat dan berkesan.

Dilengkapi dengan ciri-ciri istimewa yang direka khas, kanta sentuh ini boleh diperoleh dalam pelbagai saiz, kelengkungan dasar, jenis material, kuasa refraktif dan warna yang berbeza-beza. Bergantung kepada keperluan seorang kanak-kanak, ia boleh digunakan untuk tempoh sementara atau sepanjang hayat. Penggunaan kanta sentuh ini lebih pratikal sekiranya bayi terbabit dikesan menghadapi masalah penglihatan sejak lahir seperti katarak kongenital. .Tidak seperti orang dewasa, sesetengah bayi yang menghadapi masalah katarak sejak dilahirkan tidak boleh mengantikan kanta asal yang berkatarak dengan kanta intraokular (palsu). Ini kerana, mata bayi masih boleh membesar beberapa milimeter sehingga usianya tiga tahun. Penggunaan kanta mata palsu di kalangan bayi atau kanak-kanak boleh meningkatkan risiko ia teralih dari kedudukan asal akibat proses tumbesaran.

Kebanyakan masalah penglihatan pada kanak-kanak dirawat ketika memasuki Tahun Satu persekolahan. Peratusan kanak-kanak yang memerlukan pembetulan penglihatan sebelum memasuki alam persekolahan semakin meningkat kebelakangan ini. Kebiasaannya, masalah ini boleh diperbaiki dengan sepasang cermin mata. Namun, katanya penggunaan cermin mata pada usia yang terlalu muda boleh menghilangkan keyakinan diri seorang kanak-kanak. Ini kerana, mereka sering menjadi perhatian, bahan ejekan atau cemuhan sama ada di kalangan rakan-rakan mereka mahupun orang-orang disekeliling mereka.

Kadar keberkesanan penggunaan kanta sentuh pada kanak-kanak terutamanya yang afakik, bergantung pada banyak faktor Ini termasuklah umur, masalah mata malas dan terapi penglihatan selepas pembedahan. Lebih awal seseorang kanak-kanak mendapat rawatan, lebih baik hasil yang diperoleh. Begitu juga dengan kepatuhan pesakit pada tempoh penggunaan kanta sentuh ini, terapi penglihatan dan pemeriksaan penjagaan. Kesemua ini bertujuan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa mempunyai penglihatan yang baik. Pada masa yang sama, mereka perlu dipastikan bebas dari sebarang jangkitan yang berkait dengan penggunaan kanta sentuh.

JENIS KANTA SENTUH KHAS
Untuk pemasangan ke atas bayi kebiasaannya kanta yang digunakan berupaya menyerap oksigen dengan banyak masuk ke dalam kornea. Kanta sentuh itu juga perlu mempunyai ciri yang dapat mencengkam lembut mata bayi. Ini dapat mengelakkan kanta sentuh terkeluar apabila bayi menangis ataupun ketika mandi. Penyerapan oksigen yang banyak ke dalam mata perlu untuk memastikan kesihatan okular sentiasa terjaga terutamanya mata sikecil selepas surgeri.

KANTA SENTUH JENIS HEMA
Kanta sentuh lembut seperti HEMA yang mempunyai kandungan air dari 45 – 78% boleh digunakan selama 16 jam sehari sehingga dua hari berturut-turut. Tempoh pemakaian  bergantung pada peratusan kandungan air dalam kanta dan juga keadaan mata bayi. Anda perlu meminta nasihat pakar Optometris tentang cara pemakaian kanta sentuh pada mata bayi.

KANTA SENTUH JENIS SILIKON.
Kanta yang diperbuat dari silikon ini kebiasaanya disyorkan untuk bayi yang berusia kurang dari satu tahun dan juga kanak kanak yang mempunyai masalah afakia. Kanta sentuh jenis ini mampu membenarkan oksigen masuk kemata secukupnya terutama ketika bayi tidur. Keadaan afakia kebiasaannya memerlukan kuasa refraktif tinggi ( +16D hingga +32D). Pemakaian cermin mata adalah tidak munasabah sama sekali kerana berat dan  terlalu tebal. Kanta sentuh yang disyorkan ini juga dibolehkan pakai hingga 30 hari berturutan dimana ibubapa tidak perlu menanggalannya setiap hari tetapi memadai dengan memantau kesihatan okular bayi. Ibubapa hanya perlu berwaspada sekiranya terdapat tanda kemerahan ada mata ataupun terdapat bayak discaj mata. Penghantaran oksigen ke mata melalui penggunaan kanta sentuh silikon ini adalah enam kali ganda lebih tinggi dari kanta sentuh HEMA. Bayi yang kerap tidur tidak akan menghadapi masalah kekurangan oksigen.Kanta ini mudah dimasukkan ke dalam mata. Ia juga tidak mudah terkeluar atau beralih kedudukannya ketika menangis atau digosok Ibu bapa hanya perlu memantau keadaan kanta sentuh ini dari masa ke semasa. Ia hanya perlu dibersihkan jika kotor dan kemudian boleh dimasukkan semula. Kanta sentuh jenis ini juga tidak mudah menyerap titisan ubat mata yang diberi.

KANTA SENTUH JENIS PAKAI BUANG
Kanta jenis ini sesuai untuk kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke atas dimana kanak-kanak lebih aktif diperingkat umur ini. Kos kanta sentuh ini lebih murah dan penjagaannya juga agak mudah. Oleh itu kadar kehilangan kanta yang kerap berlaku tidak menjadi satu masalah. Pada tahap ini, kanak-kanak biasanya boleh memberitahu ibu bapa jika kanta sentuh yang dipakai kotor dan perlu dicuci. Bagaimanapun, tempoh penggunaan kanta sentuh ini akan dikurangkan kepada jenis harian. Ia akan ditanggalkan ketika tidur dan dipasang pada waktu pagi. Kanta sentuh jenis ini boleh dijadikan pilihan sekiranya kanak-kanak masih banyak bergantung pada ubatan titis topikal untuk merawat mata selepas surgeri.

SIAPA YANG MEMERLUKAN
§   Bayi dan kanak-kanak afakik unilateral atau bilateral(selepas surgeri katarak)
§      Kanak-kanak yang mempunyai kuasa refraktif yang tinggi
§  Albino - ketiadaan iris mata (bahagian gelap pada mata). Mereka menghadapi masalah silau keterlaluan
§     Bayi yang dilahirkan tanpa iris (aniridia)
§   Kanak-kanak yang menghadapi masalah kornea yang bergerak-gerak (nistagmus)
§     Masalah silau (astigmatisma) yang serius pada sebelah mata
§     Kanak-kanak istimewa
§    Kanak-kanak lumpuh
§ Kanak-kanak yang mempunyai kedudukan kepala yang menyukarkan cermin mata diletakkan dengan baik
§    Perbezaan kuasa refraksi yang tinggi pada kedua dua belah mata
§   Terapi merawat mata malas

KOMPLIKASI TANPA RAWATAN
Masalah mata malas (ambliopia) boleh menyebabkan tahap penglihatan berada di bawah tahap normal. Keadaan ini perlu dibaiki secepat mungkin. Ia mungkin sukar dirawat atau tidak boleh dipulihkan selepas kanak-kanak mencecah usia tujuh tahun. Terapi pengatupan boleh dilakukan diiringi dengan terapi penglihatan  yang intensif.

KOMPLIKASI KANTA SENTUH
Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga tidak terkecuali terdedah dengan jangkitan jika ia disalah gunakan. Bagaimanapun, jangkitan akibat penggunaan kanta sentuh di kalangan kanak-kanak dilaporkan jarang berlaku.

Sekiranya, berlaku jangkitan virus, penggunaan kanta sentuh terpaksa dihentikan buat sementara. Lain-lain masalah penggunaan kanta sentuh termasuklah kanta hilang, kotor atau terkoyak. Kanta sentuh dapat digunakan dengan selamat sekiranya pemakai patuh dengan kaedah pembersihan dan teknik  penjagaan kanta sentuh.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN KANTA SENTUH
Pemakaian kanta sentuh dapat meningkatkan  keyakinan diri kanak-kanak. Kebiasaanya tahap penglihatan boleh di pertingkatkan satu baris dari pemakaian cermin mata hanya dengan pemakaian kanta sentuh. Sekiranya bayi mempunyai masalah nystagmus ataupun mata bergetar, kanta sentuh dapat membantu melenyapnya atau mengurangkan  getaran tersebut dan secara tak langsung dapat membaiki fokus mata. Adakalanya juga kanta sentuh dapat membantu keadaan mata yang juling. Di masa kini kanta sentuh banyak digunakan sebagai satu kaedah terapi untuk mengatasi masalah mata malas dan juga juling. Pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak bukanlah sesuatu yang aneh lagi, ianya telah banyak diaplikasikan di Malaysia dan kejayaan penggunaannya dari segi rehabilitasi penglihatan sudah nampak kejayaannya.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan & Pakar Optometris
Jabatan Optometri
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, January 15, 2013

Salam hormat dan salam bahagia.
Terkadang kita lupa, terkadang kita terleka. Atau barangkali kita memang tidak tahu tentang kepentingan sesuatu perkara hinggakan kita mengabaikan tumpuan dan perhatian terhadap kepentingannya. Marilah kita luangkan masa buat seketika untuk meneliti dan menghayati kembali tugas dan peranan kita sebagai ibu bapa atau pun guru sekaligus melihat ke arah anak-anak kita atau pelajar kita dengan sebuah renungan yang dalam. Apakah kita memberi perhatian terhadap kesihatan mata mereka. Hanya anda yang mengetahui..
KENALI MATA ANAK ANDA

Masalah penglihatan

Terdapat beberapa masalah penglihatan yang boleh menyebabkan penglihatan kanak-kanak terganggu. Kebiasaannya ia mula dikesan apabila kanak-kanak ini mula melangkah ke alam persekolahan. Guru di kelas yang biasanya dapat mengecam kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan yang ketara. Jarang sekali kanak-kanak kecil ini akan mengadu tentang kekaburan penglihatan. Kebiasannya mereka akan mengecilkan mata apabila cuba membaca di papan hitam, mempunyai postur kepala yang tidak normal apabila melihat objek, tidak dapat menyalin kerja daripada papan hitam dengan sempurna ataupun hilang terus minat untuk belajar. Ibu bapa perlu mengambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa Optometris secepat mungkin bagi mendapatkan pemeriksaan penglihatan mata komprehensif untuk menentusahkan status penglihatan anak-anak. Keadaan-keadaan yang boleh menganggu penglihatan kanak-kanak perlu dikenalpasti secepat mungkin.

Ambliopia (mata malas)

Ianya adalah satu keadaan di mana mata mempunyai penglihatan yang lemah  meskipun setelah dibaiki ralat refraksinya. Biasanya, ia berlaku pada kes juling ataupun  apabila tahap penglihatan di antara kedua-dua mata terlalu berbeza. Sekiranya tiada rawatan selepas berumur 12 tahun, kebiasaannya mata akan kekal lemah. Kaedah pengatupan ataupun terapi ortoptik biasanya dilakukan secara intensif untuk merawat mata yang lemah. Sekiranya mata yang lemah itu mendapat respon yang baik daripada latihan ortoptik, masalah mata lemah dapat diatasi dalam masa beberapa bulan.
Kejulingan

Boleh juga terjadi sekiranya satu mata bergerak ke arah luar, dalam, atas atau bawah.  Sekiranya berlaku dalam tempoh masa yang lama, mata tersebut boleh menjadi ambliopik. Jika kadar julingnya adalah sedikit, ianya mungkin boleh dipulihkan dengan terapi pengatupan (patching) pada mata yang baik. Adakalanya surgeri ataupun cermin mata berprisma boleh membantu mata untuk lurus kembali. Kaedah yang paling berkesan adalah dengan pemakaian kanta sentuh dan dengan melakukan terapi ortoptik.

Kesalahan refraksi

Rabun jauh, rabun dekat ataupun astigmatisma boleh terjadi kepada kanak-kanak. Jika tidak dibetulkan kanak-kanak akan melihat objek kabur sentiasa. Sekiranya ini berlarutan, tahap penglihatan kanak-kanak boleh terbantut dan menjadi lemah. Bagi ibu bapa yang memakai cermin mata (salah seorang atau kedua-duanya) kebarangkalian besar anak-anak juga akan mempunyai kesalahan refraksi yang memerlukan pemakaian cermin mata. Walaubagaimanapun, perlu diketahui bahawa pemakaian cermin mata bukan sahaja disebabkan oleh faktor genetik adakalanya ia dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Oleh itu, sekiranya anda dan pasangan anda mempunyai mata yang normal, itu tidak bermakna anak anda akan bebas daripada masalah penglihatan.
Rabun jauh

Juga dikenali sebagai miopia. Biasanya boleh dibetulkan dengan cermin mata atau kanta sentuh.

Rabun dekat

Atau presbiopia sering terjadi kepada orang yang berumur lebih 40 tahun. Kanak-kanak afakik (selepas surgeri katarak) juga memerlukan preskripsi untuk melihat pada jarak dekat.
Astigmatisma

Biasa disebut sebagai silau. Selalunya boleh menyebabkan sakit kepala teruk dan mata berair.

Penyakit Mata

Ibu bapa perlu tahu dan mengawasi penyakit-penyakit mata yang boleh terjadi kepada bayi. Bayi yang lahir pra-matang, tidak cukup berat badan atau dirawat dalam inkubator mempunyai risiko untuk mengalami penyakit mata.

Penyakit mata yang selalu dikaitkan dengan bayi yang lahir pra-matang ialah  retinopathy of prematurity. Ianya adalah satu keadaan di mana bayi pra-matang dirawat di dalam ventilator terlalu lama selepas lahir. Oksigen boleh menyebabkan konstriksi dan obliterasi salur darah-salur darah yang pra-matang di bahagian periferi retina. Ini boleh menyebabkan berlakunya penanggalan retina dan lain-lain sebab yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada penglihatan bayi.

Retinoblastoma adalah sejenis tumor merbahaya yang boleh terjadi seawal tahun pertama kelahiran. Tumor ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Kebiasaannya, anak mata bayi akan kelihatan bewarna putih pada mata yang terlibat. Adakalanya ia boleh mengancam nyawa bayi. Selalunya bebola mata yang terlibat akan dibuang.

Katarak kongenital biasanya boleh berlaku kepada bayi yang baru lahir. Sekiranya ia hanya menyebabkan gangguan penglihatan yang sedikit, ia tidak memerlukan surgeri. Tetapi, sekiranya katarak telah matang, selaput putih pada kanta kristalin mata perlu di buang dengan kaedah surgeri. Katarak yang terlampau matang boleh dilihat sebagai warna putih pada anak mata. Keadaan ini biasanya berlaku apabila ibu tidak mendapat suntikan rubella sebelum hamil.

Glaukoma kongenital jarang berlaku. Bagi bayi, ketinggian tekanan di dalam bebola mata boleh menyebabkan saiz kornea berubah daripada 11mm kepada 13mm. Sekiranya ia berterusan, tekanan yang tinggi ini boleh menyebabkan kerosakan pada saraf optik dan boleh membawa kepada kebutaan.

Infeksi neonatal boleh berlarutan dan menyebabkan berlakunya siplis kongenital dan rubella.  Kedua-dua keadaaan ini boleh menyebabkan perubahan pigmen pada retina. Ianya boleh menyebabkan terjadinya katarak kongenital dan nistagmus (bebola mata bergetar).
Cermin mata

Kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata setelah dikesan mempunyai rabun jauh atau lain-lain masalah penglihatan. Sebarang masalah penglihatan hendaklah dirawat secepat mungkin untuk menyelamatkan mata daripada terus menjadi malas dan tidak berfungsi. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada kanak-kanak yang memerlukan pemakaian cermin mata. Katakan kepadanya bagaimana cantik atau segak serta bergayanya dia apabila dia memakai cermin mata. Cuba hindari sikap mengejek kanak-kanak yang bercermin mata. Berjumpalah dengan guru kelas di sekolah untuk menerangkan masalah penglihatan yang anak anda sedang alami.

Pelbagai masalah sering timbul apabila anak-anak mula bercermin mata. Ada ibu bapa yang menghadkan pemakaian cermin mata hanya apabila anaknya ke sekolah. Apabila pulang dari sekolah, cermin mata disimpan dan tidak lagi dipakai. Ini kononnya dapat mengurangkan kuasa mata jika tidak dipakai selalu. Ramai orang tua membuat anggapan lebih lama cermin mata dipakai, mata akan lebih bergantung kepada cermin mata dan mata akan lebih rosak. Anggapan ini adalah salah sama sekali. Pemakaian cermin mata yang tidak konsisten akan menyebabkan kuasa mata akan naik dengan lebih cepat malahan mata akan lebih cepat menjadi penat apabila cuba melihat objek jauh dan kecil.
Pemeriksaan mata kanak-kanak perlu dilakukan sebaik-baiknya enam bulan sekali. Ramai yang tidak mengikut arahan ini malah hanya membuat pemeriksaan mata apabila anak mula mengadu penglihatannya kabur ataupun bila cermin mata pecah atau patah. Ada juga beranggapan dengan memakai cermin mata berkuasa rendah daripada sepatutnya boleh menyebabkan kuasa rabun jauh terkawal dan tidak naik lebih tinggi.  Pemeriksaan mata enam bulan sekali bagi kanak-kanak adalah untuk memastikan kuasa mata tidak bertambah dalam jangka masa itu. Sekiranya berlaku perubahan kuasa mata yang banyak, cermin mata perlu ditukar segera untuk memberikan kuasa kanta optimum pada mata. Kuasa kanta yang optimum mampu mengawal kuasa mata daripada melonjak terlalu tinggi. Kebiasaanya kanak-kanak perlu bertukar cermin mata untuk mendapatkan penglihatan yang optimum setiap masa.

Kanta sentuh

Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, cermin mata mungkin tidak berapa sesuai dipakai pada usia sebegini. Malahan ia akan mengundang jelingan-jelingan daripada orang sekeliling. Bagi bayi dan kanak-kanak yang memerlukan pembetulan refraksi, kanta sentuh khas kanak-kanak boleh dipasangkan oleh pakar Optometris. Kanta sentuh khas untuk kanak-kanak ini tidak sama seperti yang dipasang pada mata orang dewasa. Kanta ini diperbuat daripada material silikon dimana ianya selamat dipakai untuk tempoh 30 hari tanpa buka dan ianya boleh dipakai tidur. 
Ciri istimewa kanta sentuh khas ini adalah ianya membenarkan oksigen yang banyak memasuki mata dan jarang mendatangkan komplikasi pada mata jika dijaga dengan baik. Apabila kanak-kanak ini sudah semakin membesar, kanta sentuh boleh diganti semula dengan sepasang cermin mata. Sekiranya kanak-kanak masih ingin memakai kanta sentuh ataupun ada sebab sebab tertentu yang memerlukannya memakai kanta sentuh, kanak-kanak sendiri boleh dilatih untuk memasukkan dan mengeluarkan kanta sentuh sendiri serta tahu dan faham cara penjagaannya.

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, January 14, 2013


Perkembangan Penglihatan Kanak-kanak

Penglihatan adalah salah satu sensori yang sangat penting dalam membantu pekembangan dan tumbesaran kanak-kanak. Setiap ibubapa patut berwaspada dan tahu tentang perkembangan penglihatan anak mereka, sama ada normal ataupun tidak. Ibubapa perlu tahu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara penglihatan normal ataupun tidak kerana apa yang di lihatnya secara lansung akan diterimanya sebagai normal. Oleh itu jangan tunggu untuk anak anda memberitahu anda atau mengadu yang pandangannya kelihatan kabur ataupun penglihatan tidak cukup tajam, ianya tidak akan berlaku. Sekiranya anda adalah ibubapa yang perihatin anda mungkin dapat mengesan masalah penglihatan anak-anak anda melalui aktiviti-aktiviti yang berlangsung di rumah.

Tanda-tanda masalah penglihatan pada kanak-kanak

  • Mengecilkan kelopak mata  ketika menonton TV atau cuba membaca papantanda.
  • Juling atau cuba menutup satu mata dengan telapak tangan
  • Meneleng atau menjeling ke satu arah ketika cuba fokus
  • Sering menggosok mata
  • Suka mengelip mata secara terlampau (twitching)
  • Mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • Lahir pramatang
  • Perkembangan terbantut seperti lambat berjalan
  • Mempunyai penyakit sistemik seperti diabetes atau HIV
Sekiranya  anda mengesan masalah di atas, berulang-ulang kali, anak anda mungkin mempunyai masalah penglihatan. Segeralah dapatkan pemeriksaan dan nasihat dari Optometris. Optometris akan melakukan pemeriksaan mata secara komprehensif dan dapat mengesahkan  keadaan tersebut dengan segera .

Bayi
Bagi bayi, kebiasaanya pemeriksaan mata akan dilakukan oleh pakar kanak-kanak ketika bayi baru lahir dan juga ketika lawatan susulan ke klinik sepanjang tempoh setahun. Setiap bayi sepatutnya menjalani pemeriksaan mata. Bayi selalunya dapat mengesan pergerakkan objek sebelum dapat melihat objek dengan baik. Kebiasaannya bayi dapat melihat wajah ibunya dengan jelas hanya selepas berumur seminggu. Ketika ini persepi warna dan kedalaman belum lagi sempurna. Koordinasi mata dan otot mata juga masih tidak matang dan ini adakalanya menyebabkan bayi kelihatan juling. Kejulingan ini boleh terhapus dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar. Tetapi jika darjah kejulingan kelihatan semakin besar dan sekiranya makin kerap berlaku and perlu bertindak segera.
Sekiranya anda ingin menguji sama ada mata bayi anda sebenarnya berfungsi ataupun tidak, anda boleh mencuba mengikuti tips berikut.

  • Tampal pelekat mata pada salah satu mata bayi. Sekiranya bayi menangis atau menjadi resah ini bermakna mata yang terbuka mungkin tidak berfungsi dengan baik. Ulang dengan mata yang satu lagi. Anda juga boleh menekup mata bayi anda dengan menggunakan tapak tangan.
Kanak-kanak
Pada usia awal persekolahan, perkembangan penglihatan sudah hampir sempurna. Ketika ini jika ada sebarang tanda yang menunjukkan penglihatan terganggu, ianya amat mudah dikesan. Anda perlu selalu memerhatikan tingkahlaku anak anda seperti menonton TV terlalu dekat atau memegang buku terlalu dekat dengan mata, mata menjadi juling ketika penat atau cuba melihat sesuatu objek, kepala suka meneleng ke satu arah tertentu, mata yang selalu digosok-gosok ketika menonton TV atau cuba membaca sesuatu atau pun sensitif pada cahaya biasa. Sekiranya anak anda tidak menunjukkan sebarang tanda sebegini, anda masih perlu membawanya untuk pemeriksaan mata pada ketika berumur 7 tahun sekiranya anda atau pasangan anda mempunyai rabun mata. Rabun adalah satu keadaaan yang boleh diheriditasi dari genetik. Sekiranya saudara-mara terdekat juga mempunyai sejarah rabun atau penyakit mata adalah lebih baik untuk bawa anak-anak anda untuk pemeriksaan mata. Ini adalah kerana, kadang kala, penyakit mata atau ralat refraksi hanya dapat di kesan oleh Optometris setelah menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan instrumen tertentu.
Pemeriksaan mata ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun sangat penting kerana sekiranya kanak-kanak ini mempunyai sebarang masalah yang memerlukan pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau terapi penglihatan, ianya dapat dilakukan dengan segera dan dibetulkan sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap 6 bulan untuk memastikan progresi ralat refraksi dapat dikesan. Jangan bertangguh terlalu lama untuk menjalani pemeriksaan penglihatan kerana kuasa refraksi yang bertambah, jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan kenaikan kuasa ralat refraksi secara mendadak dan juga boleh menyebabkan risiko berlakunya mata malas.

Penyaring penglihatan yang biasanya dijalankan disekolah oleh pusat kesihatan adalah untuk mengesan secara kasar masalah penglihatan yang dialami oleh kanak-kanak. Ianya bukanlah satu pemeriksaan mata yang lengkap. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda dapat membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap oleh Optometris ketika diawal persekolahan.
Penglihatan yang tidak dirawat dari awal boleh membawa kepada masalah mata malas. Mata malas bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun ralat refraksi telah dibetulkan. Ini boleh berlaku pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya latihan terapi diberikan segera sebelum usia menjangkau 7 tahun, keadaan mata malas ini mungkin boleh dirawat. Sekiranya dibiarkan tanpa pembetulan ralat refraksi atau terapi penglihatan, mata tersebut akan menjadi lemah dan lama-kelamaan mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Kanak-kanak Istimewa
Golongan kanak-kanak istimewa juga seperti Sindrom Down juga mempunyai risiko rabun jauh dan kuasa astigmatisme. Oleh kerana kanak-kanak golongan ini mungkin tidak akan mengadu dan jarang melakukan aktiviti yang boleh menampakkan tanda-tanda rabun adalah penting penglihatan mereka diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali. Semasa pemeriksaan ini sebarang tanda ketidaknormalan okular boleh dikesan dan rawatan awal boleh dimulakan segera.
Pemeriksaan mata di usia awal sangat penting. Ibubapa juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penglihatan anak-anak. Kanak-kanak yang sihat tetapi mempunyai penglihatan yang lemah akan membantutkan perkembangannya terutama sekali dari segi pembelajaran. Pastikan anda menjadikan pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan.

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia