MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Thursday, January 17, 2013


RAWATAN PENGLIHATAN DENGAN KANTA SENTUH

Mungkin ramai ibubapa akan bertanyakan bolehkah seorang bayi memakai kanta sentuh. Jawapannya; boleh. Masyarakat masa kini hanya mempersepsikan pemakaian kanta sentuh adalah untuk orang dewasa sahaja dan  tidak pernah terfikir ianya boleh direalisasikan pada kanak-kanak. Perkara yang perlu difahami adalah tujuan sebenar pemakaian kanta sentuh. Kanta sentuh dipakai bukan untuk kelihatan cantik tetapi ada banyak sebab lain bayi atau kanak-kanak perlu dipakaikan dengan kanta sentuh.

Bayi atau kanak-kanak tidak akan lari dari masalah penglihatan dan penyakit mata. Adakalanya bayi yang dilahirkan mempunyai kuasa refraktif yang sangat tinggi yang memerlukannya memakai kanta pembetulan di usia yang muda. Begitu juga adakalanya bayi dilahirkan dengan masalah mata seperti kongenital katarak, glaukoma dan lain-lain yang boleh menyebabkan penglihatan terjejas teruk.

Bayi yang mempunyai penglihatan yang teruk tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ramai ibubapa yang mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja kanak-kanak tersebut tanpa pembetulan yang sepatutnya sehinggalah kanak-kanak tersebut berada di pra persekolahan. Kelewatan ini boleh menjejaskan penglihatan ke tahap teruk yang disebut sebagai ambliopia (mata malas). Ianya sukar dirawat tanpa terapi penglihatan. Ambliopia boleh berlaku sekiranya mata tidak mendapat stimulasi yang cukup untuk berfungsi normal dan juga kuasa refraktif yang tidak dibetulkan menyebabkan penglihatan kabur sentiasa.

Keadaan mata malas kanak-kanak sememangnya boleh berlaku tanpa disedari oleh ibubapa. Ianya bertambah sukar untuk dikenalpasti sekiranya ianya hanya berlaku pada sebelah mata sahaja. Meskipun anda fikirkan penglihatan anak anda telah dibetulkan dengan cermin mata, tidak semestinya ianya telah dapat memberikan penglihatan optimum. Anda perlu bertanya pada pakar Optometris anda tahap penglihatan atau visual acuiti (VA) anak anda.

Tahap penglihatan atau akuiti dikebanyakkan klinik atau di praktis Optometri menggunakan Carta Snellen sebagai Ujian mengukur tahap penglihatan. Anda memerlukan VA terbaik 6/6 untuk membolehkan anda membaca baris terkecil pada jarak 6 meter. Sekiranya anak anda tidak memiliki tahap penglihatan sedemikian ini bermakna penglihatannya adalah dibawah paras normal.

Sememangnya hampir kesemua masalah penglihatan boleh dibaiki dengan cermin mata namun ada sesetengah keadaan yang memerlukan seseorang bayi yang masih kecil untuk memakai kanta sentuh. Pemakaian kanta sentuh dapat membetulkan kuasa refraksi yang dimiliki bayi tanpa memerlukan pemasangan cermin mata dimuka kecil.

Tidak disangkalkan cermin mata dalam membantu memulihkan masalah penglihatan. Lazimnya, ia mungkin sesuai untuk kanak-kanak yang telah bersekolah dan boleh mengendalikan dengan baik. Persoalan yang timbul ialah adakah kaedah konvensional ini boleh diaplikasikan untuk kanak-kanak berusia kurang dari tiga tahun atau seorang bayi yang dikesan menghadapi masalah penglihatan sejak dilahirkan? Tentu tidak. Malah, penggunaan cermin mata pada peringkat ini bukan saja tidak praktikal, malah ia menyebabkan kanak-kanak atau bayi terbabit berasa rimas. Sehubungan itu, bagi menangani masalah ini kanta sentuh khas untuk kanak-kanak adalah jawapannya.

Sama ada untuk teraputik mahupun kosmetik, selama ini ramai beranggapan kanta sentuh hanya sesuai untuk remaja dan orang dewasa. Kanta sentuh adalah alternatif terbaik untuk menangani masalah penglihatan di kalangan bayi dan kanak-kanak. Malah, ia juga diakui selamat dan berkesan.

Dilengkapi dengan ciri-ciri istimewa yang direka khas, kanta sentuh ini boleh diperoleh dalam pelbagai saiz, kelengkungan dasar, jenis material, kuasa refraktif dan warna yang berbeza-beza. Bergantung kepada keperluan seorang kanak-kanak, ia boleh digunakan untuk tempoh sementara atau sepanjang hayat. Penggunaan kanta sentuh ini lebih pratikal sekiranya bayi terbabit dikesan menghadapi masalah penglihatan sejak lahir seperti katarak kongenital. .Tidak seperti orang dewasa, sesetengah bayi yang menghadapi masalah katarak sejak dilahirkan tidak boleh mengantikan kanta asal yang berkatarak dengan kanta intraokular (palsu). Ini kerana, mata bayi masih boleh membesar beberapa milimeter sehingga usianya tiga tahun. Penggunaan kanta mata palsu di kalangan bayi atau kanak-kanak boleh meningkatkan risiko ia teralih dari kedudukan asal akibat proses tumbesaran.

Kebanyakan masalah penglihatan pada kanak-kanak dirawat ketika memasuki Tahun Satu persekolahan. Peratusan kanak-kanak yang memerlukan pembetulan penglihatan sebelum memasuki alam persekolahan semakin meningkat kebelakangan ini. Kebiasaannya, masalah ini boleh diperbaiki dengan sepasang cermin mata. Namun, katanya penggunaan cermin mata pada usia yang terlalu muda boleh menghilangkan keyakinan diri seorang kanak-kanak. Ini kerana, mereka sering menjadi perhatian, bahan ejekan atau cemuhan sama ada di kalangan rakan-rakan mereka mahupun orang-orang disekeliling mereka.

Kadar keberkesanan penggunaan kanta sentuh pada kanak-kanak terutamanya yang afakik, bergantung pada banyak faktor Ini termasuklah umur, masalah mata malas dan terapi penglihatan selepas pembedahan. Lebih awal seseorang kanak-kanak mendapat rawatan, lebih baik hasil yang diperoleh. Begitu juga dengan kepatuhan pesakit pada tempoh penggunaan kanta sentuh ini, terapi penglihatan dan pemeriksaan penjagaan. Kesemua ini bertujuan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa mempunyai penglihatan yang baik. Pada masa yang sama, mereka perlu dipastikan bebas dari sebarang jangkitan yang berkait dengan penggunaan kanta sentuh.

JENIS KANTA SENTUH KHAS
Untuk pemasangan ke atas bayi kebiasaannya kanta yang digunakan berupaya menyerap oksigen dengan banyak masuk ke dalam kornea. Kanta sentuh itu juga perlu mempunyai ciri yang dapat mencengkam lembut mata bayi. Ini dapat mengelakkan kanta sentuh terkeluar apabila bayi menangis ataupun ketika mandi. Penyerapan oksigen yang banyak ke dalam mata perlu untuk memastikan kesihatan okular sentiasa terjaga terutamanya mata sikecil selepas surgeri.

KANTA SENTUH JENIS HEMA
Kanta sentuh lembut seperti HEMA yang mempunyai kandungan air dari 45 – 78% boleh digunakan selama 16 jam sehari sehingga dua hari berturut-turut. Tempoh pemakaian  bergantung pada peratusan kandungan air dalam kanta dan juga keadaan mata bayi. Anda perlu meminta nasihat pakar Optometris tentang cara pemakaian kanta sentuh pada mata bayi.

KANTA SENTUH JENIS SILIKON.
Kanta yang diperbuat dari silikon ini kebiasaanya disyorkan untuk bayi yang berusia kurang dari satu tahun dan juga kanak kanak yang mempunyai masalah afakia. Kanta sentuh jenis ini mampu membenarkan oksigen masuk kemata secukupnya terutama ketika bayi tidur. Keadaan afakia kebiasaannya memerlukan kuasa refraktif tinggi ( +16D hingga +32D). Pemakaian cermin mata adalah tidak munasabah sama sekali kerana berat dan  terlalu tebal. Kanta sentuh yang disyorkan ini juga dibolehkan pakai hingga 30 hari berturutan dimana ibubapa tidak perlu menanggalannya setiap hari tetapi memadai dengan memantau kesihatan okular bayi. Ibubapa hanya perlu berwaspada sekiranya terdapat tanda kemerahan ada mata ataupun terdapat bayak discaj mata. Penghantaran oksigen ke mata melalui penggunaan kanta sentuh silikon ini adalah enam kali ganda lebih tinggi dari kanta sentuh HEMA. Bayi yang kerap tidur tidak akan menghadapi masalah kekurangan oksigen.Kanta ini mudah dimasukkan ke dalam mata. Ia juga tidak mudah terkeluar atau beralih kedudukannya ketika menangis atau digosok Ibu bapa hanya perlu memantau keadaan kanta sentuh ini dari masa ke semasa. Ia hanya perlu dibersihkan jika kotor dan kemudian boleh dimasukkan semula. Kanta sentuh jenis ini juga tidak mudah menyerap titisan ubat mata yang diberi.

KANTA SENTUH JENIS PAKAI BUANG
Kanta jenis ini sesuai untuk kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke atas dimana kanak-kanak lebih aktif diperingkat umur ini. Kos kanta sentuh ini lebih murah dan penjagaannya juga agak mudah. Oleh itu kadar kehilangan kanta yang kerap berlaku tidak menjadi satu masalah. Pada tahap ini, kanak-kanak biasanya boleh memberitahu ibu bapa jika kanta sentuh yang dipakai kotor dan perlu dicuci. Bagaimanapun, tempoh penggunaan kanta sentuh ini akan dikurangkan kepada jenis harian. Ia akan ditanggalkan ketika tidur dan dipasang pada waktu pagi. Kanta sentuh jenis ini boleh dijadikan pilihan sekiranya kanak-kanak masih banyak bergantung pada ubatan titis topikal untuk merawat mata selepas surgeri.

SIAPA YANG MEMERLUKAN
§   Bayi dan kanak-kanak afakik unilateral atau bilateral(selepas surgeri katarak)
§      Kanak-kanak yang mempunyai kuasa refraktif yang tinggi
§  Albino - ketiadaan iris mata (bahagian gelap pada mata). Mereka menghadapi masalah silau keterlaluan
§     Bayi yang dilahirkan tanpa iris (aniridia)
§   Kanak-kanak yang menghadapi masalah kornea yang bergerak-gerak (nistagmus)
§     Masalah silau (astigmatisma) yang serius pada sebelah mata
§     Kanak-kanak istimewa
§    Kanak-kanak lumpuh
§ Kanak-kanak yang mempunyai kedudukan kepala yang menyukarkan cermin mata diletakkan dengan baik
§    Perbezaan kuasa refraksi yang tinggi pada kedua dua belah mata
§   Terapi merawat mata malas

KOMPLIKASI TANPA RAWATAN
Masalah mata malas (ambliopia) boleh menyebabkan tahap penglihatan berada di bawah tahap normal. Keadaan ini perlu dibaiki secepat mungkin. Ia mungkin sukar dirawat atau tidak boleh dipulihkan selepas kanak-kanak mencecah usia tujuh tahun. Terapi pengatupan boleh dilakukan diiringi dengan terapi penglihatan  yang intensif.

KOMPLIKASI KANTA SENTUH
Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga tidak terkecuali terdedah dengan jangkitan jika ia disalah gunakan. Bagaimanapun, jangkitan akibat penggunaan kanta sentuh di kalangan kanak-kanak dilaporkan jarang berlaku.

Sekiranya, berlaku jangkitan virus, penggunaan kanta sentuh terpaksa dihentikan buat sementara. Lain-lain masalah penggunaan kanta sentuh termasuklah kanta hilang, kotor atau terkoyak. Kanta sentuh dapat digunakan dengan selamat sekiranya pemakai patuh dengan kaedah pembersihan dan teknik  penjagaan kanta sentuh.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN KANTA SENTUH
Pemakaian kanta sentuh dapat meningkatkan  keyakinan diri kanak-kanak. Kebiasaanya tahap penglihatan boleh di pertingkatkan satu baris dari pemakaian cermin mata hanya dengan pemakaian kanta sentuh. Sekiranya bayi mempunyai masalah nystagmus ataupun mata bergetar, kanta sentuh dapat membantu melenyapnya atau mengurangkan  getaran tersebut dan secara tak langsung dapat membaiki fokus mata. Adakalanya juga kanta sentuh dapat membantu keadaan mata yang juling. Di masa kini kanta sentuh banyak digunakan sebagai satu kaedah terapi untuk mengatasi masalah mata malas dan juga juling. Pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak bukanlah sesuatu yang aneh lagi, ianya telah banyak diaplikasikan di Malaysia dan kejayaan penggunaannya dari segi rehabilitasi penglihatan sudah nampak kejayaannya.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan & Pakar Optometris
Jabatan Optometri
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu 
Universiti Kebangsaan Malaysia

12 comments:

  1. Assalamualaikum,Dr.. Anak saya baru berusia 9bln.. saya perasan mata hitam anak saya asyik bergerak2 macam dia tidak focus kepada sesuatu benda dan adakalanya biasa... adakah dia mengalami sindrom nygtagmus, ada tak cara untuk mengubati penyakit anak saya ni...

    ReplyDelete
  2. SALAMULLAH

    Adakah mata yang bergerak gerak itu seperti bergetar ataupun pergerakkan itu adalah besar (seperti scanning)? Kebiasaannya sewaktu bayi lahir dan ketika terima suntikan berkala doktor akan juga periksa status penglihatan bayi. Sekiranya Puan berasa was was dengan status penglihatan tersebut dan mengesyaki nystagmus (bola mata bergetar-getar) bolehlah dibawa untuk pemeriksaan mata. Nystagmus perlu dikesan puncanya dan dirawat dengan kadar segera bagi memastikan bayi mendapat status penglihatan yang baik. Dapatkan pemeriksaan segera. Puan boleh juga melakukan temujanji dgn menelefon D'Optometrist 03 91744024 di Bandar Sri Permaisuri, Cheras

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. dr, sy umur 18 tahun. sy baru pakai contact lens. tpi mata saya jadi merah kat bhagian tpi. tapi tak gatal pun. harap bleh bantu sy.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Perlu diperiksa "fitting" kanta tersebut. ada kemungkinan fittingnya ketat dan Base Curve kanta terpaksa dibesarkan untuk sesuaikan dengan saiz mata.

      Delete
  4. assalamualaikum doc,
    anak saya baru berusia 3 bulan.saya dapati anak matanya kadangkala bergetar2 dan tidak fokus pada satu2 benda.kerap juga pandang ke arah atas.telah bawa jumpa pakar mata, katanya nystagmus. setakat ni doc suruh pantau perkembangannya smpai 6 bulan.
    saya sangat risau, adakah mata anak saya boleh sembuh dan adakah masalah ini akan mempengaruhi kesihatannya yang lain.

    ReplyDelete
  5. SALAMULLAH

    Sekiranya anda dapati nystagmus itu semakin ketara, sila bawa untuk periksa tahap penglihatannya. Ianya berlaku kerana mata bayi masih 'scan' untuk mendapat penglihatan yang tajam. Sekiramya penglihatannya tidak bagus ada kemungkinan ianya boleh menyebabkan bayi lambat sedikit mula berjalan. Nystagmus juga berkaitan saraf oleh itu pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan.

    ReplyDelete
  6. salam..
    Dr,
    saya telah bawa anak saya buat pemeriksaan mata di pakar mata kanak2 baru-baru ini. Pemeriksaan pakar mendapati mata bayi mempunyai katarak di kedua-dua belah mata. (pemeriksaan di pakar mata lain sebelum ini hanya buat pemeriksaan luaran, tanpa titis cecair besarkan anak mata).

    Pakar mata kanak2 mengatakan mata bayi juga mengalami nystagmus dan juling kesan daripada katarak tersebut.Pembedahan perlu untuk membuang katarak tersebut.

    Minta pendapat doctor, bayi saya berusia 4 bulan lebih sekarang.Jika pembedahan lambat dilakukan, adakah selaput katarak tersebut makin membesar?

    Adakah masalah nystagmus akan hilang setelah pembedahan katarak dilakukan?
    Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. WKSLM

      Surgeri katarak perlu segera. Jika lambat ianya boleh menyebabkan mata malas yg sukar dibetulkan dan mata tiada rangsangan. Ini merupakan kongenital katarak dan sepatutnya dikesan lebih awal dan disegerakan surgeri. Sila bertindak segera, Nystagmus akan hilang jika penglihatan bayi baik selepas surgeri. Lagi lambat surgeri dilakukan, nystagmus susah hilang.

      Delete
  7. Salam.. doktor.

    Anak saya telah melakukan surgeri membuang katarak Ogos tahun lepas di ISEC Penang sewaktu berusia 8 bulan.Selepas pembedahan, bayi menggunakan cermin mata tebal (Cermin 'aphakic”). Sewaktu usia 10 bulan, bayi mula memakai contact lens tetapi tidak konsisten kerana lens kerap terkeluar dan hilang beberapa kali kerana fitting yang tidak tepat pada permulaannnya dan bayi kerap menggosok mata. Optometris membenarkan contact lens dipakai utk tempoh 4 hari sebelum dikeluarkan untuk dicuci memandangkan faktor masalah untuk memakaikan dan mengeluarkan lens setiap hari kepada bayi.selalunya hanya sempat pakai contact lens selama 1 hari atau 2 hari saja kerana lens kerap terkeluar dan hilang akibat anak menggosok matanya. keadaan lens terkeluar dan hilang berlaku sejak dari bulan Okt2015 sehingga lah bulan April 2016. kos contacts lens tersebut sangat tinggi,RM 1700 bagi sepasang mata.cuma menjadi masalah sekarang, semasa anak masih kecil iaitu sebelum berumur 15 bulan,urusan utk menggunakan lens tidak terlalu sukar, tetapi pada usia anak yg sudah boleh berjalan,lasak (anak sekarang berusia 18 bulan) urusan seperti memandikannya dalam keadaaan mata memakai contact lens agak sukar, kerana mata tidak boleh terkena air. Dulu semasa masih kecil, saya mandikan bayi dengan membaringkannya untuk mengelak mata terkena air, sekarang anak telah lasak dan tidak lagi dapat berbuat cara sedemikian. Untuk membuka contacts lens sebelum mandi setiap hari agak sukar dilakukan . saya telah cuba memakai anak goggles, tp anak tidak mahu menggunakan dan seakan fobia. Saya minta pendapat doktor, bolehkan saya tangguh dahulu untuk anak menggunakan contacts lens ?saya hendak latih anak dulu utk biasakan pakai goggles semasa mandi bagi melindungi mata . Adakah memakai cermin mata aphakic dpt juga membantu tahap penglihatannya.

    Saya rasa buntu sekarang..
    Sekian,terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      MAAF kerana mengambil masa lama sebelum menjawab soalan saudari.

      Sememangnya pemakaian kanta lekap amat digalakkan selepas surgeri untuk merangsang penglihatan anak. Jika diabaikan boleh menyebabkan ambliopia, lazy eyes yang mana rawatan selepas itu lebih sukar.

      Jika anak dipakaikan dengan kanta lekap silikon, boleh mandi semasa memakai kanta lekap cuma perlu berhati hati supaya air yang banyak atau kotor tidak masuk dalam mata bayi. Alternatifnya, selepas mandi guna eyedrops untuk bersihkan dan lembabkan mata bayi. Tak perlu googles kecuali untuk aktiviti berenang.Sekiranya kanta lekap tidak sesuai pakaikan cermin mata pada anak. Jangan biarkan matanya tanpa pembetulan power.

      Jika puan berminat boleh hubungi D OPTOMETRIST di Bandar Tasik Permaisuri 03 - 91744024 di Cheras (depan HUKM) untuk temujanji dengan saya.

      Delete
  8. Assalamualaikum Dr,
    Anak saya berusia 4bulan disahkan mengidap sintom aniridia.Ada terdapat apa2 rawatan untuk aniridia? apakah ada kemungkinan untuk anak saya melihat seperti orang lain?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Saya mohon maaf terlambat membaca segment ini. Ya ada rawatannya dengan menggunakan kanta lekap. Pls come and see me.
      Jika puan berminat boleh hubungi D OPTOMETRIST di Bandar Tasik Permaisuri 03 - 91744024 di Cheras (depan HUKM) untuk temujanji dengan saya.


      Delete