MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Sunday, July 6, 2014

LAYAKKAH ANDA MEMAKAI KANTA LEKAP 

PELBAGAI PILIHAN MENARIK DI PASARAN
NAMUN AWAS
 
10 Sebab Mengapa Anda TIDAK LAYAK Memakai Kanta Lekap.

1.   Jika anda membeli di kiosk atau di kedai asesori wanita tanpa rujukkan Optometris terlebih dahulu anda tidak layak memakai kanta lekap.

Kanta lekap adalah berkategori eksklusif, dispensarinya hanya di kedai Optikal sahaja. Optometris amat perlu dirujuk untuk memastikan mata anda tidak akan bermasalah ketika memakai kanta lekap kerana tidak semua orang boleh memakai kanta lekap. Kanta lekap warna yang dijual di kedai optik biasanya kanta lekap bermutu dan selamat dipakai. Mata akan diperiksa dahulu memastikan kornea dan kelopak mata bebas dari sebarang tanda penyakit mata. Nasihat tentang pemakaian juga akan diberikan kiranya anda mempunyai alahan, asma ataupun sedang dirawat untuk penyakit kronik. Optometris juga boleh memberi cadangan kanta lekap yang paling sesuai untuk anda dan juga persekitaran anda bekerja.

2.   Anda tidak tahu tatatertib memasukkan dan menanggalkan kanta lekap dengan selamat.

Sangat merbahaya sekiranya anda seorang pemakai kanta lekap yang baru yang ingin mencuba. Anda mungkin belajar memasukkan dan menanggalkan kanta lekap dari rakan atau ahli keluarga. Perlu diketahui kanta lekap bukanlah dilekatkan di mata sebegitu sahaja, ianya memerlukan teknik yang baik agar tidak mencalarkan kornea ataupun menyebabkan luka pada mata disebabkan kuku jari. Teknik menanggalkan kanta juga amat penting kerana teknik cubitan dan cara melonggarkan kanta lekap dalam mata terlebih dahulu amat penting agar cubitan kanta lekap itu tak bersama sama dengan lapisan sel kornea. Sekiranya ini terjadi anda mendedahkan mata anda pada bahaya ulser kornea.


3.   Anda tidak diajar bagaimana untuk mencuci dan merendam kanta lekap dengan betul.

Tahukah anda apakah cecair rendaman kanta lekap dalam botol atau bekas kecil itu? Tahukan anda cecair rendaman tersebut harus di buang setiap selepas kanta lekap dikeluarkan. Ianya tidak boleh diguna semula. Kanta lekap harus direndam dalam larutan disinfeksi yang sesuai. Larutan disinfeksi yang berkesan dan sesuai perlu dicadangkan oleh Optometris. Pengguna yang cuba menggunakan larutan rendaman yang lama akan terbuka kepada kontaminasi bakteria yang boleh membawa kepada infeksi yang teruk dan ulser yang boleh menyebabkan kebutaan.

4.   Anda tidak tahu apa perlu dilakukan jika mata tiba tiba merah dan sakit?

Penjual kanta lekap di kiosk atau pasar malam tidak dapat memberi nasihat yang tepat sekiranya berlaku episode mata merah atau sakit. Malah anda juga mungkin tidak mengetahui bagaimana untuk periksa keadaan kanta lekap sebelum dimasukkan ke dalam mata. Kanta lekap yang sempurna seharusnya mempunyai hujung yang rata dan tidak tajam.  Anda juga mungkin tidak mengetahui cara dan teknik untuk mencuci dengan baik. Pencucian amat penting bagi menanggalkan deposit dan kotoran dari air mata yang terkumpul dan mengeras atas permukaan kanta lekap. Anda memerlukan bekas kanta lekap untuk menyimpan kanta lekap setelah memakainya dalam keadaan baik. Kanta perlu direndam sepenuhnya dalam larutan disinfeksi

5.   Anda tidak tahu jenis dan ciri kanta lekap yang sesuai untuk anda.

Apakah yang anda tahu tentang kanta lekap yang anda baru beli. Apakah jenamanya dan ciri kanta lekap yang penting diketahui? Apakah anda pasti ianya selamat dan sesuai dipakaikan di mata anda? Ramai yang hanya tahu menggunakan kanta lekap berwarna tanpa mengetahui risiko yang ditanggungnya. Andai kata tiada komplikasi berlaku dari pemakaian kanta lekap anda selamat! Tanpa panduan dan nasihat yang betul risiko anda mungkin ternampak hanya setelah memakai kanta tersebut beberapa bulan.  Sekiranya nasib tidak menyebelahi anda, infeksi mata boleh berlaku dan ini boleh mengakibatkan kebutaan ataupun parut kekal pada mata.

6.   Anda tidak tahu had pemakaian kanta lekap anda dalam sehari. 

Rata rata ini tidak akan ditulis pada label kanta lekap. Ianya dihebahkan secara langsung oleh jurujual sahaja. Sekiranya anda teliti kanta lekap berwarna, anda boleh perhatikan pada label terdapat catatan peratusan kandungan air. Kebiasaannya ianya tercatat sebagai 38%, 48% atau lebih tinggi. Penting untuk diketahui sekiranya kanta lekap berwarna jika dari kanta jenis HEMA adalah sesuai untuk dijadikan pemakaian harian (lebih kurang 8 jam). Sekiranya kandungan air adalah melebihi 50%, kanta HEMA boleh digunakan sebagai pemakaian  berterusan.

7.   Anda tidak tahu berapa kuasa mata sebenar yang diperlukan.

Kuasa mata adalah tidak sama antara cermin mata dan kanta lekap. Jika kuasa cermin mata anda tinggi, kuasa untuk kanta lekap harus dilakukan pengiraan konversi. Pemakaian kuasa anggaran ataupun konversinya adalah salah akan mengundamg pada penglihatan yang kabur dan boleh mendatangkan gangguan pada pekerjaan dan rasa sakit kepala.

8.   Anda tidak tahu bagaimana cara untuk melegakannya mata kering.

Simptom mata kering ini kerap menjadi aduan ramai memandangkan cuaca di Malaysia panas terik. Persekitaran kita bekerja, di dalam kereta atau didalam bangunan yang menggunakan alat penghawa dingin juga boleh menyebabkan kekeringan mata. Lebih lebih lagi jika anda adalah pemakai kanta lekap. Makin ramai antara orang dewasa yang mengalami masalah mata kering tetapi tidak mengambil berat tentang rawatannya. Mereka mungkin menganggap ini adalah lumrah di usia lanjut. Masalah mata perlu rawatan titis pelembab di mana titisan bertindak sebagai pengganti air mata .  Dapatkan titisan yang bebas dari bahan pengawet supaya titisan tersebut boleh digiunakan pada mata sekerap mahu dan penggunaan keterlaluan tidak membawa sebarang risiko.

Bagi pemakai kanta lekap , mereka akan berasa kekeringan mata lebih  kerap dari orang normal Bagi pemakai kanta lekap baru paling utama adalah  adalah  menjalani pemeriksaan ujian airmata untuk  memastikan jika mata adalah kering, rawatan khusus dimulakan bagi merawat masalah tersebut sebelum pemakai mula berjinak dengan pemakaian kanta lekap.

9.   Adakah gemar berkongsi kanta lekap dengan kawan kawan.

Ramai yang menganggap kanta lekap itu hanya satu asessori kosmetik yang dipakai hanya untuk mncantikkan mata dan ditanggalkan apabila ianya tidak diperlukan. Pemakaian kanta lekap amat perlu penjagaan sempurna setelah pemakaian. Kanta lekap perlu dicuci dan digosok dengan cara gosokkan yg betul dan direndam dalam larutan disinfeksi kanta lekap untuk basmi kuman. Kanta lekap punyai tempoh hayatnya kiranya tidak dipakai dan dibiarkan terendam, eloklah jika air rendamannya ditukar setiap hari. Air rendaman kanta lekap boleh dibeli di kedai optik atau farmasi dan ianya tidak boleh ditukarganti dengan air salin. Kanta lekap juga tidak boleh dikongsi. Ini adalah kerana penggunanya mungkin mempunyai kuman dalam airmata yang mana ianya boleh dipindahkan pada orang lain. Ini termasuk penyakit berjangkit seperti batuk kering, HIV, hepatitis, influenza sebagainya.

10.       KERANA ANDA HANYA ADA SEPASANG MATA.

Anda BOLEH memakai kanta lekap tetapi anda harus memakainya dengan penuh tanggungjawab,. Anda harus mendapatkan pemeriksaan awalan untuk menentukan sekiranya mata anda sihat dan boleh menerima kanta lekap dengan baik, belajar cara pemasangan dan penanggalan kanta lekap dengan baik dari Optometris bertauliah dan tahu bagaimana untuk mencuci dan membasmikuman kanta lekap dengan sempurna. Pemakai kanta lekap juga harus mengetahui tanda dan simptom yang boleh terbit dari pemakaian kanta lekap yang bermasalah. Jika ingin menjadi pemakain kanta lekap yang Berjaya perlu ada ilmu kanta lekap sedikit sebanyak agar komplikasi dan risiko infeksi dapat dihindari. Kebanyakkan komplikasi boleh membawa kepada ulser kornea dan mata boleh berparut atau buta kiranya rawatan tidak diberi segera. Oleh itu jika ingin memakai kanta lekap anda perlu BELAJAR mengenai kanta lekap. Sayangi mata anda. Anugerah Tuhan yang tiada gantinya.

SELAMAT BERPUASA
jagalah kesihatan mata anda


Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Wednesday, July 2, 2014

RAWATAN BAGI RABUN WARNA

Masalah rabun warna kongenital (berlaku sejak lahir) tidak boleh dirawat atau dipulihkan. Walau bagaimanapun sesetengah penyakit mata yang menyebabkan rabun warna (acquired) boleh dibetulkan seperti masalah katarak atau selaput mata yang menyebabkan persepsi warna berubah dan ianya boleh kembali pada keadaan asal bila katarak di buang secara surgeri.

Lain-lain kaedah yang boleh membantu meningkatkan persepsi seseorang terhadap warna adalah:-

1.   Dengan menggunakan kanta sentuh tinta khas.
2.   Menggunakan cermin mata dengan penapis silau dan cahaya.
3.   Belajar dari masa dan persekitaran seperti contoh susunan lampu trafik.

Rabun warna perlu dikesan seawal mungkin. Ini boleh membantu kanak-kanak ini dari segi pelajaran dan untuk memberi motivasi serta dipupuk psikologinya dari segi pemilihan kerjayanya nanti.

Adalah penting membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata awal sekiranya anda mengesyaki anak anda mempunyai masalah persepsi warna terutamanya jika ada juga keturunan yang mempunyai masalah yang sama. Rabun warna dan rabun mata tidak selalunya berkait namun adalah lebih baik mendapatkan pemeriksaan komprehensif bagi memastikan anak anda bebas dari masalah rabun penglihatan.

Sekiranya anak anda telah sah dikesan dengan masalah rabun warna janganlah memikirkannya sebagai satu kecacatan dan kekurangan kerana masalah rabun warna adalah masalah genetik yang tidak mampu dikawal dan ianya tidak mengganggu prestasi penglihatan.

Anda perlu memberitahu pihak guru tentang masalah anak anda dan berbincang kaedah terbaik untuk membantunya. Sekiranya guru tersebut tidak berkemahiran mengendalikan pelajar rabun warna sebelum ini, anda boleh membantu dengan memberi keterangan warna yang dapat dilihat dan warna yang anak anda mungkin akan terkeliru. Seperti contoh menggunakan kapur papan hijau yang kontrasnya jauh berbeza. Penggunaan kapur putih lebih digalakkan berbanding dengan kapur warna kuning atau hijau.

Penggunaan kanta sentuh bertinta khas dan penapis bewarna
Kanta sentuh tinta khas berlainan tona
untuk merawat rabun warna berlainan jenis.

Sesetengah kanta sentuh tinta khas dan penggunaan penapis berwarna boleh membantu  merawat dengan cara ianya memisahkan dengan nyata warna-warna hampir serupa dengan persepsi orang rabun warna. Perlu diingat seseorang yang rabun warna bukan buta warna tetapi mereka terkeliru dengan warna. Optometris boleh mencuba meletakkan kanta sentuh tinta khas di atas mata bukan dominan dan menguji sama ada Ujian Plat Isihara mampu dilihat sepenuhnya oleh pesakit rabun warna. Penglihatan warna dengan pemakaian kanta sentuh tinta khas ini bukanlah bertujuan untuk merawat tapi ianya dapat membantu seseorang untuk lulus dalam Ujian Plat Ishihara. Sebelum pemasangan kanta sentuh tinta khas ini berlaku, pemakai harus memberi justifikasi tentang penggunaan kanta sentuh ini. Pemakai juga akan diminta menandatangani satu borang deklarasi yang menyebut beliau tidak akan menggunakan kanta sentuh ini untuk tujuan lain yang boleh memberikan kemudaratan pada masyarakat seperti contoh penggunaannya untuk memohon menjadi tentera atau juruteknik elektrik ataupun kerjaya yang bergantung pada persepsi warna.

Penggunaan kanta sentuh tinta khas boleh digunakan untuk mendapatkan kepuasan penglihatan warna dan mampu memberi kelainan dari persepsi warna pada lukisan atau fotografi. Pemakai seharusnya tidak melanggar akuan yang telah diberikan dihadapan Optometris.
Kanta sentuh tinta khas warna merah
diletakkan pada mata yang bukan dominan. 
Mata kelihatan normal dengan kanta sentuh ini.

Perisian Untuk Rabun Warna

Terdapat satu perisian yang dinamakan “GNOME desktop environment” yang membenarkan individu rabun warna menukar-nukar satu siri penapis warna untuk disesuaikan dengan defek warna individu tersebut bagi membolehkan beliau melihat dengan lebih baik sesuatu warna dari yang lain seperti dalam Ujian Plat Ishihara.

Rawatan Terapi Gen

Pelbagai kajian sedang rancak dijalankan memandangkan peratusan rabun warna di setiap negara adalah di antara 4-8% dan peratusan ini semakin meningkat mengikut kadar masa disebabkan oleh pengaruh genetik.

Salah satu kaedah rawatan yang sedang giat dikaji adalah terapi gen yang dilakukan pada tikus di mana berlaku ekspresi foto pigment dari kon yang tidak normal. Ini dapat meningkatkan persepi warna ataupun boleh mengubah seseorang rabun warna dari tahap dikromat kepada trikromat.

Walaubagaimanapun kaedah ini belum boleh digunapakai ke atas manusia kerana risiko yang dicongak adalah lebih dari kebaikkan yang diberi. Pertamanya suntikkan virus vektor adalah merbahaya dan amat tidak selesa. Meskipun terbukti setiap suntikkan boleh bertahan hingga 2 tahun, suntikan ulangan juga tidak digalakkan meskipun ada kebarangkalian badan sudah mempunyai imunisasi untuk menghalang inflamasi dari suntikkan tersebut.

Harus di bezakan rabun warna yang terjadi semasa kelahiran sahaja yang dapat menggunakan kaedah ini. Sekiranya masalah rabun disebabkan penyakit atau masalah di korteks penglihatan disebabkan ketidaknormalan kon di retina ianya tidak boleh dirawat dengan kaedah ini.

Kaedah terapi gen ini juga mungkin boleh membawa kepada persoalan etika, kritism dan hak asasi manusia kerana ianya mengubah informasi genetik seseorang.

Memandangkan populasi rabun warna yang agak besar, rabun warna perlu difikirkan kembali sama ada ianya benar satu “masalah” ataupun sebaliknya. Ini adalah kerana bagi mereka yang rabun warna jenis dikromat (persepsi warna tidak senormal dikromat), mereka mampu membezakan objek yang berselindung dengan latarbelakang. Tambahan pula sekiranya kaedah ini dilakukan, kepuasan hati setiap individu terhadap persepsi warnanya adalah sangat subjektif. Perlu difikirkan sama ada kualiti kehidupan akan berubah atau akan lebih terganggu sekirannya rabun warna dapat di rawat sepenuhnya.

Seorang pelukis terkenal Van Gogh, menggunakan warna dan suka melukis halos sekeliling cahaya di malam yang gelap. Ianya satu refleksi pada satu penyakit mata yang dialami iaitu glaukoma jenis sudut tertutup. Beliau banyak menggunakan warna kuning dalam lukisannya. Pilihan ini mungkin kerana itulah warna kegemarannya ataupun rabun warna yang dialami menyebabkan beliau menggunakan warna kuning secara intensif untuk meningkatkan persepsi warna beliau,. Persepsi beliau terhadap warna telah mencetus satu fenomena dikalangan pelukis di mana satu kaedah beru telah diterapkan oleh seorang pelukis dari Jepun yang melukis  dengan menggunakan kanta rabun warna untuk mendapatkan persepsi warna yang berlainan dari biasa.
Gambar kiri; contoh penglihatan normal dan gambar kanan: contoh pandangan yang dilihat oleh orang rabun warna. Gambar disunting dari:

Kesimpulannya, adakah rabun warna itu merupakan satu kekurangan ataupun satu keistimewaan, terpulang pada individu itu sendiri untuk mengubah kekurangan itu menjadi satu kelebihan yang luar biasa.


Kanta lekap rabun warna iKEJORA juga boleh didapati di D'Optometrist Visioncare Centre, Bandar Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. TEL+60391744024.
Email : dstreamvision@gmail.com

Dan juga boleh didapati di premis optikal PERFECT VISION BRUNEI

Sila hubungi alamat L1/10 Ground Floor, Seri Q-Lap Mall, Kg Kiulap Commercial Area. BE 1518 Brunei Darussalam TEL +673-2342772 
Email : info@perfectvisionbrunei.com



Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia


Tuesday, January 28, 2014


CERMIN MATA GELAP SESUAI UNTUK KANAK-KANAK?
Suatu masa dahulu, cermin mata gelap ataupun sunglasses dipakai sebagai satu asessori penggayaan fesyen. Ramai ketika itu memakai hanya untuk kelihatan lebih bergaya seperti mana yang selalu dipraktikkan oleh artis-artis dipentas untuk tujuan bersantai. 

Mungkin ramai yang tak mengetahui cermin mata gelap sebenarnya satu alat pelindung dari cahaya UVA dan UVB yang boleh memudaratkan lapisan retina mata sekiranya belaku pendedahan yang melampau. Pendedahan kepada pancaran suria secara tidak langsung bukan hanya berlaku pada golongan dewasa sahaja malah kanak-kanak juga terdedah ketika bermain di luar rumah.

Radiasi ultraviolet atau UV dari sinaran matahari boleh dikaitkan dengan banyak masalah mata seperti katarak (selaput mata), pterigium (selapisan tisu yang memasuki mata hitam) dan juga degenerasi makula. Kebanyakkan penyakit ini berlaku ketika usia mulai lanjut kerana ini disebabkan pendedahan berterusan bagi tempoh yang lama. Ini boleh direncat sekiranya perlindungan mata mula dipraktis ketika masih kanak-kanak lagi.
 
Satu kajian ada menyebut jumlah pendedahan sepanjang hayat pada radiasi UV boleh mencapai jumlah 25 peratus ketika berumur 18 tahun. Ini bermakna sekirannya langkah-langkah pencegahan dilakukan sejak dari usia 5 tahun kadar peratusan ini boleh dikurangkan secara signifikan. Seperti contoh sekiranya seorang itu pada umumnya akan mendapat penyakit katarak pada umur 55 tahun, ianya dapat dihindari sehinggalah usia mencapai 70 tahun. 

Kanak-kanak aktif akan meluangkan banyak masa melakukan aktiviti di luar rumah dan sekiranya persekitaran mereka adalah ditepi laut atau di tanah tinggi, pendedahan pada UV adalah lebih ketara. Tambahan pula kanta kristalin kanak kanak adalah lebih jernih dan tidak mampu menapis radiasi uv dari terus memasuki bahagian dalam mata. Anak mata kanak-kanak pula sangat aktif melakukan pergerakkan konstriksi dan dilatasi yang mana mampu membuka ruang lebih besar untuk membenarkan sinaran matahari termasuk radiasi UV memasuki mata. Adalah penting mata kanak-kanak dan juga bayi diberi alat pelindung dari matahari seperti pemakaian cermin mata gelap bila berada di luar rumah . Radiasi UV adalah paling kuat antara jam 10 pagi dan 2 petang.
Dua organ badan yang sensitif pada radiasi UV adalah mata dan kulit, Radiasi UVA boleh menyerap dalam kulit dan menyebabkan ianya berubah warna. Kedutan dan kesan kesan penuaan. Radiasi UVA juga yang bertanggungjawab menyebabkan katarak dan degenerasi makula.
UVB pula adalah radiasi UV yang bertenaga tinggi yang boleh menyebabkan kulit terbakar. Kornea boleh menghalang UVB dari memasuki terus kedalam mata tetapi dengan pendedahan yang melampau ianya boleh menyebabkan lapisan kornea terbakar. Ini dinamakan fotokeratitis dan keadaan ini sangat sakit dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan untuk sementara waktu. Kadang kala ianya juga dikenali sebagai “snow blindness”.
Radiasi UVA dan UVB juga telah didapati boleh menyebabkan pingeculae dan pterigium (lihat gambar).
                                Pterigium                   Pingeculae

Jangan berikan anak anda cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah di pasar malam.
Cermin mata gelap yang dilapisi dengan bahan pelindung UV kebiasaanya dijual dikedai optik. Anda perlu bertanyakan pada penjual untuk tahu sekiranya kanta tersebut ada mengandungi lapisan pelindung UV ataupun tidak. Sesetengah bahan yang digunakan dalam pembikinan cermin seperti polikarbonat juga mampu menahan 100 peratus radiasi UV. Bahan sebegini bagus untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana mampu memberi perlindungan yang sempurna pada kanak-kanak.
Walaubagaimanapun perlu awas dengan cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah kerana kebiasaannya ianya tidak mempunyai pelindung UV dan tidak diperbuat dari bahan berkualiti. Adakalanya bingkai cermin mata yang tidak berkualiti boleh membawa kecederaan pada bahagian muka dan buatannya pula tidak tahan lama. Anak mata disebalik cermin gelap akan membuka lebih dari 6mm diameter, sekiranya cermin tidak memiliki lapisan pelindung UV, radiasi UV akan terus memasuki mata dan sampai ke retina melalui anak mata yang membesar. Ini akan menambahkan kemudaratan pada mata dengan serius. Oleh itu jangan benarkan anak-anak bermain main dengan cermin mata gelap mainan di bawah terik matahari.
Untuk keselamatan anak-anak, pilihlah cermin mata gelap yang berkualiti dan yang mempunyai lapisan UV yang sempurna dan sekaligus boleh mendapatkan pemeriksaan penglihatan dari Optometris anda. Penting untuk memastikan pembelian anda adalah asli dan tidak memudaratkan mata anak anda.
Adalah bernas untuk ibubapa mencarumkan sejumlah wang bagi mendapatkan cermin mata gelap yang berkualiti bagi bayi dan kanak kanak bagi memastikan mereka masih dapat beraktiviti di luar rumah dengan ceria disamping merendahkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit mata akibat dedahan radiasi UV di usia lanjut nanti. Pencegahan awal ini membantu anak anda menikmati penglihatan yang baik dan juga mata yang sihat terus menerus sehinggalah mereka mencecah usia emas nanti.
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 9, 2014

Salam bahagia,
Selamat bertemu kembali dalam ruangan saya dan anda. Sudah agak lama saya tidak menulis. Maafkan saya. namun saya punya alasan untuk berhenti seketika disebabkan tugas dan tanggung jawab harian yang semakin mencabar. Namun itu semua bukanlah penyebab untuk saya berhenti terus dari bertemu anda.

Dalam ruangan kali ini saya akan memperkatakan tentang sesuatu yang jarang berlaku di kalangan dewasa dan kanak-kanak tetapi mudah dapat dikesan sekiranya anda mengambil masa untuk memerhatikan pupil atau anak mata anda ataupun anak anak dengan menggunakan lampu suluh. Anak-anak mungkin tidak merungut tentang kerabunan yang dialami tetapi akan mula mengecilkan mata ataupun menggosok mata ketika menonton TV atau di bawah cahaya matahari yang menyilau atau menusuk mata. Ini merupakan tanda utama kerabunan mata yang perlu dirawat segera dan diambil perhatian serius oleh ibubapa. Masalah ini mungkin berpunca dari bentuk anak mata yang tidak sempurna dan ada kalanya ianya sukar dipastikan kerana ramai antara masyarakat kita punyai iris berwarna gelap. Gambar di bawah menunjukkan anak mata yang kelihatan seperti "lubang kunci". Cahaya yang memasuki anak mata akan menjadi tidak tertumpu dengan baik dan penglihatan menjadi kabur secara tidak langsung. Kerabunan tidak disebabkan kelonjongan paksi aksial (garis penglihatan) mata seperti lumrahnya tetapi berpunca dari anak mata yang tidak sempurna.

KOLOBOMA IRIS
Kolobama Iris berlaku secara congenital di mana terdapat defek pada bahagian iris mata. Pupil atau anak mata yang kebiasaannya berupa bulat dan sama saiz boleh terjadi dalam pelbagai bentuk yang tak sempurna.

Awas! RABUN pada kanak-kanak tidak semestinya dirawat dengan memakai cermin mata. RABUN juga bukan kerana terdapat ralat refraksi pada kanak-kanak. Adakalanya rabun tidak dapat dibaiki dengan sempurnanya hanya dengan bercermin mata. Ini adalah kerana terdapat gangguan pada salah satu media antara bahagian hadapan kornea hingga ke bahagian belakang mata iaitu di retina. Antara gangguan yang boleh berlaku adalah pembentukkan iris yang tidak sempurna ketika lahir. Keadaan ini dikenali sebagai Koloboma Iris.

Koloboma iris akan mendatangkan ketidakselesaan pada penglihatan kanak-kanak. Sejak dari bayi lagi pesakit akan mengalami silau yang teruk dan akan cuba menutup mata dengan selimut atau bantalnya ataupun membenamkan muka dalam dakapan ibunya kerana enggan melihat dalam cahaya terang. Pesakit juga akan mengecilkan mata hingga hampir tertutup untuk menetapkan fokus pada satu objek. Sekiranya masalah ini dibiarkan berlanjutan, kejulingan akan berlaku setelah mata mengalami ambliopia teruk (mata malas) yang tidak dibaiki untuk tempoh yang lama.

Koloboma Iris Kongenital adalah defek semasa tumbesaran di tahap embrionik. Iris sepatutnya membentuk pupil yang bulat dan boleh dikembangkan dan dikuncupkan saiznya. Sekiranya perkembangan iris menjadi kurang sempurna, pupil boleh terbentuk seperti lubang kunci, lonjong  ataupun tiada iris sama sekali. Ianya boleh berlaku pada satu atau kedua dua belah mata selepas bayi dilahirkan.

Kesannya terhadap penglihatan adalah bergantung pada darjah keterukkan koloboma atau saiz defek pada iris. Ianya boleh menjadi penyebab bagi penglihatan terhad dan kebutaan.

Koloboma  secara amnya merupakan penyebab kepada kebutaan dan dianggarkan dalam 3-11%  kanak-kanak di seluruh dunia. Insidennya adalah 1 kepada 10,000 kelahiran.

Kejadian koloboma mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan/atau faktor persekitaran. Selalunya ianya berpunca dari mutasi gen yang terlibat dalam pembentukkan koloboma, mikroftalmia dan juga anophthalmia.

Penyebab dari faktor persekitaran adalah termasuk ketagihan alkohol teruk sewaktu mengandung, kekurangan Vitamin A, berlaku infeksi taxoplasmosis dan penyalahgunaan dadah teratogenik.

Prognosis penglihatan bergantung pada tahap keterukkan koloboma dan kesan langsungnya pada bahagian lain mata yang penting seperti saraf optik , makula dan retina. Adakalanya  tahap penglihatan adalah dari ambliopia ringan hinggalah hanya ke tahap melihat persepi cahaya.

Cara rawatan adalah unik dan tidak begitu kompleks. Pesakit yang mempunyai masalah ini boleh cuba menggunakan kanta sentuh prostetik iris yang mana ianya akan membetulkan bahagian iris yang tidak sempurna dan membentuk satu bukaan pupil yang baru. Kanta sentuh ini boleh di dapati dengan kuasa refraktif  ataupun tiada kuasa. Warna iris juga boleh dipadankan agar ianya seiras dengan warna asal iris. Bukaan bahagian tengah pupil pada kanta sentuh juga boleh di tetapkan diameter pada saiz 3-8mm.

Pemakaian kanta sentuh prostetik iris ini akan membantu melenyapkan hampir keseluruhan silau teruk yang dialami oleh pesakit. Besar kemungkinan kuasa refraksi sebelum pemakaian kanta sentuh dan selepas pemakaian kanta adalah jauh lebih rendah. Akuiti penglihatan juga bertambah baik secara signifikan. Akan menjadi satu keperluan pesakit sebegini untuk terus memakai kanta sentuh prostetik iris hingga ke hari tuanya. Oleh itu pegawai optometris perlu berhati hati semasa pemasangan dan juga selalu memberi peringatan pada pesakit atau ibubapanya agar mengikut panduan pemakaian yang betul supaya tidak berlaku komplikasi okular akibat pemakaian kanta sentuh.. Pemakaian kanta sentuh khas ini juga boleh membantu melindungi kanta kristalin dan bahagian retina yang terdedah dari pancaran uv yang tidak terkawal oleh saiz pupil yang tidak sempurna.

Pesakit koloboma iris akan mengalami ambliopia teruk sekiranya masalah ini tidak dapat dikesan dari awal. Ralat refraksi dari silau yang melampau akan menurunkan akuiti penglihatan dan seterusnya menjejaskan penglihatan pesakit. Sekiranya rawatan ini diberi ketika pesakit sudah mencecah usia lebih 9 tahun kemungkinan besar ambliopia yang dihadapi sukar dirawat.

Rawatan dengan menggunakan cermin mata bertinta warna untuk meredupkan silau tidak akan berfungsi sebaik kanta sentuh prostetik iris. Walaubagaimanapun, keadaan pupil dan koloboma yang dialami harus diperiksa terlebih dahulu sebelum rawatan yang sesuai boleh dicadangkan.

Sekiranya pesakit didapati mempunyai ambliopia selepas rawatan kanta sentuh khas dan masih berumur dibawah 12 tahun, terapi ambliopia boleh dicadangkan dan diperkenalkan. Dengan latihan ambliopia, akuiti penglihatan boleh dipertingkatkan.

Ayuh..segeralah periksa mata anak anda. Gunakan lampu kecil dan halakan pada bahagian kornea mata. Cuba lihat iris sama ada ianya memberikan pupil yang bulat dan sempurna ataupun iris itu ada mengalami koloboma. Bertindak segera sekiranya anak mata atau pupil anak anda kelihatan tidak sempurna, Dia mungkin mengalami koloboma iris dan amat memerlukan rawatan efektif dengan segera.
Pelbagai jenis; Kanta Sentuh Prostetik Iris

Salam hormat dari saya

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia