MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Tuesday, January 28, 2014


CERMIN MATA GELAP SESUAI UNTUK KANAK-KANAK?
Suatu masa dahulu, cermin mata gelap ataupun sunglasses dipakai sebagai satu asessori penggayaan fesyen. Ramai ketika itu memakai hanya untuk kelihatan lebih bergaya seperti mana yang selalu dipraktikkan oleh artis-artis dipentas untuk tujuan bersantai. 

Mungkin ramai yang tak mengetahui cermin mata gelap sebenarnya satu alat pelindung dari cahaya UVA dan UVB yang boleh memudaratkan lapisan retina mata sekiranya belaku pendedahan yang melampau. Pendedahan kepada pancaran suria secara tidak langsung bukan hanya berlaku pada golongan dewasa sahaja malah kanak-kanak juga terdedah ketika bermain di luar rumah.

Radiasi ultraviolet atau UV dari sinaran matahari boleh dikaitkan dengan banyak masalah mata seperti katarak (selaput mata), pterigium (selapisan tisu yang memasuki mata hitam) dan juga degenerasi makula. Kebanyakkan penyakit ini berlaku ketika usia mulai lanjut kerana ini disebabkan pendedahan berterusan bagi tempoh yang lama. Ini boleh direncat sekiranya perlindungan mata mula dipraktis ketika masih kanak-kanak lagi.
 
Satu kajian ada menyebut jumlah pendedahan sepanjang hayat pada radiasi UV boleh mencapai jumlah 25 peratus ketika berumur 18 tahun. Ini bermakna sekirannya langkah-langkah pencegahan dilakukan sejak dari usia 5 tahun kadar peratusan ini boleh dikurangkan secara signifikan. Seperti contoh sekiranya seorang itu pada umumnya akan mendapat penyakit katarak pada umur 55 tahun, ianya dapat dihindari sehinggalah usia mencapai 70 tahun. 

Kanak-kanak aktif akan meluangkan banyak masa melakukan aktiviti di luar rumah dan sekiranya persekitaran mereka adalah ditepi laut atau di tanah tinggi, pendedahan pada UV adalah lebih ketara. Tambahan pula kanta kristalin kanak kanak adalah lebih jernih dan tidak mampu menapis radiasi uv dari terus memasuki bahagian dalam mata. Anak mata kanak-kanak pula sangat aktif melakukan pergerakkan konstriksi dan dilatasi yang mana mampu membuka ruang lebih besar untuk membenarkan sinaran matahari termasuk radiasi UV memasuki mata. Adalah penting mata kanak-kanak dan juga bayi diberi alat pelindung dari matahari seperti pemakaian cermin mata gelap bila berada di luar rumah . Radiasi UV adalah paling kuat antara jam 10 pagi dan 2 petang.
Dua organ badan yang sensitif pada radiasi UV adalah mata dan kulit, Radiasi UVA boleh menyerap dalam kulit dan menyebabkan ianya berubah warna. Kedutan dan kesan kesan penuaan. Radiasi UVA juga yang bertanggungjawab menyebabkan katarak dan degenerasi makula.
UVB pula adalah radiasi UV yang bertenaga tinggi yang boleh menyebabkan kulit terbakar. Kornea boleh menghalang UVB dari memasuki terus kedalam mata tetapi dengan pendedahan yang melampau ianya boleh menyebabkan lapisan kornea terbakar. Ini dinamakan fotokeratitis dan keadaan ini sangat sakit dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan untuk sementara waktu. Kadang kala ianya juga dikenali sebagai “snow blindness”.
Radiasi UVA dan UVB juga telah didapati boleh menyebabkan pingeculae dan pterigium (lihat gambar).
                                Pterigium                   Pingeculae

Jangan berikan anak anda cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah di pasar malam.
Cermin mata gelap yang dilapisi dengan bahan pelindung UV kebiasaanya dijual dikedai optik. Anda perlu bertanyakan pada penjual untuk tahu sekiranya kanta tersebut ada mengandungi lapisan pelindung UV ataupun tidak. Sesetengah bahan yang digunakan dalam pembikinan cermin seperti polikarbonat juga mampu menahan 100 peratus radiasi UV. Bahan sebegini bagus untuk digunakan oleh kanak-kanak kerana mampu memberi perlindungan yang sempurna pada kanak-kanak.
Walaubagaimanapun perlu awas dengan cermin mata gelap mainan atau yang dijual murah kerana kebiasaannya ianya tidak mempunyai pelindung UV dan tidak diperbuat dari bahan berkualiti. Adakalanya bingkai cermin mata yang tidak berkualiti boleh membawa kecederaan pada bahagian muka dan buatannya pula tidak tahan lama. Anak mata disebalik cermin gelap akan membuka lebih dari 6mm diameter, sekiranya cermin tidak memiliki lapisan pelindung UV, radiasi UV akan terus memasuki mata dan sampai ke retina melalui anak mata yang membesar. Ini akan menambahkan kemudaratan pada mata dengan serius. Oleh itu jangan benarkan anak-anak bermain main dengan cermin mata gelap mainan di bawah terik matahari.
Untuk keselamatan anak-anak, pilihlah cermin mata gelap yang berkualiti dan yang mempunyai lapisan UV yang sempurna dan sekaligus boleh mendapatkan pemeriksaan penglihatan dari Optometris anda. Penting untuk memastikan pembelian anda adalah asli dan tidak memudaratkan mata anak anda.
Adalah bernas untuk ibubapa mencarumkan sejumlah wang bagi mendapatkan cermin mata gelap yang berkualiti bagi bayi dan kanak kanak bagi memastikan mereka masih dapat beraktiviti di luar rumah dengan ceria disamping merendahkan kebarangkalian untuk mendapat penyakit mata akibat dedahan radiasi UV di usia lanjut nanti. Pencegahan awal ini membantu anak anda menikmati penglihatan yang baik dan juga mata yang sihat terus menerus sehinggalah mereka mencecah usia emas nanti.
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

4 comments:

  1. Assalamualaikum.. doktor anak saya ada masalah rabun silau mata kanan 150, mata kiri 175, sana rabun sebelah kanan 200, kiri 300 sebelum ini anak saya telah menjalani rawatan dengan pakar di k.kinabalu rawatan patching 2jam sehari selama 3-4 bulan tetapi apabila kami telah ditukarkan dia kedah dan membuat rawatan susulan di hospt kerajaan doktor beritahu tidak perlu buat apa - apa dlm masa 2 bln lg sehigga rawatan seterusnya 5.5.14 ,apa pendapat dan pandangan doktor....

    ReplyDelete
  2. SALAMULLAH

    Perlu tahu umur anak. Kiranya berumur kurang 12 tahun dan ada masalah mata malas perlu terapi pengatupan seperti yang puan lakukan sehinggalah VA atau tahap akuiti mencapai 6/6. Sekiranya telah mencapai tahap tersebut patching boleh dihentikan. Sekiranya tidak pasti boleh teruskan hingga tarikh rawatan lanjut.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Dr Haliza

    Memandangkan dr menekankan penggunaan cermin mata gelap untuk kanak-kanak, saya ingin tahu jika @Transitions Photochromic lenses dapat memberikan perlindungan yang sama dengan cermin mata gelap. Saya rasa ini lebih mudah kerana anak-anak saya memang dari asal memerlukan cermin mata jarak jauh. Apa pendapat doktor?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Ya, cermin mata transition mempunyai fungsi yang sama seperti cermin mata gelap. Sekiranya tiada masalah pemakaian disekolah, sememangnya saya amat syorkan pemakaian kanta transition.

      Delete