Pages

Saturday, July 21, 2012

SALAM HORMAT DARI SAYA UNTUK ANDA. SEBELUM TERLEWAT, INGIN SAYA RAKAMKAN UCAPAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA BUAT SEMUA SAHABAT DAN PELAYAR SETIA BLOG SAYA. MUDAH-MUDAHAN DI BULAN YANG MULIA INI, ANDA AKAN DI RAHMATI TUHAN.
Perkembangan Penglihatan Kanak-kanak

Penglihatan adalah salah satu sensori yang sangat penting dalam membantu pekembangan dan tumbesaran kanak-kanak. Setiap ibubapa patut berwaspada dan tahu tentang perkembangan penglihatan anak mereka, sama ada normal ataupun tidak. Ibubapa perlu tahu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara penglihatan normal ataupun tidak kerana apa yang di lihatnya secara lansung akan diterimanya sebagai normal. Oleh itu jangan tunggu untuk anak anda memberitahu anda atau mengadu yang pandangannya kelihatan kabur ataupun penglihatan tidak cukup tajam, ianya tidak akan berlaku. Sekiranya anda adalah ibubapa yang perihatin anda mungkin dapat mengesan masalah penglihatan anak-anak anda melalui aktiviti-aktiviti yang berlangsung di rumah.

Tanda-tanda masalah penglihatan pada kanak-kanak

  • Mengecilkan kelopak mata  ketika menonton TV atau cuba membaca papantanda.
  • Juling atau cuba menutup satu mata dengan telapak tangan
  • Meneleng atau menjeling ke satu arah ketika cuba fokus
  • Sering menggosok mata
  • Suka mengelip mata secara terlampau (twitching)
  • Mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • Lahir pramatang
  • Perkembangan terbantut seperti lambat berjalan
  • Mepunyai penyakit sistemik seperti diabetes atau HIV
Sekiranya  anda mengesan masalah di atas, berulang-ulang kali, anak anda mungkin mempunyai masalah penglihatan. Segeralah dapatkan pemeriksaan dan nasihat dari Optometris. Optometris akan melakukan pemeriksaan mata secara komprehensif dan dapat mengesahkan  keadaan tersebut dengan segera .

Bayi
Bagi bayi, kebiasaanya pemeriksaan mata akan dilakukan oleh pakar kanak-kanak ketika bayi baru lahir dan juga ketika lawatan susulan ke klinik sepanjang tempoh setahun. Setiap bayi sepatutnya menjalani pemeriksaan mata. Bayi selalunya dapat mengesan pergerakkan objek sebelum dapat melihat objek dengan baik. Kebiasaannya bayi dapat melihat wajah ibunya dengan jelas hanya selepas berumur seminggu. Ketika ini persepi warna dan kedalaman belum lagi sempurna. Koordinasi mata dan otot mata juga masih tidak matang dan ini adakalanya menyebabkan bayi kelihatan juling. Kejulingan ini boleh terhapus dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar. Tetapi jika darjah kejulingan kelihatan semakin besar dan sekiranya makin kerap berlaku and perlu bertindak segera.
Sekiranya anda ingin menguji sama ada mata bayi anda sebenarnya berfungsi ataupun tidak, anda boleh mencuba mengikuti tips berikut.

  • Tampal pelekat mata pada salah satu mata bayi. Sekiranya bayi menangis atau menjadi resah ini bermakna mata yang terbuka mungkin tidak berfungsi dengan baik. Ulang dengan mata yang satu lagi. Anda juga boleh menekup mata bayi anda dengan menggunakan tapak tangan.
Kanak-kanak
Pada usia awal persekolahan, perkembangan penglihatan sudah hampir sempurna. Ketika ini jika ada sebarang tanda yang menunjukkan penglihatan terganggu, ianya amat mudah dikesan. Anda perlu selalu memerhatikan tingkahlaku anak anda seperti menonton TV terlalu dekat atau memegang buku terlalu dekat dengan mata, mata menjadi juling ketika penat atau cuba melihat sesuatu objek, kepala suka meneleng ke satu arah tertentu, mata yang selalu digosok-gosok ketika menonton TV atau cuba membaca sesuatu atau pun sensitif pada cahaya biasa. Sekiranya anak anda tidak menunjukkan sebarang tanda sebegini, anda masih perlu membawanya untuk pemeriksaan mata pada ketika berumur 7 tahun sekiranya anda atau pasangan anda mempunyai rabun mata. Rabun adalah satu keadaaan yang boleh diheriditasi dari genetik. Sekiranya saudara-mara terdekat juga mempunyai sejarah rabun atau penyakit mata adalah lebih baik untuk bawa anak-anak anda untuk pemeriksaan mata. Ini adalah kerana, kadang kala, penyakit mata atau ralat refraksi hanya dapat di kesan oleh Optometris setelah menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan instrumen tertentu.
Pemeriksaan mata ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun sangat penting kerana sekiranya kanak-kanak ini mempunyai sebarang masalah yang memerlukan pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau terapi penglihatan, ianya dapat dilakukan dengan segera dan dibetulkan sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap 6 bulan untuk memastikan progresi ralat refraksi dapat dikesan. Jangan bertangguh terlalu lama untuk menjalani pemeriksaan penglihatan kerana kuasa refraksi yang bertambah, jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan kenaikan kuasa ralat refraksi secara mendadak dan juga boleh menyebabkan risiko berlakunya mata malas.

Penyaring penglihatan yang biasanya dijalankan disekolah oleh pusat kesihatan adalah untuk mengesan secara kasar masalah penglihatan yang dialami oleh kanak-kanak. Ianya bukanlah satu pemeriksaan mata yang lengkap. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda dapat membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap oleh Optometris ketika diawal persekolahan.

Penglihatan yang tidak dirawat dari awal boleh membawa kepada masalah mata malas. Mata malas bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun ralat refraksi telah dibetulkan. Ini boleh berlaku pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya latihan terapi diberikan segera sebelum usia menjangkau 7 tahun, keadaan mata malas ini mungkin boleh dirawat. Sekiranya dibiarkan tanpa pembetulan ralat refraksi atau terapi penglihatan, mata tersebut akan menjadi lemah dan lama-kelamaan mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Kanak-kanak Istimewa
Golongan kanak-kanak istimewa juga seperti Sindrom Down juga mempunyai risiko rabun jauh dan kuasa astigmatisme. Oleh kerana kanak-kanak golongan ini mungkin tidak akan mengadu dan jarang melakukan aktiviti yang boleh menampakkan tanda-tanda rabun adalah penting penglihatan mereka diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali. Semasa pemeriksaan ini sebarang tanda ketidaknormalan okular boleh dikesan dan rawatan awal boleh dimulakan segera.
Pemeriksaan mata di usia awal sangat penting. Ibubapa juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penglihatan anak-anak. Kanak-kanak yang sihat tetapi mempunyai penglihatan yang lemah akan membantutkan perkembangannya terutama sekali dari segi pembelajaran. Pastikan anda menjadikan pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan. 

Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometris

Saturday, July 14, 2012

PENGETAHUAN AM  
BAHASA MATA  
Dari mana punai melayang 
Dari sawah turun ke kali
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati

Alam fikiran manusia merupakan sebuah dunia yang unik. Dunia yang penuh dengan karyacipta dan imaginasi bahkan terlalu rumit untuk diterjemahkan. Pernahkah suatu waktu anda sangat berkeinginan untuk tahu apa yang difikirkan oleh orang lain tentang anda ?

Saya amat pasti dan yakin anda pernah berfikiran demikian. Perasaan ingin tahu manusia akan selalu mendorongnya untuk berfikir lebih dalam bahkan jauh lebih dalam dari apa yang anda fikirkan sekarang. Seperti rasa kerungsingan anda tentang satu persoalan: ” adakah terdapat satu  cara untuk membaca fikiran orang lain? “.

Secara semulajadi manusia telah dibekalkan sengan satu ilmu komunikasi yang sangat mudah dan berkesan. Ilmu komunikasi tersebut dikenali dengan sebutan “bahasa tubuh” atau body language. Manusia adalah salah satu makhluk Tuhan yang amat ekspresif dan biasanya akan mengekspresikan apa yang ada di dalam fikirannya atau hatinya dalam sebuah gaya atau perbuatan tingkah laku melalui bahasa tubuh. Hal inilah yang mendasari sebuah cara untuk saling memahami walaupun tanpa ada sebuah kata yang terucap.

Membaca fikiran orang lain bukanlah hal yang tidak mungkin dilakukan ketika kita mampu memahami bahasa tubuh seseorang. Bahasa tubuh yang sangat ekspresif serta paling efektif dan mudah terlihat adalah “mata”. Banyak orang yang mengatakan bahawa “mata adalah jendela hati”. Memang benar, mata kita adalah sebuah jendela kejujuran hati kita. Betapa hebat mana pun seseorang di depan kita berbohong, mata adalah organ tubuh yang pertama menunjukan rasa takut akan sebuah kebohongan dan mampu memberikan tafsiran. Oleh itu sebelum kita mempelajari bahasa tubuh yang lain, modal utama untuk memahami apa yang ada di dalam fikiran orang lain adalah melalui bahasa MATA.

Arah dan pandangan mata 
Apa yang dikatakan arah pandangan mata seseorang tentang perasaan atau terhadap pemikirannya? Apa yang penting untuk diberikan perhatian adalah arah pandangan mata seseorang ketika kita sedang berbicara atau sedang membincangkan sesuatu dengan mereka. Pengetahuan ini sekaligus akan mengukur keupayaan serta kebolehan anda dalam menyampaikan maksud, berurusan dan bergaul. Segala bentuk gesture mata dapat dinilai melalui pandangan dan arah pandangan mata orang yang sedang kita bawa berbincang. Ini merupakan satu situasi yang lebih kreatif dan positif untuk diterjemahkan sebagai tanda potensi seseorang dalam berbagai situasi.
Cara pandangan mata dan mengarahkan pandangan memberi makna dan maksud yang tersirat. Berikut adalah rahsia di sebalik arah dan pandangan mata.
Jika mata jarang berkedip
Tanda orang itu sangat tajam pemikirannya, dan jika tak berkedip langsung bila dia bercakap, dia sangat tajam dalam sesuatu bidang, dan tumpuan dan keyakinannya terhadap perkara yang diperkatakan sangat kuat sekali. Orang ini berpotensi sebagai saintis atau memang pakar dalam pelbagai bidang. 
Jika renunganya matanya tajam seperti renungan mata harimau.
Orang ini sangat bersungguh dalam melakukan sesuatu, dan tajam juga pemikiranya dengan syarat matanya kurang berkedip. Dia ada dua sifat ekstrim dalam dirinya, sama ada sangat baik atau sangat jahat jika dia berpeluang berbuat demikian. 


Mata sering berkedip seolah-olah ada habuk masuk mata. 
Orang seperti ini kurang cerdas dari segi pemikiran dan kurang pandai dan mudah kena tipu. Mereka juga mempunyai sifat malas dan kurang mahu berfikir. 

Renungan mata yang lemah.
Tanda orang ini kurang tajam pemikirannya dan kurang bijak, atau dalam kata lain dia hanya berpotensi jadi watak pelakon tambahan atau watak orang kampung dalam filem Hindustan. Orang sebegini juga malas untuk berfikiran cerdas dan hanya akan melakukan kerja seperti apa yang diarahkan tanpa mahu untuk berusaha memperbaiki kerja yang diberikan. 
Jika seseorang memiliki mata yang kecil
Tajam renungannya dan tak berkedip, dan jika ada cahaya, orang ini sangat hebat dan memiliki sifat ekstrim samada bijak dan sangat jahat atau bijak dan sangat baik serta sangat berpotensi jadi pakar, mata jenis ini ramai dimiliki oleh orang Barat. Mereka juga terdiri dari golongan orang yang banyak ilmu dan pengetahuan yang jarang dimiliki oleh orang lain. 
Jika renungan matanya tidak tajam namun nampak jauh ke dalam.
Orang ini bijak dan fikiranya adalah unik dalam berfikir dan bijak sekali dan jarang pegang watak jahat biasanya watak baik sahaja dengan syarat jangan banyak kedip. Mempunyai sifat dan cirri membina kepimpinan, sebagai contoh Tun Dr. Mahathir dan ramai orang Jepun memilikinya.
Jika mata besar seperti mata lembu.
Orang ini kurang bijak dan lagi teruk jika tak tajam renunganya dan tak bercahaya matanya.

Jika mata seseorang sering berkeliaran biji mata hitamnya.

Berhati-hatilah! Orang ini kaki belit sikit dan suka tipu dan tidak bijak dalam bidang ilmu. Sukar dipercayai dan dibuat kawan.

Arti Pandangan Mata
Dalam kehidupan kita seharian pasti kita sering bertemu dan berbicara dengan siapa saja dan bercakap tentang pelbagai tajuk dan urusan tertentu. Pastinya masing-masing yang kita temui memikili ciri tertentu yang dapat dilihat melalui tatapan mata ataupun pandangan mata mereka. Berikut adalah ciri-cirinya : 
Pandangan mata yang konsisten dan lurus 
Pertanda seseorang itu tertarik dan sedang teliti mengikuti tajuk yang dibincangkan 
Pandangan ke dalam kontak mata (perhubungan mata)
Bererti seseorang sedang menganalisa anda atau sedang tidak mempercayai anda
Pandangan mata yang singkat
Bererti tidak tertarik dengan pembicaraan
Pandangan mengabaikan kontak/perhubungan mata
Berarti sangat tidak tertarik dengan pembicaraan anda
Pandangan mata melihat ke atas
Mata melihat ke atas adalah sebuah bahasa yang sering kali menandakan penghinaan, sarkasme, kebosanan dan gangguan (merendahkan anda)
Pandangan mata melihat ke atas kanan
Seseorang yang sedang anda lihat sedang memandang ke atas kanan (atas kiri dari sudut pandang orang pertama) sebenarnya sedang mengingat sebuah gambar. Mintalah seseorang untuk menggambarkan seseorang, maka ia akan kelihat ke kanan atas.
Pandangan mata melihat ke atas kiri
Saat anda melihat seseorang sedang melihat ke atas kiri (atas kanan dari sudut pandang orang pertama) maka mereka sebenarnya sedang berimajinasi membangun sebuah gambar di benak mereka. Mintalah seseorang untuk membayangkan sesuatu, mereka akan melihat ke atas kiri.
Pandangan mata melihat ke kanan
Saat seseorang melihat ke kanan (kiri untuk sudut pandang orang pertama) mereka sedang memanggil suara dari memori mereka. Mintalah seseorang untuk mengingat sebuah lagu, maka mereka akan melihat ke kanan.
Pandangan mata melihat ke kiri
Orang membangun suara saat mereka melihat ke kiri (kanan untuk sudut pandang orang pertama). Saat seseorang membayangkan suara baru yang belum dikenal atau menggabungkan sebuah melodi matanya akan bergerak ke kiri. Mintalah seseorang untuk membayangkan deruan kereta di dalam air, mata mereka akan memandang ke kiri.
Pandangan mata melihat ke bawah kanan
Seseorang yang melihat ke bawah kanan sedang memiliki percakapan dalaman/internal di dalam benaknya. Mereka sedang berbicara dengan diri mereka sendiri. Tanyakan bagaimana hasil pembicaraan terakhir mereka, dan mereka akan melihat ke bawah kanan.
Mata melihat ke bawah kiri
Jika seseorang melihat ke bawah kiri, mereka sedang membayangkan bagaimana perasaannya terhadap suatu hal. Tanyakan seseorang apa yang dirasakannya pada saat ulang tahunnya, maka mereka akan melihat ke bawah kiri sebelum menggambarkannya kepada anda.
Pandangan mata melihat ke bawah
Seseorang yang memandang ke bawah sedang menunjukkan bahawa mereka sedang bersikap patuh dan tidak selesa. Orang biasanya akan melihat ke bawah saat mereka malu atau tidak menginginkan sebuah pembicaraan.
Pandangan Mata berkedip-kedip
Lawan bicara sedang mempertimbangkan sesuatu/berfikir sama ada tentang apa yang sedang dibincangkan atau di luar tajuk perbincangan.
Pandangan Mata dialihkan
Lawan bicara kita sedang berusaha untuk menutup atau menghindari pandangan, pembicaraan, dan perasaannya terhadap kita.
Pandangan Mata tiada kejelasan dari tanda-tanda mata
Berkemungkinan lawan bicara sedang menunggu sapaan atau alu-aluan dari anda.
Pandangan Mata beralih-alih
Lawan bicara berusaha beradaptasi dengan situasi pembicaraan yang sempat diabaikan.
Pandangan Mata tertunduk sambil tersenyum
Lawan bicara tertarik dengan kita tapi ia merasa agak malu. Barangkali di hatinya ada hasrat tumpuan terhadap anda.
Pandangan Mata digenangi air mata dan redup
Lawan bicara sedang bersedih. Mungkin terhadap apa yang sedang dibicarakan
Pandangan Mata bercahaya
Lawan bicara merasa bahagia, bangga dan senang hati atas perbicaraan dengan anda
Pandangan Mata kuyu dan layu setengah
Lawan bicara sedang ngantuk dan tidak ada mood terhadap apa yang dibincangkan.
Pandangan Mata berkedip tak karuan
Lawan bicara sedang kelilipan dengan fikiran yang bersimpang siur. Tidak mengikuti.
Rahsia di sebalik mata
Saiz mata kecil
Peramah orangnya, banyak cakap dan kurang pertimbangan. Lawan boleh jadi kelam kabut akibat mulutnya. Bersikap periang tapi bila marah lambat sejuknya. Bila bercinta suka tukar pasangan kerana hatinya tidak pernah puas. Boleh bahagia dengannya jika dapat memenuhi kehendak duniawinya dan melayan syahwatnya dengan baik.
Saiz mata sedang 
Orangnya cukup sederhana, tidak banyak berahsia, bijak membuat pertimbangan, bertanggungjawab serta sering memerlukan belaian mesra dari pasangannya.
Saiz mata lebar
Orangnya cukup kuat menyimpan rahsia, punyai otak yang kurang cergas, pemarah, suka bertindak tanpa berfikir panjang, kehidupannyakurang teratur, tiada arah tujuan dan mudah putus asa. Namun seorang yang setia. Nafsu syahwatnya tinggi.
Mata yang sering berkedip
Orangnya pemaaf, senang dibawa berbincang, mudah dan memahami serta sabar. Orang seperti ini baik sekali.
Mata jarang berkedip
Orang punyai mata sebegini cukup istimewa. Bijaksana, baik pekerti, setia, adil, bertanggungjawab, tidak cerewet, sentiasa sedia membantu dan memberikan kebahagiaan.
Mata cengkung
Sentiasa ada sifat kurang puas hati, materialistik, hidup dengannya harus lebih kuat dan tabah serta sedia menerima kepayahan. Sering menggunakan kata manis tapi bohong, kerjanya mahu senang, mudah curang dan bila anda susah dia tidak akan peduli.
Mata redup
Bermata sebegini mudah dipermainkan, tidak dapat mengawal emosi, punyai hati yang tidak tetap, banyak kenalan tapi kurang sahabat, suka mengumpat, irihati, kejam, kasar, memfitnah, pemarah dan suka mencemuh.
Matanya seolah tersembul keluar
Sifat orangnya cukup baik, rela, tabah, menyenangkan, mendengar kata dan nasihat. Tapi mungkin tidak menepati janji, pendendam, tamak dan marah bila tidak puas nafsu syahwatnya.
Pucuk pauh delima batu, 
Anak sembilang di tapak tangan; 
Walau jauh di negeri satu, 
Hilang di mata di hati jangan.

Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometris

TERIMA KASIH TUHAN

Terima kasih 
pada sepasang bola mata ini 
sesempurna anugerahMu untukku 
kerana dengan ihsanMu 
aku berdaya menghimbau secebis akal 
melontar titisan keringat buat penyambung amanahMu


Sepasang bola mata ini 
aku syukuri pada indahnya ciptaanMu 
dalam renunganku pada bayu 
yang lembut mengusap tubuh 
aku lihat sutera nikmatMu membalut diriku


Aku tetap akan terus 
menterjemahkan bahasaMu 
tanpa cela, tanpa letih 
sampai nanti nafasku berhenti 
dan semoga nanti 
Kau izinkan aku 
terus menatap indahnya syurgaMu 


Drhaliza Mutalib
Pangkor 
14.7.2012

Friday, July 13, 2012


Trauma Mata

Malang tak berbau. Kemalangan boleh berlaku pada sesiapa sahaja secara tidak langsung. Kebanyakkan kemalangan selalunya berlaku di rumah sendiri. Selalunya bahagian anggota badan yang banyak terdedah pada bahaya trauma adalah mata dan secara relatifnya penglihatan boleh terganggu. Punca-punca berlakunya trauma perlu dikenalpasti agar kita lebih berwaspada dan rawatan segera mungkin dapat menyelamatkan penglihatan anda.

Bagi kanak-kanak, salah satu punca bagi kehilangan penglihatan ataupun kehilangan mata adalah disebabkan oleh trauma. Trauma yang dimaksudkan adalah seperti disebabkan oleh kemalangan di jalanraya, kemalangan semasa menggunakan alat tajam, alat tumpul, jatuh dari tempat yang tinggi, kebakaran dan juga terdedah pada bahan kimia. Kesemua jenis trauma ini boleh terjadi di mata dan ianya boleh menjejaskan penglihatan dengan teruk ataupun lebih dahsyat lagi mengakibatkan kehilangan bola mata. Walaubagaimanapun dengan teknik surgeri yang canggih banyak kes-kes trauma pada mata dapat diselamatkan dan dirawat dengan baik.

Kecederaan mata

Kecederaan pada kelopak mata boleh mengakibatkan luka teruk pada mata. Ini adalah kerana fungsi kelopak mata adalah untuk melindungi mata sambil mengekalkan kelembapan mata . Ianya juga bertindak seperti pengilap cermin kereta untuk membersihkan sebarang bendasing yang terlekat pada bahagian depan mata. Kelopak mata yang tercedera boleh hilang daya menutup mata sepenuhnya menyebabkan bahagian bawah mata yang terdedah menjadi kering dan ini boleh menggalakkan infeksi mata berlaku ataupun warna mata hitam menjadi sedikit kelabu disebabkan edema yang berpanjangan. Kadangkala kelopak mata yang tercedera boleh menyebabkan kesan bengkak ataupun lebam. Lebam merupakan hasil dari pendarahan terkumpul yang berlaku dibelakang kulit mata yang longgar. Salur airmata dari kilang airmata yang menyalur melalui hidung kebelakang tekak sangat lembut dan mudah rosak. Kecederaan pada salur ini boleh menyebabkan retensi airmata (airmata akan mengalir ke pipi dalam keadaan biasa) dan kadangkala pembengkakkan berupa sista dihujung mata boleh berlaku sekiranya infeksi mula menular. Masalah ini biasanya dapat dibaiki dengan kaedah surgeri.

Kecederaan mata yang biasa berlaku pada kanak-kanka dan dewasa adalah seperti aberasi pada bahagian anterior mata (mata hitam atau kornea). Ini boleh diakibatkan dari kuku yang panjang , kanta sentuh, bucu kertas yang tajam. Abrasi yang lebih mendalam juga boleh berpunca dari partikel yang berterbangan seperti serangga kecil, habuk yang besar, dan juga pasir. Lebih teruk lagi jika aberasi ini bersama-sama dengan kecederaan penetratif (tertusuk) seperti tercucuk benda tajam seperti pensil, payung, serpihan logam dari kerja menukul atau memaku. Kecederaan sebegini sememangnya menyebabkan ketidakselesaan dan sakit yang kebiasaannya  memerlukan pemeriksaan mata lanjut. Pemeriksaan untuk kes sebegini biasanya merangkumi pemeriksaan evaluasi tahap kecederaan pada kornea dan pengesanan bendasing dengan menggunakan teknik pewarnaan (staining) dan mata diperiksa menggunakan lampu slit biomikroskopi. Melalui pemeriksaan ini saiz kecederaan dapat dilihat dan diteliti kedalaman tisu yang terbabit. Ubat titis antibiotik boleh diberikan sekiranya bersesuaian dan mata akan ditutup jika perlu. Pemantauan seterusnya amat penting untuk memerhatikan luka pada kornea sembuh dengan baik. Adakalanya sekira kecederaan yang dialami pada mata agak ekstensif maka luka yang sembuh akan meninggalkan parut dang agak ketara. Parut mungkin mengambil tempoh yang agak lama untuk menipis.

Kecederaan yang lebih serius adalah akibat tumpahan atau percikan bahan kimia. Kerosakkan boleh jadi sedikit atau bersifat sementara seperti terkena spray parfum, racun serangga ataupun rambut ataupun lebih teruk sekiranya terkena tumpahan bahan kimia seperti klorok, pencuci dan lain-lain. Tumpahan bahan kimia yang teruk selalunya membawa kepada kehilangan penglihatan. Sekiranya insiden ini berlaku mata perlu dibasuh dengan air biasa sebanyak mungkin dan perlu dibawa ke unit kecemasan di hospital dengan segera.

Trauma juga boleh berbentuk tusukan tajam ataupun tumpul.  Tusukan tajam seperti tertusuk jari, pensil, kaca cermin (kemalangan jalan raya) akan memberikan kesan berlainan pada penglihatan berbanding dengan jenis tumpul seperti ditumbuk, terkena bola golf, hoki atau objek yang lebih solid.

Trauma dari kecederaan sebegini boleh menyebabkan kompresi dan indentasi pada glob mata . Pendarahan mungkin berlaku anatra kornea dan iris dimana penglihatan akan menjadi kelam dan kabur disebabkan cahaya tak dapat menerobosi takungan darah dalam mata. Kadangkala trauma yang berlaku bersama hentakan yang kuat juga boleh menyebabkan lapisan retina tanggal dan menurunkan tahap penglihatan dengan banyak. Sekiranya ini berlaku, ianya akan berupa seperti kilat yang sambar menyambar dalam mata dan pesakit perlu dibaringkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan segera.

Rawatan

Banyak kecederaan mata berlaku pada golongan kanak-kanak. Dan sememangnya kecederaan pada mata kanak-kanak agak teruk di mana kebiasaan ianya menusuk hingga ke bahagian kanta yang mana kanak-kanak tersebut boleh mengalami katarak akibat dari trauma dan juga koyakan iris. Masalah ini biasanya dibetulkan dengan kaedah surgeri dan rehabilitasi penglihatan dilakukan dengan menggunakan kanta sentuh dan juga terapi penutupan. Walauapapun jua rawatan lanjut yang cuba dilakukan, kebiasaannya penglihatan tidak dapat dikembalikan seperti asal semula.

Antara teknik rawatan yang digunakan adalah dengan menggunkan kanta sentuh keras, kanta sentuh prostetik dan juga kanta sentuh silikon dalam proses rawatan kes-kes trauma.

Kanta sentuh silikon biasanya digunakan sebagai pembalut atau ’bandage’ untuk diletakkan pada mata yang mengalami aberasi yang teruk. Penggunaan kanta ini dapat menutup luka atau saraf-saraf kornea yang terdedah dan secara tak langsung dapat mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan. Kanta tersebut dapat ditinggalkan dalam mata untuk tempoh maksima 30 hari tanpa perlu menanggal atau membersihkannya. Kanta sentuh silikon membenarkan kadar oksigen yang tinggi menyerap masuk kemata dan mampu mempercepatkan kadar pemulihan sel-sel yang terluka.

Kanta sentuh prostetik yang mempunyai corak seperti iris mampu dijadikan iris palsu untuk menutup iris yang terkoyak teruk. Iris yang terkoyak teruk biasanya akan mengakibatkan silau dari kemasukkan cahaya yang berselerak. Dengan adanya iris palsu ini, masalah silau terlampau boleh di atasi dan penglihatan boleh menjadi bertambah baik apabila cahaya yang berselerak ditumpukan hanya pada satu arah.
Mata yang dirawat dengan kanta sentuh prostetik. 
Gambar Atas – iris yang terkoyak akibat trauma. 
Gambar bawah – kanta sentuh prostetik sebagai iris palsu
Selepas kornea pulih dari luka, kebiasaannya permukaan kornea mungkin tidak rata lagi ataupun kornea mungkin berparut. Penggunaan kanta sentuh keras dapat digunakan sebagai pelapis kedua untuk melapik permukaan yang tak rata ini. Ini dapat memberi satu kuasa refraksi yang lebih stabil yang mampu memberi tahap penglihatan yang lebih baik pada mata yang berparut.

Paling penting selepas dirawat untuk kecederaan mata, pemulihan kuasa refraksi dan rehabilitasi penglihatan perlu dimulakan dengan secepat mungkin. Jika mata trauma dibiarkan begitu sahaja untuk satu tempoh yang lama, kemungkinan besar penglihatan akan menjadi kabur dan tidak boleh dirawat lagi.
Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometris

Monday, July 9, 2012

Penyaringan Mata Kanak-Kanak    
Penyaringan Penglihatan

Penyaringan Penglihatan adalah satu kaedah asas untuk mengesan masalah penglihatan pada kanak-kanak. Masalah penglihatan tidak semestinya berkait dengan pemakaian cermin mata. Banyak lagi masalah penglihatan yang perlu diberi perhatian seperti masalah juling, mata bergetar (nistagmus), penglihatan terhad/rendah, ketidakseimbangan binokular, penyakit mata dan lain-lain lagi.

Siapakah yang memerlukan penyaringan penglihatan? Jangan tunggu sehingga anak mengadu sakit kepala atau tidak nampak guru mengajar ataupun selalu lemah dalam pelajaran barulah kita cuba mencari jalan penyelesaian. Penyaringan penglihatan patut dijadikan satu rutin pada semua kanak-kanak sebelum melangkah kealam persekolahan. Tidak mengambil kira sama ada kanak-kanak itu mengadu ataupun tidak. Adalah tidak mustahil sekarang ini, anak-anak perlu memakai cermin mata sedangkan ibubapanya mempunya penglihatan yang sempurna. Perlu diketahui di zaman ini faktor rabun tidak semestinya dikaitkan dengan masalah genetik iaitu ibubapa yang memakai cermin mata akan mempunyai anak yang juga bercermin mata. Faktor rabun sudah boleh dikaitkan dengan faktor persekitaran. Kanak-kanak di masa kini sentiasa terdedah dengan kerja dekat seperti banyak melakukan kerjarumah, membaca komik, bermain permainan elektronik dan komputer. Sekiranya terlalu banyak terdedah pada suasana sebegini, ini akan menyebabkan akomodasi (daya fokus) terganggu dan menjadikan kanak-kanak miopik (rabun jauh). Semakin lama keadaan miopik. ini boleh menjadi lebih ketara menyebabkan kanak-kanak memerlukan pemakaian cermin mata.

Sekiranya kanak-kanak di kampung dibandingkan dengan kanak-kanak dibandar, akan didapati kanak-kanak dibandar akan lebih banyak mengalami masalah miopia berbanding dengan kanak-kanak dikampung. Ini adalah kerana faktor persekitaran mempengaruhi cara hidup kanak-kanak ini. Gaya hidup banyak mempengaruhi penglihatan seseorang, seorang kanak-kanak yang rajin melakukan kerja dekat seperti membaca, melukis dan kerja computer akan berkemungkinan memerlukan pembetulan cermin mata  lebih awal dari kanka-kanak yang lebih aktif melakukan aktiviti luar rumah, meskipun latarbelakang genetik adalah lebih kurang sama.

Mengapa perlu penyaringan mata di awal usia?

Sekiranya anda tidak melakukan penyaringan awal anda mungkin tidak dapat mengesan masalah penglihatan yang di alami oleh anak anda.  Terdapat banyak kes di mana ibubapa telah meletakkan anak- anak mereka di sekolah pendidikan khas kerana menyangka anak mereka mengalami masalah pembelajaran ataupun menyangka anak mereka mengalami masalah disleksia atau autisme. Setelah bertemu pakar mata yang bertauliah, barulah masalah penglihatan ini dapat dikesan. Anak mereka hanya mempunyai masalah rabun teruk yang boleh diperbaiki hanya dengan memakai cermin mata ataupun kanta sentuh khas kanak-kanak. Kanak-kanak ini terus dapat belajar dengan baik setelah rabun mereka dibaiki dan sekiranya terdapat masalah mata yang lain, terapi penglihatan boleh dilakukan.  Fikirkan masa kanak-kanak tersebut yang telah terbuang hanya dari satu kesilapan yang kecil sahaja – iaitu tiada penyaringan mata dilakukan sebelum anak-anak melangkah ke alam persekolahan. Perhatian istimewa perlu diberi pada kanak-kanak istimewa seperti anak bermasalah Sindrom Down, kes sebegini kebiasaannya mempunyai masalah rabun jauh yang ketara.
Dimana penyaringan mata dapat dilakukan?

Hampir kesemua praktis Optometri dapat melakukan penyaringan mata dengan sempurna. Jangan terpedaya dengan kedai optik yang hanya menjalankan promosi jualan murah. Jangan segan untuk bertanyakan khidmat Optometris untuk melakukan penyaringan mata. Penyaringan mata yang sempurna meliputi penentuan tahap akuiti penglihatan, refraksi ralat, oftalmoskopi, ujian-ujian preliminari termasuk pergerakan otot ekstraokular, refleks pupil, pengesanan rabun warna, penentuan nilai akomodasi dan konvergen dan lain-lain ujian yang difikirkan perlu. Caj berpatutan akan dikenakan.

Sekiranya terdapat ralat refraksi pada anak saya, apa yang patut saya lakukan?

Jangan berlengah. Anda perlu berbincang dengan Optometris anda tentang status penglihatan anak anda dan juga cara rawatan yang berkesan. Kebarangkalian besar anda perlu memakai anak anda dengan cermin mata.  Ada kes-kes terapeutik tertentu di mana pemakaian kanta sentuh diperlukan dan juga susulan dengan terapi penglihatan diperlukan.
Kos.

Terdapat banyak pakej yang ditawarkan pada kanak-kanak di kedai-kedai Optik. Bertanyalah dengan jelas jenis cermin dan bingkai yang ditawarkan. Untuk kanak-kanak yang baru mula berjinak-jinak dengan pemakaian cermin mata dapatkan bingkai penuh (plastik atau nkel aloi) dan digandingkan dengan kanta yang berkualiti tinggi. Kanta berkualiti tinggi mempunyai kualiti optik yang baik dan tiada distorsi. Harganya mungkin mahal sedikit daripada kanta keluaran negara China dan Taiwan, tetapi ianya akan memberikan penglihatan terbaik tanpa distorsi yang boleh menyebabkan pening. Sekiranya anak anda mempunyai ralat yang tinggi disamping ralat astigmatisma yang lebih dari 0.50D, adalah lebih baik jika anda memilih lapisan anti-silau ataupun multicoat (harga lebih mahal berbanding dengan harga uncoat). Sekiranya cermin mata diperlukan untuk kes-kes terapi anda boleh berbincang untuk mendapatkan cermin mata yang asas yang lebih murah harganya kerana anda mungkin perlu menukar cermin mata dengan kerap. Paling penting jangan sekali-kali mendapatkan cermin mata siappasang untuk rabun jauh dari pasar malam tanpa menjalani pemeriksaan penglihatan mata yang sempurna. Cermin mata yang tidak sempurna boleh mengakibatkan kecelaruan signal penglihatan yang sukar dibaiki. Jangan berdikit, kesihatan mata terlalu tinggi nilainya.

Kekerapan Pemeriksaan Mata

Bagi kanak-kanak yang baru mula memakai cermin mata, pemeriksaan susulan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan atau lebih kerap (dapatkan nasihat Optometris anda). Sekiranya tiada keperluan, adalah wajib membawa anak-anak untuk mendapatkan rawatan tahunan. Pemeriksaan yang kerap dapat mengesan perubahan kuasa mata dan jika nilainya adalah signifikan anda perlu menukar cermin mata atau kanta oftalmik anak anda. Sekiranya mata memakai kuasa kanta yang kurang dari sepatutnya, mata akan mengalami stres dan kuasa ralat boleh menjadi berkali-kali ganda. Mata yang tidak mengalami stres mempunyai ralat refraksi yang lebih stabil.

Bagaimana hendak mengurangkan stres mata

Tips:
v  Jauhkan jarak komputer dan kedudukan anak anda darinya. Kekerapan penggunaan komputer boleh menyebabkan kuasa refraksi melonjak naik. Cuba lihat permandangan yang jauh selama beberapa saat setelah melakukan kerja komputer selama setengah jam tanpa henti.

v  Gunakan pencahayaan yang cukup terang dan baik. Jangan membaca dalam gelap

v  Betulkan kedudukan semasa membaca. Jangan meniarap ataupun berbaring semasa membaca buku. Jarak buku yang dipegang terlalu dekat boleh menyebabkan stres pada mata.

v  Sentiasa optimumkan kuasa pada cermin mata. Tukarkan kanta cermin mata apabila ada perbezaan kuasa cermin mata ketara. Jangan tunggu hingga cermin mata patah untuk diganti.
Bolekah rabun anak saya menjadi baik semula?

Sekiranya pemeriksaan ralat telah dilakukan dengan baik, ralat rabun tidak mungkin menjadi berkurangan selepas pemakaian cermin mata. Perlu difahami, yang paling penting bukannya kuasa ralat mata tetapi tahap penglihatan mesti di tahap baik sekurang-kurangnya VA Snellen 6/9. Malahan rabun boleh meningkat dari masa kesemasa, dan cara untuk mengawal kenaikan ralat ini ialah dengan mengurangkan stres pada mata. Jangan lupa melakukan penyaring mata pada anak anda kerana masa depannya bergantung pada perlaksanaan anda hari ini. Lakukan temujanji dengan Optometris anda tanpa berlengah-lengah lagi!

Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan & Pakar Optometris

Saturday, July 7, 2012


JULING

Pernahkah anda melihat kanak-kanak bermata juling? Apakah yang bermain di kepala anda apabila melihat keadaan ini. Rata-rata, masyarakat Malaysia mungkin menganggapnya sebagai satu taboo. Ianya jarang diperkatakan apatah lagi dipersoalkan. Ramai ibubapa yang mempunyai anak yang bermata  juling akan menganggapnya sebagai satu ketentuan ataupun takdir tuhan. Oleh itu mereka tidak cuba berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan itu. Ada juga yang cuba menidakkan keadaan itu dengan menyatakan bahawa itu cuma juling air atau juling itik yang di anggapnya sebagai satu symbol kecantikkan. Malah ramai yang masih tidak tahu yang keadaan juling itu  masih boleh dibetulkan dengan pelbagai cara termasuk terapi penglihatan, surgeri, cermin mata dan kanta sentuh.
 
Juling boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang agak biasa di kalangan bayi dan kanak-kanak tetapi kerapkali masalah ini tidak dapat dikesan dari awal . Ibubapa sepatutnya membawa anak-anak yang disyaki atau mula diperhatikan mempunyai kejulingan ke pakar mata untuk di periksa. Walaupun kadangkala juling itu kelihatan sedikit sahaja dan hanya kelihatan apabila penat ataupun diwaktu petang, ianya perlu di pandang serius. Kemungkinan ianya boleh menjadi lebih nyata dan teruk dalam tempoh yang singkat.

Kanak-kanak bermata juling mempunyai masalah memfokus dengan kedua dua belah matanya pada satu objek pada masa yang sama. Lama-kelamaan kanak-kanak yang mengalami masalah ini akan kehilangan penglihatan (mata malas) pada mata yang juling itu kecuali jika masalah ini dikesan dan di rawat dari awal.

Kejulingan adalah disebabkan oleh paksi kedua-dua bebola mata tidak selari. Ianya melibatkan pergerakkan otot-otot mata. Adakalanya kedua-dua mata terlibat bersama.


Definisi
Juling ataupun nama saintifiknya strabismus ataupun heterotropia adalah suatu keadaan di mana kedua mata tidak tertuju atau tertumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian secara bersamaan. Keadaan ini boleh menjadi kekal (selalu berlaku) atau berlaku dalam keadaan tertentu saja seperti saat sakit atau stress. Mata yang tampak juling dapat terlihat lurus dan yang tadinya tampak lurus dapat terlihat juling dan boleh diklasifikasi kepada beberapa jenis:

A. Esotropia    : mata terletak menghampiri  hidung
B. Eksotropia  :
mata terletak menjauhi  hidung
C. Hipertropia : mata terarah melihat ke atas
D. Hipotropia  : mata terarah melihat bawah

Adakalanya mata boleh juling keatas ataupun bawah ataupun mempunyai kombinasi kedua-dua paksi.

Bagi kanak-kanak, juling merupakan satu keadaan yang biasa berlaku. Tetapi kebiasaanya ianya gagal dikesan diperingkat awal. Ada bayi yang dilahirkan juling dan ada pula kejulingan mula berlaku diperingkat kanak-kanak. Bagi bayi dan kanak-kanak, kebiasaannya mempunyai juling jenis esotropia. Kanak-kanak yang mula nampak juling setelah berumur lebih setahun, adalah penting dibawa untuk dibawa pemeriksaan mata kerana kanak-kanak tersebut mungkin mengalami rabun teruk pada satu mata, katarak unilateral ataupun lain-lain sebab yang memerlukan perhatian segera.

Kebiasaanya ibubapalah orang yang pertama melihat ataupun mengesan kejulingan pada anak-anak. Sekiranya juling adalah terlalu teruk, kehilangan penglihatan atau mata malas boleh berlaku dalam masa yang singkat

Kejulingan yang minima boleh dikesan melalui penyaringan penglihatan yang biasa. Walaupun ianya tidak berjangkit ianya akan kekal dan darjah kejulingan akan menjadi lebih besar sekiranya tidak dirawat. Rawatan diperingkat awal adalah lebih mudah. Biasanya hanya dengan terapi ortoptik sudah memadai. Sekiranya darjah juling terlalu besar, surgeri otot perlu dilakukan.

CARA MENGENALPASTI KEJULINGAN

Untuk mengenalpasti kejulingan anda boleh membawa anak anda berjumpa dengan Optometris atau Ortoptis.  Optometris atau Ortoptis boleh evaluasi kedudukan refleks kornea bayi atau kanak-kanak. Di sini darjah kejulingan dan jenis kejulingan boleh di kesan dengan menggunakan  pelbagai jenis prisma dan ujian katup.

CARA RAWATAN

Kebiasaanya  latihan ortoptik atau latihan memfokus  di gunakan untuk mereka yang mempunyai juling sedikit tetapi ini tidak memadai untuk membaiki kejulingan yang teruk. Bagi kanak-kanak kecil biasanya cara membaiki juling teruk adalah melalui kaedah surgeri. Adakalanya beberapa surgeri perlu dilakukan untuk meluruskan paksi mata. Selepas surgeri, ada kalanya cermin mata, kanta sentuh dan latihan ortoptik masih perlu dilakukan untuk satu tempoh yang di tentukan.  Sekiranya mata yang juling itu dikesan mempunyai ambliopia (mata malas), rawatan  untuk keadaan tersebut juga diberikan
PENYEBAB JULING

Terdapat banyak sebab mengapa kejulingan mata boleh berlaku. Antara sebabnya adalah  kelumpuhan otot mata, rabun mata terlalu tinggi, penyakit sistemik, berkaitan dengan penyakit mata seperti katarak ataupun tumor mata seperti retinoblastoma.

PSEUDOSTRABISMUS ATAU JULING PALSU

Bagi bayi yang baru lahir terutamanya untuk beberapa minggu pertama, mata bayi boleh kelihatan seperti juling terutamanya ketika bayi letih ataupun mengantuk. Adakalanya bayi yang baru lahir memperlihatkan juling yang  lebih ketara dari masa ke semasa. Ianya mungkin bukan jenis juling sebenar tetapi  satu keadaan yang dipanggil pseudostrabismus yang bermakna kejulingan palsu.

Pseudastrabismus atau juling palsu berlaku apabila mata kelihatan juling disebabkan wajah bayi yang mungkin tidak berapa simetri. Kebiasaanya bayi yang mempunyai batang hidung yang tidak tinggi dan mempunyai lipatan kulit berlebihan dihujung mata (yang dekat dengan hidung) boleh kelihatan seolah-olah juling. Walaubagaimanapun, ianya tidak membawa sebarang masalah pada penglihatan bayi.

Apabila bayi semakin besar dan wajah makin berubah sedikit, masalah pseudostrabismus akan hilang. Walaubagaimanapun adakalanya ianya boleh berubah menjadi juling nyata.

Sekiranya bayi mempunyai penglihatan normal, bayi mesti mampu memfokus dengan kedua-dua belah mata pada satu objek yang dipegang hampir dengan mata bayi pada waktu yang sama. Sekiranya bayi sememangnya juling, bayi tidak dapat fokus dengan kedua-dua belah matanya.

KESAN JULING

Bagi ramai orang, juling itu hanyalah satu kekurangan pada wajah, namun ramai yang tidak ketahui bahawa kejulingan boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan penglihatan binokularnya. Kedua-dua mata sepatutnya bekerjasama secara langsung, simetri dan tepat apabila melihat sesuatu objek. Penglihatan binokular amat penting dalam menganggar kedalaman atau jarak antara dua objek. Seperti contoh bayi yang ingin mengutip mainan untuk dimasukkan kedalam bakul mainan memerlukan penglihatan binokular. Tanpa penglihatan binokular mainan tersebut mungkin diletakkan diluar bakul.

Masalah ketiadaan penglihatan binokular ini boleh dirawat dengan menggunakan kaedah terapi penglihatan. Dengan kaedah ini penglihatan binokular mungkin boleh diwujudkan dan berfungsi semula. Sekiranya seseorang itu mempunyai darjah kejulingan yang sedikit dan tidak mempunyai penglihatan binokular, rawatan dengan menggunakan kaedah terapi boleh dilakukan dengan jayanya.
TERAPI PENGLIHATAN

Terapi penglihatan adalah satu terapi fizikal untuk sistem penglihatan yang meransang otak dan juga mata. Dengan menggunakan satu siri prosedur terapeutik (latihan mata), pesakit boleh mendapat penglihatan normal kembali. Terapi penglihatan boleh digunakan untuk membaiki pelbagai jenis gangguan penglihatan binokular seperti ambliopia (mata malas), kejulingan, kerabunan jauh dan dekat ataupun astigmatisma dan lain lain lagi. Sekiranya gagal, rawatan secara surgeri akan dilakukan sekiranya perlu.

Oleh sedemikian jangan berlengah-lengah lagi sekiranya anda mengesyaki mata anak anda mungkin nampak juling. Dapatkan pandangan dari Optometris anda secepat mungkin. 

Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan & Pakar Optometris