Pages

Monday, July 2, 2012

Kriiing. Ah masa untuk aku pulang ke rumah. Cuaca agak gelap dan di langit guruh berdentum. Barangkali akan hujan, terlintas di fikiranku. Ku lihat kawan-kawan sekolahku semuanya dijemput oleh ibubapa mereka. Seorang demi seorang hilang di celah lewatnya sinar petang menjelang senja ini. Aku masih terpaku di sini, di bawah pondok bas. Berjalan kaki, itulah kemampuanku untuk pulang ke rumah. Hari kian gelap. 
Ah! kenapalah sejak kebelakangan ini mataku seperti payah untuk melihat sesuatu. Puas aku merenung sesuatu yang berada agak jauh dariku. Kekadang aku jadi keliru dengan apa yang Cikgu Basir tuliskan di papan hitam. Sering aku di marahi kerana tidak beri perhatian terhadap apa yang cikgu tulis di papan hitam.
Semasa di rumah pula, aku sering jatuh kerana tersepak bendul rumah. Apa lagi rumahku adalah rumah kayu lama tinggalan nenekku. Ibuku hanya mampu mengambil minyak angin dan mengurut kakiku yang sakit dengan mulutnya yang menceceh kepadaku. Ah , biarlah.. tak siapa yang akan faham.
Perlahan aku bangun untuk berjalan pulang. Ku toleh ke kanan untuk melihat kenderaan seperti yang Cikgu Fatimah sentiasa pesan seandainya mahu melintas jalan. Dari kejauhan aku nampak sinar lampu kenderaan yang samar-samar jaraknya. Ku toleh ke kiri. Sunyi dan sepi. Tiada tanda-tanda kenderaan di atas jalanraya. Sekali lagi kutoleh ke kanan. Dalam samar aku lihat cahaya kenderaan seperti motosikal. Jauh dan kecil sinarannya. Ok.. masa untuk melintas, bisik hati kecilku sambil menapak perlahan dan bersedia. Tiba-tiba...tum! dan bila kusedar, seluruh tubuhku sakit. Pedih dan ngilu hingga ke tulang. Telingaku dapat menangkap suara raungan ibuku...
Ahh! di mana aku......
(Ini adalah sebahagian dari sketsa jiwa seorang anak sekolah yang tidak pandai meminta. Renungkanlah bersama)

KANTA SENTUH KHAS UNTUK KANAK-KANAK
Dr Haliza Abdul Mutalib

Kanta sentuh dan kanak-kanak merupakan satu gandingan yang janggal yang mungkin tidak pernah didengar atau diketahui umum. Kanta sentuh yang digunakan ke atas kanak-kanak adalah berdasarkan pada keperluan terapi dan bukannya kosmetik. Seringkali bila option rawatan diberitahu pada ibubapa bayi, mereka berasa bimbang. Lebih menakutkan lagi apabila diberitahu mereka juga perlu belajar memasukkan dan mengeluarkan kanta sentuh dari mata bayi dengan sendiri.
Pemakaian kanta sentuh ke atas kanak-kanak adalah selamat dan berkesan. Apa yang perlu difahami oleh ibubapa adalah motif sebenar pemakaian kanta sentuh tersebut. Seperti contoh bagi bayi (kurang dari 6 bulan) dan mempunyai masalah kongenital katarak. Surgeri katarak yang terpaksa dilakukan di usia awal tidak akan melibatkan penggantian kanta intraokular palsu seperti orang dewasa. Ini di sebabkan bebola mata bayi yang masih boleh membesar beberapa millimeter sehingga berumur 3 tahun. Tambahan pula penggunaan kanta palsu boleh meningkatkan risiko dislokasi dari tempat pemegang yang disebabkan oleh proses tumbesaran mata. Oleh sedemikian kanak-kanak memerlukan pembetulan kuasa refraksi yang tinggi dari pemakaian cermin mata ataupun kanta sentuh.

Cermin mata yang berkuasa tinggi boleh memberi kesan magnifikasi (bagi kanta cembung) atau minifikasi (bagi kanta cekung) imej. Sebaliknya ini tidak berlaku dengan pemakaian kanta sentuh.  Disebabkan kanta sentuh dipasang melekap pada mata, imej yang dilihat akan hampir sama dengan saiz sebenar dan juga bebas dari distorsi optikal. Hasilnya penglihatan adalah lebih jelas berbanding dengan cermin mata.

Pemakaian cermin mata juga adalah sukar dan tidak pratikal dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil. Bayi atau kanak-kanak akan merasa tidak selesa atau rimas dengan cermin mata tambahan pula jika ianya berat dan besar. Seringkali juga ibubapa akan mengadu yang anak mereka merasa rendah diri apabila diejek kawan-kawan ataupun menjadi perhatian orangramai.

Kegagalan dari memakai pembetulan refraksi di awal usia boleh masalah ambliopia atau mata malas (lazy eyes) yang serius. Masalah ambliopia boleh menyebabkan tahap penglihatan ataupun akuiti visual berada pada tahap subnormal dimana keadaan ini boleh menjadi sukar ataupun tidak boleh dibetulkan lagi selepas kanak-kanak mencecah umur 7 tahun. Oleh itu adalah penting bagi kanak-kanak ini mendapat rawatan agresif dan betul dalam tempoh kritikal ini. Sekiranya rawatan ini dilambatkan masalah ambliopia mungkin tidak dapat dirawat lagi.

Pemakaian kanta sentuh bukanlah hanya sekadar satu faktor kosmetik malah ianya lebih dari itu.. Kanta sentuh juga dapat memberi kuasa optikal tepat dan selari dengan titik fokus mata bagi mata juling dan juga dapat mengawal nistagmus (mata bergetar). Dalam kes-kes seperti albino, aniridia (tanpa iris) ataupun iris terkoyak akibat trauma, kanta sentuh prostetik berwarna akan digunakan sebagai iris palsu untuk mengawal masalah silau lampau. Hasilnya penglihatan adalah lebih baik dari memakai cermin mata.

Kanta sentuh untuk kanak-kanak mempunyai ciri istimewa yang direka khas untuk merawat penyakit mata pada kanak-kanak. Kanta sentuh khas ini boleh didapati dalam pelbagai saiz, kelengkungan dasar, material, kuasa refraktif dan warna. Kanta sentuh ini boleh digunakan untuk tujuan kosmetik atau terapeutik dimana pemakaiannya boleh berbentuk sementara (seperti selepas surgeri) ataupun untuk sepanjang hayat pesakit. Pelbagai jenis material kanta sentuh lembut yang boleh digunakan seperti HEMA dan yang terbaru adalah silikon. Material kanta sentuh adalah penting kerana ianya menentukan kadar penyerapan oksigen ke mata. Seperti contoh kanta sentuh lembut jenis HEMA hanya membenarkan pemakaian selama 16 jam sehari sehingga 2 hari berturut-turut bergantung pada kandungan airnya. Manakala material jenis silikon boleh dipakai untuk 30 hari berterusan tanpa perlu dibuka.

Pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak tidak seharusnya mendatangkan kebimbangan pada ibubapa. Ibubapa akan diberi tunjuk ajar dengan sempurna cara memasukkan dan mengeluarkan kanta sentuh dari mata anak. Cara penjagaan kanta sentuh juga akan diajar pada ibubapa sehingga mahir. Adalah penting ibubapa faham rational dan tujuan pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak. Kesanggupan dan keperihatinan ibubapa untuk sama-sama menjayakan rawatan ini akan memberi peluang pada anak mereka untuk mendapat penglihatan normal.

Jenis–jenis kanta sentuh khas

Biasanya untuk bayi yang berumur kurang dari 1 tahun, sejenis kanta sentuh diperbuat dari material silikon khas untuk bayi digunakan. Kanta ini dapat dipakai berterusan selama 30 hari tanpa perlu dibuka. Transmisi oksigen yang dapat melalui kanta sentuh adalah 6 kali lebih tinggi dari kanta sentuh biasa. Oleh kerana bayi akan kerap tidur dengan kanta sentuh dalam mata, tiada masalah hipoksia (kekurangan oksigen dalam mata) akan berlaku. Kanta tersebut senang untuk dimasukkan ke mata bayi, tidak mudah terkeluar ataupun terdislokasi ketika menangis atau digosok. Ibubapa bayi hanya perlu memantau kondisi kanta sentuh itu dari masa ke semasa. Kanta sentuh hanya perlu dikeluarkan hanya sekiranya kotor untuk dicuci dan dimasukkan semula.

Untuk kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke atas kanta sentuh silikon hidrogel jenis pakaibuang boleh digunakan sekiranya sesuai dengan mata pesakit. Oleh kerana kanak-kanak diperingkat umur ini lebih aktif, kadar kehilangan kanta juga boleh menjadi lebih kerap.  Biasanya kanak-kanak diperingkat umur ini sudah boleh memberitahu ibubapa mereka jika penglihatan kabur kerana kanta sentuh kotor dan perlu dikeluarkan untuk dicuci. Kos kanta sentuh jenis pakaibuang ini lebih murah dan lebih mudah penjagaannya. Kanta ini juga boleh dipakai selama 30 hari berterusan.

Secara idealnya, kanak-kanak ini akan dikurangkan tempoh pemakaian kepada jenis harian dimana kanta sentuh dibuka ketika hendak tidur malam dan dipasang semula di waktu pagi. Di peringkat ini material kanta jenis HEMA boleh dipakai dimana kosnya adalah lebih murah dari jenis silikon.

Siapa yang memerlukan kanta sentuh khas?

Kebanyakkan masalah penglihatan pada kanak kanak dibetulkan ketika memasuki Tahun Satu persekolahan. Namun peratusan kanak-kanak yang memerlukan pembetulan penglihatan sebelum memasuki alam persekolahan semakin meningkat kebelakangan ini. Kebiasaannya kanak-kanak ini akan dibetulkan masalah penglihatan mereka dengan sepasang cermin mata. Namun kerapkali pemakaian cermin mata adalah tidak pratikal bagi kanak-kanak berumur kurang dari 3 tahun. Kanak-kanak istimewa,  lumpuh ataupun mempunyai abnormal head position juga tidak dapat memakai cermin mata dengan sempurna. 

Pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak juga perlu dipertimbangkan untuk keadaan–keadaan penyakit mata seperti
·         Afakik bilateral atau unilateral selepas sugeri katarak
·        Perbezaan yang besar antara kuasa refraksi kedua-dua mata (anisometropia)
·         Astigmatisma tinggi pada sebelah mata
·         Kuasa refraksi yang terlalu tinggi hiperop atau miop
·         Albino, Aniridia (tanpa iris), Sindrom Marfan (dislokasi kanta kristalin)
·         Kornea berparut atau iris terkoyak disebabkan trauma ataupun kecederaan
·         Rawatan ambliopia
·         Mengurangkan nistagmus 


Cara pemakaian dan penjagaan

Kanak-kanak biasanya dapat melihat dengan lebih baik dengan kanta sentuh berbanding dengan cermin mata. Bagaimanpun seperti orang dewasa, mereka juga boleh terdedah pada infeksi dan juga komplikasi-komplikasi lain dari pemakaian kanta sentuh sekiranya tidak komplian terhadap peraturan. Bagaimanapun ini jarang sekali berlaku. Sekiranya berlaku jangkitan seperti konjunktivitis viral, pemakaian kanta sentuh terpaksa dihentikan dahulu. Masalah-masalah lain yang biasa berlaku adalah seperti kanta terhilang, koyak ataupun kanta kotor.

Kesimpulan


Kejayaan pemakaian kanta sentuh pada kanak-kanak afakik bergantung pada banyak faktor. Di antaranya adalah umur ketika sugeri katarak dijalankan dimana prognosis penglihatan adalah lebih baik jika dilakukan di awal usia. Penglihatan kanak-kanak dapat dipulihkan dari masalah ambliopia (mata malas) sekiranya pembetulan dan terapi penglihatan dilakukan dengan segera selepas surgeri. Komplian pesakit terhadap tempoh pemakaian kanta sentuh dan terapi oklusi dan juga patuh pada pemeriksaan lanjutan adalah penting bagi memastikan kanak-kanak sentiasa mempunyai penglihatan yang baik serta bebas dari infeksi mata yang berkait dengan pemakaian kanta sentuh.

No comments:

Post a Comment