Pages

Friday, June 29, 2012


AYAH, SAYA PERLUKAN CERMIN MATA!!!

Anda mungkin terkejut apabila diberitahu yang anak anda yang masih kecil memerlukan pembetulan refraksi pada matanya. Ramai ibubapa yang akan menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan bagaimana ianya boleh berlaku? Sedangkan mereka sendiri tidak pernah memakai cermin mata ataupun hanya mula memakai cermin mata apabila telah meningkat dewasa.

Ada pula ibubapa yang cuba melengahkan pemakaian cermin mata pada anak-anak dengan alasan Biarlah...tunggu sehingga dia besar sikit ataupun berpendapat lebih cepat pembetulan cermin mata diberi lagi cepat kuasa cermin matanya akan bertambah. Tidak kurang juga yang menghalang anak mereka dari memakai cermin mata sepenuh masa kerana khuatir kuasa cermin mata akan bertambah dengan lebih cepat lagi.

Pendapat – pendapat sebegini adalah salah dan boleh membawa kesan yang akan memburukkan lagi status penglihatan anak-anak. Sekiranya anak anda telah dikesan memerlukan pembetulan refraksi maka ianya perlu dilakukan dengan segera untuk menghalang dari terjadinya ambliopia (mata malas) pada kanak-kanak tersebut.

Diagnosis
Optometris dan Oftalmologis boleh memeriksa mata bayi dan kanak-kanak untuk kuasa refraksi secara terperinci dan tepat. Kaedah yang digunakan bagi kanak-kanak kurang dari 5 tahun atau yang tidak boleh berinteraksi  adalah dengan menggunakan retinoskopi. Retinoskopi adalah satu teknik yang menggunakan cahaya untuk memerhatikan refleks cahaya yang dipantulkan dari retina. Kuasa refraksi mata akan ditentukan dari pemerhatian refleks. Penggunaan komputer untuk mendapatkan kuasa refraksi kanak-kanak tidak digalakkkan sama sekali disebabkan kanak-kanak mempunyai daya akomodasi yang kuat yang boleh memberi bacaan refraksi palsu pada kanak-kanak.

Adakalanya penggunaan sedatif digunakan bagi kanak-kanak kecil dan aktif  atau yang tidak dapat berkerjasama.Kadangkala ubat titis siklolegik bagi melumpuhkan sementara otot-otot akomodasi digunakan sekiranya terdapat kes kejulingan atau  hiperopia pendam (ralat refraksi yang tak nyata) pada kanak-kanak. Ubat titis ini akan menyebabkan anak mata menjadi besar dan hilang akomodasi untuk beberapa jam. Ketiadaan akomodasi dapat membantu mata kanak-kanak untuk berehat sementara prosedur refraksi sedang dilakukan. Dengan cara ini kuasa refraksi mata yang sebenar boleh diperolehi. Walaubagaimanapun,  proses ini akan mengambil masa yang agak lama berbanding refraksi biasa tanpa menggunakan ubat titis sikloplegik.

Jenis-jenis rabun.
Miopia atau rabun jauh – keadaan refraksi di mana objek jauh yang dilihat membentuk imej di belakang retina dan memerlukan pembetulan dengan menggunakan kanta cekung.  Tanpa pembetulan kanta, kanak kanak melihat jarak jauh dengan kabur. Kekaburan menjadi semakin nyata bagi miopia tinggi. Kanak-kanak yang mempunyai miopia juga akan menonton televisyen pada jarak dekat dan juga akan membaca buku dan menulis pada jarak yang sangat dekat. Kanak-kanak juga dapat diperhatikan akan cuba mengecilkan matanya sambil mengerut dahi apabila cuba membaca tulisan di papan hitam atau melihat objek jauh. Jangan terkejut sekiranya kanak-kanak ini tidak pernah mengadu akan kekaburan yang mereka alami dan mereka kelihatan boleh bermain dan berbasikal seperti kanak-kanak berpenglihatan normal. Kanak-kanak miopia mudah beradaptasi dengan apa sahaja penglihatan yang ada pada mereka. Kebiasaannya  kanak-kanak miopia akan mudah beradaptasi dengan cermin mata apabila mula memakainya buat pertama kali.
Mata kiri yang juling kedalam (esotropia) 
mungkin menunjukkan ada ralat refraksi yang tidak dibetulkan
Hiperopia / hypermetropia atau rabun jauh – keadaan refraksi di mana objek jauh yang dilihat membentuk imej di hadapan retina dan memerlukan pembetulan dengan menggunakan kanta cembung. Tanpa pembetulan kanta, sesetengah kanak-kanak boleh berakomodasi (fokus) untuk menjadikan objek jauh yang kabur menjadi jelas. Walaubagaimanapun mata yang berakmodasi berterusan boleh menyebabkan keletihan dan sakit mata dan kepala. Apabila mata tidak boleh berakomodasi lagi ataupun penat, objek jauh yang dilihat akan menjadi kabur semula. Simptom yang nyata bagi kanak-kanak hiperopia ialah rasa sakit mata atau kepala apabila melakukan aktiviti dekat seperti membaca, melakukan kerja komputer dan lain-lain. Sekiranya masalah ini tidak di betulkan dengan segera, lama kelamaan, kanak-kanak ini akan mempunyai masalah kekejangan akomodasi. Kekejangan akomodasi berlaku disebabkan oleh akomodasi yang melampau boleh menyebabkan berlakunya pseudo miopia (miopia palsu) dimana  ianya menyebabkan objek jauh kabur.

Bagi bayi yang mempunyai masalah hiperopia yang tinggi, biasanya mata bayi akan kelihatan juling ke dalam (esotropia). Pembetulan mata bayi dengan kanta sentuh atau cermin mata akan menyebabkan mat kembali lurus.

Astigmatisma ataupun silau seringkali dikaitkan dengan alahan terhadap cahaya yang terang. Astigmatisma bermakna kuasa pada dua titik meridian mempunyai kuasa yang berlainan. Astigmatisma boleh hadir bersama miopia atau hiperopia. Seringkali kanak-kanak hanya mempunyai masalah astigmatisma yang tinggi sahaja. Tidak seperti miopia dan hiperopia, kanak-kanak yang mempunyai astigmatisma tidak mengalami kekaburan penglihatan yang nyata. Mereka masih melihat objek jauh dengan terang tetapi astigmatisma yang dialaminya boleh menyebabkan objek tersebut dilihat bebayang dan tidak tajam.Kebiasaannya, kanak-kanak yang mempunyai masalah astigmatisma ini juga akan mengecilkan matanya apabila cuba melihat objek jauh dan dekat.

Kelewatan dalam pembetulan cermin mata
Penangguhan pemakaian pembetulan ralat refraksi mata sama ada dengan cermin mata atau kanta sentuh boleh menyebabkan ambliopia yang dalam. Ambliopia atau mata malas adalah satu keadaan di mana mata tidang berfungsi dengan baik walaupun pembetulan optima telah diberikan. Keadaan ini boleh dibetulkan dengan terapi ortoptik dan kebiasaanya prognosis adalah baik sekirannya umur kanak-kanak adalah kurang dari 12 tahun dan mempunyai fiksasi yang baik Terapi ortoptik yang dilakukan adalah oklusi mata. Ianya dilakukan dengan menggunakan pengatup berpelekat ataupun kanta sentuh legap. Mata yang baik akan di katup sementara mata yang lemah akan dipaksa melakukan aktiviti dekat.  Terapi ini dilakukan untuk tempoh 1-4 jam sehari dan perlu diteruskan setiap hari tanpa berhenti untuk mendapatkan hasil yang baik. Hasil dapat dilihat seawal 2 minggu lepas mata menjalani terapi oklusi.
Pemakaian cermin mata tebal adalah kurang sesuai untuk bayi
Pemeriksaan ulangan oleh Optometris perlu dilakukan setiap 6 bulan dan apabila kuasa refraksi sudah semakin stabil pemeriksaan optometri boleh dilakukan setahun sekali. Kuasa pembetulan pada cermin mata mestilah sentiasa dikemas kini. Pemakaian cermin mata yang menmpunyai kuasa yang rendah dari sepatutnya boleh menyebabkan kuasa ralat refraksi bertambah dengan lebih cepat.

Cermin mata VS kanta sentuh.
Yang mana lebih baik? Bagi kanak-kanak normal berusia 2 tahun ke atas dan boleh bertoleransi dengan pemakaian cermin mata bolehlah memilih cermin mata. Namun sekiranya kuasa kanta adalah terlalu tinggi dan menekan hidung si kecil eloklah dipakaikan dengan kanta sentuh khas untuk kanak-kanak. Perlu diingatkan cermin mata yang tebal boleh menyekat pergerakkan aktif kanak-kanak dan selalunya boleh menjadi perhatian orang ramai menyebabkan kanak-kanak berasa malu dan inferior.
Teknik memasukkan kanta ke mata bayi 
dan kanak-kanak dengan cara mengepit kanta dengan dua jari.
Kanta pembetulan yang tebal (bagi miopia atau hiperopia yang tinggi) juga memberikan minifikasi dan magnifikasi yang ketara bagi objek yang dilihat. Sekiranya kuasa kanta cermin mata adalah terlalu jauh berbeza (2 Diopter atau lebih) antara satu sama lain, fusi objek antara mata kanan dan kiri sukar berlaku dan boleh menyebabkan kanak-kanak akhirnya hanya menggunakan sebelah mata sahaja iaitu mata yang baik (suppresi). Lama kelamaan tanpa disedari mata yang lemah akan terus merosot penglihatannya dan boleh terjadinya ambliopia dan seterusnya juling keluar (eksotropia). Untuk mengatasi masalah ini adalah lebih baik kanak-kanak ini memakai kanta sentuh dimana perbezaan saiz objek yang dilihat adalah tidak ketara (disebabkan tiada jarak verteks) dan ini akan  membenarkan fusi berlaku dan mata akan dapat berfungsi secara binokular.

Kanta sentuh amat sesuai untuk bayi yang berumur kurang dari setahun dan juga kanak-kanak istimewa.  Adalah tidak munasabah untuk memakaikan cermin mata ke atas bayi yang tidak mampu mengangkat kepalanya sendiri ataupun duduk tanpa sokongan. Sekiranya cermin mata perlu dipakaikan juga ke atas bayi-bayi ini, modifkasi cermin mata perlu dilakukan terutamanya di bahagian belakang telinga dan hidung. Penggunaan ear and nose pads digalakkan.
Pemakaian kanta sentuh pada bayi dan kanak-kanak sudah tidak asing lagi. Kanta sentuh yang ditempah khas mengikut parameter spesifik kelengkungan kornea dan saiz kornea bersama material kanta yang sesuai memastikan kanta sentuh dapat dipakai dengan selamat. Teknologi terbaru dalam pembikinan kanta sentuh telah memungkinkan pemakaian selamat untuk dipakai tidur (tempoh memakai bergantung pada material kanta). Kanta sentuh khas ini juga tidak mudah terkeluar apabila bayi mengeluarkan air mata yang banyak ketika menangis. Sekiranya semua peraturan dan arahan diikuti dengan baik komplikasi boleh dihindari. Walaubagaimanapun pastikan anda mendapat nasihat dari pakar Optometris sebelum prosedur ini dilakukan.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Pensyarah Kanan
Jabatan Optometri, FSKB
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 Kuala Lumpur.

3 comments:

  1. dimana saya bole dptkan cermin mata utk bayi??

    ReplyDelete
  2. Boleh didapati di kedai optik

    Dstream Optometrist Visioncare, NO 5, JALAN DWITASIK, BANDAR SERI PERMAISURI, BANDAR TUN RAZAK, CHERAS, KUALA LUMPUR.

    Rundingcara pemeriksaan mata untuk bayi dan kanak kanak juga terdapat di sini. Sila telefon untuk temujanji 03-91744024

    ReplyDelete