Pages

Thursday, June 28, 2012

KEPENTINGAN PENJAGAAN MATA TERHADAP KANAK-KANAK
Ibubapa dan Guru Perlu Memainkan Peranan yang Lebih Besar.
Pernahkah anda terfikir yang mana satukah antara pancaindera kita yang paling utama dan bernilai dalam perkembangan hidup kita sebagai manusia. Sememangnya tak dinafikan deria penglihatan itu satu anugerah Tuhan yang terlalu banyak kepentingan dan manafaatnya. Bukan sekadar untuk melihat dan mengamati objek tetapi lebih befungsi sebagai faktor penting yang berkait rapat dengan tumbesaran sempurna kanak kanak terutamanya dari segi mobiliti dan juga koordinasi.

Sekiranya deria penglihatan mula terganggu maka tumbesaran kanak kanak juga akan turut terganggu dan secara tidak langsung ini akan membantutkan pergerakan fizikal dan juga keupayaan mental kanak kanak. Semua faktor ini amat penting untuk menjadikan kanak kanak berupaya hidup secara sihat dan cergas.
Setiap ibubapa patut berwaspada dan tahu tentang perkembangan penglihatan anak mereka, sama ada normal ataupun tidak. Ibubapa perlu tahu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara penglihatan yang jelas dan kabur kerana apa yang dilihatnya secara langsung akan diterimanya sebagai normal. Oleh itu jangan tunggu untuk anak anda memberitahu anda atau mengadu yang pandangannya kelihatan kabur ataupun penglihatan tidak cukup tajam, ianya tidak akan berlaku. Sekiranya anda adalah ibubapa yang perihatin anda mungkin dapat mengesan masalah penglihatan anak-anak anda melalui aktiviti-aktiviti yang berlangsung di rumah.
Guru di sekolah juga memainkan peranan penting bagi mengesan murid yang mempunyai masalah penglihatan. Memandangkan kanak kanak bersekolah menghabiskan masa yang panjang di sekolah maka guru kelaslah yang berupaya mengenal tanda tanda dan tahu simptom murid murid yang kebarangkalian mempunyai masalah penglihatan.
Tanda-tanda masalah penglihatan pada kanak-kanak

  • Mengecilkan kelopak mata  ketika menonton TV atau cuba membaca papantanda.
  • Juling atau cuba menutup satu mata dengan telapak tangan
  • Meneleng atau menjeling ke satu arah ketika cuba fokus
  • Sering menggosok mata
  • Suka mengelip mata secara terlampau (twitching)
  • Mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • Lahir pramatang
  • Perkembangan terbantut seperti lambat berjalan
Sekiranya  anda sebagai ibubapa atau guru mengesan masalah di atas, anak atau murid anda mungkin mempunyai masalah penglihatan. Segeralah dapatkan pemeriksaan dan nasihat dari Optometris. Optometris akan melakukan pemeriksaan mata secara komprehensif dan dapat mengesahkan  keadaan tersebut dengan segera .
Pada usia awal persekolahan, sepatutnya perkembangan penglihatan sudah hampir sempurna. Ketika ini jika ada sebarang tanda yang menunjukkan penglihatan terganggu, ianya amat mudah dikesan. Anda perlu selalu memerhatikan tingkahlaku anak atau murid anda seperti menonton TV terlalu dekat atau memegang buku terlalu dekat dengan mata, mata menjadi juling ketika penat atau cuba melihat sesuatu objek, kepala suka meneleng ke satu arah tertentu, mata yang selalu digosok-gosok ketika menonton TV atau papan hitam ataupun cuba membaca sesuatu sensitif pada cahaya biasa. Sekiranya anak anda tidak menunjukkan sebarang tanda sebegini, ibubapa masih perlu membawa anak mereka untuk pemeriksaan mata pada ketika berumur 7 tahun sekiranya mereka sendiri mempunyai rabun mata. Rabun adalah satu keadaaan yang boleh diwarisi dari genetik. Sekiranya saudara-mara terdekat juga mempunyai sejarah rabun atau anomali mata seperti juling ataupun mata malas, adalah lebih baik untuk bawa anak-anak anda untuk pemeriksaan mata. Ini adalah kerana, kadang kala, penyakit mata atau ralat refraksi hanya dapat di kesan oleh Optometris setelah menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan instrumen tertentu.
Pemeriksaan mata ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun sangat penting kerana sekiranya kanak-kanak ini mempunyai sebarang masalah yang memerlukan pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau terapi penglihatan, ianya dapat dilakukan dengan segera dan dibetulkan sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap 6 bulan untuk memastikan progresi ralat refraksi dapat dikesan. Jangan bertangguh terlalu lama untuk menjalani pemeriksaan penglihatan kerana kuasa refraksi yang bertambah, jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan kenaikan kuasa ralat refraksi secara mendadak dan juga boleh menyebabkan risiko berlakunya mata malas. 
Penyaringan penglihatan yang biasanya dijalankan di sekolah oleh pusat kesihatan adalah untuk mengesan secara kasar masalah penglihatan yang dialami oleh kanak-kanak. Ianya bukanlah satu pemeriksaan mata yang lengkap. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda dapat membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap oleh Optometris ketika di awal persekolahan.

Penglihatan yang tidak dirawat dari awal boleh membawa kepada masalah mata malas. Mata malas bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun ralat refraksi telah dibetulkan. Ini boleh berlaku pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya latihan terapi diberikan segera sebelum usia menjangkau 7 tahun, keadaan mata malas ini mungkin boleh dirawat. Sekiranya dibiarkan tanpa pembetulan ralat refraksi atau terapi penglihatan, mata tersebut akan menjadi lemah dan lama-kelamaan mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Kanak-kanak Istimewa

Golongan kanak-kanak istimewa juga seperti Sindrom Down juga mempunyai risiko rabun jauh dan kuasa astigmatisme. Oleh kerana kanak-kanak golongan ini mungkin tidak akan mengadu dan jarang melakukan aktiviti yang boleh menampakkan tanda-tanda rabun adalah penting penglihatan mereka diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali. Semasa pemeriksaan ini sebarang tanda ketidaknormalan okular boleh dikesan dan rawatan awal boleh dimulakan segera.
Pemeriksaan mata di usia awal sangat penting. Ibubapa dan guru juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penglihatan anak-anak. Kanak-kanak yang sihat tetapi mempunyai penglihatan yang lemah akan membantutkan perkembangannya terutama sekali dari segi pembelajaran. Pastikan anak murid anda menjalani pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan.

Kesimpulannya, penglihatan adalah deria yang sangat penting dan penjagaan mata dan penglihatan seawal usia 5 tahun wajar dititik beratkan terutamanya dari peringkat sekolah rendah lagi. Ibubapa serta guru guru  harus memandang berat terhadap kesihatan mata kanak-kanak. Pihak kementerian pendidikan harus memberikan keutamaan terhadap kepentingan kesihatan mata lebih atau setara dengan kesihatan gigi. Adalah menjadi saranan supaya pihak sekolah khususnya kementerian pendidikan dapat mengujudkan satu ruangan khas bagi unit mata beroperasi di setiap sekolah di Malaysia sebagaimana unit/klinik gigi yang beroperasi di kebanyakkan sekolah rendah sekarang ini.
Kanak-kanak harus diberikan pendidikan awal untuk menyedari pentingnya perihal kesihatan mata dan kebolehan untuk melihat objek dengan jelas adalah harus bagi menjamin masa depan yang lebih sempurna. 


Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometri 
Jabatan Optometri 
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu   
Universiti Kebangsaan Malaysia

9 comments:

  1. Assalamualaikum.. Prof, saya Fazira daripada RTM Melaka. Saya menerbitkan program Radio bertajuk Chantek. Bolehkan saya mendapatkan sedikit penjelasan daripada Prof tentang mata, dalam bentuk rakaman suara untuk terbitan Stesen Radio MelakaFM? bagaimana boleh saya menghubugi Prof?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salamullah
      saya boleh dihubungi melalui halizamutalib@ukm.edu.my atau 0137877011. Mohon tinggalkan pesanan text. saya akan hubungi Cik Fariza semula

      Delete
  2. Boleh saya dapatkan Contact no Prof?
    faziraraman91@gmail.com (email saya)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salamullah
      saya boleh dihubungi melalui halizamutalib@ukm.edu.my atau 0137877011. Mohon tinggalkan pesanan text. saya akan hubungi Cik Fariza semula

      Delete
  3. Salam prof.. artikel yang sangat menarik. Ramai yang mengabaikan kesihatan dan keperluam untuk membuat pemeriksaan mata anak-anak. Terima kasih atas peringatan. Cuma nak tanya ada tak pernah buat program ke sekolah- sekolah utk membuat pemeriksaan percuma?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Pihak UKM - Klinik Optometri Bergerak sering mengadakan saringan di seluruh Malaysia dari masa ke semasa. Disekolah sekolah pun ada jururawat atau pegawai kesihatan kementerian yang akan melakukan penyaringan ini secara percuma.

      Delete
  4. Salam prof.. artikel yang sangat menarik. Ramai yang mengabaikan kesihatan dan keperluam untuk membuat pemeriksaan mata anak-anak. Terima kasih atas peringatan. Cuma nak tanya ada tak pernah buat program ke sekolah- sekolah utk membuat pemeriksaan percuma?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Kebanyakkan Klinik/Premis Optometri sememangnya melakukan penyaringan secara berkala. Sekiranya ada keperluan komuniti boleh email pada saya halizamutalib@ukm.edu.my bagi emnempah perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak. Sekiranya tarikh bersesuaian perkhidmatan boleh diadakan dan ianya percuma.

      Delete
  5. terima kasih prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib

    ReplyDelete