KATARAK PADA KANAK-KANAK
Katarak selalunya dikaitkan dengan usia tua. Walau bagaimanapun
katarak juga boleh terjadi pada bayi dan
kanak-kanak.
Katarak terjadi apabila kanta kristalin dalam mata menjadi
kabur atau putih.
Katarak yang berlaku pada bayi yang baru lahir, juga
dikenali sebagai katarak kongenital dan biasanya
dikesan bila terdapatnya warna keputihan
di anak mata bayi. Kebiasaannya ianya berlaku di kedua-dua belah mata.
Respon bayi juga dapat diperhatikan. Bayi akan menangis atau merasa resah
sekiranya mata yang baik ditutup. Bayi juga tidak akan menunjukkan respon pada
mainan sekiranya ianya diletakkan jauh dari mata. Sekiranya ianya tidak dikesan
awal dan dibiarkan, mata yang berkatarak (atau lebih teruk tahap kataraknya) akan menjadi juling dan bayi juga akan mengalami rencatan pada
pergerakkannya seperti lambat boleh merangkak atau berjalan.
Masalah katarak kongenital pada bayi selalunya dikaitkan
dengan ibu yang mendapat jangkitan rubella ketika mengandung. Oleh itu wajar
dipastikan yang ibu –ibu sudah mendapat imunisasi rubella sebelum merancang kehamilan.
Kebiasaanya ibubapalah yang dapat mula-mula mengesan
tanda keputihan pada anak mata bayi. Pada mulanya ianya berwarna pudar dan
sukar di kesan, lama kelamaan katarak yang matang akan mula kelihatan putih dan
memenuhi keseluruhan anak mata.
Apabila keadaan ini telah dikesan oleh oftalmologis
atau pakar mata, pembedahan katarak akan dilakukan secepat mungkin. Ianya boleh
dilakukan seawal bayi berusia beberapa hari. Semakin cepat surgeri ini
dilakukan semakin baik hasilnya. Selepas surgeri katarak dilakukan dan
keadaan mata dalam keadaan memuaskan, kanta sentuh akan terus dipasang kepada mata bayi untuk tujuan rehabilitasi penglihatan.
Anak mata kelihatan putih dapat dilihat dengan
mata kasar merupakan tanda
jelas bagi katarak
Tidak semua keputihan pada mata adalah disebabkan oleh
katarak. Keadaan yang serupa juga akan dapat diperhatikan sekiranya terdapat
tumor pada mata bayi yang dikenali sebagai retinablastoma. Retinablastoma ini
merupakan satu keadaan yang lebih serius di mana pengesanan dan rawatan yang
lewat boleh menyebabkan maut pada bayi. Untuk menyelamatkan nyawa bayi
seringkali bebola mata perlu dibuang.
Pada kanak-kanak, katarak yang terjadi biasanya adalah
disebabkan kes-kes trauma seperti tercucuk dengan objek yang tajam seperti
pisau dan paku, cermin kenderaan yang pecah sewaktu kemalangan, objek atau
bendasing yang terkena mata dengan impak yang kuat seperti bola hoki ataupun
kepala kanak-kanak tergegar dengan teruk. Katarak yang terjadi boleh berlaku dengan cepat ataupun lambat bergantung pada impak kejadian dan variasi
individu. Apabila katarak telah matang, surgeri katarak perlu dilakukan segera.
Penyebab:-
1. Genetik – disebabkan
abnormaliti pada genetik. Katarak kongenital adalah penyakit keturunan.
2. Infeksi – berlaku ketika dalam
bayi dalam rahim seperti virus herpes, Rubella, Siplis dan lain lain
3. Traumatik –
kecederaan mekanikal
4. Penyakit metabolik –metabolisma tak normal
5. Berkait dengan abnormaliti tumbesaran
6. Berkait dengan tumor seperti
retinoblastoma
7. Idiopatik – tidak diketahui puncanya.
Pengurusan
Katarak pada kanta kristalin akan
menghalang cahaya dari sampai ke retina. Ini boleh menganggu perkembangan penglihatan
terutamanya pada bayi atau kanak-kanak. Di peringkat awal usia, perkembangan
penglihatan adalah sangat penting. Sekiranya di peringkat ini mata dan otak
tidak berkoordinasi dengan baik, penglihatan bayi akan terbantut dan lemah.
Kanta Sentuh Khas yang dipakaikan pada bayi afakik
Apabila surgeri katarak dijalankan
bayi atau kanak-kanak ini menjadi afakik (maksudnya tanpa kanta),
Penglihatannya terbatas setakat 2 kaki. Di waktu ini kanak-kanak afakik
memerlukan cermin mata atau kanta sentuh untuk penglihatan normal. Cermin mata
afakik dan kanta sentuh merupakan pengganti kuasa kanta yang telah dikeluarkan
itu. Biasanya kuasa kanta yang diganti dalam bentuk cermin mata ataupun kanta
sentuh adalah tinggi ( +27 D hingga +32 D). Oleh itu cermin mata yang akan
dipakai adalah sangat tebal dan agak berat untuk muka bayi. Bayi ataupun kanak-kanak perlu memakai salah
satu bantuan optikal ini untuk rehabilitasi penglihatannya. Sekiranya surgeri
dilengah-lengahkan dan pemakaian kanta sentuh atau cermin mata selepas surgeri
juga dilambatkan, penglihatan anak anda mungkin akan terjejas selama-lamanya.
Kanak-kanak afakik lebih senang beradaptasi dengan
kanta sentuh berbanding
cermin mata
Adalah agak traumatik bagi ibubapa
yang mempunyai bayi afakik untuk membenarkan bayi mereka memakai cermin mata
tebal. Selain daripada mendapat pandangan-pandangan aneh orangramai, bayi sendiri
mungkin tidak berasa selesa dengan adanya cermin mata dimuka. Bagi kanak-kanak
pula pemakaian cermin mata boleh menyebabkan pergerakkan terbatas.
Aktiviti-aktiviti lasak seperti melompat dan berlari sukar untuk dilakukan.
Oleh sedemikian, kanta sentuh
disyorkan (terutamanya bagi kes katarak satu mata) untuk mengantikan cermin
mata yang tebal dan berat. Ibubapa tidak perlu bimbang tentang pemakaian kanta
sentuh pada bayi atau kanak-kanak kerana kanta sentuh yang dpakaikan pada
mereka adalah dari jenis khas dimana ianya dibenarkan dipakai tidur dan boleh
dipakai selama 30 hari berterusan. Selain daripada memberi kebaikan dari segi
kosmetik, ianya juga boleh membaiki penglihatan dengan lebih baik disebabkan
kurangnya berlaku magnifikasi objek dan kesan aberasi dari kanta tebal.
Risiko pemakaian kanta sentuh pada
bayi adalah sama seperti orang dewasa. Untuk pemakaian kanta sentuh pada bayi,
ibubapa haruslah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanta sentuh dengan baik
dan mematuhi segala arahan Optometris. Selain dari diajar cara memasang dan
menanggalkan dan kanta sentuh pada bayi, ibubapa juga diajar cara menjaga dan
disinfeksi kanta sentuh dan cara untuk memerhati tanda-tanda infeksi pada mata
bayi yang boleh berlaku.
Penglihatan normal (gambar kiri) dan simulasi
penglihatan
bagi seorang pesakit katarak.
Sekiranya penglihatan bayi atau kanak-kanak
lambat dibaiki dengan cermin mata ataupun kanta sentuh, mata
bayi akan mula bergetar-getar (nystagmus) apabila cuba memfokus sesuatu objek
dan mata yang lebih lemah akan mula menampakkan kejulingan. Anda juga akan mula
perhatikan yang anak anda mula meneleng kepalanya ke satu arah jika cuba
memandang satu objek seperti televisyen.
Rehabilitasi penglihatan pada bayi
dan kanak-kanak afakik tidak patut dipandang ringan. Jika terlalu lewat anak
anda mungkin akan mendapat penglihatan terhad. Sekiranya penglihatan adalah
kurang sempurna ianya akan membantutkan perkembangan fizikal yang lain.
Rehabilitasi penglihatan juga
termasuk terapi iaitu latihan intensif ortoptik untuk meransang kembali
penglihatan. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan kaedah pengatupan
(occlusion). Kaedah ini bertujuan untuk melatih atau memaksa mata yang lemah (tidak
dikatup) untuk melihat.
Kebaikkan kanta sentuh pada kanak-kanak
1. Cermin mata adalah lebih berat
dan tebal dan secara kosmetik tidak
berapa sesuai pada kanak-kanak. Kanta
sentuh adalah lebih ringan dan
praktikal untuk kanak-kanak yang lasak.
2. Cermin mata lebih mudah patah
ataupun pecah bila beraktiviti
3. Kanta tebal afakik memberi
magnifikasi dari saiz sebenar. Tiada perbezaan
saiz imej dengan kanta sentuh.
4. Medan penglihatan dengan cermin
mata adalah terhad berbanding dengan
kanta sentuh.
5. Kanta sentuh dapat mengawal
nistagmus (bola mata bergetar) dengan
lebih baik berbanding dengan cermin mata.
6. Cermin mata tidak sesuai
dipasangkan pada wajah tak semetri ataupun
kanak-kanak yang mempunyai postur
kepala yang tak betul.
SAYANGI ANAK ANDA, SAYANGI MATA MEREKA
Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometri
Jabatan Optometri
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment