Pages

Monday, June 11, 2012

   " Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia  daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat "
: al-insan ayat 2
JULING

Pernahkah anda melihat kanak-kanak bermata juling? Apakah yang bermain di kepala anda apabila melihat keadaan ini. Rata-rata, masyarakat Malaysia mungkin menganggapnya sebagai satu taboo. Ianya jarang diperkatakan apatah lagi dipersoalkan. Ramai ibubapa yang mempunyai anak yang bermata  juling akan menganggapnya sebagai satu ketentuan ataupun takdir tuhan. Oleh itu mereka tidak cuba berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan itu. Ada juga yang cuba menidakkan keadaan itu dengan menyatakan bahawa itu cuma juling air atau juling itik yang di anggapnya sebagai satu symbol kecantikkan. Malah ramai yang masih tidak tahu yang keadaan juling itu  masih boleh dibetulkan dengan pelbagai cara termasuk terapi penglihatan, surgeri, cermin mata dan kanta sentuh.
Juling boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang agak biasa di kalangan bayi dan kanak-kanak tetapi kerapkali masalah ini tidak dapat dikesan dari awal . Ibubapa sepatutnya membawa anak-anak yang disyaki atau mula diperhatikan mempunyai kejulingan ke pakar mata untuk di periksa. Walaupun kadangkala juling itu kelihatan sedikit sahaja dan hanya kelihatan apabila penat ataupun diwaktu petang, ianya perlu di pandang serius. Kemungkinan ianya boleh menjadi lebih nyata dan teruk dalam tempoh yang singkat.

Kanak-kanak bermata juling mempunyai masalah memfokus dengan kedua dua belah matanya pada satu objek pada masa yang sama. Lama-kelamaan kanak-kanak yang mengalami masalah ini akan kehilangan penglihatan (mata malas) pada mata yang juling itu kecuali jika masalah ini dikesan dan di rawat dari awal.

Kejulingan adalah disebabkan oleh paksi kedua-dua bebola mata tidak selari. Ianya melibatkan pergerakkan otot-otot mata. Adakalanya kedua-dua mata terlibat bersama.
Definisi
Juling ataupun nama saintifiknya strabismus ataupun heterotropia adalah suatu keadaan di mana kedua mata tidak tertuju atau tertumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian secara bersamaan. Keadaan ini boleh menjadi kekal (selalu berlaku) atau berlaku dalam keadaan tertentu saja seperti saat sakit atau stress. Mata yang tampak juling dapat terlihat lurus dan yang tadinya tampak lurus dapat terlihat juling dan boleh diklasifikasi kepada beberapa jenis:

A. Esotropia    : mata terletak menghampiri  hidung
B. Eksotropia  :
mata terletak menjauhi  hidung
C. Hipertropia : mata terarah melihat ke atas
D. Hipotropia  : mata terarah melihat bawah
Adakalanya mata boleh juling keatas ataupun bawah ataupun mempunyai kombinasi kedua-dua paksi.
 
Bagi kanak-kanak, juling merupakan satu keadaan yang biasa berlaku. Tetapi kebiasaanya ianya gagal dikesan diperingkat awal. Ada bayi yang dilahirkan juling dan ada pula kejulingan mula berlaku diperingkat kanak-kanak. Bagi bayi dan kanak-kanak, kebiasaannya mempunyai juling jenis esotropia. Kanak-kanak yang mula nampak juling setelah berumur lebih setahun, adalah penting dibawa untuk dibawa pemeriksaan mata kerana kanak-kanak tersebut mungkin mengalami rabun teruk pada satu mata, katarak unilateral ataupun lain-lain sebab yang memerlukan perhatian segera.

Kebiasaanya ibubapalah orang yang pertama melihat ataupun mengesan kejulingan pada anak-anak. Sekiranya juling adalah terlalu teruk, kehilangan penglihatan atau mata malas boleh berlaku dalam masa yang singkat

Kejulingan yang minima boleh dikesan melalui penyaringan penglihatan yang biasa. Walaupun ianya tidak berjangkit ianya akan kekal dan darjah kejulingan akan menjadi lebih besar sekiranya tidak dirawat. Rawatan diperingkat awal adalah lebih mudah. Biasanya hanya dengan terapi ortoptik sudah memadai. Sekiranya darjah juling terlalu besar, surgeri otot perlu dilakukan.

CARA MENGENALPASTI KEJULINGAN

Untuk mengenalpasti kejulingan anda boleh membawa anak anda berjumpa dengan Optometris atau Ortoptis.  Optometris atau Ortoptis boleh evaluasi kedudukan refleks kornea bayi atau kanak-kanak. Di sini darjah kejulingan dan jenis kejulingan boleh di kesan dengan menggunakan  pelbagai jenis prisma dan ujian katup.
CARA RAWATAN

Kebiasaanya  latihan ortoptik atau latihan memfokus  di gunakan untuk mereka yang mempunyai juling sedikit tetapi ini tidak memadai untuk membaiki kejulingan yang teruk. Bagi kanak-kanak kecil biasanya cara membaiki juling teruk adalah melalui kaedah surgeri. Adakalanya beberapa surgeri perlu dilakukan untuk meluruskan paksi mata. Selepas surgeri, ada kalanya cermin mata, kanta sentuh dan latihan ortoptik masih perlu dilakukan untuk satu tempoh yang di tentukan.  Sekiranya mata yang juling itu dikesan mempunyai ambliopia (mata malas), rawatan  untuk keadaan tersebut juga diberikan

PENYEBAB JULING

Terdapat banyak sebab mengapa kejulingan mata boleh berlaku. Antara sebabnya adalah  kelumpuhan otot mata, rabun mata terlalu tinggi, penyakit sistemik, berkaitan dengan penyakit mata seperti katarak ataupun tumor mata seperti retinoblastoma.

PSEUDOSTRABISMUS ATAU JULING PALSU

Bagi bayi yang baru lahir terutamanya untuk beberapa minggu pertama, mata bayi boleh kelihatan seperti juling terutamanya ketika bayi letih ataupun mengantuk. Adakalanya bayi yang baru lahir memperlihatkan juling yang  lebih ketara dari masa ke semasa. Ianya mungkin bukan jenis juling sebenar tetapi  satu keadaan yang dipanggil pseudostrabismus yang bermakna kejulingan palsu.
Pseudostrabismus atau Juling Palsu

Pseudastrabismus atau juling palsu berlaku apabila mata kelihatan juling disebabkan wajah bayi yang mungkin tidak berapa simetri. Kebiasaanya bayi yang mempunyai batang hidung yang tidak tinggi dan mempunyai lipatan kulit berlebihan dihujung mata (yang dekat dengan hidung) boleh kelihatan seolah-olah juling.
Walaubagaimanapun, ianya tidak membawa sebarang masalah pada penglihatan bayi.

Apabila bayi semakin besar dan wajah makin berubah sedikit, masalah pseudostrabismus akan hilang. Walaubagaimanapun adakalanya ianya boleh berubah menjadi juling nyata.

Sekiranya bayi mempunyai penglihatan normal, bayi mesti mampu memfokus dengan kedua-dua belah mata pada satu objek yang dipegang hampir dengan mata bayi pada waktu yang sama. Sekiranya bayi sememangnya juling, bayi tidak dapat fokus dengan kedua-dua belah matanya.

KESAN JULING

Bagi ramai orang, juling itu hanyalah satu kekurangan pada wajah, namun ramai yang tidak ketahui bahawa kejulingan boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan penglihatan binokularnya. Kedua-dua mata sepatutnya bekerjasama secara langsung, simetri dan tepat apabila melihat sesuatu objek. Penglihatan binokular amat penting dalam menganggar kedalaman atau jarak antara dua objek. Seperti contoh bayi yang ingin mengutip mainan untuk dimasukkan kedalam bakul mainan memerlukan penglihatan binokular. Tanpa penglihatan binokular mainan tersebut mungkin diletakkan diluar bakul.

Masalah ketiadaan penglihatan binokular ini boleh dirawat dengan menggunakan kaedah terapi penglihatan. Dengan kaedah ini penglihatan binokular mungkin boleh diwujudkan dan berfungsi semula. Sekiranya seseorang itu mempunyai darjah kejulingan yang sedikit dan tidak mempunyai penglihatan binokular, rawatan dengan menggunakan kaedah terapi boleh dilakukan dengan jayanya.

TERAPI PENGLIHATAN

Terapi penglihatan adalah satu terapi fizikal untuk sistem penglihatan yang meransang otak dan juga mata. Dengan menggunakan satu siri prosedur terapeutik (latihan mata), pesakit boleh mendapat penglihatan normal kembali. Terapi penglihatan boleh digunakan untuk membaiki pelbagai jenis gangguan penglihatan binokular seperti ambliopia (mata malas), kejulingan, kerabunan jauh dan dekat ataupun astigmatisma dan lain lain lagi. Sekiranya gagal, rawatan secara surgeri akan dilakukan sekiranya perlu.

Oleh sedemikian jangan berlengah-lengah lagi sekiranya anda mengesyaki mata anak anda mungkin nampak juling. Dapatkan pandangan dari Optometris anda secepat mungkin. 

KASIHI ANAK ANDA, SAYANGILAH MATA MEREKA

No comments:

Post a Comment