Pages

Wednesday, June 6, 2012


KENALI MATA BAYI

Penulis:
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Sistem penglihatan merupakan sistem sensori paling tidak sempurna perkembangannya waktu lahir.  Ini menyebabkan penglihatan adalah lemah sewaktu bayi dilahirkan. Oleh itu bayi amat bergantung pada sensori pendengaran lebih dari sensori penglihatan.

Walau bagaimanapun, pada tahun pertama usia bayi, sistem penglihatan bayi mulai matang dan berkembang dengan pantas sekali. Bayi mula mengenali corak dan mula memahami serta mengenali objek. Untuk ibubapa perkembangan  penglihatan amat penting di mana bayi akan mula meneroka  dunia baru.

Penglihatan waktu lahir
Sewaktu lahir, bayi lebih menyukai objek semulajadi seperti wajah ibubapanya. Bayi hanya akan melihat objek atau fokus pada objek seketika. Bayi juga melihat satu objek pada satu masa. Mereka juga boleh melihat pergerakkan dan juga boleh mengenali warna dengan baik kecuali warna biruPenglihatan waktu lahir adalah sangat lemah, oleh itu bayi hanya boleh melihat objek besar dan ringkas. Penglihatan juga terhad pada seuatu objek sahaja.
Penglihatan pada bulan ke-2
Sistem penglihatan bayi berkembang dalam tempoh 2 bulan sehingga bayi dapat fokus pada wajah manusia untuk tempoh yang lebih lama, dan secara tak langsung akan fokus pada wajah individu yang bercakap dengannya. Apabila berusia 2 bulan,  bayi sudah boleh fokus pada individu yang berbeza  dan juga objek lain serta boleh mengubah pandangannya. Bayi menunjukkan lebih minat pada corak hitam dan putih. Oleh kerana corak sebegini yang mempunyai kontras yang tinggi maka ianya memudahkan bayi mengenali perbezaannya dengan mudah. Walau bagaimanapun bayi boleh juga membezakan warna yang lebih lembut seperti kelabu.

Penglihatan pada bulan ke -6
Apabila usia bayi menjangkau 6 bulan, bayi telahpun mempunyai kebolehan untuk menatap lebih ramai wajah dan juga mengenali refleksi sendiri di cermin muka. Bayi juga sudah boleh mengenali wajah yang berlainan dan akan mudah tersenyum pada wajah yang kerap dilihat. Bayi juga lebih tertarik dengan dengan objek yang baru. Corak dan bentuk sudah makin mudah dilihat, dikenali dan difahami seperti contoh botol susu ataupun barang mainan.
Bayi berusia setahun
Pada usia setahun, bayi sudah mencapai tahap di mana dapat memandang  objek di persekitaran sambil mempunyai tumpuan pada objek yang dilihat.  Oleh itu bayi ketika ini akan tertarik dengan permainan “peak a boo”. Bayi juga turut memahami  emosi wajah dan mampu memberi reaksi sewajarnya.  Pada usia setahun, bayi sudah mempunyai ketajaman penglihatan yang lebih tinggi dan sudah mempunyai medan penglihatan yang lebih luas mantap hari demi hari. Penglihatan bayi mula menjadi semakin mantap.  .

KENALI MATA KANAK KANAK

Pernahkah anda memerhati anak-anak anda yang suka menonton televisyen terlalu dekat ataupun anda mula perasan yang anak anda suka mengerut dahi dan mengecilkan mata ketika cuba membaca atau melihat objek jauh? Jika ada, ini adalah tanda-tanda awal anak anda mungkin mempunyai masalah rabun.
Rabun boleh bermula dari usia seawal bayi yang baru lahir ataupun ketika masih kanak-kanak. Ia tidak semestinya berlaku pada orang dewasa sahaja. Rabun boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya ialah faktor keturunan dan persekitaran. Sebagai contoh sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibubapa mempunyai rabun jauh, kemungkinan besar anaknya juga akan mempunyai masalah rabun di usia muda. Walau bagaimanapun kerapkali telah ditemui kanak-kanak yang mempunyai rabun teruk meskipun ibubapa mempunyai penglihatan normal. Jadi wajar diingatkan supaya anda tidak terlalu yakin bahawa penglihatan anak anda adalah sempurna hanya kerana anda dan pasangan anda tidak pernah memakai cermin mata. 


Rabun juga boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran di mana kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlalu terdedah pada aktiviti-aktiviti berjarak dekat seperti menonton televisyen, bermain komputer atau permainan komputer akan lebih tinggi risikonya untuk menjadi rabun. Ini adalah disebabkan oleh pengaruh akomodasi yang berlarutan ketika tekun memandang televisyen ataupun komputer.
Terdapat peratusan yang tinggi bagi masalah rabun dikalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar berbanding dengan kanak kanak di luar bandar. Statistik juga telah menunjukkkan peratusan yang tinggi untuk rabun jauh bagi kanak-kanak dari kaum Cina diikuti dengan kaum India dan Melayu.

Terdapat 2 jenis rabun jauh yang perlu diketahui iaitu miopia ataupun hiperopia. Bagi rabun jenis miopia, penglihatan akan dibaiki dengan cermin mata berkanta cekung manakala bagi jenis hiperopia, penglihatan akan dibaiki dengan cermin mata berkanta cembung. Astigmatisma pula adalah satu keadaan di mana mata akan mengalami silau yang teruk dan objek yang dipandang akan kelihatan berbayang dan senget.
Kanak-kanak boleh mengalami salah satu daripada keadaan rabun iaitu miopia atau hiperopia dengan atau tanpa astigmatisma. Adakalanya kanak-kanak juga boleh mengalami hanya astigmatisma tanpa rabun. Adalah mustahak untuk anak-anak menjalani pemeriksaan mata oleh pakar optometri yang bertauliah sebelum umur mencecah 7 tahun. Jangan tunggu sehingga anak anda mengadu tidak nampak guru menulis di papan hitam barulah anda mengambil tindakan. Jadikan pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan dan bawalah anak anda untuk mendapatkan pemeriksaan komprehensif optometri sebelum dia melangkah ke alam persekolahan. Berjumpalah dengan pakar optometri untuk mengesan sekiranya rabun yang dialami adalah bepunca daripada kesalahan refraksi yang tidak dibetulkan ataupun disebabkan oleh masalah penyakit okular. 
Perlu diketahui bahawa tidak semua masalah rabun akan lenyap apabila memakai cermin mata. Adakalanya kanak-kanak perlu menjalani rawatan membaiki kesalahan refraktif dengan menggunakan kanta sentuh dan terapi ortoptik. Sekiranya lambat mendapat rawatan, penglihatan kanak-kanak akan menjadi lemah atau mengalami mata malas (lazy eyes) atau dikenali sebagai ambliopia. Bagi kes ambliopia, prognosis adalah baik jika kanak kanak itu berumur kurang dari 12 tahun dan memberi respon yang baik semasa terapi ortoptik.
Bagi ibu-ibu yang terkena campak rubella semasa mengandung ataupun tidak pernah mendapat suntikan rubella, anak-anak yang dilahirkan perlulah menjalani pemeriksaan mata untuk mengesan katarak atau selaput mata. Begitu juga bagi bayi yang lahir pramatang yang mana terdapat risiko masalah retina yang boleh menganggu penglihatan. Sekiranya perlu, masalah rabun pada kanak-kanak ini boleh dirawat lebih awal.

Rawatan Penglihatan
Untuk mendapatkan pemeriksaan mata yang komprehensif, anda hendaklah membawa anak anda berjumpa pakar optometri yang bertauliah. Di sini pemeriksaan untuk mengesan punca rabun akan dilakukan. Adalah penting untuk anda tidak keliru dengan profesyen juruoptik. Juruoptik hanya boleh melakukan ujian penglihatan yang ringkas sahaja. Bagi kanak-kanak, adalah dinasihatkan untuk mereka dibawa berjumpa dengan pakar optometri. Ini adalah penting kerana penglihatan kanak-kanak perlu dibetulkan dengan preskripsi dan hanya pakar optometri yang boleh menjalankan pemeriksaan ke atas mata bayi dan kanak-kanak. Sekiranya berlaku kesalahan preskripsi pada kanak-kanak, penglihatannya akan terganggu dan boleh meninggalkan kesan untuk tempoh yang lama.
Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang telahpun memakai cermin mata, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setiap enam bulan. Pemeriksaan boleh dilakukan dengan lebih kerap jika perlu. Ini adalah untuk memastikan kuasa cermin mata sentiasa cukup ataupun optimum untuk membaiki rabun. Ramai yang salah sangka dengan anggapan bahawa jika terlalu kerap atau selalu memakai cermin mata kuasa refraksi mata akan bertambah dengan lebih banyak. Ini adalah tidak benar. Sekiranya kanak-kanak disekat daripada memakai cermin mata sepanjang waktu, kuasa refraksi mata makin bertambah dengan cepat. Begitu juga sekiranya kanak-kanak dipaksa memakai cermin mata dengan kuasa kanta yang lama dan tidak dikemaskini, kuasa refraksi mata juga boleh bertambah dengan banyak dalam masa yang singkat. Ini disebabkan oleh mata yang mengalami tekanan dan penat boleh menyumbang kepada peningkatan kuasa refraksi mata. Oleh itu adalah penting untuk sentiasa mengemaskini kuasa cermin mata dan memastikan cermin mata sentiasa dipakai untuk membaiki rabun. Dalam pada itu juga, kerja-kerja berjarak dekat seperti menonton televisyen dan komputer perlu diselang-selikan dengan merehatkan mata melihat objek jauh. Stres yang melampau ketika melakukan kerja berjarak dekat terlalu lama boleh menyebabkan kuasa refraksi mata menjadi lebih tinggi. Kualiti pencahayaan juga boleh membantu mengurangkan stres pada mata.

Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment