Apa sebenarnya yang dilihat oleh bayi anda apabila dia mula membuka mata. Adakah persepsi penglihatannya normal seperti orang dewasa. Mampukah bayi anda melihat mainan yang diletakkan dihujung bilik. Bolehkah si kecil melihat permainannya yang berwarna -warni. Masih banyak persoalan yang mungkin tidak terfikir langsung oleh ibubapa yang sememangnya akan menganggap mata si bayi yang baru lahir adalah seperti penglihatannya sendiri.
Mata bayi mula berkembang dalam
janin sejak berumur 2 minggu lagi. Dalam tempoh tidak sampai 4 minggu kesemua
struktur penting mata sudah mula membentuk. Pada waktu yang penting ini
struktur mata mudah tercedera. Seperti contoh sekiranya ibu yang mengandung
mengambil dadah terlarang atau mendapat campak German (German Measles),
struktur mata boleh menjadi abnormal atau rosak. Di akhir 7 bulan mengandung,
mata bayi akan terus membesar dan saraf yang menyambung mata ke otak akan
terbentuk.
Sewaktu lahir saiz mata bayi
adalah 75% dari saiz mata orang dewasa. Dan sehingga umur bayi berusia 2 tahun,
fungsi visual terus berkembang bersama struktur dalaman mata.
Apa yang bayi dapat lihat?
Bayi yang baru lahir memiiki
akuiti visual kurang dari 6/60 iaitu huruf atau angka yang paling besar pada
Carta untuk Ujian Mata yang dilihat dari jarak 6 meter (Carta Snellen). Ini
bermakna bayi hanya dapat melihat objek yang besar sahaja dan tidak dapat
melihat detail lagi. Akuiti visual akan bertambah baik apabila bayi semakin
membesar hingga ke umur 2 tahun. Walaubagaimanapun bayi sudah boleh melihat
warna semenjak lahir lagi.
Bayi yang baru lahir pada mulanya
tidak akan memberi perhatian penuh pada persekitarannya. Walaubagaimanapun mata
bayi yang baru lahir sudah boleh mengikut lampu kecil yang digerak-gerakkan
dihadapannya. Mata bayi juga kurang sensitif pada refleks pergerakan dimana
jari yang menghampiri mata tidak akan menyebabkan bayi mengelip matanya dengan
cepat. Bayi yang berusia 6 hingga 8 minggu sepatutnya sudah boleh mengikuti
pergerakkan objek didepannya dan dapat menatap atau memfokus objek dengan lebih
lama.
Mata bayi sepatutnya kelihatan
simetri apabila berumur 4 bulan. Ini akan memberikan persepsi kedalaman pada
bayi dimana bayi mula belajar untuk mencapai atau memegang botol susunya.
Pemeriksaan mata bayi
Pemeriksaan mata bayi buat pertama
kali biasanya dilakukan sejurus selepas bayi dilahirkan. Pakar kanak-kanak akan
melakukan penyaringan dan pemeriksaan kesihatan mata dimana keadaan mata di
periksa untuk infeksi atau masalah struktur okular seperti kelopak mata,
katarak, glaukoma,atau abnormaliti yang lain. Ketika bayi berusia 6 bulan, mata
bayi akan diperiksa sekali lagi untuk kejulingan dan daya fokus.
Pakar kanak-kanak boleh merawat
masalah mata yang biasa seperti konjuntivitis. Sekiranya ia merasakan bayi
memerlukan rawatan mata lanjutan, bayi bolehlah dirujuk pada pakar mata
kanak-kanak.
Doktor mata melakukan pemeriksaan
ke atas mata bayi seperti juga orang dewasa. Evaluasi sejarah bayi dan
keluarga, akuiti visual, otot mata dan struktur mata akan diperiksa.
Doktor mata akan memerhati repons
lampu yang disuluh ke mata bayi, respon pergerakkan objek didepan mata bayi dan
lain-lain kaedah yang lebih khusus.
Adakalanya titis ubat untuk membesarkan anak mata digunakan untuk
prosedur retinoskopi dan oftalmoskopi. Titis ubat itu mengambil masa setengah
hingga satu jam untuk menbuka dengan penuh. Prosedur retinoskopi dijalankan
untuk mengesan ralat refraksi bayi seperti miopia dan hiperopia atau astigmatisma.
Kebanyakkan bayi mempunyai ralat refraksi hiperopia yang sedikit di mana ianya
tidak memerlukan pembetulan. Tetapi ada kalanya bayi memiliki ralat refraksi
yang signifikan yang memerlukan pembetulan dengan cermin mata atau kanta sentuh
walaupun masih bayi. Oftalmoskop pula digunakan untuk melihat bahagian dalam
iaitu fundus bayi untuk mengesan abnormaliti.
Masalah –masalah mata yang boleh terjadi pada bayi anda..
Infeksi - Sesetengah bayi
yang baru lahir mungkin dijangkiti infeksi ketika melalui laluan peranakkan
keluar. Bayi yang lebih dari umur sebulan boleh
terjangkit dari orang-orang disekitarnya. Mata yang terkena infeksi
biasanya merah, bengkak dan mempunyai discaj yang melekit. Adakalanya tahi mata
yang banyak pada mata menyebabkan bayi tidak dapat membuka matanya. Gunakan
kapas atau tuala kecil yang direndam dalam air suam untuk melembutkan discaj
yang melekat pada kelopak mata. Walaubagaimanapun rawatan antibiotik perlu
disegerakan.
Salur airmata yang tersumbat – Airmata akan melalui mata dan
mengalir keluar mengikut ruang punkta yang terletak dihujung mata yang hampir
pada hidung ketika mata berkelip. Airmata yang menerusi ruang punkta akan mengalir
turun melalui salur di hidung terus kebelakang tekak. Adakalanya bayi yang baru
lahir mempunyai salur di hidung yang tersumbat dan ini menyebabkan airmata akan
mengalir keluar dari mata setiap masa. Keadaan ini biasanya boleh mengundang
infeksi mata berlaku. Walaubagaimanapun salur ini akan terbuka sendiri sebelum
kanak-kanak berumur 2 tahun. Urutan hidung dari hujung mata kearah bawah hidung
boleh menyebabkan salur lakrimal di hidung terbuka sendiri. Sekiranya masih
tersumbat , surgeri mudah boleh dilakukan oleh oftalmologis.
Katarak – Kanta mata yang dilihat pada anak mata yang boleh
mengembang dan megecut sepatutnya berada dalam keadaan lutsinar. Tetapi ada
kalanya bayi dilahirkan dengan kanta yang berkabut atau berwarna putih. Keadaan
ini akan menyebabkan cahaya tidak dapat melalui kanta dan bayi tidak dapat
melihat. Kebiasaannya keadaan ini akan dikesan sewaktu kelahiran bayi dan
sekiranya ketarak sudah matang / masak, surgeri untuk mengeluarkan kanta perlu
dilakukan dengan segera. Jangan berlengah sebab tanda penyakit ini mungkin
menyerupai penyakit retinoblastoma yang boleh menyebabkan kehilangan mata atau
nyawa jika tidak dirawat segera.
Juling – bermaksud bahawa kedua-dua mata tidak semetrikal.
Seperti contoh jika sebelah mata keluar (exotropia) atau jika sebelah mata
masuk (esotropia). Ada juling yang tetap dan ada yang bersifat tidak tetap.
Bayi yang baru lahir adakalanya akan kelihatan juling walaubagaimanapun ianya
sepatutnya lebih semetrikal ketika berumur 4 bulan. Kanak-kanak yang disyaki
ada kejulingan sama ada ketara ataupun tidak perlu menjalani pemeriksaan
Optometris. Kejulingan pada bayi adakalanya berkait dengan ralat refraksi yang
tidak dibetulkan ataupun masalah lain. Adalah tidak benar bahawa kejulingan
boleh hilang dengan sendirinya apabila kanak-kanak meningkat usia.
Ambliopia – atau kebiasaannya disebut sebagai mata malas. Keadaan ini bermaksud mata yang tidak dapat
berfungsi dengan sempurna meskipun telah dibaiki ralat refraksinya. Mata malas
selalunya terjadi apabila tahap penglihatan tidak sama antara dua mata. Mata
yang lebih lemah tahap penglihatannya akan menjadi mata malas. Kanak-kanak yang
mempunyai satu mata malas akan secara langsung menggunakan hanya mata yang baik
sahaja untuk melihat dan lama-kelamaan mata malas tidak berfungsi lagi. Keadaan
ini dinamakan supresi mata. Ketidakseimbangan tahap penglihatan kedua-dua mata
boleh disebabkan oleh katarak, juling, ptosis (kelopak mata layu), kecederaan
mata ataupun ralat refraksi yang tinggi. Ambliopia mempunyai prognosis yang
baik sekiranya di rawat sebelum usia mencecah 12 tahun. Kaedah rawatan adalah
dengan cara oklusi mata yang baik dan digandingkan dengan Terapi Penglihatan.
Ptosis – Kelopak mata layu terjadi disebabkan oleh otot yang
berfungsi untuk mengangkat kelopak mata atas mengalami rencatan tumbesaran
ataupun lumpuh. Ianya boleh terjadi pada sebelah ataupun kedua-dua belah mata.
Adakalanya ptosis boleh menyebabkan berlakunya ambliopia. Surgeri perlu
dilakukan sekiranya tahap penglihatan terjejas ataupun untuk tujuan kosmesis.
Retinopati pramatang – berlaku pada bayi yang dilahirkan pramatang di mana
salur darah di retina tidak berkembang secara normal. Kadang kala salur darah
ini berkembang secara abnormal dan boleh merosakkan bahagian dalam mata.
Penyakit okular ini hanya boleh dikesan selepas beberapa minggu lepas bayi
lahir. Adakalanya ianya tidak begitu serius dan tidak mengganggu
penglihatan tetapi ada juga yang menjadi
sangat serius dan hampir pada kebutaan.
Penglihatan tiada fokus – Adakalanya bayi yang baru lahir tidak memberi tumpuan atau
fokus pada stimulus penglihatan sehingga berusia 6 hingga 8 minggu. Ini adalah
normal. Masalah ini mungkin berpunca dari kelewatan dalam perkembangan sistem
penglihatan yang agak biasa bagi bayi pramatang. Kebiasaannya masalah ini akan
hilang dengan sendirinya bila bayi membesar. Jika masalah ini berterusan ada
kemungkinan terdapat faktor lain yang mengganggu sistem penglihatan bayi.
Pemeriksaan rapi ke atas penglihatan bayi perlu dilakukan apabila bayi berumur
3 bulan
BERILAH SEDIKIT PERHATIAN PADA ANAK KITA. SAYANGILAH MEREKA, KERANA MEREKA MASIH PUNYA MASA DEPAN.
Oleh:
Dr Haliza Abdul
Mutalib
Pensyarah Kanan &
Pakar Optometris
Salam Dr, bayi saya telah di sahkan menghidap mikroftalmia di mana mata kiri lebih besar dr kanan.apakah rawatan yang biasa di lakukan sekiranya kedua dua mata boleh melihat walaupun kecil sebelah.mohon pencerahan dari dr.tq
ReplyDeleteSALAMULLAH
DeleteRawatan adalah untuk motif kosmetik sahaja. Tunggu bayi besar dahulu. Rawatan ini boleh dibuat jika berminat.
Salam doc... Baby saya sejak dari lahor lg mmg hanya buka sebalah mata dia sahaja.. Sebelah lgi masih terttup. Skrg sy pantang 18hari.bayi mula buka mata dia tpi msih kecil dan seolah2 kelopak dia masih bgkak dan tiada garisan pda kelopak mata mcm mata sebelah lg.. Adkah saya perlu risau tntg itu? Atau dia akn amek masa untuk buka sepenuh seperti mata sebelah lgi... Harap2 sgt mata ank sy normal. Seperti bby2 lain
ReplyDelete