Pages

Monday, July 9, 2012

Penyaringan Mata Kanak-Kanak    
Penyaringan Penglihatan

Penyaringan Penglihatan adalah satu kaedah asas untuk mengesan masalah penglihatan pada kanak-kanak. Masalah penglihatan tidak semestinya berkait dengan pemakaian cermin mata. Banyak lagi masalah penglihatan yang perlu diberi perhatian seperti masalah juling, mata bergetar (nistagmus), penglihatan terhad/rendah, ketidakseimbangan binokular, penyakit mata dan lain-lain lagi.

Siapakah yang memerlukan penyaringan penglihatan? Jangan tunggu sehingga anak mengadu sakit kepala atau tidak nampak guru mengajar ataupun selalu lemah dalam pelajaran barulah kita cuba mencari jalan penyelesaian. Penyaringan penglihatan patut dijadikan satu rutin pada semua kanak-kanak sebelum melangkah kealam persekolahan. Tidak mengambil kira sama ada kanak-kanak itu mengadu ataupun tidak. Adalah tidak mustahil sekarang ini, anak-anak perlu memakai cermin mata sedangkan ibubapanya mempunya penglihatan yang sempurna. Perlu diketahui di zaman ini faktor rabun tidak semestinya dikaitkan dengan masalah genetik iaitu ibubapa yang memakai cermin mata akan mempunyai anak yang juga bercermin mata. Faktor rabun sudah boleh dikaitkan dengan faktor persekitaran. Kanak-kanak di masa kini sentiasa terdedah dengan kerja dekat seperti banyak melakukan kerjarumah, membaca komik, bermain permainan elektronik dan komputer. Sekiranya terlalu banyak terdedah pada suasana sebegini, ini akan menyebabkan akomodasi (daya fokus) terganggu dan menjadikan kanak-kanak miopik (rabun jauh). Semakin lama keadaan miopik. ini boleh menjadi lebih ketara menyebabkan kanak-kanak memerlukan pemakaian cermin mata.

Sekiranya kanak-kanak di kampung dibandingkan dengan kanak-kanak dibandar, akan didapati kanak-kanak dibandar akan lebih banyak mengalami masalah miopia berbanding dengan kanak-kanak dikampung. Ini adalah kerana faktor persekitaran mempengaruhi cara hidup kanak-kanak ini. Gaya hidup banyak mempengaruhi penglihatan seseorang, seorang kanak-kanak yang rajin melakukan kerja dekat seperti membaca, melukis dan kerja computer akan berkemungkinan memerlukan pembetulan cermin mata  lebih awal dari kanka-kanak yang lebih aktif melakukan aktiviti luar rumah, meskipun latarbelakang genetik adalah lebih kurang sama.

Mengapa perlu penyaringan mata di awal usia?

Sekiranya anda tidak melakukan penyaringan awal anda mungkin tidak dapat mengesan masalah penglihatan yang di alami oleh anak anda.  Terdapat banyak kes di mana ibubapa telah meletakkan anak- anak mereka di sekolah pendidikan khas kerana menyangka anak mereka mengalami masalah pembelajaran ataupun menyangka anak mereka mengalami masalah disleksia atau autisme. Setelah bertemu pakar mata yang bertauliah, barulah masalah penglihatan ini dapat dikesan. Anak mereka hanya mempunyai masalah rabun teruk yang boleh diperbaiki hanya dengan memakai cermin mata ataupun kanta sentuh khas kanak-kanak. Kanak-kanak ini terus dapat belajar dengan baik setelah rabun mereka dibaiki dan sekiranya terdapat masalah mata yang lain, terapi penglihatan boleh dilakukan.  Fikirkan masa kanak-kanak tersebut yang telah terbuang hanya dari satu kesilapan yang kecil sahaja – iaitu tiada penyaringan mata dilakukan sebelum anak-anak melangkah ke alam persekolahan. Perhatian istimewa perlu diberi pada kanak-kanak istimewa seperti anak bermasalah Sindrom Down, kes sebegini kebiasaannya mempunyai masalah rabun jauh yang ketara.
Dimana penyaringan mata dapat dilakukan?

Hampir kesemua praktis Optometri dapat melakukan penyaringan mata dengan sempurna. Jangan terpedaya dengan kedai optik yang hanya menjalankan promosi jualan murah. Jangan segan untuk bertanyakan khidmat Optometris untuk melakukan penyaringan mata. Penyaringan mata yang sempurna meliputi penentuan tahap akuiti penglihatan, refraksi ralat, oftalmoskopi, ujian-ujian preliminari termasuk pergerakan otot ekstraokular, refleks pupil, pengesanan rabun warna, penentuan nilai akomodasi dan konvergen dan lain-lain ujian yang difikirkan perlu. Caj berpatutan akan dikenakan.

Sekiranya terdapat ralat refraksi pada anak saya, apa yang patut saya lakukan?

Jangan berlengah. Anda perlu berbincang dengan Optometris anda tentang status penglihatan anak anda dan juga cara rawatan yang berkesan. Kebarangkalian besar anda perlu memakai anak anda dengan cermin mata.  Ada kes-kes terapeutik tertentu di mana pemakaian kanta sentuh diperlukan dan juga susulan dengan terapi penglihatan diperlukan.
Kos.

Terdapat banyak pakej yang ditawarkan pada kanak-kanak di kedai-kedai Optik. Bertanyalah dengan jelas jenis cermin dan bingkai yang ditawarkan. Untuk kanak-kanak yang baru mula berjinak-jinak dengan pemakaian cermin mata dapatkan bingkai penuh (plastik atau nkel aloi) dan digandingkan dengan kanta yang berkualiti tinggi. Kanta berkualiti tinggi mempunyai kualiti optik yang baik dan tiada distorsi. Harganya mungkin mahal sedikit daripada kanta keluaran negara China dan Taiwan, tetapi ianya akan memberikan penglihatan terbaik tanpa distorsi yang boleh menyebabkan pening. Sekiranya anak anda mempunyai ralat yang tinggi disamping ralat astigmatisma yang lebih dari 0.50D, adalah lebih baik jika anda memilih lapisan anti-silau ataupun multicoat (harga lebih mahal berbanding dengan harga uncoat). Sekiranya cermin mata diperlukan untuk kes-kes terapi anda boleh berbincang untuk mendapatkan cermin mata yang asas yang lebih murah harganya kerana anda mungkin perlu menukar cermin mata dengan kerap. Paling penting jangan sekali-kali mendapatkan cermin mata siappasang untuk rabun jauh dari pasar malam tanpa menjalani pemeriksaan penglihatan mata yang sempurna. Cermin mata yang tidak sempurna boleh mengakibatkan kecelaruan signal penglihatan yang sukar dibaiki. Jangan berdikit, kesihatan mata terlalu tinggi nilainya.

Kekerapan Pemeriksaan Mata

Bagi kanak-kanak yang baru mula memakai cermin mata, pemeriksaan susulan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan atau lebih kerap (dapatkan nasihat Optometris anda). Sekiranya tiada keperluan, adalah wajib membawa anak-anak untuk mendapatkan rawatan tahunan. Pemeriksaan yang kerap dapat mengesan perubahan kuasa mata dan jika nilainya adalah signifikan anda perlu menukar cermin mata atau kanta oftalmik anak anda. Sekiranya mata memakai kuasa kanta yang kurang dari sepatutnya, mata akan mengalami stres dan kuasa ralat boleh menjadi berkali-kali ganda. Mata yang tidak mengalami stres mempunyai ralat refraksi yang lebih stabil.

Bagaimana hendak mengurangkan stres mata

Tips:
v  Jauhkan jarak komputer dan kedudukan anak anda darinya. Kekerapan penggunaan komputer boleh menyebabkan kuasa refraksi melonjak naik. Cuba lihat permandangan yang jauh selama beberapa saat setelah melakukan kerja komputer selama setengah jam tanpa henti.

v  Gunakan pencahayaan yang cukup terang dan baik. Jangan membaca dalam gelap

v  Betulkan kedudukan semasa membaca. Jangan meniarap ataupun berbaring semasa membaca buku. Jarak buku yang dipegang terlalu dekat boleh menyebabkan stres pada mata.

v  Sentiasa optimumkan kuasa pada cermin mata. Tukarkan kanta cermin mata apabila ada perbezaan kuasa cermin mata ketara. Jangan tunggu hingga cermin mata patah untuk diganti.
Bolekah rabun anak saya menjadi baik semula?

Sekiranya pemeriksaan ralat telah dilakukan dengan baik, ralat rabun tidak mungkin menjadi berkurangan selepas pemakaian cermin mata. Perlu difahami, yang paling penting bukannya kuasa ralat mata tetapi tahap penglihatan mesti di tahap baik sekurang-kurangnya VA Snellen 6/9. Malahan rabun boleh meningkat dari masa kesemasa, dan cara untuk mengawal kenaikan ralat ini ialah dengan mengurangkan stres pada mata. Jangan lupa melakukan penyaring mata pada anak anda kerana masa depannya bergantung pada perlaksanaan anda hari ini. Lakukan temujanji dengan Optometris anda tanpa berlengah-lengah lagi!

Oleh:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan & Pakar Optometris

8 comments:

  1. salam dr...soalan saya...kenapa boleh berlaku salur darah belakang mata pecah...dan setelah dr di klinik membuat prosedur lazer...mata menjadi kelabu dan silau...

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Salur darah belakang mata boleh pecah antara sebabnya adalah seperti penyakit diabetis retinopati. Laser adalah untuk mematikan salur darah baru yang pecah. Kelabu dan silau untuk bersifat sementara sahaja.

      Delete
  2. Mak saya baru lepas op mata buang ketarak. Dia mengalami batuk2. Adakah bahya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Kalau batuk tu agak kuat boleh menyebabkan kanta yang masih baru tu tak stabil.

      Delete
  3. Salam prof,mata kanan sy terkena grinder..ank mata hitam koyak..untuk sy dapat melihat semula,dapat tak prof..

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Kena tengok lukanya dan besar mana. Jika puan berminat boleh hubungi D OPTOMETRIST di Bandar Tasik Permaisuri 03 - 91744024 di Cheras (depan HUKM) untuk temujanji dengan saya

      Delete
  4. salam prof.. anak saya baru berusia 8 tahun.. dari tahun lepas saya perhatikan setiap kali dia tgk tv selalu dia kecilkan anak mata dia mcm xnampak.. dia mmg slalu main gadjet.. jadi saya bawa dia ke klinik kesihatan utk pemeriksaan.. tp doktor kata terus pergi kedai buat spec je la... sy masih ragu2, apa yg patut saya buat sepatutnya.. terus pergi kedai buat spec or camne?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Untuk anak anak kecil perlu letak sikloplegik drops sebelum check mata. Boleh buat pemeriksaan dengan Optometrist.

      Delete