MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Tuesday, March 26, 2013


TINGKAT KESEDARAN PENJAGAAN MATA
SAUDARA YANG DIKASIHI,

Sesungguhnya segala bentuk kesenangan atau nikmat hidup di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja.  Sama ada nikmat itu berupa kekayaan harta-benda, kebijaksanaan, kesihatan tubuh badan, keluarga bahagia dan lain-lain lagi, semuanya akan hilang dari sisi kita apabila Allah menghendakinya. Yang kekal bersama kita hanyalah pahala amal-amal soleh yang dikerjakan dengan penuh keimanan dan keihkhlasan mengharapkan reda Allah semata-mata.  Inilah inti pati daripada  perigatan Allah SWT menerusi firman-Nya:-

Yang bermaksud: “Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.” (S. As-Syuraa: 36).

Sehubungan dengan pengertian firman Allah tersebut, marilah kita sama-sama hargai dan syukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita akan terus beroleh keberkatan, rahmat, taufiq serta maghfirah dari Allah SWT sekali gus berhasil mencapai darjat takwa. Sesungguhnya kenikmatan hidup di akhirat kelak adalah lebih kekal dan bermakna khusus bagi hamba Allah yang beriman, beramal soleh dan bertakwa.

SAUDARA,

Antara sekian banyak nikmat yang sangat berharga dikurniakan Allah kepada manusia ialah mata. Mata merupakan salah satu organ manusia yang membolehkan kita melihat. Ini bererti mata memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Jika organ ini terjejas, maka pelbagai jenis urusan atau pekerjaan turut terjejas hatta keindahan dunia pun tidak akan dapat dinikmati sepenuhnya.

Berdasarkan kepada fakta dan kenyataan tersebut, mata hendaklah dijaga dengan baik setiap masa kerana kornea mata amat sensitif sifatnya. Tambahan pula sistem penglihatan yang sempurna akan berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia.  Dan, masih ramai di kalangan masyarakat hari ini yang kurang prihatin terhadap fenomena ini, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Menyedari akan keprihatinan masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan mata dan gejala gangguan penglihatan, maka hari KHAMIS kedua bulan Oktober setiap tahun diisytiharkan sebagai tarikh sambutan Hari Penglihatan Sedunia.

Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman dan perhatian kepada isu sejagat berkaitan masalah penglihatan dan kebutaan yang boleh dielakkan. Sambutan Hari Penglihatan Sedunia ini juga secara langsung membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan penjagaan mata.

DAN LAGI…

Kita semua perlu menitikberatkan soal penjagaan mata bagi mempastikan keselesaan hidup untuk melihat keadaan sekeliling, membaca,  menonton, bergerak dan sebagainya tidak terjejas.  Ibu, bapa mahupun penjaga kepada anak-anak harus memahami keperluan menjaga organ itu dengan memberi tumpuan khusus kepada penjagaan mata kanak-kanak sejak awal.  Ini berikutan dengan kebanyakan kanak-kanak kini terdedah kepada permainan komputer dan alat elektronik yang memberi kesan kurang baik kepada penglihatan mereka.

Justeru, apabila mereka mengadu penglihatan kabur, bawalah mereka untuk pemeriksaan segera bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.  Ini kerana jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan penglihatan seawal tahun pertama persekolahan dikatakan semakin meningkat. Di sinilah pentingnya ibu, bapa, penjaga dan masyarakat seluruhnya mempelajari teknik penjagaan kesihatan mata dengan mendapatkan tunjuk ajar serta maklumat daripada pegawai-pegawai perubatan di klinik-klinik kesihatan serta hospital yang terdekat.

SEBAGAI MAKLUMAN kita bersama, katarak, glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik adalah antara masalah mata yang paling banyak dikesan dan biasa berlaku kini. Ada yang boleh dipulihkan semula walaupun selepas mencapai tahap hilang penglihatan sepenuhnya. Bagaimanapun, banyak juga yang tidak dapat dipulihkan lagi jika sudah menjadi buta. Keadaan ini memberi isyarat yang jelas bahawa betapa pentingnya langkah pencegahan dan pengesanan awal dilakukan.

Menurut pakar mata, faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan mempengaruhi kesihatan mata seseorang. Faktor genetik misalnya menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain.  Manakala tabiat mengambil kadar gula yang tinggi boleh menyebabkan kencing manis sekali gus mempengaruhi kesihatan mata.

Oleh hal yang demikian, selain melakukan pemeriksaan mata secara berkala dengan pakar mata di klinik dan hospital, kita juga hendaklah menjaga makan minum. Kurangkan gula dalam makanan dan minuman, tetapi banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan di samping menjauhi rokok sejak usia muda.

Golongan yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun, manakala  orang yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun. Manakala mereka yang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

Ini kerana apabila  berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak. Penyakit-penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal. Ia  hanya dapat dikesan oleh pakar mata.

SAUDARA,

Dari sudut pandangan Islam, penjagaan mata bukan sekadar melakukan pemeriksaan dan mencegah kehilangan deria penglihatan semata-mata.  Islam menyaran umatnya supaya menjaga mata daripada melihat benda yang haram dilihat seperti aurat lelaki atau wanita yang wajib ditutup. Kita juga dilarang membaca bahan yang lucah dan merosakkan di samping larangan menonton video atau filem yang boleh merosakkan minda, akhlak, akidah dan sebagainya.

Dalam erti kata yang lain, penjagaan mata dari perspektif Islam turut membawa maksud memanfaatkan deria penglihatan yang dikurniakan Allah pada perkara atau tempat yang wajar dan diredai Allah. Ini termasuklah membaca al-Quran, hadis, kitab-kitab ilmu  di samping melihat serta menghayati tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Marilah kita sedari dan insafi bersama bahawa kegagalan memanfaatkan mata pada fungsinya yang sepatutnya boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka Jahanam.  Peringatan serta balasan yang maha dasyat ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-
Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (S. Al-A’raaf: 179).

Sehubungan dengan peringatan serta ancaman Allah tersebut, hargai dan syukurilah nikmat mata dengan cara memeliharanya dari aspek kesihatan dan pandangan.  Lakukan pemeriksaan mata secara berkala demi mengelak berlakunya sebarang masalah penglihatan.  Manakala dari segi memelihara pandangan mata, jangan melihat sesuatu yang diharamkan oleh syarak.
Pada masa sama, jangan sekali-kali alpa dan lalai daripada memanfaatkan mata untuk melihat dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada alam ciptaan Allah ini.  Segala jenis makhluk sama ada di bumi mahupun di langit mengandung hikmah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah yang seharusnya menyedarkan kita terhadap kekerdilan diri kita berbanding Allah yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini.  Kesedaran serta keinsafan yang lahir daripada penghayatan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT itu pula diharap dapat mentarbiah kita menjadi insan Muslim yang beriman dan beramal soleh ke arah memperolehi balasan syurga yang telah dijanjikan, sebagaimana firman Allah:-

Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurang balasannya) sedikitpun.” (S. An-Nisaa’: 124).

MUDAH-MUDAHAN AKAN MEMBERIKAN PERTUNJUK DAN HIDAYAH BUAT ANDA SEMUA DI LUAR SANA. BERSAMALAH KITA SAMPAI DAN MENYAMPAIKAN SESAMA KITA. SEDIKIT DARI KITA BARANGKALI AKAN DAPAT MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN.

KURANGKAN GULA DALAM MAKANAN
LEBIHKAN MANIS DALAM SENYUMAN

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Profesor Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment