Pages

Thursday, September 20, 2012


Perkembangan Penglihatan Kanak-kanak

Penglihatan adalah salah satu sensori yang sangat penting dalam membantu pekembangan dan tumbesaran kanak-kanak. Setiap ibubapa patut berwaspada dan tahu tentang perkembangan penglihatan anak mereka, sama ada normal ataupun tidak. Ibubapa perlu tahu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara penglihatan normal ataupun tidak kerana apa yang di lihatnya secara lansung akan diterimanya sebagai normal. Oleh itu jangan tunggu untuk anak anda memberitahu anda atau mengadu yang pandangannya kelihatan kabur ataupun penglihatan tidak cukup tajam, ianya tidak akan berlaku. Sekiranya anda adalah ibubapa yang perihatin anda mungkin dapat mengesan masalah penglihatan anak-anak anda melalui aktiviti-aktiviti yang berlangsung di rumah.
Tanda-tanda masalah penglihatan pada kanak-kanak

  • Mengecilkan kelopak mata  ketika menonton TV atau cuba membaca papantanda.
  • Juling atau cuba menutup satu mata dengan telapak tangan
  • Meneleng atau menjeling ke satu arah ketika cuba fokus
  • Sering menggosok mata
  • Suka mengelip mata secara terlampau (twitching)
  • Mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • Lahir pramatang
  • Perkembangan terbantut seperti lambat berjalan
  • Mepunyai penyakit sistemik seperti diabetes atau HIV
Sekiranya  anda mengesan masalah di atas, berulang-ulang kali, anak anda mungkin mempunyai masalah penglihatan. Segeralah dapatkan pemeriksaan dan nasihat dari Optometris. Optometris akan melakukan pemeriksaan mata secara komprehensif dan dapat mengesahkan  keadaan tersebut dengan segera .

Bayi
Bagi bayi, kebiasaanya pemeriksaan mata akan dilakukan oleh pakar kanak-kanak ketika bayi baru lahir dan juga ketika lawatan susulan ke klinik sepanjang tempoh setahun. Setiap bayi sepatutnya menjalani pemeriksaan mata. Bayi selalunya dapat mengesan pergerakkan objek sebelum dapat melihat objek dengan baik. Kebiasaannya bayi dapat melihat wajah ibunya dengan jelas hanya selepas berumur seminggu. Ketika ini persepi warna dan kedalaman belum lagi sempurna. Koordinasi mata dan otot mata juga masih tidak matang dan ini adakalanya menyebabkan bayi kelihatan juling. Kejulingan ini boleh terhapus dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar. Tetapi jika darjah kejulingan kelihatan semakin besar dan sekiranya makin kerap berlaku and perlu bertindak segera.
Sekiranya anda ingin menguji sama ada mata bayi anda sebenarnya berfungsi ataupun tidak, anda boleh mencuba mengikuti tips berikut.

  • Tampal pelekat mata pada salah satu mata bayi. Sekiranya bayi menangis atau menjadi resah ini bermakna mata yang terbuka mungkin tidak berfungsi dengan baik. Ulang dengan mata yang satu lagi. Anda juga boleh menekup mata bayi anda dengan menggunakan tapak tangan.

Kanak-kanak
Pada usia awal persekolahan, perkembangan penglihatan sudah hampir sempurna. Ketika ini jika ada sebarang tanda yang menunjukkan penglihatan terganggu, ianya amat mudah dikesan. Anda perlu selalu memerhatikan tingkahlaku anak anda seperti menonton TV terlalu dekat atau memegang buku terlalu dekat dengan mata, mata menjadi juling ketika penat atau cuba melihat sesuatu objek, kepala suka meneleng ke satu arah tertentu, mata yang selalu digosok-gosok ketika menonton TV atau cuba membaca sesuatu atau pun sensitif pada cahaya biasa. Sekiranya anak anda tidak menunjukkan sebarang tanda sebegini, anda masih perlu membawanya untuk pemeriksaan mata pada ketika berumur 7 tahun sekiranya anda atau pasangan anda mempunyai rabun mata. Rabun adalah satu keadaaan yang boleh diheriditasi dari genetik. Sekiranya saudara-mara terdekat juga mempunyai sejarah rabun atau penyakit mata adalah lebih baik untuk bawa anak-anak anda untuk pemeriksaan mata. Ini adalah kerana, kadang kala, penyakit mata atau ralat refraksi hanya dapat di kesan oleh Optometris setelah menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan instrumen tertentu.
Pemeriksaan mata ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun sangat penting kerana sekiranya kanak-kanak ini mempunyai sebarang masalah yang memerlukan pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau terapi penglihatan, ianya dapat dilakukan dengan segera dan dibetulkan sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap 6 bulan untuk memastikan progresi ralat refraksi dapat dikesan. Jangan bertangguh terlalu lama untuk menjalani pemeriksaan penglihatan kerana kuasa refraksi yang bertambah, jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan kenaikan kuasa ralat refraksi secara mendadak dan juga boleh menyebabkan risiko berlakunya mata malas.

Penyaring penglihatan yang biasanya dijalankan disekolah oleh pusat kesihatan adalah untuk mengesan secara kasar masalah penglihatan yang dialami oleh kanak-kanak. Ianya bukanlah satu pemeriksaan mata yang lengkap. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda dapat membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap oleh Optometris ketika diawal persekolahan.

Penglihatan yang tidak dirawat dari awal boleh membawa kepada masalah mata malas. Mata malas bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun ralat refraksi telah dibetulkan. Ini boleh berlaku pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya latihan terapi diberikan segera sebelum usia menjangkau 7 tahun, keadaan mata malas ini mungkin boleh dirawat. Sekiranya dibiarkan tanpa pembetulan ralat refraksi atau terapi penglihatan, mata tersebut akan menjadi lemah dan lama-kelamaan mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Kanak-kanak Istimewa
Golongan kanak-kanak istimewa juga seperti Sindrom Down juga mempunyai risiko rabun jauh dan kuasa astigmatisme. Oleh kerana kanak-kanak golongan ini mungkin tidak akan mengadu dan jarang melakukan aktiviti yang boleh menampakkan tanda-tanda rabun adalah penting penglihatan mereka diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali. Semasa pemeriksaan ini sebarang tanda ketidaknormalan okular boleh dikesan dan rawatan awal boleh dimulakan segera.
Pemeriksaan mata di usia awal sangat penting. Ibubapa juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penglihatan anak-anak. Kanak-kanak yang sihat tetapi mempunyai penglihatan yang lemah akan membantutkan perkembangannya terutama sekali dari segi pembelajaran. Pastikan anda menjadikan pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan. 

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday, September 18, 2012


Masalah Penglihatan Kanak-Kanak Sindrom Down

Kanak-kanak yang menghidapi Sindrom Down sudah semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini. Insiden Sindrom Down ini kebanyakannya berlaku kepada golongan lelaki berbanding dengan perempuan. Hampir 50 peratus kanak-kanak Sindrom Down ini mempunyai kecacatan kongenital pada jantung dan hampir kesemuanya mempunyai pelbagai jenis masalah penglihatan.
Pelbagai kemudahan untuk kanak-kanak Sindrom Down telah disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta yang mana kesemuanya bertujuan untuk membantu kanak-kanak ini dari segi asas pembelajaran, latihan fizikal dan logikal dan juga membantu kanak-kanak ini menguruskan diri sendiri dan juga memupuk kemahiran diri.

Rata-rata kanak-kanak Sindrom Down ini tidak terlepas daripada masalah penglihatan. Walaupun telah diketahui bahawa hampir kesemua kanak-kanak Sindrom Down memerlukan rawatan penglihatan, namun tidak ramai ibu bapa yang menganggap ini penting. Malah, ramai yang terbiar tanpa pernah mendapat sebarang pemeriksaan atau rawatan daripada Optometris. Semua kanak-kanak Sindrom Down perlu menjalani pemeriksaan mata seawal usia enam bulan. Masalah penglihatan yang paling ketara pada kanak-kanak Sindrom Down adalah seperti berikut:-

1.     Rabun Jauh – Miopia atau hipermetropia adalah masalah kekaburan melihat objek jauh yang boleh dibetulkan dengan kanta minus (cekung) ataupun kanta plus (cembung). Meskipun pembetulan kanta dilakukan untuk rabun jauh, akuiti penglihatan yang telah dibetulkan akan masih berada dibawah tahap optimum iaitu kurang daripada 6/6. Pembetulan dengan cermin mata biasanya boleh dilakukan dengan mudah sekiranya kanak kanak tersebut dapat memberi kerjasama sewajarnya. Adakalanya kanak-kanak Sindrom Down yang juga hiperaktif akan bertindak menanggalkan cermin mata atau mencampakkannya. Kanta sentuh khas boleh dipreskripsikan dan kanak-kanak ini tidak akan berasa rimas semasa memakai cermin mata.
2.     Astigmatisma – Masalah silau yang mengganggu penglihatan jauh dan dekat juga boleh menyebabkan kanak-kanak Sindrom Down ini mengecilkan mata apabila cuba menonton televisyen atau membaca tulisan di papan hitam di dalam kelas. Sekiranya masalah astigmastisma ini agak tinggi, mereka mungkin cuba mengelak daripada cahaya terang atau mengadu silau teruk apabila berada di bawah pancaran matahari. Sekiranya masalah astigmatisma sangat teruk, preskripsi cermin mata boleh diberikan bersama kanta yang telah digelapkan sedikit untuk mengurangkan gangguan cahaya silau. Cermin mata gelap juga boleh digunakan semasa menjalani aktiviti di luar untuk tempoh yang lama.

3.     Akomodasi yang lemah – Masalah ini sering dihadapi oleh kesemua kanak-kanak Sindrom Down. Masalah ini menjadikan penglihatan dekat kabur dan ini boleh menyebabkan kanak-kanak Sindrom Down tidak berminat untuk melihat objek dekat khasnya membaca, menulis dan mewarna. Sekiranya kanak-kanak ini mempunyai masalah rabun jauh, maka, preskripsi cermin mata bifokal akan diberikan kepada mereka. Cermin mata bifokal digunakan untuk membetulkan kesalahan refraksi jauh dan dekat. Dengan ini, kanak-kanak ini dapat melihat objek jauh dan dekat dengan lebih jelas.

4.     Strabismus (Juling) – Hampir 20 ke 30 peratus kanak-kanak Sindrom Down akan mempunyai masalah juling. Kebiasaannya, masalah ini akan mula nampak ketara apabila umur mencecah dua tahun ke atas. Tidak seperti juling yang biasa berlaku kepada individu normal, kebanyakan kanak-kanak ini mempunyai juling jenis esotropia (mata masuk mendekati hidung). Juling esotropik ini boleh berkait dengan rabun jauh jenis miopik dan hipermetropik. Adakalanya juling ini boleh berubah–ubah di antara mata kanan dan mata kiri. Kanak-kanak yang mempunyai masalah juling ini perlu dibetulkan dahulu kesalahan refraksinya, jika ada. Sekiranya julingnya menjadi kecil dan tidak ketara, latihan ortoptik akan digunakan untuk menghilangkan masalah ini. Walaubagaimanapun, jika juling masih ketara, kemungkinan surgeri otot mata perlu dilakukan.
5.     Akuiti penglihatan di bawah paras normal – Paras normal akuiti adalah 6/6 dengan Carta Snellen. Sekiranya akuiti penglihatan berada di bawah tahap ini, ianya akan dianggap sebagai akuiti di bawah paras normal. Ini adalah agak ketara bagi kanak-kanak Sindrom Down di mana, secara relatif mereka ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kecacatan okular seperti katarak (selaput pada kanta mata), nistagmus (bebola mata bergetar-getar) dan keratokonus (lapisan kornea menipis dan membentuk kon). Walaupun adakalanya kanak-kanak Sindrom Down ini tidak mempunyai sebarang kuasa refraktif pada mata, mereka selalunya mempunyai akuiti di bawah paras normal (ambliopia).
Ibubapa, penjaga dan guru-guru perlu mengawasi tahap penglihatan kanak-kanak-Sindrom Down. Kesemua pembetulan refraksi perlu dibetulkan samada dengan cermin mata ataupun kanta sentuh. Terdapat sekolah-sekolah pendidikan khas yang ada menyediakan alatan boleh membantu mereka yang mempunyai akuiti penglihatan di bawah tahap normal. Peralatan yang biasa disediakan adalah berupa magnifier atau skrin monitor yang boleh membesarkan teks bacaan. Setiap kanak-kanak Sindrom Down perlu menjalani pemeriksaan penglihatan setiap tiga hingga enam bulan sehinggalah kuasa refraksinya stabil dan kemudian bolehlah dijarakkan pemeriksaan mata kepada sekali setahun.

Pemilihan bingkai

Bingkai yang sesuai perlu dipilih dengan teliti untuk kanak-kanak Sindrom Down di mana, pemasangan di atas muka dengan sempurna perlu diperhatikan. Adakalanya Optometris anda perlu membuat beberapa modifikasi untuk memastikan bingkai terletak dengan baik di atas muka. Sekiranya kanak-kanak ini bergerak aktif, maka, kaki bingkai boleh diletakkan dengan pencangkuk belakang telinga yang mampu menghalang cermin mata daripada tercampak daripada muka apabila bergerak lasak. Penggunaan head band yang dipasang pada kedua-dua belah kaki bingkai juga dapat membantu cermin mata agar sentiasa terletak dengan baik di atas muka. Kanak-kanak Sindrom Down biasanya mempunyai jarak di antara mata yang agak jauh, namun, bingkai yang dipilih tidak semestinya besar. Apa yang patut di cari adalah bridge atau jejambat bingkai yang lebih lebar dan disokong dengan nose pad atau pad hidung yang besar jenis silikon. Ini dapat memastikan cermin mata tidak mudah melorot ke hidung malah pad silikon tersebut akan mencengkam kulit hidung yang berminyak dengan lembut. Bingkai boleh terdiri daripada jenis plastik ataupun aloi nikel, dan lebih baik jika bingkai tersebut mempunyai spring yang mampu bertahan sekiranya cermin direngang dengan kasar. Pilihan untuk kanta pula tidak lain daripada jenis plastik atau polikarbonat iaitu yang tahan pecah dan warna yang disyorkan untuk meredupkan pandangan daripada silau adalah warna coklat atau kelabu gelap.
Apa yang paling penting, ibu bapa perlu memberi dorongan yang kuat kepada anak-anak yang memakai cermin mata. Jangan sesekali membenarkan orang lain atau keluarga mengejek anak-anak yang memakai cermin mata. Sekiranya anak anda enggan memakai cermin mata, cuba memakaikannya ketika dia sedang melakukan aktiviti kegemarannya seperti menonton televisyen. Dengan cara ini, kanak-kanak akan dapat menilai sendiri pandangan yang jelas baginya. Adakalanya, ibu bapa patut meletakkan cermin mata itu di atas muka sendiri dahulu. Kanak-kanak akan berasa lebih yakin apabila melihat ibu bapanya telah mencuba dahulu.

Pemilihan kanta sentuh

Sekiranya anak anda tidak betah menggunakan cermin mata ataupun anda terpaksa menggantikan cermin mata dengan kerap kerana cermin mata patah atau rosak, maka, alternatif lain adalah dengan pemasangan kanta sentuh.
Kanta sentuh yang menjadi pilihan adalah kanta sentuh jenis konvensional atau pakai buang yang menggunakan material silikon. Material ini membenarkan kemasukkan oksigen yang optimum ke mata walaupun pemakaian adalah untuk tempoh yang panjang. Tambahan pula, kanta jenis ini boleh dipakai tidur dengan selamat dan tidak mudah terlekat dengan kekotaran daripada  air mata.
Sekiranya anda berminat dengan kaedah ini, berjumpalah dengan Optometris yang bertauliah. Optometris akan melakukan pemeriksaan awalan untuk menentukan kesesuaian pemakaian kanta sentuh tersebut. Ini termasuklah pemeriksaan kelopak mata dan juga air mata. Sekiranya didapati keadaan mata sihat dan sesuai barulah kanta sentuh akan dipasangkan. Pemasangan kanta sentuh boleh dilakukan keatas bayi, kanak-kanak dan orang dewasa. Walaubagaimanapun, kanak-kanak Sindrom Down memerlukan pengawasan serta bantuan dalam pemasangan kanta sentuh kepada matanya. Kebiasaanya, ibu bapalah yang akan membantu memasang dan mengeluarkan serta mencuci kanta sentuh. Kebaikan kaedah ini adalah kanak-kanak Sindrom Down akan mendapat penglihatan optimum tanpa ada gangguan bingkai dan kesan pembesaran atau pengecilan imej yang biasa terdapat pada cermin mata.

Perlulah diketahui bahawa, meskipun penglihatan anak anda telah dibetulkan samada dengan cermin mata ataupun kanta sentuh, penglihatan yang diperolehinya tidak akan menjadi sebaik kanak-kanak normal. Penglihatan untuk melihat secara detail dan halus akan terjejas. Membaca akan menjadi satu tugasan yang agak sukar. Walaubagaimanapun, aktiviti luaran seperti bermain tidak akan terganggu. 
Kadang kala, hati dapat melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh mata. (Sometimes the heart sees what is invisible to the eye) 
~H. Jackson Brown Jr. 


Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, September 16, 2012


RANGSANGAN PENGLIHATAN
Apa yang dapat dilihat oleh bayi
Penggunaan penglihatan secara maksima adalah penting dalam perkembangan bayi dan kanak-kanak. Bayi dan kanak-kanak berpenglihatan baik akan didapati lebih cepat penggunaan koordinasi mata dan anggota seperti berjalan, duduk dan menari. Sebaliknya bagi kanak-kanak yang tidak dirangsang penglihatannya boleh menyebabkan ianya lambat berjalan dan sukar mencapai objek.

Cara paling mudah dan efektif untuk merangsang penglihatan bayi adalah dengan bermain dengannya. Adalah penting untuk bermain dan berinteraksi  dengan bayi dan kanak-kanak  dengan menggunakan mainan yang bersesuaian dengan umur bayi.

Telah menjadi lumrah, salah satu persediaan utama untuk menyambut kedatangan bayi adalah dengan mewarnakan bilik tidur bayi atau nurseri dengan warna-warna terang dan garang seperti merah, kuning, hijau dan sebagainya. Begitu juga dengan barangan-barangan bayi seperti katil dan mainan-mainannya akan dipilih dengan pelbagai warna. Tetapi adakah ini akan memberi stimulasi maksima pada penglihatan bayi anda?

Bayi yang baru lahir didapati keliru dan terganggu dengan apa yang dilihatnya sewaktu membuka mata buat pertama kali menurut seorang ahli psikologi terkenal; William James. Bayi yang baru dilahirkan memiliki otot-otot mata yang sempurna seperti orang dewasa tetapi ketika di awal usia, bayi mungkin belum mampu mengawal otot-otot mata dengan baik menyebabkan objek tidak dapat difokus dengan baik. Adakalanya bayi terlebih fokus atau kadang kala terkurang fokus menyebabkan objek yang dilihat adalah kabur. Kerja pemfokusan ini menjadi lebih sukar sekiranya jarak objek yang cuba dilihat bayi adalah jauh. Oleh itu anda boleh perhatikan bahawa bayi akan lebih menunjukkan respon sekiranya anda berada pada jarak 7 hingga 10 inci dari wajah bayi.

Ketika bayi berusia 2 bulan, pemfokusan bayi akan bertambah baik namun objek yang mampu dilihat oleh bayi masih tidak sejelas yang dilihat oleh orang dewasa. Ini disebabkan retina dan otak bayi yang menerima signal penglihatan bayi masih belum boleh berfungsi sepenuhnya. Otot mata lebih lengkap tumbesarannya berbanding dengan bahagian retina mata yang lebih kompleks di awal usia bayi.

Akuiti Visual adalah satu nilai yang digunakan untuk merujuk kepada ketajaman penglihatan seseorang. Bagi seseorang dewasa yang normal akuiti visual adalah 6/6 (Baris ke-8 pada Carta Snellen di bawah). Bagi bayi yang baru lahir akuiti visual adalah 6/60 (sila rujuk Carta Snellen). Ini bermakna bayi yang baru lahir hanya akan nampak huruf “E” paling atas pada jarak 6m.
Bayi pada usia 4 bulan seharus boleh melihat separuh dari carta dan ketika bayi berusia 8 bulan, bayi hampir dapat melihat carta sebaik orang dewasa. Oleh itu bayi yang baru lahir hanya dapat melihat dengan mudah wajah anda dan juga tangan dan kakinya sendiri.

Disebabkan penglihatan bayi masih terlalu ‘muda’, bayi lebih senang melihat warna dan corak yang mempunyai kontras tinggi seperti warna hitam dan putih. Warna dan corak hitam putih berkontras setinggi 100% yang ditayangkan dihadapan bayi akan menarik perhatiannya berbanding dengan satu karakter kartun berwarna warni. Warna dan corak hitam & putih adalah material yang paling mudah untuk dilihat oleh bayi yang baru lahir. Semakin umurnya meningkat barulah bayi pandai membezakan tona-tona warna hitam dan putih sebelum mula dapat menilai warna-warna lain disekelilingnya.

Warna-warna lain juga mampu dilihat oleh bayi sewaktu lahir tetapi untuk membezakan setiap warna mengikut tona adalah sukar kerana reseptor kon di retina masih belum matang sepenuhnya. Walaubagaimanpun penglihatan bayi boleh berkembang sangat cepat, dalam tempoh yang singkat. Pada usia 2 bulan, bayi sudah boleh membeza banyak warna. Oleh itu jangan hanya tayangkan semua objek dan mainan berwarna putih dan hitam sahaja pada bayi kerana anda mungkin membantutkan pula stimulasi penglihatannya pada warna-warna lain.

Bayi yang baru lahir akan lebih gemar melihat garisan sisi berkontrast tinggi seperti bentuk wajah atau garisan rambut dan wajah. Ketika berusia 2 bulan barulah bayi mula melihat mata, hidung dan mulut  ibubapanya. Dan tidak menghairankan jika ketika berusia 5 bulan, bayi sudah pandai membezakan wajah ibubapanya dengan orang asing.

Cara-cara rangsangan:-

Ketika anda sedang bermain dengan bayi anda, cuba tutup sebelah mata bayi dengan telapak tangan anda dengan cermat. Lihat respons bayi sekiranya dia kelihatan gelisah atau menangis. Jika bayi kelihatan biasa sahaja ini bermakna mata yang tidak dikatup mempunyai penglihatan yang baik tetapi sekiranya bayi menangis bermakna mata yang tidak dikatup tidak sebaik mata yang dikatup atau tiada penglihatan pada mata itu.

1.     Gunakan mainan yang berkontras tinggi seperti hitam dan putih, berkilat atau bercahaya untuk menarik perhatian bayi. Cari mainan yang ringkas dan senang untuk dilihat agar bayi tidak terkeliru seperti bola plastik pelbagai saiz dan warna, kiub, patung biasa tanpa bahagian kompleks. Sekiranya anak anda mempunyai masalah penglihatan atau berpenglihatan terhad gunakan lampu suluh yang dihala dari belakang mainan (aktiviti ini dilakukan dalam bilik gelap) untuk menolong anak anda melihat objek. Cuba elakkan mainan berbunyi kerana ini akan merangsang deria pendengaran dan bukan deria penglihatan sepenuhnya. Pegang mainan tersebut dihadapan mata bayi dan perhatikan respon. Cuba bawa mainan tadi ke sisi bayi dan perhatikan sama ada matanya mengikut arah tangan anda. Cuba lihat tempoh bayi memberi respon. Sekiranya terlalu singkat atau tidak menunjukkan respon setelah mencuba dengan pelbagai jenis mainan, kemungkinan penglihatan bayi belum di rangsang dengan sepenuhnya  atau pun bayi anda mempunyai masalah penglihatan. Adakalanya bayi hanya respon pada cahaya dari lampu suluh dan bukan mainannya. Bayi mungkin mempunyai masalah penglihatan yang agak serius.

3.     Bagi kanak-kanak yang lebih besar, gunakan anak patung untuk melatih penglihatan detail. Suruh anak anda menunjuk di mana mata anak patung atau butang baju anak patung. Ini dapat memastikan tahap akuiti visual kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, sekiranya kanak-kanak dapat melihat dan mengutip nasi atas lantai atau manik-manik dekorasi kuih dengan baik, akuiti visualnya adalah sekurang-kurangnya 6/18.

4.     Bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas, perhatikan gerak gerinya ketika menonton televisyen. Adakah anak anda selalu mengecilkan matanya atau mengalih mukanya ke satu arah. Dia mungkin mempunyai ralat refraksi yang tidak dibetulkan. Jangan sangka kanak-kanak kecil tidak perlu memakai cermin mata, adakalanya kesalahan refraksi bermula dari bayi lagi. Jangan bertangguh untuk membetulkan ralat refraksinya. Kelewatan boleh menyebabkan berlakunya mata malas yang sukar untuk dirawat. 


SAYANGI MATA ANAK ANDA
SAYANGILAH MASA DEPAN MEREKA



Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia


Friday, September 14, 2012

PERJALANAN YANG MENGAJAR AKU

MATA INI YANG MEMANDANG
HATI INI YANG MERASAKAN GETARNYA
PERASAAN INI YANG SELAMI PILUNYA RASA
DAN ...
MATA HATI INI YANG MENILAI
HEBATNYA SEBUAH PERSAHABATAN
DALAM SATU PANDANGAN YANG AMAT TULUS...

TANGGAL 13 SEPTEMBER 2012
MENGAJAR AKU TENTANG SESUATU
YANG PASTINYA TAK DAPAT KU PEROLEHI DI MENARA GADING
SELURUH NALURI DAN PANCAINDERAKU
TERKUMPUL MELAYARI HARI
MENYEDUT LELAH DAN KECEWA BERSAMA
NILAI PERSAHABATAN MELAKARKAN LUKISAN RINDU
YANG MASIH TERSISA DI USIA YANG KIAN KUSAM
JARAK BUKANLAH JURANG PEMISAH
MAUT YANG MENCIPTA RESAH ADALAH GURU 
YANG MELAKARKAN WARNA KEHIDUPAN 
DI KANVAS PERSAHABATAN

HARI INI
AKU BELAJAR
TENTANG SUATU NILAI YANG SUKAR DINOTAKAN
LALU KU TULIS DALAM DIARI HATIKU

Kusadari bahawa suara kehidupanku tak berarti apa-apa
dan bahkan belum mampu menembus telinga kehidupanmu.
Namun dalam apa-apa inilah kita cuba hubungkan,
barangkali mampu mengusir kejemuan . . .
Kata-kata tidak mengenal waktu.
Aku harus mengucapkan atau menuliskannya
dengan menyadari akan keabadiannya. . .
nilai sebuah persahabatan kalian
mengajar aku tentang
syukurnya sebuah kehidupan...
seorang sahabat lebih berharga dari emas ataupun permata
Kekayaan tidak bisa membelikanmu seorang sahabat

atau membayar kerugianmu
akibat kehilangan seorang sahabat

DAN HARI INI JUGA
AKU BELAJAR
HANYA CANGKUL DAN TANAH 
YANG DAPAT MEMISAHKAN
DUA SAHABAT SEJATI
YANG KALIAN PAPARKAN KEPADAKU

BERSEMADILAH DENGAN TENANG
ENGKAU YANG BERNAMA SAHABAT
MENINGGALKAN TEMANMU DI SINI 
YANG AMAT SYAHDU MENGENANGMU
DAN AKU TAHU
JAUH DI LUBUK HATINYA
DIA PASRAH DAN MENDOAKAN 
TENANGNYA KAMU DI SISI TUHAN..
Haliza Mutalib
13-09-2012
Semadinya seorang sahabat


Penyakit mata kanak-kanak

Ramai yang tidak mengetahui penyakit mata yang dialami oeh kanak-kanak adalah penting dan mudah terlepas pandang atau diambil ringan oleh ibubapa. Kerapkali penyakit mata yang dialami oleh kanak-kanak boleh menjadi serius sekiranya tidak dirawat dengan segera. Tindakan segera boleh menyelamatkan penglihatan bayi dan lebih lagi mata bayi sendiri. Berikut merupakan tanda-tanda penyakit okular yang umum dan juga yang serius yang boleh membantu ibubapa mengenali masalah mata yang sedang dialami oleh bayi atau kanak-kanak.

Salur airmata tersumbat
Ramai ibubapa kerap terperasan dan selalu bertanyakan mengapa mata bayi mereka kerap berair dan mengalir ke pipi. Bayi yang baru lahir kebiasaannya mempunyai saluran airmata yang belum terbuka dan sempit. Ini menyebabkan pengaliran airmata tidak dapat mengalir menerusi saluran tersebut sepenuhnya maka kebanyakkan airmata akan melimpah keluar. Saluran ini selalunya akan terbuka sendiri ketika bayi berusia setahun. Urutan mekanikal boleh dilakukan untuk mempercepatkan saluran itu terbuka. Urutan ini boleh dilakukan dengan mengurut dari hujung mata bersebelahan hidung ke arah bawah hidung dengan hujung jari secara lembut dan perlahan. Sekiranya bayi telah berusia 2 tahun dan masih mengalami masalah yang sama, laluan yang sempit ini boleh dibuka oleh oftalmologis.
Mata besar dan terbonjol
Mata yang kelihatan besar dan cantik tak semestinya tiada masalah. Mungkin anda pernah terperasan anak anda suka berselindung dibawah selimut atau menekup mukanya apabila dibawa keluar di bawah matahari. Sekiranya ini berlaku anak anda mungkin mengalami sama ada masalah silau yang teruk ataupun mengalami glaukoma kongenital. Glaukoma kongenital merupakan satu penyakit yang mana menyebabkan tekanan itraokular yang tinggi dalam mata dan bagi kanak-kanak, keadaan ini akan membolehkan keseluruhan struktur mata mengembang dan memberi impresi mata terbonjol keluar. Adakalanya ianya terjadi hanya pada sebelah mata sahaja tetapi ada juga kalanya ianya berlaku pada kedua-dua belah mata serentak. Mata bayi akan kelihatan terbonjol dan mendedahkan bahagian putih mata dan mata pula kelihatan berair sedikit. Sekiranya penyakit ini tidak dirawat segera, saraf optik yang terletak dibelakang mata boleh rosak sedikit demi sedikit dan akhirnya boleh menyebabkan kebutaan. Rawatan yang diberikan tidak dapat membaiki penglihatan kpada asal tetapi hanya dapat mengawal penyakit dari terus menjadi lebih teruk.
Anak mata putih
Sekiranya anda melihat anak mata bayi anda kelihatan putih dan aneh jangan pula berasa gembira kerana beranggapan mata anak anda istimewa. Ini mungkin adalah satu keadaan yang mencemaskan kerana anak anda mungkin mengalami katarak kongenital atau lebih teruk lagi tumor dalam mata. Kongenital katarak kebiasaanya berlaku ketika umur bayi kurang dari 2 tahun. Keadaan ini disebabkan kanta kristalin yang sepatutnya lutsinar telah menjadi legap dan perlu dibuang melalui kaedah surgeri. Ianya mungkin telah hadir ketika bayi dilahirkan tanpa anda sedari. Keadaan ini disebabkan penyakit rubella yang dialami oleh ibu ketika mengandung atau lain-lain penyakit genetik yang dialami oleh bayi seperti Sindrom Down. Kadang kala keadaan pupil putih juga menunjukkan keadaan yang lebih merbahaya seperti retinoblastoma iaitu ketumbuhan di dalam mata yang boleh membawa maut sekiranya ianya tidak dirawat dengan segera.
Rawatan bagi katarak kogenital setelah surgeri adalah dengan pemakaian kanta sentuh atau cermin mata ataupun implan kanta . Rawatan ini perlu disegerakan supaya kanak-kanak mendapat stimulasi penglihatan secukupnya bagi memastikan akuiti penglihatan yang baik.

Mata terkelip-kelip
Jika anak-anak anda suka mengelip-gelipkan matanya maka ada keberangkalian mata anak anda mengalami kekeringan. Keadaan ini peru disahkan oleh optometris ataupun oftalmologis melalui satu pemeriksaan komprehensif. Sekiranya ini berlaku maka punca penyebab mata kering akan diselidiki. Mata kering mungkin disebabkan oleh salur lakrimal tersumbat ataupun kelenjar meibomian yang terletak di garisan kelopak mata atas dan bawah tersumbat yang menyebabkan pengaliran airmata tersekat. Sekiranya ini dibiarkan berterusan, ini mungkin boleh menyebabkan mata hilang kelembapannya dan hilang keserataannya yang boleh mengganggu penglihatan. Bagi diri kanak-kanak itu pula keadaaan ini sangat tidak selesa bagaikan mata berpasir dan mereka akan selalu mengosok mata dan menarik-narik bulu mata bagi merenggangkan kelopak mata dari melekat di kornea. Rawatan bagi mata yang kering mungkin melibatkan pencucian kelopak mata serta bulu mta menggunakan kapas berubat dengan tujuan membersihkan kelopak dan bulu mata serta melembutkan plak yang menyumbat kelenjar meibomian. Air mata gantian tanpa bahan awet juga sesuai digunakan pada kanak-kanak bagi mengantikan air mata yang kurang. Ini sangat penting kerana airmata merupakan agen penghalang mikrob daripada menerobosi kornea.

Mata dikecilkan
Kanak-kanak yang sering mengecilkan mata semasa cuba melihat sesuatu seperti papan tanda atau televisyen mungkin mempunyai masalah rabun. Dengan mengecilkan mata, cahaya yang memasuki mata akan tertumpu pada bukaan kecil mata dan menjadikan imej terang dan tajam. Penglihatan si kecil akan menjadi terang. Sekiranya ini tidak di halang segera maka mata akan secara langsung dikecilkan apabila cuba melihat dan ini boleh menjadi satu kebiasaan. Adakalanya kanak-kanak ini akan meneleng kepala apabila melihat sesuatu objek. Ini juga merupakan satu kelakuan yang menunjukkan kanak-kanak itu mungkin mengalami rabun. Rabun pada kanak-kanak mungkin melibatkan miopia (rabun yang dibetulkan dengan kanta cekung), hiperopia (rabun yang dibetulkan dengan kanta cembung) dan astigmastisma (silau). Dapatkan pemeriksaan komprehensif dari Optometris bertauliah utuk mendapatkan diagnosis tepat tentang masalah penglihatan yang dialami oleh anak anda. Jangan berlengah bagi mendapatkan rawatan ini kerana kerabunan yang berterusan boleh membawa kepada ambliopia (mata malas) yang mana penglihatan mungkin tidak dapat dipulihkan dengan sepenuhnya sekiranya rawatan lambat diberikan.

Mata Juling
Mata yang juling ada ubatnya. Rata-rata ramai ibubapa yang beranggapan mata yang juling itu tiada ubatnya dan dibiarkan begitu sahaja. Sekiranya anak mula dapat mengesan juling pada anak anda, hendaklah anda membawaya berjumpa Optometris atau Ortoptis (pakar juling) untuk memastikan keadaan juling itu. Juling boleh berpunca dari beberapa keadaan. Adakalanya mata yang juling itu adalah mata yang mempunyai kerabunan ataupun mata malas. Dan adakalanya juga juling boleh disebabkan masalah saraf ataupun tumor. Pemeriksaan komprehensif boleh dilakukan oleh Optometris atau Ortoptis bagi memastikan punca berlakunya juling. Rawatan boleh dilakukan dengan menggunakan cermin mata, prisma dan terapi. Sekiranya semua ini gagal, surgeri mungkin boleh dilakukan untuk memulihkan kejulingan. 
Sekiranya anak anda menunjukkan masalah sepertimana yang telah dinyatakan di atas maka adalah sangat penting anda membawa anak anda berjumpa dengan pakar Optometris dengan segera bagi mensahihkan keraguan anda. Tindakan segera anda mungkin dapat menyelamatkan penglihatan dan mata anak anda. Bagi mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenai kaedah rawatan, berbincanglah dengan pakar Optometris anda.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah dan Pakar Optometris
Jabatan Optometri
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, September 10, 2012


Konjunktivitis Alergi

Anak anda kerap mengadu gatal mata dan seringkali dilihat mengosok mata dan hidungnya dengan kuat? Selalu mempunyai mata berair dan merah, bersin berulang-ulang kali serta mempunyai hidung yang berair? Ini mungkin merupakan tanda-tanda anak anda mungkin mengidap konjunktivitis alergi.

Konjunktivitis alergik merupakan masalah yang agak biasa masa kini. Ramai yang mengidapnya tidak kira usia dan jantina. Semakin ramai kanak-kanak mempunyai masalah ini.

Punca berlakunya konjunktivitis alergi ini adalah pelbagai. Antara faktor penyumbang adalah persekitaran (habuk, asap, pollen), makanan tertentu, sensitiviti pada ubat-ubatan  dan cuaca. Kesemua ini boleh menyebabkan kanak-kanak yang alah mengalami mata merah dan gatal.

Bahagian mata yang selalunya terlibat adalah kelopak mata dan konjuktiva. Konjunktiva adalah satu lapisan membran yang menyelaputi keseluruhan mata dan bahagian dalam kelopak mata. Inflamasi yang berlaku pada bahagian konjunktiva mata yang berpunca dari masalah alergi dikenali sebagai konjuntivitis alergi.

Alergi berlaku apabila sistem badan bereaksi menentang sesuatu bahan yang dikenali sebagai bendasing dan mencuba menyingkirkannya dari sistem badan. Oleh itu reaksi alergi adalah sangat penting dan berfungi sebagai salah satu sistem pertahanan badan. Bila alergi pada sesuatu bahan berlaku , badan akan mengeluarkan histamine (satu bahan kimia)  sebagai satu respon terhadap reaksi alergi. Histamin ini yang akan bertanggungjawab menyebabkan mata berair, gatal dan lain lain tanda alergi.

Simptom alergi sangat senang untuk dikenalpasti dan ianya boleh terjadi dari usia sekecil bayi hinggakan orang tua. Walaubagaimanapun kanak-kanak lebih senang mendapat alergi berbanding dengan orang dewasa.
Bahan yang menyebabkan alergi dipanggil sebagai alergen. Alergen paling mudah ditemui dipersekitaran kita. Kanak-kanak mudah mendapat reaksi alergi jika sentiasa terdedah pada persekitaran berhabuk dan berdebu ataupun tangan yang memegang benda kotor dan berbakteria boleh menjadi medium perantaraan seperti rumput, tanah, pasir, bunga-bungaan dan sebagainya. Penyakit sistemik seperti asthma boleh menyebabkan alergi yang agak nyata pada mata dan tandanya jelas apabila pemeriksaan lampu slit biomikroskopi dilakukan di bahagian bawah kelopak mata.

Tanda yang jelas bagi seseoang yang mengalami konjunktivitis alergi adalah kelopak matanya mengalami kemerahan pada bahagian palpebral konjuntiva atas dan bawah. Palpebral konjunktiva bagi seorang yang normal berwarna merah jambu pucat. Kelopak mata bawah dan atas juga boleh menjadi bergerutu atau disebut sebagai papila dimana ianya boleh digredkan mengikut darjah keterukannya. Gred 4 akan menunjukkan papila berada di tahap serius manakala Gred 1 adalah keadaan awal berlakunya papila. Sekiranya ianya dibiarkan dan tidak dirawat, ianya boleh menjadi bertambah teruk dan biasanya pesakit akan berasa tidak selesa yang amat sangat.

Adalah agak biasa bagi pengidap alergi konjuktivitis mengadu bahagian matalah yang paling gatal terutamanya diwaktu malam. Ketika ini mata akan terasa berair, merah dan hangat. Adakalanya ianya diikuti dengan discaj nanah, lendir yang mana boleh menyebabkan kekaburan penglihatan.

Konjunktivitis alergi boleh terjadi secara akut (tiba-tiba dan sementara) ataupun secara kronik (berpanjangan)
Alergik konjunktivitis akut biasanya terjadi mengikut musim. Ianya bersifat  tiba-tiba tetapi sementara. Tetapi ianya boleh menjadi teruk sekiranya tak dirawat. Biasanya ianya datang bersama alergik pada bahagian hidung.

Alergik konjukivitis kronik pula bersifat berpanjangan dan tidak bermusim. Ianya jarang berlaku tetapi darjah keterukkannya adalah lebih tinggi dari jenis akut. Ianya disebabkan oleh alergen yang berpunca dari pendedahan berterusan seperti habuk dan makanan. Bagi jenis ini, inflamasi jarang berlaku namun pesakit tetap berasa gatal dan panas dan juga sensitif pada cahaya.

Cara pengesanan

Optometrist (Pakar penjagaaan mata) atau oftalmologis (Pakar Mata) boleh memeriksa dan membuat diagnosis awal tentang masalah ini berdasarkan pemeriksaan fizikal dan riwayat perubatab keluarga. Juga dari simptom yang diadukan dan tanda yang dilihat pada pesakit. Kebiasaanya pesakit juga mengalami alergi pada bahagian lain badan seperti kulit.

Pesakit boleh dibawa berjumpa pakar alergi untuk mengesan substan yang menyebabkan punca alergik. Ianya boleh dilakukan  dengan menggunakan ujian kulit dan juga ujian darsh.

Cara Rawatan

Kaedah paling baik untuk mengurangkan atau mengurangkan dedahan terhadap alergen. Dengan menjauhi dadah tertentu, ubat-ubatan atau makanan, konjuktivitis alergi dapat dielakkan.

Untuk mata yang sangat gatal, ubatnya adalah dengan melakukan kompresi sejuk iaitu mengguna air sejuk atau ais untuk ditekup dibahagian mata yang gatal. Rasa sejuk dari ais tersebut boleh menjadikan salur darah mengecut kembali. Terdapat sesetengah ubatan atau ubat titis yang boleh melegakan  mata yang gatal buat sementara. Ada ubatan yang mengabungkan  antihistamin (anti-gatal) dan vasokonstriktor (ubat untuk menyempitkan semula salur darah). Adakalanya penggunaan setroid terpaksa diberikan sebagai ubat titis tambahan. Walaubagaimanapun penggunaan steroid berpanjangan boleh meningkatkan risiko katarak dan glaukoma pada sesetengah pesakit.

Penggunaan pembersih mata (seperti lidcare atau teknik lid brushing) mampu melegakan rasa gatal. Ianya selalu digabungkan dengan ubat-ubatan yang lain untuk meningkatkan keselesaan pesakit.

Bagi melegakan mata yang terasa hangat, titisan air mata gantian tanpa pengawet biasanya boleh digunakan untuk melembabkan kembali keadaan okular. Paling penting anda harus memantau anak anda supaya mereka tidak menggosok kelopak mata secara kasar akibat kegatalan. Ini adalah kerana mata yang terlalu banyak kali digosok boleh menyebabkan calar, edema dan luka. Sekiranya ianya berlarutan, anak anda mungkin mempunyai risiko mengidap penyakit keratokonus pada usia 16 tahun. Keratokonus merupakan satu keadaan di mana kornea mempunyai permukaan yang tidak rata dimana bahagian puncaknya mungkin menjadi makin menipis akibat sentiasa digosok. Ianya adalah kerosakan yang nyata pada kornea dan hanya kaedah rawatan kanta sentuh keras sahaja yang dapat menolong ataupun transplan kornea.

Teknik Lid Brushing

(Teknik ini boleh digunapakai untuk bayi, kanak-kanak dan dewasa. Teknik ini juga boleh dijadikan amalan bulanan)

Gunakan putik kapas yang berkualiti dan rendamkan kedalam bancuhan shampoo bayi yang tak memedihkan mata (1 bahagian shampoo ditambah dengan 3 bahagian air). Gosok bulu mata seolah-olah menyikat bulu mata. Tumpukan perhatian pada bahagian akar bulu mata (paling banyak habuk berkumpul). Gosok satu arah. Kemudian oleskan putik kapas itu pada garisan mata atas dan bawah (bahagian yang selalu dipakai celak mata). Ulang untuk beberapa minit. Gunakan putik kapas lain untuk mata yang satu lagi.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Prof Madya dan Pakar Optometris
Program Optometri dan Sains Penglihatan
Fakulti Sains Kesihatan 
Universiti Kebangsaan Malaysia