Pages

Friday, September 7, 2012


Disleksia  dan Gangguan Penglihatan

KES:
Puan Liza risau melihat prestasi pelajaran anaknya. Walaupun telah dimasukkan ke pra sekolah sejak usia anaknya mencecah empat tahun, pencapaian akademik Mia nyata sangat tidak memberangsangkan. Apabila ditanya kepada rakan-rakan sekeliling ramai yang beranggapan ia adalah senario normal. Namun Puan Liza tetap risau dan beranggapan anaknya benar-benar bermasalah.

Merujuk kepada masalah yang dihadapi oleh Puan Liza itu, anaknya berhadapan dengan masalah gangguan belajar. Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), salah seorang daripada lima orang kanak-kanak berisiko berhadapan dengan masalah gangguan belajar atau dalam istilah Inggerisnya disebut ‘Learning Disability.’ Masalah ini perlu dikenal pasti sejak dari awal dan mendapat rawatan daripada pakar. Perkembangan Anak 5 hingga 6 tahun kali ini, ada kupasan menarik berhubung masalah gangguan belajar di kalangan kanak-kanak. Mungkinkah anak anda juga berisiko?

Masalah gangguan belajar mempunyai maksud yang sangat luas. Walau bagaimanapun, menurut pakar Pusat Kurang Upaya Pembelajaran Kebangsaan masalah gangguan belajar yang sebenar bermaksud wujudnya masalah yang mengganggu keupayaan seseorang untuk menyimpan, memproses atau menyampaikan sesuatu maklumat. Masalah ini akan mewujudkan jurang antara keupayaan dan prestasi seseorang.

Kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah gangguan belajar ini mungkin mengalami masalah pertuturan, bahasa, bacaan atau matematik. Dalam banyak kes, punca gangguan pembelajaran ini masih tidak diketahui. Pakar percaya bahawa kesukaran pembelajaran yang mencetuskan masalah hilang upaya untuk belajar ini terjadi disebabkan cara kanak-kanak tersebut mengambil sesuatu maklumat menerusi penglihatan dan pendengaran yang baik. Namun, hasil daripada cara otak memproses maklumat tersebut adalah salah. Dalam satu ujian imbasan yang dilakukan mendapati, wujudnya perbezaan dalam otak kanak-kanak yang mempunyai kesukaran pembelajaran dengan yang normal. Antara punca terjadinya scenario begini adalah DISLEKSIA.
Pernahkah anak anda mengadu sakit mata, sakit kepala apabila cuba membaca? Ataupun adakah pernah anak anda mengadu tulisan dalam buku menjadi herot, hilang atau menari-nari sehinggakan hilang tumpuan untuk belajar? Atau pernahkah anda merasa pelik sekiranya ada kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 4 tahun  tidak gemar langsung mewarna atau melukis atas kertas serta tidak menunjukkan minat langsung pada huruf dan abjad pada ‘flash card’. Sekiranya perlakuan ini berterusan sehingga ke peringkat awal persekolahan, anak anda mungkin ada masalah disleksia. 

Disleksia pada kanak-kanak pada umumnya hanya mempunyai kesukaran membaca, mengeja dan menulis tetapi tidak mempunyai masalah dari segi kepintaran dan kebolehan melakukan sesuatu kerja. Kanak-kanak ini hanya mempunyai kesukaran dalam pembelajaran yang spesifik atau kurang menunjukkan performan dalam bidang akademik tertentu , tetapi masih menunjukkan keupayaan dalam  bidang lain dan dilihat sebagai kanak-kanak normal dan bijak.
Sekiranya anak anda yang sedang bersekolah pernah mengadu masalah ini dan juga didapati mundur dalam pelajaran, anda perlu mengambil serius masalah ini. Ramai juga ibubapa yang akan mengambil jalan pintas dan menganggap anak mereka hanya malas, nakal, mahukan perhatian atau  terlalu aktif dan bahawa keadaan ini akan berubah apabila anak mereka meningkat dewasa kelak. Tidak kurang juga ada ibubapa yang akan menggunakan khidmat kelas tambahan atau tuition ataupun tutor khas untuk mengajar anak mereka walaupun di usia yang sangat muda.

Gangguan pembelajaran merupakan salah satu cabang dari masalah disleksia. Ianya semakin ketara dikalangan kanak-kanak. Penyebab masalah ini adalah terdiri dari pelbagai faktor seperti pengaruh genetik, kelainan pada struktur dan fungsi otak dan lain–lain faktor penyebab yang tidak diketahui. Cara bantuan yang paling penting ialah menerusi kaedah pengesanan awal oleh ibubapa dan guru-guru.

75% dari kebolehan mempelajari sesuatu biasanya dicapai melalui rangsangan deria penglihatan. Rangsangan deria penglihatan ini penting untuk membantu kita mengenal, mengingati huruf, mengubahnya kepada bunyian fonik dan mencantumkan huruf menjadi satu perkataan yang bemakna. Kanak-kanak yang kurang upaya mengenal, menghafal dan membezaan huruf tidak semestinya mempunyai masalah penglihatan atau memerlukan  kelas tution khas tetapi mereka mungkin mengalami gangguan pembelajaran. Gangguan pembelajaran pada kanak-kanak disleksia secara tidak langsung menghalang kanak-kanak ini daripada maju dalam bidang akademik.

Dalam mengenalpasti masalah gangguan penglihatan ini, aspek aspek seperti  penggunaan deria lain, keseimbangan, koordinasi dan perilaku spasial adalah berkait rapat. Selalunya ianya aspek-aspek ini akan terganggu pada kanak-kanak disleksia. Adakalanya juga ianya membabitkan ketidakmatangan organisasi pergerakan, bahasa, persepsi, pemikiran dan persekitaran.

Sekiranya kanak-kanak ini dibiarkan sebegitu saja, lama-kelamaan mereka akan mula menyisihkan diri terutamanya apabila sudah mula bersekolah dan mendapati diri tidak dapat mengenal huruf dan membaca. Kanak-kanak in juga akan cuba elak dari perlu membaca buku atau menulis. Sekiranya ini berlarutan kanak-kanak ini akhirnya akan mula mempunyai keyakinan diri yang rendah dan rasa malu pada diri sendiri. Keadaan akan bertambah buruk apabila kawan-kawan sekeliling menganggap dirinya tidak cerdik, nakal dan malas. Tidak hairan mereka ini akan menamatkan pelajaran sekolah rendah dalam keadaan buta huruf.

Oleh sebab masalah disleksia adalah rumit dan  mempunyai pelbagai faktor penyebab, ianya perlu di kesan dan di bantu. Keadaan kanak-kanak disleksia ini perlu dikesan seawal mungkin agar mereka tidak tercicir jauh kebelakang dalam pelajaran. Mamandangkan kajian juga menunjukkan kanak-kanak berumur 6-7 tahun mempunyai prognosis yang lebih baik untuk dirawat masalah pembelajarannya berbanding dengan mereka yang sudah meningkat remaja.

Cara pengesanan adalah melalui simptom dan perlakuan yang ketara dilihat pada kelakuan kanak-kanak.

Simptom dan perlakuan kanak-kanak Disleksia
Biasanya kanak-kanak disleksia selalu mengadu atau didapati:

1.     Mempunyai tulisan buruk dan tidak dapat menulis pada satu garisan
        lurus
2.     Membaca dengan perlahan
3.     Lupa huruf walaupun baru menghafal
4.     Meneka huruf atau keliru dengan abjad b,d,p
5.     Mengulang perkataan yang sama apabila membaca
6.     Tidak dapat menumpukan perhatian
7.     Huruf–huruf bergerak atau menjadi kabur dan terang bersilih ganti
8.     Ada seperti aliran sungai antara ayat ayat atau huruf
9.     Ayat yang cuba dibaca terjatuh dari buku
10.    Huruf atau ayat menari-nari atas buku lalu hilang
11.    Apabila membaca akan melangkau seperenggan atau dua
12.    Membaca angka terbalik seperti 51 dibaca sebagai 15
13.    Cepat penat dan bosan apabila membaca
14.    Bahan bacaan yang dibaca adalah terlalu terang atau ada gangguan
        silau
Cara rawatan

Sehingga kini tiada bukti saintifik dapat dikatakan boleh membantu kanka-kanak disleksia dari gangguan pembelajaran ini. Walaubagaimanapun ada sesetengah pihak telah cuba membuktikan kejayaan individu menerusi kaedah terapi penglihatan ataupun penggunaan kanta bewarna dalam menangani masalah yang kompleks ini.

Sekiranya anda mensyaki anak anda mungkin ada masalah sedemikian, satu pemeriksaan penuh Optometri perlu dijalankan terlebih dahulu. Antara ujian yang perlu dilakukan adalah ujian refraksi mata, ujian foria dan strabismus, ujian fungsi binokular dan ujian otot ekstraokular. Sekiranya kesemua ujian ini tidak menampakkan sebarang masalah mata yang signifikan kemungkinan masalah pembelajaran yang dihadapi lebih berkait rapat dengan masalah disleksia.

Rawatan untuk kanak-kanak disleksia yang disediakan adalah seperti latihan otot mata, latihan ’tracking’ dan adakalanya dibantu dengan kanta bifokal atau prisma, penggunaan kanta berwarna atau penapis berwarna.

Kanta khas untuk membaca diberikan untuk mengurangkan atau melenyapkan stres konvergen ketika mata sedang menumpu untuk membaca sesuatu.  Ketidakupayaan mengekalkan konvergen ini akan menyebabkan hilang tumpuan seketika. Keadaan ini boleh berlaku berulang-ulang kali dalam tempoh seminit dan boleh menyebabkan baris ayat yang sedang dibaca melangkau ke baris yang lain.

Sekiranya berlaku gangguan juling atau tropia secara tiba-tiba ketika membaca, prisma yang bersesuaian boleh dipreskripsikan.

Adakalanya kanak-kanak disleksia boleh membaca dengan lebih mudah dengan menggunakan alat penapis berwarna. Walau bagaimanapun tidak semua kanak-kanak ini akan respon pada warna yang sama. Sekiranya kaedah ini didapati efektif, kanta bewarna boleh disediakan dalam bentuk cermin mata yang digunakan khas hanya ketika membaca.

Perlu diingatkan bahawa kaedah rawatan in tidak semestinya berjaya keatas semua kanak-kanak disleksia. Respon dari kanak-kanak ini adalah sangat subjektif, ada yang mungkin hanya dapat memanafaatkan kaedah ini secara minima atau memerlukan modifikasi kaedah dan tambahan alat bantuan lain.

Masalah disleksia akan hadir sepanjang hayat. Jangan fikirkan ianya akan lenyap dengan usia yang meningkat. Oleh itu rawatan yag sesuai perlu diikhtiarkan. Jangan beputus asa menangani masalah gangguan pembelajaran yang sangat kompleks ini.

Rekomendasi

  1. Semua kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan mata oleh Optometris.
  2. Sekiranya lulus pemeriksaan mata tetapi terdapat simptom dan tanda seperti yang dinyatakan di atas, bawalah anak anak berjumpa dengan pakar pediatrik atau pusat disleksia atau lain-lain praktis khas yang ada menyediakan evaluasi diagnostik masalah pembelajaran.
  3. Rawatan seperti yang dinyatakan mungkin hanya dapat membantu sesetengah kes sahaja.
  4. Sekiranya gangguan disleksia ini pada tahap maksima rujuklah terus dengan Persatuan Dyslexia Malaysia, Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
TUGAS, PERANAN DAN PERHATIAN IBU BAPA SERTA GURU ADALAH SALAH SATU CARA YANG DAPAT MENYUMBANG KE ARAH PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN ANAK-ANAK. JADI, BERILAH SEDIKIT PENGETAHUAN PaDA MINDA ANDA DAN PERHATIAN UNTUK ANAK ANDA.

SALAM HORMAT

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Jabatan Optometri, FSKB
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 KUALA LUMPUR

33 comments:

  1. Assalamualaikum Dr.,
    Terima kasih Dr. di atas perkongsian di atas.
    Saya mempunyai seorang anak yang berumur 8 tahun dan masih belum boleh membaca. Saya dapati anak saya masih tidak menenal huruf dan kadang kala menulis huruf terbalik, serta tidak ingat huruf yang baru diajar walau pun sudah menyebutnya berulang kali, Dia sering bertanya "Hari ini hari apa ibu." Saya tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah anak saya ini kerana saya pernah cuba untuk membawanya ke klinik kerajaan untuk pemerisaan tetapi terlalu banyak perkara yang perlu diikuti, mereka mahukan rujukan dari sekolah, mereka hanya bawa murid tahun 3 sahaja untuk pemeriksaan. Sudah hampir 2 tahun saya tunggu. Dari dia prasekolah hingga sekarang. Jawapan dari cikgu sekolah, kami tunggu arahan kementerian, kerana ianya perlukan laporan guru dan surat dari sekolah untuk membuat pemerisaan. Bagaimanakah cara dan di manakah tempat yang perlu saya rujuk. Terima kasih Dr. kerana membantu saya,
    Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete
  2. SALAMULLAH

    Pertamanya..harus dahulu diperiksa status penglihatan. Kemudiannya Puan boleh mendapatkan kaunseling dari pakar psikologi yang mempunyai bahan uji untuk diagnosis Dyslexia. Perkhidmatan ini boleh didapati di UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz, KL di Program Psikologi Klinikal. Hanya satu temujanji perlu dibuat bagi mendapatkan rawatan ini. Harap penjelasan ini dapat membantu.

    ReplyDelete
  3. salam Dr Haliza,
    saya ingin bertanya, pada pendapat dr, kenapa agaknya murid-murid yg bersimptom disleksia apabila menggunakan komputer, mereka akan memberi reaksi tidak suka jika warna merah terang, pink dan hijau digunakan sebagai background colour atau sebagai text colour. Harap dpt membantu
    Tkasih
    Rozita

    ReplyDelete
  4. SALAMULLAH
    Kanak Kanak dyslexia tidak mengemari warna garang seperti merah kerana warna warna seperti ini menguja sensori dan mengaktifkan stimulasi menyebabkan mereka sukar untuk membaca text. Text akan kelihatan terlompat lompat atau menari nari diatas kertas atau paparan media.Manakala warna lembut tidak menguja dan mengaktifkan sensori

    ReplyDelete
  5. Perkara yg sy lakukan sblum ini....
    1.bawa anak ke klinik dan dapatkn surat pengesahan.
    2.buat temujanji dgn HKL.
    3.Hari temujanji terima rawatan dan dapatkn surat pengesahan dari pihak HKL anak hadapi Dyslexia.
    4.surat pengesahan dari pihak hospital di rujuk ke pusat Dyslexia cawangan Titiwangsa untuk dapatkan tempat anak menerima rawatan dan persekolahan.
    5.proses di atas sy mengambil masa hampir 2 bulan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya nak tanya,sy ada g hsptl ampang n bila doc tanya pd sy mcm2 soalan,doc ckp mgkn anak sy adalah kanak austime..doc srh sy pergi ke pusat tersebut utk lakukan ujian..dlm pd itu sy diberi temujanji utk trapy,speech,prtuturan..adakah hkl pon mcm itu..tq

      Delete
  6. Salam Dr Haliza,

    Anak perempuan sy yg berumur 6thn mempunyai masalah dalam pembelajarn dan ada ciri-ciri disleksia yg DR sebutkan dlm entry. sy sudah membawa anak ke hospital dan sudah jalani ujian mata & telinga dan tiada masalah. sy juga telah berjumpa child phsyciatric, dan setelah menjawab ebberapa soalan, Doktor memberi sy surat tuk mendaftarkan anak sy sbg OKU kerana learning disabilities. sy dah buat rujukan tentang learning disabilities dan ia ada beberapa kategori, termasuk autism, disleksia, lembam & ADHD. bagaimana sy mahu tentukan ank perempuan sy dlm kategori mana tuk rawatan selanjutnya. bantu sy Dr. TQ

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Bagi mendapatkan diagnosis atau klasifikasi sebenar harus jumpa ahli psikologi yang akan melakukan beberapa ujian bagi penentuan jenis masalah
      Puan boleh terus membuat temujanji dengan pakar psikologi di Fakulti Sains Kesihatan, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 KL

      Delete
  7. Assalamualaikum doktor, saya berusia 19tahun. Dari kecil saya ada masalah seperti msalah mengira, mengingati perkara yg baru saya pelajari, lambat, dsbgnya. Bila sya membaca rasa kabur dan gelap ayat tersebut wlaupun sya dh pakai cermin mata sbb sya rabun jauh tp jd sakit mata dn kepala. Masa kecil, sya tkde masalah utk membezakan ayat dn menulis abjad. Sya buat research mengenai disleksia, dn hmpir 98% simptom tersebut saya ada. Kecuali membezakan huruf. Adakah remaja seusia saya menghidapi penyakit ini? Apa yg saya perlu lakukan? Sbb parents sya xtau masalah yg sya hadapi terutamnya pembelajaran. Harap doktor dpt mbantu sya.

    ReplyDelete
  8. SALAMULLAH

    Sekiranya anda syak anda adalah seorang disleksia anda perlu di diagnos oleh pakar di pusat rawatan atau hospital. Selepas dikesan sekiranya betul ada masalah sedemikian, banyak bantuan boleh didapati dari agensi agensi dan support group untuk Disleksia. Cuba berjumpa doktor pakar dahulu untuk confirm masalah ini dahulu.

    ReplyDelete
  9. AS SALAM.. SAYA ADA SEORANG ANAK LELAKI BERUSIA 19TAHUN. DARI SEKOLAH RENDAH HINGGA MENENGAH ANAK SAYA MEMG ADA MENUNJUKKAN SIMPTOM2 SPT DISLEKSIA, TETAPI SAYA TIDAK PERNAH PERGI MEMBUAT APA2 TEST UNTUK MENGESAHKAN NYA. MASALAH NYA SEKARANG APABILA DIA TELAH MENINGKAT REMAJA KADANG KALA DIA MASIH LAGI TIDAK DAPAT MEMGIKUTI ARAHAN YG DIBERI. SAYA RISAU UNTUK MASA DEPAN NYA YANG AKAN DATANG JIKA SAYA TIDAK MEMBUAT APA2 TINDAKAN YG PATUT UNTUK MEMBANTU ANAK SAYA..APA YANG PATUT SAYA LAKUKAN. HARAP DOKTOR DAPAT MEMBANTU SAYA. TERIMA KASIH.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Anak perlu didiagnos ada masalah autisme sebelum boleh ditempatkan di sekolah khas. Terdapat pusat pusat yang boleh periksa dan diagnos autisme. Harap dapat merujuk anak dengan segera.

      Delete
  10. AS SALAM. SAYA INGIN MEMBANTU ANAK REMAJA SAYA KERANA KEMUNGKINAN ANAK SAYA ADA MENUNJUKKAN SIMPTOM DISKELSIA, HARUS KAH SAYA PERGI BERJUMPA DOKTOR PAKAR DI PUSAT RAWATAN . SAYA ADA CUBA MENGHUBUNGI PERSATUAN DISLEXSIA TITIWANGSA DAN MEREKA MEMBUAT TEMUJANJI DGN SAYA DAN MEMINTA SAYA MEMBAYAR RM250 UNTUK MEMBUAT TEST KEPADA ANAK SAYA. YANG MANA SATU YANG PERLU SAYA IKUT, ADAKAH KEDUA2 PROCEDUR SAMA. HARAP DOKTOR DAPAT MEMBANTU. TQ

    ReplyDelete
  11. SALAMULLAH

    Sepatutnya prosedur untuk diagnos Dyslexia adalah sama di mana mana. Puan cuba hubungi hospital terdekat untuk bertanya kiranya mereka ada kepakaran untuk dignos dyslexia.

    ReplyDelete
  12. Assalam Prof,
    Anak saya kini berumur 10 tahun, saya dapat kesan symptoms dyslexia sejak umurnya 8 tahun. Saya hubungi pihak hospital untuk refer dia ke sana. Pihak hospital perlukan surat dari pihak sekolah. Saya hubungi guru kelasnya menyatakan masalah ini dan minta surat dari pihak sekolah. Malangnya cikgu menyatakan anak saya tidak ada masalah pembelajaran. Saya yang selalu mengajar anak saya semakin lama semakin ketara sympthoms dylexia dia dan pelajarannya kini semakin merosot. Bolehkah saya terus ke hospital tanpa surat dari pihak sekolah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Boleh buat temujanji di Klinik Psikologi Kesihatan di UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz KL (hadapan Chow Kit) bagi mendapatkan diagnosis Dyslexia. Hubungi Tel 03-26878168 (pej) /03-26878198 (klinik)

      Delete
  13. Assalam Prof,
    Anak saya kini berumur 10 tahun, saya dapat kesan symptoms dyslexia sejak umurnya 8 tahun. Saya hubungi pihak hospital untuk refer dia ke sana. Pihak hospital perlukan surat dari pihak sekolah. Saya hubungi guru kelasnya menyatakan masalah ini dan minta surat dari pihak sekolah. Malangnya cikgu menyatakan anak saya tidak ada masalah pembelajaran. Saya yang selalu mengajar anak saya semakin lama semakin ketara sympthoms dylexia dia dan pelajarannya kini semakin merosot. Bolehkah saya terus ke hospital tanpa surat dari pihak sekolah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Boleh buat temujanji di Klinik Psikologi Kesihatan di UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz KL (hadapan Chow Kit) bagi mendapatkan diagnosis Dyslexia. Hubungi Tel 03-26878168 (pej) /03-26878198 (klinik)

      Delete
  14. Assalamualaikum Prof saya pelajar ipta. Saya sedang menjalankan kajian berkaitan dengan disleksia. Kalau Prof tidak keberatan, boleh kah saya dapatkan email Prof? sebab saya ada soalan yang perlu tanyakan. Terima kasih atas kerjasama Prof.

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum Prof,

    Utk kanak2 boleh cek mata dgn mana2 optometris kah, utk uji otot2 mata yg prof bagitahu di atas tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Ya Optometris sepatutnya boleh melakukan pemeriksaan tersebut. Boleh cuba kedai optometris/cermin mata selain di hospital

      Delete
  16. Assalamualaikum dr..

    Anak saya da umur 7tahun.sya dapati dia mempunyai ciri2 disleksia.
    Sya bingung dan risau kerana sya tidak tahu harus rujuk di mana dan kemana..serta apa langkah pertama yang harus saya lakukan.dia sering mengadu sakit kepala.bila menulis dia akan cepat rasa penat.penat lihat buku sekolah dia..mesti ada huruf yang tertinggal.sya tinggal kat sandakan sabah.harap doktor boleh kongsi maklumat..di mana dan kemana tempat boleh saya buat susulan lanjut mengenai keadaan anak saya.apakah anak saya disleksia atau tidak.mohon pendapatnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Puan boleh ke hospital kerajaan terdekat. Mereka boleh melakukan pemeriksaan dan sekiranya ada keperluan mereka boleh merujuk ke hospital yang lebih besar.

      Delete
  17. Salam doktor. Bolehkah sy mendapatkan rawatan psikologi utk anak sy usia 2 tahun. T.kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Hospital kerajaan ada menyediakan klinik psikologi. Sekiranya hospital berkenann tiada pakar untuk anak anak mereka akan rujuk ke hospital lain. Bawa dulu ke hospital berhampiran. Boleh buat temujanji untuk anak.

      Delete
  18. Salam doktor. Bolehkah sy mendapatkan rawatan psikologi utk anak sy usia 2 tahun. T.kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. SALAMULLAH

      Boleh bertanya pada Klinik Psikologi Kesihatan di UKM Jalan Raja Muda Abdul Aziz KL (Bangunan Yayasan Selangor) bagi mendapatkan rawatan Psikologi. Hubungi Tel 03-26878168 (pej) /03-26878198 (klinik)

      Delete
  19. Assalamualaikum Dr.. boleh tak saya menemui ramah Dr untuk tugasan assignment saya ..harap Dr pertimbangkan. Terima kasih Dr .

    ReplyDelete