FAHAMI
MIOPIA
Kerapkali jika kita ke praktis
optikal atau kedai cermin mata untuk menjalani pemeriksaan mata ataupun ujian
penglihatan, adakah anda pernah bertanya ataupun diberi penerangan tentang jenis
rabun yang anda alami? Seorang Optometris sepatutnya dapat menerangkan pada
anda jenis rabun yang anda miliki dan akan menasihati anda jenis kanta dan
bingkai yang sesuai untuk dipakai untuk merawat masalah rabun anda. Adakalanya
alternatif yang lebih baik seperti memakai kanta sentuh mungkin akan dicadangkan.
Tidak semua orang yang mengalami
masalah refraktif mata mempunyai rabun jenis miopia ataupun bermaksud rabun jauh.
Miopia hanya boleh dibetulkan dengan pemakaian kanta cekung. Kanta cekung
adalah kanta yang mempunyai bahagian tengahnya nipis berbanding dengan bahagian
hujung kanta. Sekiranya kuasa kanta cekung adalah tinggi, maka mata yang
memakai kanta ini akan kelihatan lebih kecil dari saiz biasa. Masalah utama
bagi mereka yang mempunyai miopia yang tidak dibetulkan adalah kekaburan pada
jarak jauh. Jarang sekali ianya datang bersama simptom pening. Secara optikal
boleh diterangkan bahawa cahaya yang memasuki mata miopik akan tertumpu di
bahagian hadapan retina disebabkan bebola mata (panjang axial) mata yang panjang.
Oleh itu kanta cekung diperlukan untuk membawa imej yang dihadapan mata itu
untuk diletakkan di atas retina mata untuk mendapatkan satu imej yang jelas (Sila
lihat gambarajah 1).
Bagi kanak-kanak miopia
kebiasaannya mereka tidak akan mengadu kekaburan. Ini adalah disebabkan
kanak-kanak ini telah beradaptasi dengan kekaburan itu dari awal usia dan tidak
mempunyai pengalaman atau idea dengan apa yang dimaksudkan dengan pandangan
yang jelas. Apabila kanak-kanak ini sudah melangkah ke alam persekolahan,
tanda-tanda miopia akan menjadi lebih ketara. Kanak-kanak miopia akan mula
mengadu tidak dapat melihat papan hitam dengan baik jika duduk di barisan
belakang kelas, ataupun guru dan ibubapa mula mendapati kerja penyalinan dari
papan hitam tidak dapat dihabiskan. Guru juga mungkin akan terperasan yang
kanak-kanak miopia ini suka mengecilkan mata ketika cuba membaca sesuatu yang
jauh atau memegang buku terlalu dekat dengan mata.
Sebagai ibubapa kita patut cuba
memerhatikan anak kita ketika mereka menonton televisyen. Adakah mereka duduk
terlalu hampir untuk menonton televisyen ataupun mengecilkan mata ketika
menonton . Ada juga kanak-kanak miopik ini akan meneleng kepala pada satu
posisi tertentu ketika cuba membaca ataupun menonton. Sekiranya anak anda
berkelakuan sedemikian, mereka mungkin mempunyai masalah rabun. Anda juga boleh
cuba untuk menekup sebelah mata anak anda dan menyuruhnya membaca satu tulisan
pada jarak 6 meter (seperti papan tanda) dan membandingkannya dengan mata yang
satu lagi.
Walaubagaimanapun, adakalanya
tanda-tanda miopia ini tidak dapat dilihat pada sesetengah kanak-kanak. Ibubapa
sering melaporkan bahawa anak tidak mengadu kekaburan ataupun anaknya selalu
menyiapkan kerja-kerja sekolah dengan baik dan merupakan pelajar cemerlang di
sekolah. Tetapi sekiranya ditanya dengan lebih mendalam, mungkin kanak-kanak
yang mempunyai masalah penglihatan ini akan mengakui yang kerja-kerja sekolah
disalin dari kawan yang duduk disebelahnya dan bukannya terus dari papan hitam
ataupun kanak-kanak itu sendiri mengambil inisiatif untuk ke hadapan apabila
hendak menyalin sesuatu dari papan hitam. Ini kebiasaannya berlaku pada
kanak-kanak perempuan.
Masalah miopia akan berterusan
sekiranya tanda-tanda ini tidak diperhatikan dari awal. Sebarang kerabunan yang
tidak dibetulkan akan menyebabkan ralat refraksi semakin meningkat berikutan
dengan lebih banyak penggunaan mata seperti membaca, bermain dengan mainan yang
kecil, menonton televisyen, bermain komputer dan juga bermain permainan
elektronik.
Sekiranya ianya berterusan tanpa
disedari, mata yang rabun akan mula mengalami ambliopia (mata malas). Ambliopia
adalah satu keadaan di mana rabun yang telah dibetulkan dengan sepenuhnya tidak
dapat mencapai tahap penglihatan yang sepatutnya (VA 6/6). Ianya boleh berlaku
pada satu mata ataupun kedua-dua belah mata. Perlu diingatkan adakalanya
ambliopia ini juga boleh berlaku sekiranya ralat refraksi yang tidak betul
diberikan untuk tempoh yang lama. Oleh itu adalah penting membawa anak anda
untuk pemeriksaan mata yang dijalankan oleh Optometris sahaja.
Tidak kurang juga ibubapa yang tidak dapat menerima hakikat yang
anak-anaknya memerlukan pemakaian cermin mata. Pada pendapat mereka, tidak
mungkin anak mereka mempunyai rabun kerana ibubapa sendiri tidak pernah memakai
cermin mata. Bagi mereka hanya ibubapa yang bercermin mata sahaja yang akan
mempunyai anak yang menghadapi risiko untuk rabun. Pendapat ini adalah tidak
benar. Terdapat banyak kajian yang telah dan sedang dijalankan
di Malaysia yang menunjukkan rabun jenis miopia bukanlah berpunca hanya dari
genetik tetapi ianya juga berpunca dari faktor persekitaran seperti
pembelajaran, penggunaan komputer dan sebagainya. Rata-rata anak-anak di kota
mempunyai risiko rabun yang lebih tinggi dari anak-anak di kampung memandangkan
tempoh pembelajaran adalah lebih lama seperti menghadiri sekolah kebangsaan,
sekolah agama, tuition dan kelas-kelas tambahan yang lain. Rata-rata
kanak-kanak di bandar lebih banyak menghabiskan masa lapang dengan menonton
televisyen, bermain komputer dan game. Manakala kanak-kanak di kampung lebih
banyak menghabiskan masa di luar rumah seperti bermain bola, gasing dan
sebagainya. Aktiviti yang memerlukan penggunaan mata yang lebih seperti
melakukan kerja dekat akan menyebabkan daya akomodasi mata bertambah. Faktor
ini disebut sebagai salah satu penyebab peningkatan miopia.
Kawalan Miopia
Satu soalan yang sering ditanya
oleh ibubapa adalah bagaimana hendak membenteras miopia? Sehingga ke hari ini,
miopia tidak dapat dihalang. Apa yang dapat dilakukan adalan mengesan hadirnya
miopia dari awal lagi (sebaik-baiknya sebelum masuk ke alam persekolahan).
Miopia dapat dikawal sekiranya kanak-kanak diberi preskripsi yang betul dan
mereka perlu memakai pembetulan tersebut (cermin mata atau kanta sentuh)
sepanjang masa. Kanak-kanak juga perlu berjumpa Optometris setiap 6 bulan untuk
mendapatkan preskripsi baru (jika perlu). Jangan tunggu sehingga cermin mata
patah untuk diganti. Memakai cermin mata yang mempunyai kuasa yang lebih rendah
dari sepatutnya akan meningkatkan progresi miopia dengan lebih cepat.
Anda dapat membantu anak anda
untuk mendapatkan suasana yang lebih kondusif untuk pembelajaran dengan
menyediakan pencahayaan yang yang secukupnya untuk belajar, membaca buku dengan
posisi yang betul (berbaring atau meniarap tidak digalakkan kerana jarak bahan
bacaan dengan mata akan menjadi terlalu dekat) dan digalakkan berehat seketika
dengan melihat satu objek jauh setelah setengah jam membaca atau menggunakan
komputer. Bagi kanak-kanak kecil yang bercermin mata, penting untuk kita
memberi motivasi dan menggalakkannya memakai cermin mata dan juga mengajak
orang-orang disekelilingnya (di sekolah dan saudara mara) supaya tidak mengejek penampilannya bercermin mata. Mereka
patut diberitahu bahawa pemakaian cermin mata tidak akan menganggu aktiviti lasak
seperti berlari, melompat atau bermain bola. Paling penting sekali ialah ibubapa
tidak sepatutnya melengah-lengahkan pemakaian cermin mata pada
kanak-kanak. Jangan tunggu sehingga setahun dua untuk mula memberi
kanak-kanak memakai cermin mata. Cermin mata bukan satu kecacatan pada fizikal
kanak-kanak. Membiarkan kanak-kanak rabun
tanpa pembetulan akan menganggu proses tumbesaran dan pembelajaran
mereka dan boleh mencetuskan gangguan emosi yang berkekalan.
Dr Haliza Abdul
Mutalib
Pakar
Optometris & Prof Madya
Jabatan
Optometri, FSKB
Universiti
Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda
Abdul Aziz
50300 KUALA
LUMPUR
Assalamualaikum Dr Haliza,
ReplyDeleteSaya ingin mendapatkan rawatan kanta sentuh bagi anak saya yg berumur 4 thn.Dia didignose mengalami high myopia pada mata sebelah kiri.Boleh saya dapatkan maklumat waktu rawatan & lokasi Pusat Rawatan Dr? Disertakan emel saya iaitu khadijjah[at]gmail[dot]com . Utk makluman Dr anak saya mengalami Incontinentia Pigmenti sejak lahir & pemeriksaan mata dilakukan secara berkala dgn Ophthalmologist di KPJ Damansara.terima kasih.
WKSLM Pn Khadijah
ReplyDeleteBoleh hubungi saya di klinik Optometri UKM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, 50300 KL 03-92897499 monon temujanji dgn Klinik kanta Sentuh Dr Haliza
Pn, mata anak perlu diperiksa dahulu untuk melihat pada kesesuaian untuk mendapatkan rawatan dgn kanta sentuh. Kita akan berbincang tentang rawatan atau alternatif terbaik untuk anak Puan. Sila dapatkan surat rujukkan dari Dmsr Specialist Centre atau doktor yang merawat mata anak puan. Kita akan usahakan yang terbaik .
Salamullah
Dr Haliza
Terima kasih Dr. InsyaAllah saya akan menghubungi klinik Dr bagi membuat temujanji.
ReplyDeletesalam sy hanafi.anak sy mempunyai masalah mate ketika menonton tv dier berkedep serta mulut tersengeh..tetapi ketika tidak tengok tv die normal.dier berkedep macam saket dr cahaya tu.ank umur 3thn.mcm mn nk jumpa doc n ape mslh ank sy.
ReplyDeleteSALAMULLAH
DeleteWalaupun anak masih kecil, pemantauan awal perlu dilakukan kerana persekitaran yang kondusif adakalanya boleh menyebabkan kerabunan atau silau berlaku lebih awal dari zaman dahulu,
Boleh menghubungi D'OPTOMETRIST, Cheras, KL untuk temujanji 0391744024
Assalamualaikum Dr
ReplyDeleteAnak lelaki saya berusia 9 tahun seringkali mengalami mata berair dan bertahi mata. Kerap mengalami mata melekat di waktu pagi apabila bangun tidur. Warna mata putih kini kekuningan seperti kena jaundice. Dia juga kerap mengadu mengalami mata yang kering
Mohon pencerahan dari Dr dan waktu temu janji. Terima kasih
SALAMULLAH
DeleteKemungkinan besar anak anda mempunyai maslah chronic allery conjunctivitis. Dia memerlukan rawatan antihistamin segera. Sila bawa berjumpa doktor.