Pages

Saturday, September 1, 2012

SALAM BAHAGIA DAN SALAM HORMAT. BERSUA LAGI KITA DALAM RUANGAN INI. MOGA APA YANG BAKAL SAYA PERSEMBAHKAN DAPAT DITERIMA SEBAGAI INPUT BERGUNA UNTUK DIRI ANDA , KELUARGA SERTA MASYARAKAT AMNYA. SELAMAT HARI RAYA DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA..
KERATOKONUS

Ramai ibu bapa yang menganggap kerabunan mata adalah perkara kecil dan boleh diselesaikan dengan hanya memakai sepasang cermin mata. Mereka menganggap kekaburan penglihatan adalah perkara biasa yang disebabkan faktor genetik atau persekitaran dan merasa berat untuk berjumpa pakar mata, melainkan mata benar-benar berasa sakit dan merah.

Rata-rata antara kita lebih cenderung untuk ke kedai cermin mata apabila mengalami masalah penglihatan kabur. Mungkin untuk sesetengah kanak-kanak, ibu bapa mula berasa hairan apabila mendapati cermin mata itu hanya boleh bertahan selama beberapa bulan sahaja selepas dibuat. Anak anda mungkin perlu menukar cermin matanya beberapa kali dalam masa setahun dan masih juga mengadu penglihatannya kabur dan pandangannya tidak selesa.
Sekiranya masalah kekaburan ini berterusan, maka hendaklah anda membawa anak anda ke pakar Optometris atau pakar mata bagi pemeriksaan lanjutan keadaan kesihatan okular. Dalam situasi ini, mendapatkan khidmat juruoptik di kedai cermin mata adalah tidak digalakkan sama sekali kerana ia mungkin tidak dapat membantu dalam diagnosis Keratokonus. Sebaliknya, anda perlu membawa anak anda segera berjumpa pakar optometris (perkhidmatan ini boleh didapati di praktis Optometris terpilih). Kemungkinan besar anak anda mempunyai masalah pada bahagian kornea mata. Keadaaan ini tidak boleh dikesan dengan ujian penglihatan biasa yang dijalankan oleh juruoptik. Kes ini memerlukan pemeriksaan lanjutan yang lebih terperinci sebelum keadaan ini boleh di kenal pasti.

Salah satu simptom yang nyata bagi keadaan Keratokonus ialah penglihatan (sebelah atau kedua-dua mata) tetap kabur dan semakin teruk walaupun telah menukar preskripsi cermin mata beberapa kali.

Keratokonus merupakan satu keadaan di mana berlaku penipisan di bahagian kornea (mata hitam) secara progresif (berlaku berterusan). Bentuk kornea boleh bertukar daripada bentuk normal seperti kubah kepada bentuk kon dan agak membonjol keluar. Istilah Keratokonus berasal daripada bahasa Greek yang membawa makna kornea berbentuk kon. Oleh kerana kornea merupakan lapisan sel yang lutsinar, ia bertanggungjawab membenarkan laluan cahaya menembusinya. Bagaimanapun, sekiranya terdapat abnormaliti pada lapisan kornea seperti kon, laluan cahaya akan terganggu dan berserakan. Ini boleh menyebabkan penurunan akuiti penglihatan yang nyata.

Adalah dianggarkan Keratokonus berlaku dengan nisbah satu dalam setiap 2,000 orang dalam populasi umum. Keratokonus biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja di waktu usia baligh dan boleh berlaku dalam tempoh usia 10 hingga 20 tahun.  Ianya juga didapati lebih cenderung berlaku pada kaum berpigmen dominan (berkulit gelap) seperti India dan Melayu. Ia didapati lebih kerap berlaku pada kaum lelaki (62%) berbanding perempuan (38%).

Faktor peringkat teruk Keratokonus banyak bergantung pada progresif kon, penipisan kornea, protusi mata dan parut pada kornea. Kornea Keratokonus kurang berupaya membaiki sendiri (self-repair) kerosakan seperti mana kornea normal mampu melakukannya dengan mudah. Keratokonus boleh menyebabkan miopia rabun jauh (objek jauh tidak dapat di fokus) dan astigmatisma yang tinggi melampau hingga menyebabkan objek kelihatan senget dan berbayang. Oleh kerana bahagian kornea telah mengalami kerosakan atau distorsi, maka kekaburan penglihatan tidak boleh dibaiki dengan cermin mata.

Punca sebenar Keratokonus masih belum diketahui tetapi secara saintifik, Keratokonus dilaporkan berlaku mengikut keturunan. Keratokonus juga pernah dilaporkan kerap berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai alahan teruk seperti asma dan mengalami alergi yang teruk pada mata. Keadaan ini akan memaksa kanak-kanak ini menggosok mata dengan kerap dan kuat kerana gatal yang melampau.

Antara tanda-tanda dan simptom-simptom Keratokonus:-

*  Pesakit terpaksa menukar preskripsi cermin mata dengan kerap sekali.

*  Banyak menggosok mata secara keterlaluan disebabkan rasa gatal pada mata yang melampau.

* Fotobia, iaitu sensitif pada cahaya dan silau.

* Tanda-tanda klasik Keratokonus termasuk Munson’s Sign,  Fleischer's Ring (cecincin berwarna kelabu di sekeliling kon), Vogt's Striae (bebenang halus disebabkan oleh penipisan kornea) dan parut putih di bahagian tengah kornea.
 
Adalah agak sukar untuk mengesan Keratokonus kecuali jika anda menjalani pemeriksaan mata yang rapi dengan Optometris.

Ini kerana tanda-tanda awal yang boleh dilihat pada mata hanya boleh dikesan dengan penggunaan alat-alat khas. Alat-alat tersebut ialah retinoskop, lampu slit biomikroskop dan alat topografi kornea.  

Nasihat untuk pesakit Keratokonus:-

* Pesakit Keratokonus dinasihatkan untuk mengelak daripada menggosok mata secara keterlaluan. Ini kerana kornea Keratokonus lebih senang rosak hanya dengan sedikit trauma seperti menggosok mata. Kon pada kornea boleh terpecah dan menyebabkan parut yang tebal di kornea.

* Menggunakan tuala sejuk ataupun ais yang diletakkan di atas mata yang terpejam boleh melegakan kegatalan.

* Sekiranya mata terasa gatal dan mempunyai banyak discaj (tahi mata), mata boleh dituam dengan tuala yang bersih dan suam.

* Sekiranya tahap kegatalan yang dialami adalah terlalu teruk, rawatan ubat anti–alahan / histamine  akan disyorkan oleh doktor mata.

Rawatan Keratokonus:-

*  Keratokonus peringkat awal - Penggunaan sepasang cermin mata ataupun kanta sentuh lembut boleh memberi penglihatan yang baik.
* Keratokonus progresif - Kanta sentuh khas separa telap ataupun RGP (rigid gas permeable) perlu digunakan kerana pada peringkat ini, cermin mata dan kanta sentuh biasa tidak dapat membantu.
* Keratokonus peringkat teruk -  kanta sentuh Keratokonus dengan reka bentuk khas adalah rawatan terbaik untuk memulihkan penglihatan di samping membantu mengawal atau melambatkan progresif kon.

Kanta sentuh Keratokonus  boleh membentuk semula kornea yang berbentuk kon dan menjadikan permukaan refraksi kembali normal. Hanya dengan kanta telap khas yang keras ini pesakit akan mendapat penglihatan yang baik iaitu boleh mencapai akuiti normal 6/6.
 
Bagaimanapun, sekiranya pesakit mengadu kanta sentuh separa telap tersebut kerap terkeluar dari mata (mata tidak dapat dipasang dengan kanta sentuh Keratokonus dengan baik), akuiti penglihatan tidak dapat dipulihkan (>6/60) lagi atau pemasangan kanta tidak baik, maka pesakit akan dirujuk untuk pembedahan pemindahan kornea.

Kanta sentuh Keratokonus terdapat dalam pelbagai rekabentuk, material dan kuasa refraksi. Ia perlu dipakai sepanjang hari kecuali pada waktu tidur supaya dapat mengawal progresif kon. Bagaimanapun,  kini terdapat kanta Keratokonus diperbuat daripada silikon yang boleh dipakai walaupun ketika tidur. Pemasangan kanta sentuh ke atas mata Keratokonus memerlukan ketelitian untuk mendapat pemasangan yang optimum.

Bergantung kepada kadar progresif kon, kanta sentuh mungkin perlu ditukarganti untuk memastikannya berada dalam keadaan yang memuaskan.

Bagaimanapun, kejayaan memasang kanta sentuh bukan sahaja terletak pada reka bentuk kanta sentuh tetapi amat bergantung kepada kepakaran teknikal dan pengalaman pemasang kanta sentuh tersebut. Proses memasang kanta sentuh ke atas kornea Keratokonus adalah sukar dan mengambil masa yang agak lama. Bagi si pemakai pula, memasangnya adalah mudah seperti kanta sentuh biasa. Bagaimanapun, menggunakan kanta tersebut sememangnya mewujudkan rasa tidak selesa pada mulanya kepada pemakai tetapi tidaklah pula menyakitkan mata.

Paling penting, kanta sentuh yang dipasang boleh mengembalikan penglihatan pesakit kepada akuiti penglihatan yang normal (VA 6/6 atau 20/20). Sehubungan itu, individu yang mengalami masalah rabun jauh perlu disaring oleh optometris agar masalah itu dapat dikesan seawal mungkin. Pengidap Keratokonus kemungkinan besar akan buta sepanjang hayat (boleh menyebabkan kebutaan) sekiranya menangguhkan pemeriksaan optometris. 











Pemasangan kanta sentuh khas separa telap harus dilakukan dengan baik untuk memastikan progresif kon dapat dikawal atau dilambatkan. Kawasan hitam ditengah merupakan kon dan warna hijau merupakan bahan pewarna fluoresin yang digunakan untuk membantu pemasangan kanta khas Keratokonus.


Rekabentuk kanta Keratokonus yang mengikut bentuk kon pada kornea. Kanta sentuh khas ini dapat membantu menghalang kon daripada membesar.


Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometris

No comments:

Post a Comment