RANGSANGAN PENGLIHATAN
Apa yang dapat
dilihat oleh bayi
Penggunaan
penglihatan secara maksima adalah penting dalam perkembangan bayi dan
kanak-kanak. Bayi dan kanak-kanak berpenglihatan baik akan didapati lebih cepat
penggunaan koordinasi mata dan anggota seperti berjalan, duduk dan menari.
Sebaliknya bagi kanak-kanak yang tidak dirangsang penglihatannya boleh
menyebabkan ianya lambat berjalan dan sukar mencapai objek.
Cara paling mudah
dan efektif untuk merangsang penglihatan bayi adalah dengan bermain dengannya.
Adalah penting untuk bermain dan berinteraksi
dengan bayi dan kanak-kanak
dengan menggunakan mainan yang bersesuaian dengan umur bayi.
Telah menjadi
lumrah, salah satu persediaan utama untuk menyambut kedatangan bayi adalah
dengan mewarnakan bilik tidur bayi atau nurseri dengan warna-warna terang dan
garang seperti merah, kuning, hijau dan sebagainya. Begitu juga dengan barangan-barangan
bayi seperti katil dan mainan-mainannya akan dipilih dengan pelbagai warna.
Tetapi adakah ini akan memberi stimulasi maksima pada penglihatan bayi anda?
Bayi yang baru
lahir didapati keliru dan terganggu dengan apa yang dilihatnya sewaktu membuka
mata buat pertama kali menurut seorang ahli psikologi terkenal; William James.
Bayi yang baru dilahirkan memiliki otot-otot mata yang sempurna seperti orang
dewasa tetapi ketika di awal usia, bayi mungkin belum mampu mengawal otot-otot
mata dengan baik menyebabkan objek tidak dapat difokus dengan baik. Adakalanya
bayi terlebih fokus atau kadang kala terkurang fokus menyebabkan objek yang
dilihat adalah kabur. Kerja pemfokusan ini menjadi lebih sukar sekiranya jarak
objek yang cuba
dilihat bayi adalah jauh. Oleh itu anda boleh perhatikan bahawa bayi akan lebih
menunjukkan respon sekiranya anda berada pada jarak 7 hingga 10 inci dari wajah
bayi.
Ketika bayi berusia
2 bulan, pemfokusan bayi akan bertambah baik namun objek yang mampu dilihat oleh
bayi masih tidak sejelas yang dilihat oleh orang dewasa. Ini disebabkan retina
dan otak bayi yang menerima signal penglihatan bayi masih belum boleh berfungsi
sepenuhnya. Otot mata lebih lengkap tumbesarannya berbanding dengan bahagian
retina mata yang lebih kompleks di awal usia bayi.
Akuiti Visual
adalah satu nilai yang digunakan untuk merujuk kepada ketajaman penglihatan
seseorang. Bagi seseorang dewasa yang normal akuiti visual adalah 6/6 (Baris
ke-8 pada Carta Snellen di bawah). Bagi bayi yang baru lahir akuiti visual
adalah 6/60 (sila rujuk Carta Snellen). Ini bermakna bayi yang baru lahir hanya
akan nampak huruf “E” paling atas pada jarak 6m.
Bayi pada usia 4
bulan seharus boleh melihat separuh dari carta dan ketika bayi berusia 8 bulan,
bayi hampir dapat melihat carta sebaik orang dewasa. Oleh itu bayi yang baru
lahir hanya dapat melihat dengan mudah wajah anda dan juga tangan dan kakinya
sendiri.
Disebabkan
penglihatan bayi masih terlalu ‘muda’, bayi lebih senang melihat warna dan
corak yang mempunyai kontras tinggi seperti warna hitam dan putih. Warna dan
corak hitam putih berkontras setinggi 100% yang ditayangkan dihadapan bayi akan
menarik perhatiannya berbanding dengan satu karakter kartun berwarna warni.
Warna dan corak hitam & putih adalah material yang paling mudah untuk
dilihat oleh bayi yang baru lahir. Semakin umurnya meningkat barulah bayi
pandai membezakan tona-tona warna hitam dan putih sebelum mula dapat menilai
warna-warna lain disekelilingnya.
Warna-warna lain
juga mampu dilihat oleh bayi sewaktu lahir tetapi untuk membezakan setiap warna
mengikut tona adalah sukar kerana reseptor kon di retina masih belum matang
sepenuhnya. Walaubagaimanpun penglihatan bayi boleh berkembang sangat cepat,
dalam tempoh yang singkat. Pada usia 2 bulan, bayi sudah boleh membeza banyak
warna. Oleh itu jangan hanya tayangkan semua objek dan mainan berwarna putih
dan hitam sahaja pada bayi kerana anda mungkin membantutkan pula stimulasi
penglihatannya pada warna-warna lain.
Bayi yang baru
lahir akan lebih gemar melihat garisan sisi berkontrast tinggi seperti bentuk
wajah atau garisan rambut dan wajah. Ketika berusia 2 bulan barulah bayi mula
melihat mata, hidung dan mulut
ibubapanya. Dan tidak menghairankan jika ketika berusia 5 bulan, bayi
sudah pandai membezakan wajah ibubapanya dengan orang asing.
Cara-cara
rangsangan:-
Ketika anda sedang
bermain dengan bayi anda, cuba
tutup sebelah mata bayi dengan telapak tangan anda dengan cermat. Lihat respons
bayi sekiranya dia kelihatan gelisah atau menangis. Jika bayi kelihatan biasa
sahaja ini bermakna mata yang tidak dikatup mempunyai penglihatan yang baik
tetapi sekiranya bayi menangis bermakna mata yang tidak dikatup tidak sebaik
mata yang dikatup atau tiada penglihatan pada mata itu.
1. Gunakan mainan yang berkontras tinggi
seperti hitam dan putih, berkilat atau bercahaya untuk menarik perhatian bayi.
Cari mainan yang ringkas dan senang untuk dilihat agar bayi tidak terkeliru
seperti bola plastik pelbagai saiz dan warna, kiub, patung biasa tanpa bahagian
kompleks. Sekiranya anak anda mempunyai masalah penglihatan atau berpenglihatan
terhad gunakan lampu suluh yang dihala dari belakang mainan (aktiviti ini
dilakukan dalam bilik gelap) untuk menolong anak anda melihat objek. Cuba elakkan
mainan berbunyi kerana ini akan merangsang deria pendengaran dan bukan deria
penglihatan sepenuhnya. Pegang mainan tersebut dihadapan mata bayi dan
perhatikan respon. Cuba
bawa mainan tadi ke sisi bayi dan perhatikan sama ada matanya mengikut arah
tangan anda. Cuba
lihat tempoh bayi memberi respon. Sekiranya terlalu singkat atau tidak
menunjukkan respon setelah mencuba dengan pelbagai jenis mainan, kemungkinan
penglihatan bayi belum di rangsang dengan sepenuhnya atau pun bayi anda mempunyai masalah
penglihatan. Adakalanya bayi hanya respon pada cahaya dari lampu suluh dan
bukan mainannya. Bayi mungkin mempunyai masalah penglihatan yang agak serius.
3. Bagi kanak-kanak yang lebih besar, gunakan anak
patung untuk melatih penglihatan detail.
Suruh anak anda menunjuk di mana mata anak patung atau butang baju anak patung.
Ini dapat memastikan tahap akuiti visual kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang
lebih kecil, sekiranya kanak-kanak dapat melihat dan mengutip nasi atas lantai atau
manik-manik dekorasi kuih dengan baik, akuiti visualnya adalah sekurang-kurangnya
6/18.
4. Bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas,
perhatikan gerak gerinya ketika menonton televisyen. Adakah anak anda selalu
mengecilkan matanya atau mengalih mukanya ke satu arah. Dia mungkin mempunyai
ralat refraksi yang tidak dibetulkan. Jangan sangka kanak-kanak kecil tidak
perlu memakai cermin mata, adakalanya kesalahan refraksi bermula dari bayi
lagi. Jangan bertangguh untuk membetulkan ralat refraksinya. Kelewatan boleh
menyebabkan berlakunya mata malas yang sukar untuk dirawat.
SAYANGI MATA ANAK ANDA
SAYANGILAH MASA DEPAN MEREKA
Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment