Pages

Thursday, October 26, 2017

KES: PEMBEDAHAN YANG TIDAK DIPERLUKAN

Saudara-saudari

Dalam kegusaran kehidupan tatkala kita melewati kegawatan ekonomi yang semakin terasa, akan wujud pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas satu musibah yang sedang kita alami. Saya berhadapan dengan kes sebegini.


Pesakit ini hampir-hampir melakukan pembedahan matanya gara-gara nasihat dari pusat pakar mata yang pengendalinya bukan seorang pakar mata.  Antara alasan terhadap nasihat dan cadangan pembedahan adalah mahu membantu pesakit membuat tuntutan insuran. Sekaligus kes ini mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati memilih tempat pemeriksaan terhadap mata kita.

Encik E merupakan salah seorang mangsa dari senario yang hampir menyebabkan mata beliau dibedah tanpa ada keperluan yang sewajarnya.

Alkisah

Kes ini bermula apabila beliau telah menghadirkan diri di satu pusat pakar mata untuk mendapatkan konsultansi dan pemeriksaan tentang penglihatan beliau yang mulai terasa tidak selesa dan ternampak dua imej.

Pemeriksaan yang telah dilakukan oleh pakar mata tersebut telah mengenalpasti diagnosis bahawa kononnya mata kanan beliau telah mengalami satu keadaan juling yang dipanggil eksotropia (juling keluar).


Meskipun kejadian mata juling ini hanya dirasai 5-6 bulan yang lalu, pakar mata itu telah memberi cadangan supaya mata beliau  dibedah segera untuk membetulkan kedudukan kedua-dua belah mata agar selari. Tiada pilihan lain yang diberi. Encik E tidak merasa selesa dengan cadangan yang diberi lalu beliau meminta diberikan sedikit masa untuk berbincang dengan keluarganya dan sekaligus membuat keputusan apatah lagi bila melibatkan kos pembiayaan yang tinggi.

Selang beberapa hari, beliau telah dihubungi oleh seorang wakil insuran (beliau merupakan pemegang insuran dari syarikat tersebut). Wakil insuran itu telah dihubungi oleh pusat pakar mata tersebut dan telah mengesahkan bahawa Encik E perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan julingnya dengan kadar segera.

Beliau bertambah terkejut apabila wakil insuran tersebut  menyatakan bahawa pihak pusat pakar mata juga telah mencadangkan satu lagi pembedahan mata untuk mengeluarkan katarak (selaput mata) dari mata Encik E dan ianya akan memerlukan penggantian dengan kanta IOL palsu yang mahal. Ini bermakna Encik E bakal menjalani 2 pembedahan mata sekaligus yang mana pembedahan ini akan dibiayai oleh syarikat insurannya. Beliau yang agak terkejut dengan penjelasan dan tindakan pusat pakar mata dan wakil insurannya lantas segera mendapatkan pandangan dari pakar Ortoptik dan Optometris.

Setelah pemeriksaan komprehensif dijalankan, pakar ortoptik dan optometris telah bersependapat menyatakan bahawa keadaan juling yang dialami adalah jenis acquired exotropia.  Juling yang dialami adalah bukan jenis kongenital (dari lahir) tetapi telah berlaku secara tiba-tiba dan tanpa punca yang jelas. Darjah kejulingan yang diukur adalah 18 prisma (jauh) dan 1o prisma dekat. Pakar Ortoptik telah mencadangkan beberapa latihan mata sebagai terapi untuk melatih mata agar selari dan akan berjumpa semula dengan Encik E dalam tempoh sebulan bagi melihat kesesuaiannya untuk memakai Fresnel Prism  (prism berpelekat) untuk membantu matanya agar dapat terus selari.


Beliau juga telah didapati mempunyai akuiti penglihatan yang baik iaitu 6/6 bagi setiap mata dan tiada pengesanan selaput/katarak pada kedua-dua mata beliau. Beliau tidak perlu pada pembedahan mata yang kedua seperti yang disebutkan sebelum ini.

Encik E rasa amat lega setelah mengetahui status sebenar matanya dan paling penting beliau rasa 'terselamat' dari perlu melakukan pembedahan yang tidak wajar. Meskipun telah diberitahu oleh pakar ortoptik bahawa sekiranya kejulingan tersebut tidak pulih dan terus stabil nilai prismanya, beliau mungkin terpaksa melakukan pembedahan pada otot matanya, tetapi ini hanya akan berlaku setelah pemantauan dijalankan dalam tempoh 3 bulan. Tindakan untuk melakukan pembedahan sesegera mungkin akan membawa kepada risiko yang lebih besar.

Walaubagaimanapun beliau bersyukur kerana masih sempat mendapatkan nasihat kali kedua. Namun sekiranya beliau mengambil keputusan terburu-buru kerana panik dengan keadaan matanya, beliau mungkin telah dibedah tanpa keperluan dan hilang pelindungan insuran kemudian hari.

Moralnya

Kisah ini adalah untuk kita mengambil iktibar agar kita tidak panik dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan dan pilihan. Bak kata pepatah, mengatasi ilmu itu adalah akalnya sendiri.

Rentetannya

Lakukanlah pemeriksaan mata dan dapatkan pandangan jujur dari pakar dan ahli Optometris di D'Optometrist di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Hubungi  : 0391744024 atau http://www.wasap.my/60193009699 

Salam Hormat dari saya;

Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris
Program Optometri & Sains Penglihatan,
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment