MOMENT TO WATCH

Loading...

Pages

Wednesday, September 5, 2012


HIPEROPIA

Hiperopia (Rabun Jarak Dekat) adalah suatu keadaan di mana seseorang dapat melihat objek jarak jauh tetapi bermasalah ketika melihat jarak dekat (seperti ketika membaca). Seperti masalah refraktif mata yang lain, hiperopia terjadi ketika mata tidak dapat memfokuskan sinar cahaya yang masuk dengan tepat pada retina.

Pernahkah anda mendengar atau mungkin anak anda sendiri mengalami masalah yang dikatakan rabun dekat. Rabun dekat biasanya dikaitkan dengan orang yang sudah berumur 40 tahun ke atas. Rabun dekat ini memerlukan pemakaian cermin mata membaca (reading glasses) untuk membolehkannya melihat pada jarak membaca yang normal (40 cm). Agak mengelirukan sekiranya anda diberitahu oleh juruoptik yang anak anda mengalami rabun dekat pada usia yang terlalu muda dan ini memerlukannya memakai cermin mata yang dipasang dengan kanta cembung.

Tidak semua orang yang mengalami masalah refraksi mata mempunyai rabun jenis miopia ataupun bermaksud rabun jauh. Miopia hanya boleh dibetulkan dengan pemakaian kanta cekung. Kanta cekung adalah kanta yang mempunyai bahagian tengahnya nipis berbanding dengan bahagian hujung kanta. Sekiranya kuasa kanta cekung adalah tinggi, maka mata yang memakai kanta ini akan kelihatan lebih kecil dari saiz biasa. Masalah utama bagi mereka yang mempunyai miopia yang tidak dibetulkan adalah kekaburan pada jarak jauh.

Rabun dekat yang diterangkan itu mungkin disebut untuk memudahkan ibubapa memahaminya. Sebenarnya istilah bagi masalah ini adalah hiperopia. Kanak-kanak yang mengalami hiperopia ini bukanlah rabun dekat sebenarnya tetapi masih mempunyai masalah dengan penglihatan jauh (rabun jauh). Namun cara membetulkan keadaan ini adalah dengan menggunakan kanta cembung.

Kanta cembung memiliki ciri tebal atau cembung dibahagian tengahnya dan nipis dibahagian hujung/tepinya. Sekiranya kuasa kanta cembung yang diperlukan sangat tinggi, cermin mata biasanya kelihatan seperti telur mata kerbau. Mata juga kelihatan besar apabila cermin mata dipakai. Kuasa yang tinggi bagi kanta cembung ini boleh menyebabkan imej yang dilihat adalah lebih besar dari saiz biasa dan kadang kala akan mengelirukan. Oleh sebab sedemikian mereka yang mempunyai kuasa hiperopia yang tinggi akan memilih untuk memakai kanta sentuh untuk membaiki ralat refraksi. Bagi kanak-kanak hiperopia, mereka diperlukan untuk memakai cermin mata berkanta cembung untuk semua aktiviti jauh dan dekat. Mungkin bila disebut sebagai rabun dekat, ibubapa akan menyuruh anak mereka untuk memakai cermin mata itu hanya apabila melakukan kerja dekat, mereka perlu sedar bahawa ini adalah tidak betul dan boleh menyebabkan kerabunan yang lebih teruk pada kanak-kanak ini dan juga boleh menyebabkan berlakunya ambliopia ataupun mata malas.

Kanak-kanak yang memiliki ralat refraksi jenis hiperopia kebiasaannya selalu mengadu sakit kepala atau pening apabila banyak melakukan kerja dekat dan akan mengadu pandangan yang kurang jelas untuk jarak jauh. Secara optikal boleh diterangkan bahawa cahaya yang memasuki mata hiperopik akan tertumpu di bahagian belakang retina disebabkan bebola mata (panjang axial) mata yang pendek. Oleh itu kanta cembung diperlukan untuk membawa imej yang dibelakang mata itu untuk diletakkan di atas retina mata untuk mendapatkan satu imej yang jelas (Sila lihat gambarajah 1).
Keadaan hiperopia juga datang bersama-sama atau tanpa astigmatisma. Astigmatisma adalah satu ralat refraksi yang memerlukan pembetulan yang lebih pada satu meridian penglihatan yang dinamakan paksi atau axis. Sekiranya kanak-kanak mempunyai astigmatisma yang perlu dibetulkan ianya boleh digabungkan sekali didalam satu kanta cembung.

Masalah yang agak ketara dengan kanta cembung yang dipasang pada cermin mata adalah dari segi kosmetik dan berat kanta. Meskipun kanta hanya mempunyai kuasa yang rendah bahagian tengah kanta cembung yang agak membonjol agak kurang menarik. Pemilihan bingkai juga amat penting kerana sekiranya bingkai yang dipilih adalah kecil, ianya akan menampakan ketebalan sisi yang ketara. Bingkai yang lebih besar akan menampakkan sisi yang lebih nipis namun ianya akan menjadi lebih berat dan muka sekecil yang terpaksa menanggung berat cermin mata akan senang meninggalkan kesan lebam di bahagian atas hidung. Paling ideal ialah menggunakan bingkai kecil dari bahan plastik yang dapat menutup sebahagian ketebalan kanta cembung. Oleh kerana kebanyakan bingkai plastik tidak mempunyai nose-pad, satu lapik silikon boleh dilekatkan pada bingkai plastik dibahagian hidung  untuk dijadikan kusyen supaya bingkai plastik tidak mudah tergelincir dari muka kanak-kanak.
Seperti rabun miopia, kanak-kanak hiperopia juga tidak akan mengadu kekaburan. Ini adalah disebabkan kanak-kanak ini telah beradaptasi dengan kekaburan itu dari awal usia dan tidak mempunyai pengalaman atau idea dengan apa yang dimaksudkan dengan pandangan yang jelas. Apabila kanak-kanak ini sudah melangkah ke alam persekolahan, tanda-tanda rabun akan menjadi lebih ketara. Kanak-kanak hiperopia juga akan mengadu tidak dapat melihat papan hitam dengan baik jika duduk di barisan belakang kelas, ataupun guru dan ibubapa mula mendapati kerja penyalinan dari papan hitam tidak dapat dihabiskan. Paling ketara adalah kanak-kanak ini mengadu sakit kepala atau pening kepala apabila pulang dari sekolah atau setelah membuat kerja dekat untuk tempoh yang lama.

Masalah hiperopia akan berterusan sekiranya tanda-tanda awal tidak diambil perhatian. Sebarang kerabunan yang tidak dibetulkan akan menyebabkan ralat refraksi semakin meningkat berikutan dengan lebih banyak penggunaan mata seperti membaca, menonton televisyen, bermain komputer dan lain-lain namum kadar progresinya tidaklah secepat rabun miopik.

Seringkali dapat dilihat yang kanak-kanak rabun hiperopia meskipun telah dibetulkan kuasa hiperopiknya ianya mungkin memiliki tahap penglihatan yang rendah dari normal. Kebiasaanya kanak-kanak ini memiliki satu atau dua mata yang mengalami ambliopia atau mata malas. Untuk rawatan ambliopia kanak-kanak ini perlu menjalani terapi pengatupan (occlusion/ patching).

Sebab berlakunya rabun jenis hiperopia ini tidak diketahui. Adakalanya ianya berpunca dari faktor hereditari atau persekitaran atau punca-punca lain yang tidak jelas  Cermin mata berkanta cekung juga tidak semestinya dipakai oleh kanak-kanak dengan rabun hioeropia tetapi ianya juga digunakan pada kanak-knak afakia. Kanak-kanak afakia adalah kanak-kanak yang menpunyai katarak kongenital bila dilahirkan. Katarak kongenital ini biasanya disebabkan oleh ibu yang tidak mendapat suntikan rubella ketika mengandung dimana kanta kristalin bayi yang berkatarak perlu dikeluarkan segera dengan kaedah surgeri. Tanpa kanta kristalin, bayi yang berumur kurang dari setahun memerlukan kanta cembung berkuasa anggaran 32 D untuk melihat pada jarak jauh. Kuasa ini akan berkurangan sedikit apabila bayi makin membesar. Bayangkan bagaimanakah bayi boleh memakai cermin mata berkanta cembung berkuasa 32 D sedangkan untuk mengangkat kepalanya sendiri pun tidak mampu.

Kanta Sentuh Kanak-Kanak

Bagi kanak-kanak ini disyorkan oleh pakar optometris untuk dipakaikan dengan kanta sentuh khas untuk bayi. Ibubapa tidak perlu khuatir untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah diketahuinya. Kebiasaanya kita selalu mendengar kanta sentuh sememangnya dipakai oleh orang dewasa dan mempunyai komplikasi atau risiko infeksi. Kanta sentuh khas bayi sememangnya ditempah khas mengikut parameter yang telah diukur di atas mata bayi. Material kanta sentuh yang dicadangkan adalah dari jenis silikon hidrogel dan bukannya HEMA  (sepertimana yang banyak dipakai oleh orang dewasa). Penggunaan material ini disyorkan kerana ianya membenarkan kemasukan oksigen yang tinggi kedalam mata dan dibenarkan untuk dipakai tidur. Lumrahnya bayi atau kanak-kanak kecil tidur beberapa kali dalam sehari. Dengan menggunakan kanta sentuh jenis silikon hidrogel, kanak-kanak ini boleh memakai kanta sentuh ini berterusan selama 30 hari terus menerus. Sekiranya ibubapa senang untuk menanggalkan dan memasukkan semula kanta sentuh ke mata bayi, adalah digalakkan untuk mengeluarkannya setiap minggu atau lebih awal jika perlu untuk dicuci dan dibasmi kuman.

Apa sekali pilihan anda, cermin mata atau kanta sentuh, wajar diingatkan pembetulan ralat refraksi tidak boleh dilengah-lengahkan. Sekiranya anda cuai atau sengaja melambatkan pemakaian cermin mata, anak anda akan terdedah pada risiko ambliopia. Walaupun terdapat terapi untuk merawat ambliopia, kejayaannya tidak dapat dijamin sepenuhnya. Perlu diingat rawatan aambliopia hanya berkesan pada kanak-kanak dibawah umur 7 tahun dan selepas usia itu, prognosisnya adalah kurang baik.
Sebagai ibubapa, anda perlu membuat pilihan terbaik untuk anak anda, paling penting anak yang memakai cermin mata perlu diberi motivasi bukan sahaja di rumah tetapi juga di sekolah. Gangguan dari rakan-rakan dan orang sekeliling tentang imej dirinya yang bercermin mata patut ditegur dan dihentikan. Tunjukkan pada anak anda perbezaanya apabila memakai cermin mata dan tanpa cermin mata sambil memandang satu objek yang jauh seperti seekor burung di atas pokok supaya anak anda sendiri dapat menilai imej yang jelas dan kabur. Apabila anak anda dapat menilai imej yang jelas, sudah pasti cermin mata itu akan dipakainya selalu. Hiperopia adalah seperti rabun jenis miopia dimana pemeriksaan komprehensif mata perlu dijalankan setiap 6 bulan untuk menilai semula kuasa ralat refraksinya dan juga tahap penglihatan.
LAKUKAN SESUATU UNTUK ANAK ANDA SEBELUM IANYA MENJADI SEMAKIN SULIT UNTUK DIPERBETULKAN

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Jabatan Optometri, FSKB
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 KUALA LUMPUR

No comments:

Post a Comment