Pages

Tuesday, September 18, 2012


Masalah Penglihatan Kanak-Kanak Sindrom Down

Kanak-kanak yang menghidapi Sindrom Down sudah semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini. Insiden Sindrom Down ini kebanyakannya berlaku kepada golongan lelaki berbanding dengan perempuan. Hampir 50 peratus kanak-kanak Sindrom Down ini mempunyai kecacatan kongenital pada jantung dan hampir kesemuanya mempunyai pelbagai jenis masalah penglihatan.
Pelbagai kemudahan untuk kanak-kanak Sindrom Down telah disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta yang mana kesemuanya bertujuan untuk membantu kanak-kanak ini dari segi asas pembelajaran, latihan fizikal dan logikal dan juga membantu kanak-kanak ini menguruskan diri sendiri dan juga memupuk kemahiran diri.

Rata-rata kanak-kanak Sindrom Down ini tidak terlepas daripada masalah penglihatan. Walaupun telah diketahui bahawa hampir kesemua kanak-kanak Sindrom Down memerlukan rawatan penglihatan, namun tidak ramai ibu bapa yang menganggap ini penting. Malah, ramai yang terbiar tanpa pernah mendapat sebarang pemeriksaan atau rawatan daripada Optometris. Semua kanak-kanak Sindrom Down perlu menjalani pemeriksaan mata seawal usia enam bulan. Masalah penglihatan yang paling ketara pada kanak-kanak Sindrom Down adalah seperti berikut:-

1.     Rabun Jauh – Miopia atau hipermetropia adalah masalah kekaburan melihat objek jauh yang boleh dibetulkan dengan kanta minus (cekung) ataupun kanta plus (cembung). Meskipun pembetulan kanta dilakukan untuk rabun jauh, akuiti penglihatan yang telah dibetulkan akan masih berada dibawah tahap optimum iaitu kurang daripada 6/6. Pembetulan dengan cermin mata biasanya boleh dilakukan dengan mudah sekiranya kanak kanak tersebut dapat memberi kerjasama sewajarnya. Adakalanya kanak-kanak Sindrom Down yang juga hiperaktif akan bertindak menanggalkan cermin mata atau mencampakkannya. Kanta sentuh khas boleh dipreskripsikan dan kanak-kanak ini tidak akan berasa rimas semasa memakai cermin mata.
2.     Astigmatisma – Masalah silau yang mengganggu penglihatan jauh dan dekat juga boleh menyebabkan kanak-kanak Sindrom Down ini mengecilkan mata apabila cuba menonton televisyen atau membaca tulisan di papan hitam di dalam kelas. Sekiranya masalah astigmastisma ini agak tinggi, mereka mungkin cuba mengelak daripada cahaya terang atau mengadu silau teruk apabila berada di bawah pancaran matahari. Sekiranya masalah astigmatisma sangat teruk, preskripsi cermin mata boleh diberikan bersama kanta yang telah digelapkan sedikit untuk mengurangkan gangguan cahaya silau. Cermin mata gelap juga boleh digunakan semasa menjalani aktiviti di luar untuk tempoh yang lama.

3.     Akomodasi yang lemah – Masalah ini sering dihadapi oleh kesemua kanak-kanak Sindrom Down. Masalah ini menjadikan penglihatan dekat kabur dan ini boleh menyebabkan kanak-kanak Sindrom Down tidak berminat untuk melihat objek dekat khasnya membaca, menulis dan mewarna. Sekiranya kanak-kanak ini mempunyai masalah rabun jauh, maka, preskripsi cermin mata bifokal akan diberikan kepada mereka. Cermin mata bifokal digunakan untuk membetulkan kesalahan refraksi jauh dan dekat. Dengan ini, kanak-kanak ini dapat melihat objek jauh dan dekat dengan lebih jelas.

4.     Strabismus (Juling) – Hampir 20 ke 30 peratus kanak-kanak Sindrom Down akan mempunyai masalah juling. Kebiasaannya, masalah ini akan mula nampak ketara apabila umur mencecah dua tahun ke atas. Tidak seperti juling yang biasa berlaku kepada individu normal, kebanyakan kanak-kanak ini mempunyai juling jenis esotropia (mata masuk mendekati hidung). Juling esotropik ini boleh berkait dengan rabun jauh jenis miopik dan hipermetropik. Adakalanya juling ini boleh berubah–ubah di antara mata kanan dan mata kiri. Kanak-kanak yang mempunyai masalah juling ini perlu dibetulkan dahulu kesalahan refraksinya, jika ada. Sekiranya julingnya menjadi kecil dan tidak ketara, latihan ortoptik akan digunakan untuk menghilangkan masalah ini. Walaubagaimanapun, jika juling masih ketara, kemungkinan surgeri otot mata perlu dilakukan.
5.     Akuiti penglihatan di bawah paras normal – Paras normal akuiti adalah 6/6 dengan Carta Snellen. Sekiranya akuiti penglihatan berada di bawah tahap ini, ianya akan dianggap sebagai akuiti di bawah paras normal. Ini adalah agak ketara bagi kanak-kanak Sindrom Down di mana, secara relatif mereka ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kecacatan okular seperti katarak (selaput pada kanta mata), nistagmus (bebola mata bergetar-getar) dan keratokonus (lapisan kornea menipis dan membentuk kon). Walaupun adakalanya kanak-kanak Sindrom Down ini tidak mempunyai sebarang kuasa refraktif pada mata, mereka selalunya mempunyai akuiti di bawah paras normal (ambliopia).
Ibubapa, penjaga dan guru-guru perlu mengawasi tahap penglihatan kanak-kanak-Sindrom Down. Kesemua pembetulan refraksi perlu dibetulkan samada dengan cermin mata ataupun kanta sentuh. Terdapat sekolah-sekolah pendidikan khas yang ada menyediakan alatan boleh membantu mereka yang mempunyai akuiti penglihatan di bawah tahap normal. Peralatan yang biasa disediakan adalah berupa magnifier atau skrin monitor yang boleh membesarkan teks bacaan. Setiap kanak-kanak Sindrom Down perlu menjalani pemeriksaan penglihatan setiap tiga hingga enam bulan sehinggalah kuasa refraksinya stabil dan kemudian bolehlah dijarakkan pemeriksaan mata kepada sekali setahun.

Pemilihan bingkai

Bingkai yang sesuai perlu dipilih dengan teliti untuk kanak-kanak Sindrom Down di mana, pemasangan di atas muka dengan sempurna perlu diperhatikan. Adakalanya Optometris anda perlu membuat beberapa modifikasi untuk memastikan bingkai terletak dengan baik di atas muka. Sekiranya kanak-kanak ini bergerak aktif, maka, kaki bingkai boleh diletakkan dengan pencangkuk belakang telinga yang mampu menghalang cermin mata daripada tercampak daripada muka apabila bergerak lasak. Penggunaan head band yang dipasang pada kedua-dua belah kaki bingkai juga dapat membantu cermin mata agar sentiasa terletak dengan baik di atas muka. Kanak-kanak Sindrom Down biasanya mempunyai jarak di antara mata yang agak jauh, namun, bingkai yang dipilih tidak semestinya besar. Apa yang patut di cari adalah bridge atau jejambat bingkai yang lebih lebar dan disokong dengan nose pad atau pad hidung yang besar jenis silikon. Ini dapat memastikan cermin mata tidak mudah melorot ke hidung malah pad silikon tersebut akan mencengkam kulit hidung yang berminyak dengan lembut. Bingkai boleh terdiri daripada jenis plastik ataupun aloi nikel, dan lebih baik jika bingkai tersebut mempunyai spring yang mampu bertahan sekiranya cermin direngang dengan kasar. Pilihan untuk kanta pula tidak lain daripada jenis plastik atau polikarbonat iaitu yang tahan pecah dan warna yang disyorkan untuk meredupkan pandangan daripada silau adalah warna coklat atau kelabu gelap.
Apa yang paling penting, ibu bapa perlu memberi dorongan yang kuat kepada anak-anak yang memakai cermin mata. Jangan sesekali membenarkan orang lain atau keluarga mengejek anak-anak yang memakai cermin mata. Sekiranya anak anda enggan memakai cermin mata, cuba memakaikannya ketika dia sedang melakukan aktiviti kegemarannya seperti menonton televisyen. Dengan cara ini, kanak-kanak akan dapat menilai sendiri pandangan yang jelas baginya. Adakalanya, ibu bapa patut meletakkan cermin mata itu di atas muka sendiri dahulu. Kanak-kanak akan berasa lebih yakin apabila melihat ibu bapanya telah mencuba dahulu.

Pemilihan kanta sentuh

Sekiranya anak anda tidak betah menggunakan cermin mata ataupun anda terpaksa menggantikan cermin mata dengan kerap kerana cermin mata patah atau rosak, maka, alternatif lain adalah dengan pemasangan kanta sentuh.
Kanta sentuh yang menjadi pilihan adalah kanta sentuh jenis konvensional atau pakai buang yang menggunakan material silikon. Material ini membenarkan kemasukkan oksigen yang optimum ke mata walaupun pemakaian adalah untuk tempoh yang panjang. Tambahan pula, kanta jenis ini boleh dipakai tidur dengan selamat dan tidak mudah terlekat dengan kekotaran daripada  air mata.
Sekiranya anda berminat dengan kaedah ini, berjumpalah dengan Optometris yang bertauliah. Optometris akan melakukan pemeriksaan awalan untuk menentukan kesesuaian pemakaian kanta sentuh tersebut. Ini termasuklah pemeriksaan kelopak mata dan juga air mata. Sekiranya didapati keadaan mata sihat dan sesuai barulah kanta sentuh akan dipasangkan. Pemasangan kanta sentuh boleh dilakukan keatas bayi, kanak-kanak dan orang dewasa. Walaubagaimanapun, kanak-kanak Sindrom Down memerlukan pengawasan serta bantuan dalam pemasangan kanta sentuh kepada matanya. Kebiasaanya, ibu bapalah yang akan membantu memasang dan mengeluarkan serta mencuci kanta sentuh. Kebaikan kaedah ini adalah kanak-kanak Sindrom Down akan mendapat penglihatan optimum tanpa ada gangguan bingkai dan kesan pembesaran atau pengecilan imej yang biasa terdapat pada cermin mata.

Perlulah diketahui bahawa, meskipun penglihatan anak anda telah dibetulkan samada dengan cermin mata ataupun kanta sentuh, penglihatan yang diperolehinya tidak akan menjadi sebaik kanak-kanak normal. Penglihatan untuk melihat secara detail dan halus akan terjejas. Membaca akan menjadi satu tugasan yang agak sukar. Walaubagaimanapun, aktiviti luaran seperti bermain tidak akan terganggu. 
Kadang kala, hati dapat melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh mata. (Sometimes the heart sees what is invisible to the eye) 
~H. Jackson Brown Jr. 


Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Program Optometri & Sains Penglihatan, FSK
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment