Pages

Friday, June 29, 2012


AYAH, SAYA PERLUKAN CERMIN MATA!!!

Anda mungkin terkejut apabila diberitahu yang anak anda yang masih kecil memerlukan pembetulan refraksi pada matanya. Ramai ibubapa yang akan menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan bagaimana ianya boleh berlaku? Sedangkan mereka sendiri tidak pernah memakai cermin mata ataupun hanya mula memakai cermin mata apabila telah meningkat dewasa.

Ada pula ibubapa yang cuba melengahkan pemakaian cermin mata pada anak-anak dengan alasan Biarlah...tunggu sehingga dia besar sikit ataupun berpendapat lebih cepat pembetulan cermin mata diberi lagi cepat kuasa cermin matanya akan bertambah. Tidak kurang juga yang menghalang anak mereka dari memakai cermin mata sepenuh masa kerana khuatir kuasa cermin mata akan bertambah dengan lebih cepat lagi.

Pendapat – pendapat sebegini adalah salah dan boleh membawa kesan yang akan memburukkan lagi status penglihatan anak-anak. Sekiranya anak anda telah dikesan memerlukan pembetulan refraksi maka ianya perlu dilakukan dengan segera untuk menghalang dari terjadinya ambliopia (mata malas) pada kanak-kanak tersebut.

Diagnosis
Optometris dan Oftalmologis boleh memeriksa mata bayi dan kanak-kanak untuk kuasa refraksi secara terperinci dan tepat. Kaedah yang digunakan bagi kanak-kanak kurang dari 5 tahun atau yang tidak boleh berinteraksi  adalah dengan menggunakan retinoskopi. Retinoskopi adalah satu teknik yang menggunakan cahaya untuk memerhatikan refleks cahaya yang dipantulkan dari retina. Kuasa refraksi mata akan ditentukan dari pemerhatian refleks. Penggunaan komputer untuk mendapatkan kuasa refraksi kanak-kanak tidak digalakkkan sama sekali disebabkan kanak-kanak mempunyai daya akomodasi yang kuat yang boleh memberi bacaan refraksi palsu pada kanak-kanak.

Adakalanya penggunaan sedatif digunakan bagi kanak-kanak kecil dan aktif  atau yang tidak dapat berkerjasama.Kadangkala ubat titis siklolegik bagi melumpuhkan sementara otot-otot akomodasi digunakan sekiranya terdapat kes kejulingan atau  hiperopia pendam (ralat refraksi yang tak nyata) pada kanak-kanak. Ubat titis ini akan menyebabkan anak mata menjadi besar dan hilang akomodasi untuk beberapa jam. Ketiadaan akomodasi dapat membantu mata kanak-kanak untuk berehat sementara prosedur refraksi sedang dilakukan. Dengan cara ini kuasa refraksi mata yang sebenar boleh diperolehi. Walaubagaimanapun,  proses ini akan mengambil masa yang agak lama berbanding refraksi biasa tanpa menggunakan ubat titis sikloplegik.

Jenis-jenis rabun.
Miopia atau rabun jauh – keadaan refraksi di mana objek jauh yang dilihat membentuk imej di belakang retina dan memerlukan pembetulan dengan menggunakan kanta cekung.  Tanpa pembetulan kanta, kanak kanak melihat jarak jauh dengan kabur. Kekaburan menjadi semakin nyata bagi miopia tinggi. Kanak-kanak yang mempunyai miopia juga akan menonton televisyen pada jarak dekat dan juga akan membaca buku dan menulis pada jarak yang sangat dekat. Kanak-kanak juga dapat diperhatikan akan cuba mengecilkan matanya sambil mengerut dahi apabila cuba membaca tulisan di papan hitam atau melihat objek jauh. Jangan terkejut sekiranya kanak-kanak ini tidak pernah mengadu akan kekaburan yang mereka alami dan mereka kelihatan boleh bermain dan berbasikal seperti kanak-kanak berpenglihatan normal. Kanak-kanak miopia mudah beradaptasi dengan apa sahaja penglihatan yang ada pada mereka. Kebiasaannya  kanak-kanak miopia akan mudah beradaptasi dengan cermin mata apabila mula memakainya buat pertama kali.
Mata kiri yang juling kedalam (esotropia) 
mungkin menunjukkan ada ralat refraksi yang tidak dibetulkan
Hiperopia / hypermetropia atau rabun jauh – keadaan refraksi di mana objek jauh yang dilihat membentuk imej di hadapan retina dan memerlukan pembetulan dengan menggunakan kanta cembung. Tanpa pembetulan kanta, sesetengah kanak-kanak boleh berakomodasi (fokus) untuk menjadikan objek jauh yang kabur menjadi jelas. Walaubagaimanapun mata yang berakmodasi berterusan boleh menyebabkan keletihan dan sakit mata dan kepala. Apabila mata tidak boleh berakomodasi lagi ataupun penat, objek jauh yang dilihat akan menjadi kabur semula. Simptom yang nyata bagi kanak-kanak hiperopia ialah rasa sakit mata atau kepala apabila melakukan aktiviti dekat seperti membaca, melakukan kerja komputer dan lain-lain. Sekiranya masalah ini tidak di betulkan dengan segera, lama kelamaan, kanak-kanak ini akan mempunyai masalah kekejangan akomodasi. Kekejangan akomodasi berlaku disebabkan oleh akomodasi yang melampau boleh menyebabkan berlakunya pseudo miopia (miopia palsu) dimana  ianya menyebabkan objek jauh kabur.

Bagi bayi yang mempunyai masalah hiperopia yang tinggi, biasanya mata bayi akan kelihatan juling ke dalam (esotropia). Pembetulan mata bayi dengan kanta sentuh atau cermin mata akan menyebabkan mat kembali lurus.

Astigmatisma ataupun silau seringkali dikaitkan dengan alahan terhadap cahaya yang terang. Astigmatisma bermakna kuasa pada dua titik meridian mempunyai kuasa yang berlainan. Astigmatisma boleh hadir bersama miopia atau hiperopia. Seringkali kanak-kanak hanya mempunyai masalah astigmatisma yang tinggi sahaja. Tidak seperti miopia dan hiperopia, kanak-kanak yang mempunyai astigmatisma tidak mengalami kekaburan penglihatan yang nyata. Mereka masih melihat objek jauh dengan terang tetapi astigmatisma yang dialaminya boleh menyebabkan objek tersebut dilihat bebayang dan tidak tajam.Kebiasaannya, kanak-kanak yang mempunyai masalah astigmatisma ini juga akan mengecilkan matanya apabila cuba melihat objek jauh dan dekat.

Kelewatan dalam pembetulan cermin mata
Penangguhan pemakaian pembetulan ralat refraksi mata sama ada dengan cermin mata atau kanta sentuh boleh menyebabkan ambliopia yang dalam. Ambliopia atau mata malas adalah satu keadaan di mana mata tidang berfungsi dengan baik walaupun pembetulan optima telah diberikan. Keadaan ini boleh dibetulkan dengan terapi ortoptik dan kebiasaanya prognosis adalah baik sekirannya umur kanak-kanak adalah kurang dari 12 tahun dan mempunyai fiksasi yang baik Terapi ortoptik yang dilakukan adalah oklusi mata. Ianya dilakukan dengan menggunakan pengatup berpelekat ataupun kanta sentuh legap. Mata yang baik akan di katup sementara mata yang lemah akan dipaksa melakukan aktiviti dekat.  Terapi ini dilakukan untuk tempoh 1-4 jam sehari dan perlu diteruskan setiap hari tanpa berhenti untuk mendapatkan hasil yang baik. Hasil dapat dilihat seawal 2 minggu lepas mata menjalani terapi oklusi.
Pemakaian cermin mata tebal adalah kurang sesuai untuk bayi
Pemeriksaan ulangan oleh Optometris perlu dilakukan setiap 6 bulan dan apabila kuasa refraksi sudah semakin stabil pemeriksaan optometri boleh dilakukan setahun sekali. Kuasa pembetulan pada cermin mata mestilah sentiasa dikemas kini. Pemakaian cermin mata yang menmpunyai kuasa yang rendah dari sepatutnya boleh menyebabkan kuasa ralat refraksi bertambah dengan lebih cepat.

Cermin mata VS kanta sentuh.
Yang mana lebih baik? Bagi kanak-kanak normal berusia 2 tahun ke atas dan boleh bertoleransi dengan pemakaian cermin mata bolehlah memilih cermin mata. Namun sekiranya kuasa kanta adalah terlalu tinggi dan menekan hidung si kecil eloklah dipakaikan dengan kanta sentuh khas untuk kanak-kanak. Perlu diingatkan cermin mata yang tebal boleh menyekat pergerakkan aktif kanak-kanak dan selalunya boleh menjadi perhatian orang ramai menyebabkan kanak-kanak berasa malu dan inferior.
Teknik memasukkan kanta ke mata bayi 
dan kanak-kanak dengan cara mengepit kanta dengan dua jari.
Kanta pembetulan yang tebal (bagi miopia atau hiperopia yang tinggi) juga memberikan minifikasi dan magnifikasi yang ketara bagi objek yang dilihat. Sekiranya kuasa kanta cermin mata adalah terlalu jauh berbeza (2 Diopter atau lebih) antara satu sama lain, fusi objek antara mata kanan dan kiri sukar berlaku dan boleh menyebabkan kanak-kanak akhirnya hanya menggunakan sebelah mata sahaja iaitu mata yang baik (suppresi). Lama kelamaan tanpa disedari mata yang lemah akan terus merosot penglihatannya dan boleh terjadinya ambliopia dan seterusnya juling keluar (eksotropia). Untuk mengatasi masalah ini adalah lebih baik kanak-kanak ini memakai kanta sentuh dimana perbezaan saiz objek yang dilihat adalah tidak ketara (disebabkan tiada jarak verteks) dan ini akan  membenarkan fusi berlaku dan mata akan dapat berfungsi secara binokular.

Kanta sentuh amat sesuai untuk bayi yang berumur kurang dari setahun dan juga kanak-kanak istimewa.  Adalah tidak munasabah untuk memakaikan cermin mata ke atas bayi yang tidak mampu mengangkat kepalanya sendiri ataupun duduk tanpa sokongan. Sekiranya cermin mata perlu dipakaikan juga ke atas bayi-bayi ini, modifkasi cermin mata perlu dilakukan terutamanya di bahagian belakang telinga dan hidung. Penggunaan ear and nose pads digalakkan.
Pemakaian kanta sentuh pada bayi dan kanak-kanak sudah tidak asing lagi. Kanta sentuh yang ditempah khas mengikut parameter spesifik kelengkungan kornea dan saiz kornea bersama material kanta yang sesuai memastikan kanta sentuh dapat dipakai dengan selamat. Teknologi terbaru dalam pembikinan kanta sentuh telah memungkinkan pemakaian selamat untuk dipakai tidur (tempoh memakai bergantung pada material kanta). Kanta sentuh khas ini juga tidak mudah terkeluar apabila bayi mengeluarkan air mata yang banyak ketika menangis. Sekiranya semua peraturan dan arahan diikuti dengan baik komplikasi boleh dihindari. Walaubagaimanapun pastikan anda mendapat nasihat dari pakar Optometris sebelum prosedur ini dilakukan.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Pensyarah Kanan
Jabatan Optometri, FSKB
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 Kuala Lumpur.

Thursday, June 28, 2012

KEPENTINGAN PENJAGAAN MATA TERHADAP KANAK-KANAK
Ibubapa dan Guru Perlu Memainkan Peranan yang Lebih Besar.
Pernahkah anda terfikir yang mana satukah antara pancaindera kita yang paling utama dan bernilai dalam perkembangan hidup kita sebagai manusia. Sememangnya tak dinafikan deria penglihatan itu satu anugerah Tuhan yang terlalu banyak kepentingan dan manafaatnya. Bukan sekadar untuk melihat dan mengamati objek tetapi lebih befungsi sebagai faktor penting yang berkait rapat dengan tumbesaran sempurna kanak kanak terutamanya dari segi mobiliti dan juga koordinasi.

Sekiranya deria penglihatan mula terganggu maka tumbesaran kanak kanak juga akan turut terganggu dan secara tidak langsung ini akan membantutkan pergerakan fizikal dan juga keupayaan mental kanak kanak. Semua faktor ini amat penting untuk menjadikan kanak kanak berupaya hidup secara sihat dan cergas.
Setiap ibubapa patut berwaspada dan tahu tentang perkembangan penglihatan anak mereka, sama ada normal ataupun tidak. Ibubapa perlu tahu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara penglihatan yang jelas dan kabur kerana apa yang dilihatnya secara langsung akan diterimanya sebagai normal. Oleh itu jangan tunggu untuk anak anda memberitahu anda atau mengadu yang pandangannya kelihatan kabur ataupun penglihatan tidak cukup tajam, ianya tidak akan berlaku. Sekiranya anda adalah ibubapa yang perihatin anda mungkin dapat mengesan masalah penglihatan anak-anak anda melalui aktiviti-aktiviti yang berlangsung di rumah.
Guru di sekolah juga memainkan peranan penting bagi mengesan murid yang mempunyai masalah penglihatan. Memandangkan kanak kanak bersekolah menghabiskan masa yang panjang di sekolah maka guru kelaslah yang berupaya mengenal tanda tanda dan tahu simptom murid murid yang kebarangkalian mempunyai masalah penglihatan.
Tanda-tanda masalah penglihatan pada kanak-kanak

  • Mengecilkan kelopak mata  ketika menonton TV atau cuba membaca papantanda.
  • Juling atau cuba menutup satu mata dengan telapak tangan
  • Meneleng atau menjeling ke satu arah ketika cuba fokus
  • Sering menggosok mata
  • Suka mengelip mata secara terlampau (twitching)
  • Mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • Lahir pramatang
  • Perkembangan terbantut seperti lambat berjalan
Sekiranya  anda sebagai ibubapa atau guru mengesan masalah di atas, anak atau murid anda mungkin mempunyai masalah penglihatan. Segeralah dapatkan pemeriksaan dan nasihat dari Optometris. Optometris akan melakukan pemeriksaan mata secara komprehensif dan dapat mengesahkan  keadaan tersebut dengan segera .
Pada usia awal persekolahan, sepatutnya perkembangan penglihatan sudah hampir sempurna. Ketika ini jika ada sebarang tanda yang menunjukkan penglihatan terganggu, ianya amat mudah dikesan. Anda perlu selalu memerhatikan tingkahlaku anak atau murid anda seperti menonton TV terlalu dekat atau memegang buku terlalu dekat dengan mata, mata menjadi juling ketika penat atau cuba melihat sesuatu objek, kepala suka meneleng ke satu arah tertentu, mata yang selalu digosok-gosok ketika menonton TV atau papan hitam ataupun cuba membaca sesuatu sensitif pada cahaya biasa. Sekiranya anak anda tidak menunjukkan sebarang tanda sebegini, ibubapa masih perlu membawa anak mereka untuk pemeriksaan mata pada ketika berumur 7 tahun sekiranya mereka sendiri mempunyai rabun mata. Rabun adalah satu keadaaan yang boleh diwarisi dari genetik. Sekiranya saudara-mara terdekat juga mempunyai sejarah rabun atau anomali mata seperti juling ataupun mata malas, adalah lebih baik untuk bawa anak-anak anda untuk pemeriksaan mata. Ini adalah kerana, kadang kala, penyakit mata atau ralat refraksi hanya dapat di kesan oleh Optometris setelah menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan instrumen tertentu.
Pemeriksaan mata ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun sangat penting kerana sekiranya kanak-kanak ini mempunyai sebarang masalah yang memerlukan pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau terapi penglihatan, ianya dapat dilakukan dengan segera dan dibetulkan sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Bagi kanak-kanak yang memakai cermin mata, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap 6 bulan untuk memastikan progresi ralat refraksi dapat dikesan. Jangan bertangguh terlalu lama untuk menjalani pemeriksaan penglihatan kerana kuasa refraksi yang bertambah, jika tidak dibetulkan boleh menyebabkan kenaikan kuasa ralat refraksi secara mendadak dan juga boleh menyebabkan risiko berlakunya mata malas. 
Penyaringan penglihatan yang biasanya dijalankan di sekolah oleh pusat kesihatan adalah untuk mengesan secara kasar masalah penglihatan yang dialami oleh kanak-kanak. Ianya bukanlah satu pemeriksaan mata yang lengkap. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda dapat membawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan mata yang lengkap oleh Optometris ketika di awal persekolahan.

Penglihatan yang tidak dirawat dari awal boleh membawa kepada masalah mata malas. Mata malas bermaksud penglihatan yang tidak dapat dibaiki meskipun ralat refraksi telah dibetulkan. Ini boleh berlaku pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya latihan terapi diberikan segera sebelum usia menjangkau 7 tahun, keadaan mata malas ini mungkin boleh dirawat. Sekiranya dibiarkan tanpa pembetulan ralat refraksi atau terapi penglihatan, mata tersebut akan menjadi lemah dan lama-kelamaan mungkin tidak dapat berfungsi lagi.

Kanak-kanak Istimewa

Golongan kanak-kanak istimewa juga seperti Sindrom Down juga mempunyai risiko rabun jauh dan kuasa astigmatisme. Oleh kerana kanak-kanak golongan ini mungkin tidak akan mengadu dan jarang melakukan aktiviti yang boleh menampakkan tanda-tanda rabun adalah penting penglihatan mereka diperiksa sekurang-kurangnya setahun sekali. Semasa pemeriksaan ini sebarang tanda ketidaknormalan okular boleh dikesan dan rawatan awal boleh dimulakan segera.
Pemeriksaan mata di usia awal sangat penting. Ibubapa dan guru juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penglihatan anak-anak. Kanak-kanak yang sihat tetapi mempunyai penglihatan yang lemah akan membantutkan perkembangannya terutama sekali dari segi pembelajaran. Pastikan anak murid anda menjalani pemeriksaan mata sebagai satu rutin tahunan.

Kesimpulannya, penglihatan adalah deria yang sangat penting dan penjagaan mata dan penglihatan seawal usia 5 tahun wajar dititik beratkan terutamanya dari peringkat sekolah rendah lagi. Ibubapa serta guru guru  harus memandang berat terhadap kesihatan mata kanak-kanak. Pihak kementerian pendidikan harus memberikan keutamaan terhadap kepentingan kesihatan mata lebih atau setara dengan kesihatan gigi. Adalah menjadi saranan supaya pihak sekolah khususnya kementerian pendidikan dapat mengujudkan satu ruangan khas bagi unit mata beroperasi di setiap sekolah di Malaysia sebagaimana unit/klinik gigi yang beroperasi di kebanyakkan sekolah rendah sekarang ini.
Kanak-kanak harus diberikan pendidikan awal untuk menyedari pentingnya perihal kesihatan mata dan kebolehan untuk melihat objek dengan jelas adalah harus bagi menjamin masa depan yang lebih sempurna. 


Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometri 
Jabatan Optometri 
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu   
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sunday, June 24, 2012

‎24hb JUN 2012. 
10.50 pagi
Kuala Lumpur International Airport
-------------------------------------------------------------------------------
BERLEPAS KE TORONTO, KANADA UNTUK 2 MINGGU.

Menyertai XIIth International Orthoptic Scientific Congress. Bakal mem
bincangkan tajuk :
"Prisms in the Northern Lights – The Science of Orthoptics" di the Westin Harbour Castle Hotel and Convention Centre..
Sebait puisi buat anda yang masih sudi mengikuti ruangan saya ini. Dengan harapan, teruskanlah pandangan anda kerana saya akan terus menulis untuk anda di luar sana...
DI MANA SEBAIKNYA KAMI BERTEMU

Katakan kepada kami berdua,
di mana sebaiknya kami bertemu, 

setelah 400 tahun berpisah.

Di sebuah kafe yang pemiliknya senang memutar keroncong lama,
agar kalian bisa saling tertawa sepuasnya.
kerana dengan tertawa,
air mata itu punya alasan untuk jatuh
tanpa perlu merasa malu-malu.
kerana dengan tertawa itu
tak ubahnya hujan yang mercik di bumbung kamarku

Ataukah hanya di sebuah bangku di taman
yang di dekatnya ada dua pohon tua yang semi,
agar kalian bisa tersenyum
pada waktu yang menyimpan banyak teka-teki.

Sebab batang-batang pohon tua yang masih sedang berbunga itu
adalah kembaran kalian yang menemukan jawaban
senyum di usia tua kami,
tetap harus dibagikan bersama.

drhalizamutalib
24062012.
PENCERITAAN BERSAMA WAGGGS DALAM INGATAN...
PERJALANAN SAYA HARI 3
Tarikh    : 17 dan 19hb Jun 2012
Lokasi    : Cameron Highlands dan Kuala Lumpur
Bersama:  Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang
                Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Binti Almaarhum Sultan
                 Iskandar Al-Haj
Aktiviti 1: Lawatan ke kebun teh BOH. Sempat menjamah minuman ringan yang disediakan dan memperolehi input mengenai proses pembikinan teh. Program ini memberi satu pendedahan kepada peserta terutama yang datang dari luar negara.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Nota: Kami menginap di Heritage HotelJalan Gereja, 39000 Tanah Rata, Cameron Highlands yang merupakan sebuah hotel lama, zaman penjajah berdekatan dengan pekan Tanah Rata.
Aktiviti 2:  Seterusnya kami dibawa melawat Taman Agroteknologi MARDI, Cameron Highlands yang merupakan salah satu tempat tarikan pelancong di Cameron Highlands. Amat mudah untuk sampai ke taman ini dan jarak dari Bandar Tanah Rata hanya lebih kurang 500 meter. Pengunjung boleh ke taman ini dengan melalui simpang Persiaran Dayang Indah di hadapan klinik kesihatan Tanah Rata dan jalan terus hingga menemui papan tanda masuk ke taman ini.
 
 
 
 
 
 
Terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati di taman ini seperti ladang strawberry, ladang teh, kilang teh, petak fertigasi, jualan bunga dan cenderamata. Harga ditawarkan agak berpatutan dan harga adalah tetap sepanjang musim. Maknanya masa cuti atau tidak harga adalah sama, berbanding dengan tempat lain yang mana penjual boleh “main” harga jika berada pada musim cuti. Sesuatu yang amat menarik.
 
 
 
 
  
 
 
 
 
 
 
Kami juga sempat mengunjungi KEA Farm Shopping Market,Brinchang. Kea Farm is one of most popular shopping destinations in Cameron Highlands, located 3km after Brinchang town. While mostly an agricultural district, the center of activity lies in a day market next to the main road, just before Equatorial Resort. Every morning till evening, traders and farmers sell their crops here to visitors and locals alike. Flowers, ornamental plants, souvenirs and handicrafts are other products sold in the market besides fruits and vegetables. On holiday weekends and national festivals, the road that leads past Kea Farm Market may be cluttered with cars parked (or parking) along the sides, causing a massive jam that stretches all the way to town
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pada sebelah malamnya, kami sekali lagi diraikan di Cameron Highlands Resort. Majlis makan malam ini disertai oleh DYTM Tengku Puan Pahang,Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Binti Almaarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Antara acara kemuncak majlis ini adalah penganugerahan sijil dan "PIN" sebagai ahli FRIENDS yang bari. Saya merupakan salah seorang penerima anugerah tersebut pada malam itu.
 
 
   
Sepanjang mengikuti program ini, saya rasa banyak saya saya pelajari. Malahan ramai yang saya bertemu. Melalui ruangan akhir ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada beberapa nama yang saya kagumi dan saya hormati. Antaranya: 
Ke Bawah  DYTM Tengku Puan Pahang,Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Binti Almaarhum Sultan Iskandar Al-Haj;
Yang Berbahagia, Datuk Nik Faizah Mustapha, antara kepimpinan Pandu
Puteri Malaysia;
Yang Berbahagia, Dato Dr Fadzilah Muhammad Ali yang menjadi teman 
saya sepanjang perjalanan;
Yang saya hormati, Puan Mariana Ahmad orang yang bertanggung 
jawab memperkenalkan saya kepada FRIENDS ini.
Yang Berbahagia, Datin Seri Shamsiah..
SERTA RAMAI LAGI NAMA-NAMA YANG AKAN SAYA UPDATEKAN NANTI. BEGITU JUGA BUAT SEMUA SAHABAT DAN KAWAN YANG SAMA-SAMA MENGIKUTI PROGRAM INI TAK KIRA DI MANA JUA ANDA BERADA. ANDA ADALAH YANG TERBAIK DI KALANGAN YANG TERBAIK. 
TAHNIAH DAN SYABAS .
JUMPA LAGI.

KALAU ADA SUMUR DI LADANG,
BOLEH SAYA MENUMPANG MANDI,
KALAU ADA UMUR YANG PANJANG,
TAHUN HADAPAN BERTEMU LAGI..
TERIMA KASIH DARI SAYA:
Dr Haliza Abdul Mutalib
Pensyarah & Pakar Optometri 
Jabatan Optometri 
Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu   
Universiti Kebangsaan Malaysia